Thursday, April 17, 2014

Kim Swee Bakal Panggil Kembali Nor Farhan Hadapi Filipina


Pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee akan memanggil pemain Terengganu, Nor Farhan Muhammad bagi memperkuatkan skuad kebangsaan itu bagi menghadapi perlawanan persahabatan kelas 'A' menentang Filipina di Bandaraya Cebu, Filipina, 27 April ini.

Pengendali berusia 44 tahun itu berkata beliau memutuskan untuk memanggil Nor Farhan dan selain itu mengekalkan sebahagian besar barisan pemain yang beraksi menentang Yemen pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac lepas.

"Tiada banyak perubahan yang akan dilakukan. Mungkin dua atau tiga pemain baharu akan disenaraikan manakala sebahagian besar pemain yang beraksi menentang pasukan Filipina dan Yemen bulan lepas akan dikekalkan. "Saya akan memilih pemain berdasarkan prestasi semasa.

Pemain baharu bukanlah bermaksud pemain muda, pemain yang sudah lama berkecimpung dan menunjukkan prestasi yang baik," katanya.

Portal Kerajaan Negeri, Sembilan Jabatan Lain Perolehi Penarafan Lima Bintang

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu , Sameun Salleh menerima sijil cemerlang selepas laman web dan portal MDS turut tersenarai memperolehi penarafan lima bintang.
Laman web dan portal kerajaan negeri berjaya memperolehi penarafan lima bintang menerusi Penilaian Portal dan Laman Web Kerajaan (MGPWA) 2013.

Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu yang dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan itu mengekalkan kejayaan dan mendapatkan pengiktirafan berkenaan untuk tahun keempat berturut-turut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata kejayaan penarafan lima bintang portal kerajaan negeri itu merupakan satu pengiktirafan kepada jabatan kerajaan negeri. Malah penarafan tertinggi itu turut dikongsi sembilan portal dan laman web jabatan kerajaan yang lain.

Kadar Kematian Penyu Di Perairan Terengganu Membimbangkan


Kadar kematian penyu di perairan Terengganu akibat terkena peralatan nelayan agak membimbangkan apabila enam haiwan marin itu dilaporkan mati tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Abdul Khalil Abdul Karim berkata empat spesies penyu agar dan masing-masing seekor spesies penyu karah dan penyu lipas ditemui mati selepas mendapat maklumat daripada penduduk tempatan dan nelayan.

"Selepas disiasat punca kematian haiwan reptilia itu terdapat kesan seperti tersangkut pada pukat dan terkena mata kail rawai yang dilabuhkan dalam air oleh nelayan," katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, pihaknya telah merampas dan menyita enam bidang rawai tanpa umpan yang dilabuhkan oleh nelayan di perairan Rantau Abang.

Kurang Fokus Dan Hilang Konsentrasi Punca Skuad Penyu Dihukum Di Tempat Lawan

Dua faktor utama iaitu kurang fokus dan hilang konsentrasi yang terus membelenggu pasukan Terengganu mengakibatkan pasukan itu dihukum dan terpaksa berkongsi mata dengan PKNS FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Ketua Jurulatihnya Abdul Rahman Ibrahim berkata anak didiknya sudah memberikan aksi terbaik dengan mendahului 2-0 pada babak pertama tetapi gagal mengekang kebangkitan skuad tuan rumah pada babak kedua.

Beliau mengakui sekiranya pemain dapat bermain dan mengawal bola ketika mendahului kedudukan pada babak pertama itu sudah pastinya mereka berjaya membawa pulang tiga mata, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam tiga pasukan teratas liga.

Pekebun Ditemui Separuh Rentung Dalam Kebun Sawit di Setiu

Seorang pekebun ditemui mati dengan sebahagian anggota badannya rentung di kebun sawitnya di Kampung Alor Serdang, di Besut malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Abdul Rahman Raja Mohammad berkata, mangsa, Roslan Abd. Manaf, 55, dijumpai kira-kira pukul 7.55 malam oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan kebun sawit itu.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, kita menemui mayat mangsa terbaring dengan sebahagian badannya terdapat kesan terbakar dan mendapati sebahagian semak di kawasan mayat mangsa ditemui turut terbakar. 

Wednesday, April 16, 2014

Lion Xii Atasi Pendahulu Liga, Pahang 4-1, Terengganu Seri Shah Alam

Pemain Perak, Abdulafees Abdulsalam (kiri), diasak pemain JDT, Hariss Harun (dua dari kiri),  di Stadium Perak, malam tadi. 

Pasukan dari seberang tambak Lions XII mencabar kedudukan Pahang selaku pendahulu Liga Super selepas mengalahkan skuad Tok Gajah 4-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam semalam.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejas kedudukan Pahang yang terus mendahului 11 pasukan lain selepas 13 perlawanan.

Pahang bermula garang apabila pemain importnya, Damion Stewart membuka jaringan seawal minit kelapan. Kegembiran pasukan pelawat tidak kekal lama apabila Lions XII menyamakan kedudukan menerusi Safuwan Baharuddin pada minit ke-30 dan penyerang berbisa skuad itu, Sufian Anuar, menambah duka Pahang apabila melakukan hatrik pada minit ke-79, 92' dan 94.

 Dalam satu lagi perlawanan,  Selangor PKNS FC mencatat keputusan seri 2-2 ke atas Terengganu di Stadium Shah Alam.

Dewan:Kenaikan Kadar Lesen Perniagaan Di Dungun Tidak Bermaksud Membebankan Rakyat

Kenaikan kadar lesen perniagaan yang dikenakan terhadap peniaga di daerah Dungun adalah bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan dan bukannya bermaksud untuk membebankan rakyat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata adalah mustahil sekiranya peniaga-peniaga yang sudah lama berniaga dan berjaya mendapat keuntungan daripada perniagaan mereka tidak mampu membayar kadar kenaikan lesen perniagaan.

"Sekiranya mereka mempunyai sebuah stesen minyak, mereka sudah lama mendapat keuntungan daripada perniagaan tersebut dan untuk membayar kenaikan harga lesen perniagaan sebanyak 100 peratus pun, mustahil mereka tidak mampu," kata Ahmad ketika menjawab soalan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 semalam.

Dewan: Kerajaan Terengganu Bakal Kaji Punca Hakisan Pantai

Kerajaan negeri Terengganu akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk mengkaji tentang punca sebenar hakisan pantai yang berlaku di sekitar Lapangan Terbang Sultan Mahmud. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan, Rosli Othman, berkata kajian yang terperinci akan dilakukan secepat mungkin pada tahun ini berikutan dengan hakisan pantai yang semakin teruk.

"Kerajaan persekutuan telah melantik satu "consultant" bagi melaksanakan projek untuk menyekat hakisan pantai ini pada tahun lalu tetapi kerana berlaku sedikit masalah, (projek) tangguh sehingga tahun ini," katanya ketika menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepuh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di Kuala Terengganu, semalam.

Dewan: Terengganu Usahakan Projek Tanaman Nangka Madu, Nanas Secara Komersil

Kerajaan negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan projek penanaman pisang di Kampung Padang Pulut dekat Dungun yang melibatkan 72 peserta, sebaliknya akan menggantikan dengan nanas dan nangka madu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata ini kerana kajian mendapati tanah di kawasan itu tidak lagi sesuai untuk penanaman pisang.

"Memang sebelum projek itu berjalan, satu kajian sudah pun dibuat dan tidak timbul sebarang masalah....malangnya terdapat serangan sejenis bakteria yang menyebabkan tanah itu tidak lagi sesuai untuk tanaman tersebut.

Tuesday, April 15, 2014

Bayaran Tinggi Bagi Pengambilan Balik Tanah Kampung Ladang - Ahmad Said


"Kerajaan negeri buat permulaan ini membina rumah-rumah kediaman terlebih dahulu di kawasan berkenaan bagi memastikan Melayu dalam bandar terus kekal...Mana ada kerajaan di negara ini sanggup beri subsidi yang begitu besar dengan rumah yang selesa, tiga bilik tidur dan dua bilik air..."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Kerajaan Negeri Terengganu menafikan pengambilan balik tanah di Kampung Ladang di Kuala Terengganu adalah satu penganiayaan kepada rakyat kerana pemilik tanah diberi bayaran tinggi selain disediakan rumah pada harga subsidi

Wahid Endut...ingin tahu bilangan pemilik
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata tanah di kawasan berkenaan adalah tanah pegangan bebas dan mengikut rekod, seluas kira-kira 4.46 hektar bermula dari Bulatan Ladang hingga Flat Kolam tanah orang Melayu sudah berpindah tangan melibatkan kira-kira 50 lot.

"Untuk menjaga kepentingan harta orang Melayu dalam bandar ini, kerajaan melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri telah mengambil balik tanah-tanah berkenaan untuk perancangan dan penyusunan semula bagi memastikan Melayu tidak terpinggir di dalam bandar.

"Kerajaan negeri buat permulaan ini telah membina rumah-rumah kediaman terlebih dahulu di kawasan berkenaan bagi memastikan Melayu dalam bandar terus kekal," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu jumlah keluasan dan bilangan pemilik yang terlibat dengan pengambilan balik tanah untuk rancangan KT City Centre Draft Special Area Plan 2030 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad berkata sebagai contoh di Kampung Ladang Tok Pelam, rumah yang dibina bernilai RM150,000 seunit dan dijual pada harga RM75,000 seunit kepada mereka yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di kawasan berkenaan.

"Mana ada kerajaan di negara ini sanggup beri subsidi yang begitu besar dengan keadaan rumah yang selesa, tiga bilik tidur dan dua bilik air," katanya.

Menteri Besar berkata begitu juga dengan projek perumahan berhampiran yang berharga RM197,400 tetapi dijual pada harga subsidi RM97,000 untuk orang yang terlibat dengan pengambilan balik tanah.

Mengenai pengambilan balik tanah di Kampung Tanjung yang terlibat dengan rancangan KT City Centre Draft Special Area Plan 2030, Ahmad berkata, seluas 92,793.874 meter persegi atau 9.2793 hektar melibatkan 800 pemilik.

Sementara itu semasa sidang dewan berhenti rehat, semua anggota dewan diketuai Ahmad menurunkan tanda tangan pada kain rentang sebagai tanda simpati berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

50 Peratus Ibu Tunggal Di Terengganu Bertemu Jodoh Anjuran YPK

Kira-kira 50 peratus ibu tunggal di negeri ini bertemu jodoh melalui insentif perkahwinan yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

Pengarah YPK, Shafaruddin Mustaffa berkata selain bertemu jodoh dengan golongan bapa tunggal, terdapat juga ibu tunggal yang berkahwin semula dengan anak teruna dan bapa tunggal berkahwin semula dengan anak dara

Beliau memberitahu Bernama, ini menunjukkan matlamat YPK untuk mempertemukan semula jodoh ibu tunggal dan bapa tunggal mencapai kejayaan.

Saman Hadi: 18 Mei Untuk Fail Pengurusan Kes


Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 18 Mei sebagai pengurusan kes permohonan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Mohamad Nasrudin Mohamed menetapkan tarikh berkenaan berikutan permohonan Abdul Hadi untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu.

Mohd Shamsul dan Abdul Hadi tidak hadir di mahkamah semalam  dan masing-masing diwakili peguam A Vasudevan dan Asmuni Awi.

Adun PAS Puji Usaha Kerajaan Terengganu Sedia Wifi Percuma

Usaha Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (Wifi) secara percuma kepada masyarakat seluruh negeri mendapat pujian wakil rakyat PAS.

Ariffin Deraman (PAS-Alor Limbat) turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang melaksanakan kelas maya dengan pengagihan E-Book kepada murid sekolah rendah

 "Memang kita puji usaha ini," katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.

Kemudahan Wifi membabitkan peruntukan RM30 juta itu akan disediakan di 600 lokasi strategik seluruh negeri secara berperingkat. Kadar penembusan jalur lebar di Terengganu ketika ini mencapai 57.3 peratus.

Dewan: Terengganu Rancang Bina Satu Lagi Sekolah Menengah Agama Di Kemaman

Kerajaan Terengganu merancang untuk membina sebuah lagi sekolah menengah agama di kawasan Air Putih, Kemaman bagi memenuhi keperluan rakyatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan aliran agama.

Kerajaan negeri sentiasa berusaha menampung keperluan rakyat yang mahu anak-anak mereka mengikuti pendidikan aliran agama, katanya menjawab soalan Sathiful Bahari Mamat (PAS-Paka) (kiri) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

Dewan: MH370 - Adun Terengganu Mahu Tindakan Tegas Terhadap Penyebar Fitnah

Pihak yang menyebarkan spekulasi, maklumat palsu dan fitnah terhadap pemimpin negara berhubung peristiwa kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 perlu dikenakan tindakan tegas. 

Anggota Dewan Undangan Negeri (BN-Kota Putera) Mohd Mahdi Musa berkata perkara tersebut melibatkan kepentingan awam dan perbuatan itu telah menyebabkan berlaku perpecahan rakyat apabila disebarluaskan dalam media, khasnya media sosial.

"Fitnah ini juga semakin serius apabila ia melibatkan hubungan Malaysia dan negara lain menjadi dingin...dan jika tidak ditangani dengan tegas dan serius akan mengancam keselamatan dalam negara dan rakyat kita di luar negara," katanya ketika berucap mengemukakan usul itu di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Petronas Sumbang RM5 Juta Untuk Mangsa Banjir Di Pantai Timur


Petronas  memperuntukkan sejumlah RM5 juta berbanding RM3 juta pada 2012  kepada tiga negeri di Pantai Timur yang terlibat dalam bencana banjir.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik Petronas Norliza Kamaruddin berkata sumbangan tersebut diagihkan dalam bentuk barangan yang diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka

"Kita buat agihan mengikut jumlah mangsa banjir iaitu seramai 21,000 mangsa banjir di Pahang dan Terengganu yang melibatkan RM3.4 juta," katanya.

Dua Pelajar Sekolah Menengah Mati Lemas Di Pantai Dungun

Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Paka lemas setelah dihanyutkan ombak besar ketika mandi di pantai berhampiran Chalet Gelombang di Dungun, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira 5.10 petang itu, mangsa, Mohd Solihin Zaki dan Khairul Ikhwan Roshim, bersama-sama tiga lagi rakan mereka dipercayai ke pantai berkenaan untuk mandi.

Seorang rakan mangsa, Hasan Basri Zulkifli, 15, berkata, Khairul yang menggunakan pelampung sedang mandi bersama-sama Mohd Solihin apabila secara tiba-tiba ombak besar menghanyutkan mereka.

Kayuhan Kenyir Mulakan Promosi Festival Kenyir 2014 Hujung Bulan Ini

Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan menganjurkan Festival Kenyir 2014 selama sebulan mulai 29 April bertempat di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengurus Besar Ketengah Wan Mat Amin Wan Daud berkata festival berkenaan merupakan antara program yang disenaraikan Kementerian Pelancongan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) di Terengganu.

"Antara objektif penganjuran festival itu ialah untuk mempromosikan Tasik Kenyir sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama di negara ini selain meningkatkan kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir dan negara.

Monday, April 14, 2014

Mahkamah Ketepi Penghakiman Ingkar RM2 Juta Terhadap Hadi Awang

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengenepikan penghakiman ingkar dengan denda RM2 juta yang dikenakan ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Timbalan Pendaftar, Mohamad Nasrudin Mohamed menyampaikan keputusan itu dalam kamar di mahkamah, hari ini.

Sebelum ini, mahkamah sama menjatuhkan hukuman denda RM2 juta ke atas Hadi berikutan kegagalan memfailkan pembelaan terhadap saman yang dibuat oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Susulan itu, Hadi melalui peguamnya Asmuni Awi membuat permohonan untuk mengenepikan keputusan itu. Mahkamah menetapkan hari ini untuk memberikan keputusannya selepas penghujahan kedua-dua pihak dibuat pada 30 Mac lalu

 Shamsul yang tidak hadir ke mahkamah hari ini diwakili oleh peguam, A Vasudevan manakala Hadi yang juga tidak hadir diwakili oleh Asmuni dan Zuber Embong.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lalu.

Shamsul mengambil tindakan itu selepas Hadi mengeluarkan kenyataan ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa ucapan Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.

Zabidi Nafi Terlibat Dalam Facebook '1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek'



Bekas Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Zabidi Saidi menafikan beliau terlibat dalam Facebook ‘1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek’ yang menimbulkan kemarahan masyarakat India kelmarin.

Katanya, beliau tidak tahu menahu tentang Facebook tersebut.

“Hari ini baru saya buka Facebook tersebut apabila saya dihebohkan cuba mensabotaj Menteri Komunasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek,” katanya kepada FMT.

Katanya, semalam saya diberitahu oleh rakan-rakan bahawa saya yang membuka Facebook itu dan sengaja meletakkan gambar yang menimbulkan kemarahan kepada masyarakat India di negara ini.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta ahli parlimen Kemaman itu membuat laporan polis dan biar polis dan SKMM menyiasat siapa di belakang Facebook tersebut.


“Saya buat penafian ini kerana saya dituduh cuba mensabotaj ahli parlimen saya,” katanya lagi.

Sementara itu Bernama melaporkan dari Alor Gajah, Melaka bahawa akaun Facebook ’1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek’ adalah berniat jahat dan langsung tiada kena mengena dengan saya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu.

Anggota Parlimen Kemaman itu berkata beliau juga akan membuat laporan polis tentang perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu dan akan meminta sendiri kepada pihak Facebook untuk memadam akaun tersebut.

“Saya terkejut bila nama saya digunakan untuk buka akaun ini. Sebenarnya saya tidak tahu langsung tentang perkara ini sebelum ini, daripada sana (akaun Facebook terlibat) membuat posting yang tidak sewajarnya dan dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya malam semalam.

Beliau terdahulu menghadiri Malam Aspirasi Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sempena Bengkel Pemukiman Transformasi KKMM.

Akaun Facebook dengan nama ’1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek’ membuat pelbagai posting yang menghina bangsa dan agama malah turut menghina institusi raja di negara ini dan Polis Diraja Malaysia.

Akaun itu didapati dimulakan pada 29 Mei tahun lepas dan sehingga berita ini ditulis akaun yang didakwa dikendalikan pentadbir bernama ‘Amran Pekida’ itu telah memperoleh 2,328 likes.

Ahmad Shabery berkata perbuatan menggunakan nama orang lain dalam akaun Facebook sememangnya telah banyak berlaku, justeru beliau meminta kepada orang ramai tidak terburu-buru membuat keputusan berkenaan posting dalam akaun seperti itu dan tidak tuduh-menuduh sehingga perkara tersebut dapat disiasat.

“Sebab itu (kita tekankan) konsep klik dengan bijak (bagi) mendidik orang ramai supaya bijaksana membuat sebarang penilaian tentang apa mereka perolehi dalam mana-mana perkara dalam talian,” katanya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan SKMM tidak tegas dalam membendung perkara seperti ini, beliau berkata Malaysia pada masa ini mempunyai lebih 14 juta akaun Facebook yang merupakan antara jumlah tertinggi pemilikan akaun itu dalam sesebuah negara dan akaun itu ditadbir oleh pihak Facebook sendiri bukan SKMM.

“Oleh kerana kita amalkan sistem terbuka kita tidak boleh sekat Facebook, nak marah (akaun tertentu dalam) Facebook kita tutup semua itu tidak wajar atau membuat pendaftaran tertentu juga tidak wajar…ini tidak boleh dibuat dan boleh beri kesan negatif pada kita,” katanya

Sultan Mizan Minta Kerajaan Negeri Utamakan Suara Rakyat

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya suara rakyat diutamakan dalam memacu kemajuan negeri agar selari dengan slogan 'Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan'.

"Rakyat merupakan elemen penting pembangunan malah kemajuan yang dikecapi tertakluk kepada kesepaduan rakyat.

Sekiranya jika tiada persefahaman, kerjasama dan perpaduan di antara kerajaan dan rakyat negeri ini, pembangunan yang nikmati selama ini akan terbatas," titah baginda.

Selain itu, Sultan Mizan meminta kerajaan negeri memberi penekanan lebih dalam mengenal pasti strategi, kelemahan, peluang dan halangan khususnya dari aspek urus tadbir ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Baginda juga meminta Terengganu menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus baik dalam semua dimensi pengurusan, pematuhan peraturan undang-undang serta ketelusan maklumat sebagai agenda utama kerajaan negeri.

Baginda bertitah sebagai negeri menuju ke arah pembangunan dan berdaya saing, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said perlu menambahbaik prosedur kerja dan mengurang karenah birokrasi untuk memperkaya pengurusan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Santuari Kelah Terengganu Jadi Tarikan Media Asing



Usaha Kerajaan Terengganu mewujudkan Santuari Kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir bagi memulihara habitat dan spesies ikan ini telah membuka mata pengamal media tempatan dan luar negara mengenai kepentingan melindungi ikan yang menjadi buruan dan kegilaan kaki pancing itu.

Bahkan ada di antara mereka yang dari luar negara merancang untuk membukamata kerajaan mereka supaya menyediakan sebuah santuari sedemikian menerusi penulisan dan penerbitan berita berdasarkan pengalaman lawatan mereka ke pusat perlindungan ikan itu di Tasik Kenyir, semalam.

Seorang pengamal media Indonesia, Tika Anggreni dari Majalah "Kover Magazine Medan" berkata beliau sangat teruja apabila dapat melihat ribuan ikan kelah yang ada di sungai berkenaan dan sangat berharap agar kerajaan di negaranya turut mencontohi usaha yang dijalankan kerajaan Terengganu.


Festival Candat Sotong Lebih Hebat Tahun Depan - Ahmad Said.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said gembira kerana sambutan daripada peserta terutamanya dari luar negara terhadap Festival Mencandat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 amat mengalakan.

"Saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana sambutan daripada peserta termasuklah dari luar negara amat memberangsangkan sempena dengan Pesta Mencandat Sotong Terengganu 2014 ini.

"Dan kita berharap ini adalah permulaan ke arah pesta yang lebih hebat di masa-masa akan datang dan kita akan cuba membawa lebih ramai lagi wartawan dan blogger dari luar negara," katanya ketika hadir meraikan peserta mencandat sotong itu di Rhu 10, Setiu, malam kelmarin.

Menurutnya, perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri terhadap festival itu tentunya akan mendatangkan pulangan yang baik kerana lebih ramai pelancong akan ke Terengganu.



Rumah Kos Rendah Di Kemasik: 72 Pemilik Terima Kunci

Pembinaan 466 unit rumah kos rendah di TamanGong Chengal dekat Kemasik di sini bakal menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah di sekitar kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kemasik Ir Rosli Othman berkata buat permulaan sebanyak 72 pemilik rumah akan menerima kunci masing-masing pada majlis penyerahan yang bakal disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Sabtu ini

"Ini adalah fasa pertama yang sudah siap manakala bakinya 394 unit dijangka akan diserahkan kepada pemilik secara berperingkat sebelum Disember tahun depan.

"Rumah yang sudah siap ini diserahkan bagi mengelak kes kecurian atau kerosakan infrastruktur berlaku jika ia dibiarkan lebih lama tanpa kehadiran penduduk," katanya semalam.

Belia Perlu Terlibat Lebih Aktif Dalam Aktiviti - Jailani

Belia di negeri Terengganu disarankan supaya lebih aktif dan sentiasa menyokong aktiviti yang dijalankan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata belia merupakan penentu masyarakat Malaysia pada masa depan dan peranan mereka tidak boleh dipandang enteng mana-mana pihak, termasuk pemimpin masyarakat.

"Saya menyeru kepada belia agar mengambil peluang dan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan bagi memajukan diri ke arah yang lebih baik dan buanglah sifat malas yang ada, kerana golongan belialah akan mencorakkan masa depan negara," katanya dalam ucapan sempena majlis penutup Karnival Fiesta Mesra Belia 1 Malaysia peringkat daerah Hulu Terengganu malam kelmarin.

Ahmad Tarmizi, Nur Hidayah Johan Qari Dan Qariah Terengganu


Pendakwah bebas Ahmad Tarmizi Ali, 29, dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Nur Hidayah Abdul Rahman, 23, muncul johan qari dan qariah tilawah al-Quran peringkat Terengganu yang berakhir kelmarin.

Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan piala pusingan serta akan mewakili Terengganu ke tilawah peringkat kebangsaan dari 13 hingga 17 Mei di Pahang.

Ahmad Tarmizi, bekas juara program realiti televisyen Akademi Al Quran memperoleh markah 94.5 peratus manakala Nur Hidayah, pelajar tahun akhir Diploma Reka Bentuk Perindustrian mendapat markah 87.17 peratus.

Hadiah disampaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

1,600 Rakyat Besut Dan Hulu Terengganu Sertai Program Empower 2014

Seramai 1,600 rakyat Terengganu di daerah Besut dan Hulu Terengganu bakal menerima manfaat hasil pelaksanaan program Empower kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diperluaskan ke dua daerah di negeri ini tahun ini.

Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Mohd Prasad Hanif berkata menerusi Program Latihan Akademik, pihaknya memilih 400 pelajar lemah di setiap daerah untuk diberi bimbingan secara percuma.

"Ini berikutan kejayaan program ini tahun lepas di Kemaman dan Dungun yang mencatatkan kejayaan lulus 100 peratus dalam semua matapelajaran dalam semua peperiksaan utama.

Dua Lelaki Dipercayai Pengedar Dadah Ditahan Di Terengganu

Polis menahan dua lelaki kerana dipecayai memiliki dan mengedar heroin dan pil kuda di Kampung Kuala Bekah di sini Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Tahir Kasim berkata, dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu, polis menemui satu botol serbuk putih yang dipercayai dadah jenis heroin dan 30 biji pil methamphetamine dari poket seluar salah seorang suspek.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, pihak polis turut menjumpai satu beg plastik yang mengandungi 10 paket plastik yang setiap peket mempunyai 200 biji pil kuda.

Terengganu Gagal Mendahului Liga Perdana, Kalah Mengejut Kepada Sarawak

Penyerang Terengganu, Mohd. Nor Farhan (tengah) dicabar dua pemain Sarawak pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.


Sarawak berjaya menyekat peluang Terengganu untuk menerajui persada Liga Super selepas mengalahkan pasukan Pantai Timur itu 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat malam.
Keputusan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan skuad Penyu untuk terus kekal tangga ketiga carta liga Super yang diterajui oleh Pahang.

Sarawak bermula garang apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit kedua menerusi jaringan S.Chanturu.

Kesilapan yang dilakukan oleh Junior Eldstal mengundang padah kepada pasukan 'Bujang Senang' apabila pemain tengah itu menjaringkan gol sendiri pada minit ke-38 sebelum Ryan Griffiths mengesahkan kemenangan bagi pasukan pelawat pada minit ke-76.

Usahasama ATM, PDRM Berjaya Turunkan Indeks Jenayah


Rondaan bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS 8) membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini mampu memberi impak positif bagi menurunkan indeks jenayah.

Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kerjasama itu penting bagi bergerak sebagai satu pasukan dalam menjaga keamanan dan kese­lamatan awam.

Beliau memberitahu, buat masa ini, pihaknya masih menunggu arahan pihak atasan sebelum program seumpama itu dilaksanakan sepenuhnya di negeri ini termasuk jumlah anggota yang diperlukan.

Malah, jelas beliau, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak PDRM untuk mengenal pasti lokaliti sesuai di serata negeri ini terutama di kawasan-kawasan tumpuan awam sebelum dilaksanakan sepenuhnya kelak.