Saturday, May 7, 2011

Solehin mahu tawan Gong Badak

Mohd. Solehin Mohd. Sukor kini lebih bersedia untuk mengharungi Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu pada 13 dan 14 Mei ini.

Pelumba pasukan Honda Promax X-Dot Racing ini yang beraksi dalam kelas Wira, menguasai perlumbaan akhir di pada Pusingan 2 di Batu Kawan bulan lalu, namun rentaknya terganggu akibat cabaran sengit daripada pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd. Adib Rosley.

Akibatnya, dia tersungkur ketika perlumbaan baru berlangsung sebanyak tiga pusingan.

Adib turut terjatuh, namun dia mampu menghabiskan perlumbaan di tempat kelima, manakala Solehin terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-16.

Pelumba berusia 17 tahun itu jelas kecewa dengan kegagalan tersebut dan kini berazam untuk bangkit pada saingan di Kuala Terengganu minggu depan.

"Saya seharusnya menumpukan sepenuh perhatian kepada perlumbaan, bukannya cuba untuk menjarakkan diri dengan Adib kerana perlumbaan ketika itu baru bermula.

"Saya kecewa dengan keputusan Pusingan 2. Bukan hanya kerana saya gagal menaiki podium, malah gagal untuk mengutip sebarang mata. Puncanya kerana saya begitu tertekan apabila Adib mengekori rapat. Perlumbaan tersebut mungkin boleh berakhir dengan lebih baik jika saya mengekalkan rentak.

"Saya mengharapkan nasib saya lebih baik pada perlumbaan minggu depan," kata bekas pemenang tempat kedua keseluruhan Cabaran Honda icon tahun 2009 itu.

Selain itu, Solehin percaya masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaikinya bagi menyaingi pelumba-pelumba kelompok hadapan dan ketika ini dia berusaha keras bagi mengatasi segala kelema- han yang ada.

"Apabila Adib mula merapatkan diri, saya mula hilang tumpuan dan sering kali melakukan kesilapan. Tambahan pula, itu merupakan kali pertama saya mengetuai perlumbaan dan saya bagaikan meragui kemampuan diri sendiri. Hasilnya, ia berakhir dengan kekecewaan.

"Ketika ini kemampuan jentera saya tidak banyak beza berbanding pesaing lain. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk menguatkan lagi ketahanan mental dan cuba memahami keadaan litar sebaik mungkin. Saya juga perlu lebih konsisten," ujar pelumba berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu.

Pada ketika ini Zulsyafiz Rosli sedang mendahului kedudukan keseluruhan bagi kelas Wira.

Pelumba MOS Malaysia Racing itu mengumpul 41 mata, diikuti Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing) di tangga kedua (40 mata) dan Mohd Izzat Zaidi Salehan di tempat ketiga dengan 25 mata.

Kerajaan Akan Lancar Rumah Bawah RM220,000 Julai

Kerajaan akan melancarkan program baru iaitu Rumah Mampu Milik Berkualiti melalui Skim Rumah Pertamaku bagi membantu golongan muda di Lembah Klang mempunyai rumah sendiri selewat-lewatnya Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui program tersebut, kos rumah untuk Skim Rumah Pertamaku ialah RM220,000 ke bawah bagi golongan muda yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Najib membuat pengumuman tersebut ketika bersiaran bersama penyampai radio stesen radio, Hot FM di Petaling Jaya pagi semalam.

Menurutnya, beliau mengambil maklum bahawa bukan mudah untuk mendapatkan rumah yang berharga RM220,000 di Lembah Klang beradasarkan komen yang diperoleh daripada laman web sosial Facebook nya dan media.

Najib berkata inisiatif terbaru itu akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan dan syarikat swasta.

“Kalau boleh, tiada kentungan akan diambil daripada projek ini. Pemaju akan melaksanakan tanggung jawab sosial korporat,” ujarnya.

Jelasnya, akan dilaksanakan selepas kerajaan dapat mencari tapak perumahan yang sesuai.

Skim Rumah Pertamaku diumumkan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2011.

Ia dilaksanakan bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah.

Skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Projek Kereta Kabel Pengkalan Gawi - Taman Tema Air Tetap Dilaksana - MB

Kerajaan negeri akan meneruskan rancangan membina kereta kabel dari Pangkalan Gawi ke Taman Tema Air di Pulau Poh, Tasik Kenyir seperti yang dihebahkan sebelum ini, bagi menambah tarikan pelancong ke tasik buatan terbesar Asia Tenggara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata pihaknya akan melantik syarikat perunding bagi merumuskan reka bentuk dan menilai kos pelaksanaan projek itu.

Katanya, walaupun projek kereta kabel itu tidak secanggih di Pulau Langkawi sekali gus membabitkan kos yang lebih rendah, tetapi ia memadai untuk mencapai matlamat bagi memudahkan perhubungan antara daratan dan kawasan menarik di beberapa pulau yang sedang dibangunkan.

"Pembinaan kereta kabel itu adalah sebahagian daripada perancangan besar yang sudah dirangka kerajaan negeri yang dijangka membabitkan peruntukan RM500 juta untuk membangunkan keseluruhan Tasik Kenyir.

"Selain kereta kabel, turut termasuk dalam perancangan menyeluruh itu adalah pembinaan 20 chalet tambahan di Pulau Petang membabitkan peruntukan RM50 juta, pembinaan dua bot aluminium baru dan pembangunan pulau tema khas merangkumi taman burung, taman air, taman haiwan dan orkid," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2011, Hulu Terengganu, semalam.

Menteri Besar berkata, pembinaan taman burung di sebuah pulau di tasik itu sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama kepakaran pengusaha zoo mini Burung Kuang di pekan Ajil, manakala taman orkid akan menempatkan 1,800 spesies bagi menarik kunjungan peminat bunga eksotik itu.

Mizi Sports Centre Dijangka Labur RM1 Juta di Terengganu

Butik sukan, Mizi Sports Centre sebuah rangkaian kedai peralatan sukan, kini melebarkan sayapnya ke Pantai Timur dengan pelaburan RM1 juta untuk membuka satu cawangan di Pasaraya KB Mall, di Kota Bharu.

Pengarah Urusannya, Mohd Azmi Mat Nayan berkata cawangan itu adalah yang ke-lapan selepas tujuh cawangan lain di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

"Kami memilih Kota Baharu sebagai lokasi untuk pembukaan cawangan pertama di Pantai Timur bagi memenuhi peningkatan permintaan keperluan pelanggan di kawasan itu."

"Ia juga selari dengan hasrat kami untuk melengkapkan kehadiran butik ini di setiap wilayah di negara ini bagi fasa permulaan," katanya kepada pemberita selepas perasmian cawangan baru itu.

Mizi Sports Centre menawarkan rangkaian jenama sukan utama dan antarabangsa seperti, Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto, Line7 dan Kappa dan kelengkapan menyeluruh yang merangkumi semua jenis sukan seperti pakaian kasual, peralatan sukan dan aksesori seperti baju T, kasut, beg, bola, seluar dan stoking selain kelengkapan untuk lelaki dan wanita.

Ia juga menyediakan produk terkini dan berteknologi tinggi untuk barangan sukan khusus seperti bola sepak, futsal, olahraga, tenis dan badminton.

Mohd Azmi berkata Mizi Sports Centre menawarkan urusan pembelian produk dan pakaian sukan kepada syarikat-syarikat korporat dan ejen persendirian pada tawaran harga istimewa.

Bersempena pembukaan cawangan itu, katanya syarikat itu turut menawarkan diskaun istimewa untuk semua produk selama satu bulan mulai hari ini.

Selain itu, beliau berkata Mizi Sports Centre dijangka membuka beberapa cawangan lain di Wilayah Persekutuan, Melaka, Terengganu, Johor dan Kedah dengan nilai pelaburan antara RM1 juta dan RM2 juta untuk setiap caangan.

Yang turut hadir ialah penjaga gol kebangsaan dan Pasukan Red Warriors, Kelantan, Mohd. Khairul Fahmi Che Mat yang dilantik sebagai duta syarikat itu.

YPKT Laksana 8 Bidang Basmi Kemiskinan

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil pendekatan membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk Terengganu melalui lapan bidang utama di mana boleh menambah baik ekonomi keluarga.

Bidang itu adalah kemahiran, Kraftangan, ternakan, perikanan, perkhidmatan barangan, perniagaan makanan, perniagaan dan pertukangan.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada lapan bidang itu, perkhidmatan barangan paling ramai peserta, membabitkan 1,056 orang; diikuti perniagaan makanan (801); kemahiran jahitan dan sulaman (706); ternakan (207); pertukangan (198); pertanian (94); perikanan (37) dan kraftangan mencatatkan lapan orang.

Katanya, antara objektif YPKT membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin menerusi penyediaan peluang meningkatkan ekonomi golongan sasar adalah mengalakkan raakyat miskin menyertai program Pembangunan Diri, memberi suntikan minda kepada golongan sasar ke arah mencapai kejayaan, membangkitkan kesedaran dan keupayaan diri sendiri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Yang pasti YPKT memantau setiap bulan terhadap peserta dan menilai laporan kemajuan di samping mereka perlu mengikuti kursus perubahan minda dan motivasi diri dari masa ke semasa sehingga Berjaya mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan menerusi projek yang dilaksanakan,” katanya.

Seorang Lagi Pemain Terengganu Dipanggil Untuk Perkuat Skuad Olimpik

Lima lagi pemain daripada pasukan Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Super dan seorang pemain Johor FC dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad Olimpik negara yang akan menentang Lebanon pada 19 Jun ini.

Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, S.Sivanesan, A.Thamil Arasu, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan D.Saarvindran, serta Fandi Ahmad dari Johor FC akan menyertai 20 pelatih di bawah kendalian Ong Kim Swee untuk mencari tiket beraksi di Sukan Olimpik London 2012.

Selain Fandi, empat lagi pemain di luar pasukan Harimau Muda A yang membentuk skuad Olimpik ialah Khairul Fahmi Che Mat dari Kelantan, Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Muhammad Zubir Mohd Azmi (Terengganu).

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, skuad pelatih Olimpikakan melapor diri untuk menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada 29 Mei.

Skuad itu kemudian akan beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad Olimpik Kemboja di Phnom Penh (7 Jun) sebelum menjalani latihan luar negara dengan menentang skuad Olimpik Qatar di Stadium Al Saad, Qatar, pada 13 Jun.

Skuad negara kemudian akan beraksi dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Olimpik menentang Lebanon di Stadium Sport City, Beirut pada 19 Jun sebelum menanti kunjungan lawan di ibu negara pada 23 Jun.

Skuad Olimpik negara melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Malaysia kali terakhir layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Senarai pelatih skuad Olimpik:

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Muhammad Zamer Selamat, Mahali Jasuli, Mohamad Fadhli Mohd Shas, S.Sivanesan, Fandi Ahmad, Mohamad Muslim Ahmad, Nazirul Naim Che Hashim, D.Saarvindran, Mohammad Amer Saidin, Mohamad Fandi Othman, Mohd Affizie Faizal Mamat, Mohd Zubir Mohd Azmi, A. Thamil Arasu, Faizal Abu Bakar, Mohd Irfan Fazail, Abdul Shukur Jusoh, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Wan Zaharulnizam Wan Zakarian, Wan Zack Haikal Wan Nor, Izzaq Faris Ramlan, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, Syahrul Azwari Ibrahim, Ahmad Fakhri

Mayat Berulat DiTemui Dalam Longkang

Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar Ahad lalu, untuk menjerat burung terjawab berikutan penemuan mayat lelaki itu yang sudah berulat di dalam longkang di belakang bangunan baru Sekolah Kebangsaan Wakaf Tapai, Marang, kelmarin.

Mayat mangsa berusia 39 tahun dari Kampung Sungai Serai, Binjai Rendah, Bukit Payong, Marang ditemui anak saudaranya berusia belasan tahun, ketika gerakan mencari mangsa selepas dia tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mayat mangsa yang berulat ditemui tertiarap di dalam longkang kira-kira jam 11.50 pagi.

Menurutnya, mangsa difahamkan keluar dari rumahnya pada 1 Mei lalu untuk menjerat burung dan ayam hutan.

“Bagaimanapun, dia tidak pulang dan keluarganya juga tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Bimbang berlaku sesuatu yang buruk, anak saudara mangsa pergi ke tempat yang dimaklumkan mangsa kepadanya, sebelum dia menemui lelaki itu di dalam longkang,” katanya, semalam.

Manoharan berkata, polis yang menerima panggilan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Buat masa ini, katanya, pihaknya tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. “Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan berulat.

“Kami sedang menunggu laporan daripada pakar patologi dari Kuantan, Pahang untuk mengenal pasti punca kejadian dan siasatan juga masih dijalankan.

“Siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan kami enggan membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian sehingga memperoleh hasil bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, polis tidak menyatakan identiti lelaki itu kerana tiada laporan kehilangannya dibuat selain masih menunggu laporan bedah siasat.

Fiesta Mempromosi Bandar Baru Kijal

Fiesta Happy Riuh anjuran Happy Prabayar dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini sekali gus mempromosikan kawasan tersebut secara lebih meluas sebelum bangunan tekstil di situ dijangka bakal dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun ini.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Mustafar Khalid berkata, setakat ini kehadiran pengunjung ke kawasan di bawah kendalian pihaknya itu masih kurang memuaskan.

“Jadi dengan program sebegini kita yakin ia mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung untuk datang ke Bandar Baru Kijal. Kehadiran lebih ramai pengunjung akan membantu meningkatkan pendapatan peniaga sedia ada di kawasan ini sekarang.

“Selain itu, kita juga menyediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bagi membolehkan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) Cawangan Kemaman berniaga berdekatan Pasar Raya Besar Giant,” katanya kepada kepada Sinar Harian selepas merasmikan Fiesta Happy Riuh di pekarangan Pasar Raya Giant Kijal, di Kemaman, kelmarin.

Menurutnya, sebuah pentas akan turut disediakan agar pelbagai aktiviti boleh diadakan supaya kawasan berkenaan lebih meriah sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai tempat tumpuan ramai.

Katanya, pembinaan jalan di kawasan berkenaan kini hampir sempurna manakala kawasan tempat letak kereta pula juga telah siap.

Sementara itu, sempena program Fiesta Happy Riuh selama tiga hari yang bermula semalam itu, pelbagai program menarik disediakan dan pengunjung berpeluang menyertai acara sukan,, persembahan silap mata dan sebagainya.

600 Koperasi Di Terengganu Menjelang 2015

Kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 600 buah koperasi dapat diwujudkan di seluruh negeri dengan jumlah keahlian lebih 650,000 menjelang 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, sasaran yang tinggi itu bagi melibatkan seramai mungkin anggota masyarakat dalam perniagaan di samping membantu meningkatkan ekonomi mereka dan juga negeri.

Katanya, selaras dengan pendekatan 1Kampung 1Koperasi oleh kerajaan negeri, pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menjayakannya.

“Tumpuan penubuhan koperasi itu turut melibatkan peringkat kampung, tanah rancangan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta masjid-masjid,” Katanya
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium dan Ekspo Usahawan Felda (Simex) 2011 Felda Wilayah Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ia turut dihadiri Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abd. Malib Abd. Rani.

Ekspo tiga hari di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu berkenaan berakhir hari ini.

Menurut Mohamed, setiap koperasi yang diluluskan penubuhannya akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM40,000 iaitu RM10,000 daripada kerajaan negeri dan RM30,000 lagi daripada SKM bagi membolehkan ia bergerak dengan lancar.

Katanya, pada masa ini terdapat 350 buah koperasi di seluruh negeri yang melibatkan keahlian lebih 300,000 orang dan modal pusingan bernilai kira-kira RM400 juta.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 50 peratus adalah koperasi berbentuk mikro manakala 44 peratus adalah berskala sederhana kecil dan hanya enam peratus berskala besar,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam usaha memastikan koperasi tersebut terus aktif, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut menubuhkan Unit Koperasi bagi membimbing dan memberi khidmat nasihat serta pinjaman.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian anugerah usahawan kepada lima usahawan Felda yang berjaya.

Friday, May 6, 2011

Pasar Baru Kuala Berang Dibuka Jun


Pasar baru pekan Kuala Berang yang berharga kira-kira RM10 juta akan mula dibuka sepenuhnya pada bulan Jun ini.

Pada masa ini sebahagian peniaga ikan, ayam dan daging sudah mula menggunakan pasar basah manakala peniaga lain akan dipindahkan sepenuhnya bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerja-kerja penambahbaikan pasar berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan pasar tersebut dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.

Mengikut perancangan awal, semua peniaga di pasar lama akan dipindahkan pada awal tahun ini, tetapi disebabklan beberapa masalah yang timbul pemindahan itu terpaksa ditangguhkan.

“Kita akan pindahkan semua peniaga ke pasar baru itu setelah kerja-kerja penambahbaikan siap dilakukan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke beberapa projek di Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Pasar berkenaan mula dibina pada tahun 2006 bagi menggantikan pasar lama yang sudah uzur, dalam usaha kerajaan menyediakan proemis perniagaan lebih selesa kepada para peniaga.

Lekaki Terbakar Mati Selepas Enam Hari

Seorang lelaki yang cedera ketika cuba mencuri logam termasuk aluminium dan tembaga dari pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Telaga Putat, Setiu, hampir seminggu lalu, mati di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kelmarin.

Ini bermakna beliau meninggal selepas enam hari menerima rawatan akibat terkena renjatan elektrik dan jatuh dari pencawang berkenaan.

Lelaki berumur 36 dari Kampung Telaga Papan Penarik, Setiu dan tidak bekerja itu meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 27 April lalu apabila pengadu yang juga juruteknik TNB menerima aduan daripada pengguna di Kampung Telaga Papan, Setiu kira-kira jam 9.30 malam memaklumkan pencawang TNB Kampung Telaga Putat dipercayai diceroboh orang.

Menurutnya, juruteknik itu turut dimaklumkan mengenai bunyi letupan yang kuat di tempat kejadian sebelum bergegas untuk membuat siasatan.

Terengganu Belanja RM2.58 Juta Untuk Khidmat Pergigian Bergerak

Gambar Hiasan - Seorang pelajar mendapatkan perkhidmatan memeriksa gigi.

Seramai 140,849 daripada 133,978 murid sekolah rendah dan 100,893 daripada 133,978 pelajar sekolah menengah di Terengganu menerima rawatan pergigian yang disediakan oleh Perkhidmatan Pergigian bergerak sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A.Rahman Mokhtar berkata pihaknya membelanjakan RM2.58 juta khusus bagi menyediakan perkhidmatan itu, yang turut dipanjangkan kepada masyarakat di kawasan luar bandar.

Beliau berkata ini kejayaan perkhidmatan itu menyerlahkan prestasi Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang cukup membanggakan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Katanya tahap kesihatan pergigian kanak-kanak berumur bawah enam tahun didapati masih rendah berdasarkan laporan kaji selidik pada tahun 2007 yang menunjukkan bahawa purata kerosakan gigi golongan itu berada pada tahap 6.05 peratus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Khidmat Masyarakat Klinik Pergigian Bergerak 1Malaysia dan Kem Kesihatan Negeri Terengganu di pekan Kuala Besut semalam.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr N.Jegarajan S Pillay, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Mohamamad Omar dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohd Jusoh.

Dr A.Rahman berkata ketika ini terdapat 80 pegawai pergigian daripada 104 jawatan dengan nisbah seorang pegawai bagi 13,000 penduduk berkhidmat di Terengganu, tidak termasuk lima pakar pergigian dalam bidang pembedahan mulut, pakar pergigian kanak-kanak, pakar orthodontik dan pakar periodontik.

Dalam perkembangan lain Dr A Rahman berkata kerajaan membelanjakan hampir RM1.2 juta untuk memasang 'Floride Feeder' di loji rawatan air Syarikat Air Terengganu (Satu) dalam usaha meningkatkan kesihatan rakyat.

"Menjelang akhir tahun ini orang ramai di Terengganu akan dapat menikmati bekalan air berflorida yang selamat, yang juga dapat membantu mencegah kerosakan gigi terutama di kalangan kanak-kanak," katanya.

Kerajaan Pusat Kesal Cara Kelantan Tangani Isu Orang Asli

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kesal dengan cara kerajaan negeri Kelantan menangani kepentingan dan hak Orang Asli berhubung Ladang Rakyat.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha kerajaan PAS negeri itu untuk membantu golongan pribumi negeri itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

"Kalau di negeri lain, banyak bantuan disalurkan kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Isu Ladang Rakyat telah membangkitkan kemarahan Orang Asli di kawasan Gua Musang apabila mereka mendakwa tanah yang diusahakan mereka sejak puluhan tahun lalu diambil oleh kerajaan negeri itu untuk dibangunkan sebagai Ladang Rakyat yang diusahakan pihak swasta.

Beliau berkata, Terengganu antara negeri terbaik dalam pengurusan dan hal ehwal berkaitan masyarakat Orang Asli khususnya dalam aspek mewartakan tanah dan kepelbagaian sektor pertanian sebagai sumber ekonomi golongan itu.

Katanya, kementerian mendapati Terengganu tidak mempunyai banyak masalah dari aspek perkembangan dan keperluan yang dikehendaki oleh masyarakat Orang Asli, sama ada dari segi tanah serta masalah lain.

“Sebahagian daripada tanah yang melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli sudahpun diwartakan dan merupakan negeri yang saya yakin sudah banyak memenuhi keperluan golongan itu seperti apa yang dituntut dalam memorandum yang diajukan kepada Perdana Menteri dan saya selaku menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Orang Asli,” katanya.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu selepas Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat memfokuskan kepada usaha membantu dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk menyelesaikan masalah tanah yang dituntut serta dihadapi oleh masyarakat itu.

Katanya, segala perbincangan dan persetujuan yang dicapai daripada seluruh negeri kelak akan dijadikan sebagai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bakal dibentang di Parlimen.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Terengganu muncul negeri terawal yang mewartakan tanah kepada masyarakat Orang Asli iaitu sejak 1962 dan negeri yang paling banyak mewartakan tanah kepada masyarakat.

Untuk rekod, sebanyak 50,563.51 hektar tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di tiga penempatan di seluruh Terengganu dengan 19,713.65 hektar daripadanya sudah diwartakan sebagai tanah rizab.

Sementara itu, sebanyak 30, 849.84 hektar sudah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri tetapi belum diwartakan.

Tiga penempatan orang asli di Terengganu adalah di Sungai Berua, Hulu Terengganu yang melibatkan 416 orang daripada 88 keluarga, Sungai Pergam, Kemaman seramai 535 orang daripada 114 keluarga dan Sungai Sayap, Besut pula seramai 29 penduduk (lapan keluarga).

Sementara itu, Menteri Besar berkata sikap terpuji Orang Asli di Terengganu ialah mereka tidak meneroka tanah secara haram.

Unit Komunikasi Negeri/Bernama

RHB Islamic Bank Cawangan Kuala Terengganu Secara Rasmi Beroperasi

RHB Islamic Bank Cawangan Kuala Terengganu di Paya Keladi dibuka secara rasmi semalam. - Gambar Harith Fadzilah.

Oleh Syarifah Mardhiah

RHB Islamic Bank Cawangan Kuala Terengganu yang secara rasmi beroperasi semalam, adalah yang kesembilan menyediakan kemudahan perbankan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abd Rani Lebai Jaafar (gambar kanan) berkata secara keseluruhannya sebanyak 12 cawangan sudah beroperasi.

Beliau berkata 12 RHB Islamic Bank itu disokong oleh 196 cawangan RHB Bank di seluruh negara. Ini bermakna pelanggan RHB Islamic Bank juga boleh mendapatkan khidmat di seluruh cawangan perbankan konvensional RHB Bank.

RHB Islamic menyasarkan untuk membuka cawangan di semua negeri dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Selepas ini, RHB Islamic Bank menyasarkan membuka cawangannya di Kedah, Perak, Perlis, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan, di mana dalam tempoh tiga tahun lagi, beroperasi di semua negeri berkenaan, katanya.

Abdul Rani menyatakan perkara itu selepas merasmikan cawangan baharu RHB Islamic Bank cawangan Kuala Terengganu di Pusat Niaga Paya Keladi, di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Naib Presiden Kanan RHB Islamic Bank Berhad Zulkhairi Zabiri.

Beliau berkata walaupun RHB Islamic Bank menghadapi banyak saingan daripada bank-bank lain, namun pembukaan cawangan baharu itu sangat baik dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan Islam antarabangsa.

"Jadi, memang digalakkan untuk perbankan Islam ini dibuka, bukan sahaja beroperasi dalam negara, malah terus ke peringkat antarabangsa," katanya.

Sehingga kini 30 peratus pelanggan runcitnya terdiri daripada kalangan bukan Islam.

Ini bermakna perbankan Islam diterima oleh semua masyarakat di negara ini dan sambutannya semakin meningkat dari semasa ke semasa,kata Abdul Rani.

Kemudahan Kardium Akan Diwujudkan Di Semua Negeri, Kata Rosnah

Kemudahan Kardium akan diwujudkan di semua negeri dalam waktu terdekat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan rawatan penyakit kardiovaskular di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jumlah pesakit yang menghidap penyakit kardiovaskular makin meningkat setiap tahun dan kementerian sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan rawatan kepada pesakit.

"Berdasarkan (statistik) Persatuan Jantung Kebangsaan, dari 2006 hingga 2008, 9,915 pesakit dimasukkan ke hospital kerana menghidap sindrom koronari teruk (ACS) atau sindrom penyakit jantung.

"Dan bagi "percutaneous koronary intervension" (PCI), mengikut pangkalan data bagi rawatan penyakit jantung, sebanyak 10,602 pesakit menjalani rawatan itu dari 2007 hingga 2009," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kardiologi Asia Pasifik ke-18 di Kuala Lumpur.

Acara lima hari itu yang berobjektif membincangkan isu pengurusan penyakit kardiovaskular disertai 3,000 perwakilan dari 36 negara termasuk Eropah dan Amerika.

Bagaimanapun, Rosnah berkata kemudahan kardium yang terdapat di hospital kerajaan dan swasta di beberapa negeri adalah mencukupi untuk merawat pesakit.

Di bawah Kementerian Kesihatan, terdapat empat pusat kardium iaitu di Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Serdang.

"Perkhidmatan kardiotorasik turut terdapat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu dan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

"Selain itu, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu mempunyai perkhidmatan kardiologi," katanya.

Lebih 1,000 Orang Asli Kini Kerja Di Agensi Kerajaan

Lebih 1,000 masyarakat Orang Asli kini bergelar penjawat awam yang bertugas di 144 agensi kerajaan di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata angka itu menunjukkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di negara ini sudah banyak berubah berbanding dahulu.

"Mereka bukan sahaja ditempatkan di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sahaja, tetapi turut ditempatkan di agensi-agensi lain.

"Ini merupakan perkembangan yang baik kerana mereka kini menyertai arus perdana, bukan sahaja dari segi ekonomi, tapi juga terlibat dalam pentadbiran negara," katanya kepada pemberita di Kuala Terenggany, semalam.

Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Selain membincangkan isu tanah melibatkan Orang Asli yang jumlahnya kira-kira 900 orang di Terengganu, mesyuarat itu turut membincang isu ekonomi dan pendidikan untuk mencari jalan terbaik meningkatkan taraf hidup penduduk pribumi itu.

Menurut Shafie, mesyuarat dengan kerajaan negeri Terengganu adalah siri yang kelima. Mesyuarat sama sebelum ini telah diadakan di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Menteri itu berkata kini semakin ramai penduduk Orang Asli mempunyai kedudukan kewangan yang memberangsangkan memandangkan mereka tidak lagi bergantung kepada punca pendapatan tradisional.

"Sudah ramai yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit, malah ada yang terlibat dalam sektor perniagaan dan pembinaan," katanya.

Jelasnya, sesetengah daripada mereka tidak lagi memerlukan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan mampu memiliki Pumah Mesra Rakyat kerana memiliki keupayaan daripada segi kewangan.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai cadangan kerajaan untuk meminda Akta 134 Kanun Tanah Negara (KTN) berhubung pemilikan tanah untuk Orang Asli.

Hantar 55 Atlet Ke Sukan Arafura Di Australia

Terengganu menghantar satu kontinjen mengandungi 55 atlet dan 20 pegawai untuk menyertai lima acara di Kejohanan Sukan Arafura 2001 di Darwin, Australia selama lapan hari mulai Sabtu ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Zainal Abidin Hussin berkata, lima acara yang akan disertai atlet Terengganu ialah hoki wanita melibatkan 20 orang, sepaktakraw (10 orang), menembak (enam orang), tinju (empat orang) dan olahraga (15 orang).

"Penyertaan kali ketiga ke kejohanan dua kali setahun itu antara lain bagi memberi pendedahan pertandingan bertaraf antarabangsa kepada atlet, sekaligus untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Pahang tahun depan.

"Kesemua atlet yang terpilih ke kejohanan Arafura itu adalah atlet elit yang dijangka mampu menyumbang pingat emas untuk Terengganu pada Sukma tahun depan," katanya pada majlis pelepasan kontinjen Terengganu ke Sukan Arafura di Kuala Terengganu, semalam.

Zainal Abidin yang mengetuai kontinjen Terengganu berkata, penyertaan atlet negeri itu ke kejohanan Arafura juga untuk menilai prestasi mereka dengan harapan mampu muncul juara untuk tahun ketiga berturut-turut.

Pada Sukma 2008, Terengganu yang menjadi tuan rumah melakar sejarah apabila buat julung kali muncul juara dan mengulangi kejayaan semasa Sukma di Melaka tahun lepas.

Zainal Abidin berkata, dua tahun lepas Terengganu juga telah menghantar atlet ke Arafura juga dalam lima acara dan mampu membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

"Kita berharap atlet yang kita hantar tahun ini lebih berjaya memandangkan mereka semua merupakan atlet pilihan untuk Sukma 2012," katanya.

Katanya, kejohanan di Darwin itu merupakan salah satu pertandingan yang telah dirancang dalam pelan periodisasi latihan sukan masing-masing dan menyemai semangat juang yang tinggi di kalangan atlet negeri itu.

UMT Hantar 230 Peserta ke Sukanun

Kontijen yang dibarisi 230 peserta dari Universiti Malaysia Terengganu berazam untuk mengutip sebanyak mungkin pingat dalam Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun (Sukanun) Kebangsaan yang akan bermula esok (Sabtu).

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata UMT selaku tuan rumah, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menyambut 6,000 peserta dan pegawai akan menyertai kejohanan sukan kedua terbesar selepas Sukan Malaysia (Sukma) itu.

Datuk Seri Ahmad Said dijangka akan merasmikan kejohanan itu 9 Mei (Sabtu) ini jam 9 malam.

“ Walaupun kita tidak sehebat pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai ramai atlet kebangsaan, tidak bermakna kita harus menyerah begitu saja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di UMT semalam.

Katanya, sebanyak 20 acara sukan yang akan dipertandingkan dan 17 acara menawarkan pingat manakala pertandingan memancing menawarkan hadiah wang tunai (RM3,000, RM2,000 dan RM1,000) serta acara mencari harta karun .

Menurut Prof Dr Aziz, acara pertandingan memancing diperkenalkan untuk pengemar kaki pancing di samping usaha UMT memperkenalkan pelbagai keunikan dan budaya serta sesuai dengan lokasi negeri yang terletak di persisiran pantai.

Semua acara akan diadakan di Stadium Tengku Muhammad Ismail UMT kecuali acara boling yang akan diadakan di Mesra Mall Kemaman dan beberapa acara akan berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana jumlah penglibatan agensi badan berkanun mencapai hampir sekali ganda tahun ini berbanding kejohanan Sukanun keenam yang berlangsung di Pulau Langkawi dua tahun lalu.

Katanya, tahun ini terdapat 70 agensi daripada 92 agensi akan menyertai sukan ini berbanding 55 agensi dalam Sukanun di Pulau Langkawi.

“UMT amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak memberi sokongan termasuk memberi peruntukan kepada UMT bagi menjayakan Sukanun kali ini yang memilih Kuda Laut sebagai maskot rasmi,” katanya.

Thursday, May 5, 2011

TSG Diurus Secara Profesional Untuk ke Le Tour de France

Ahmad Said bermesra dengan pelumba TSG pada majlis perasmian pejabat TSG semalam. - Gambar Harith Fadzilah.

Oleh Shahrir Hamid

Sukan berbasikal negara tidak ketandusan atlet apabila ramai pelapis menunjukkan minat dalam sukan berkenaan.

Terengganu, melalui Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) diyakini mampu mampu melahirkan jaguh baru daripada pasukan pelapis.
Sementara pasukan elit (TSG) pula akan terus diketengahkan dalam penyertaan pelbagai kejohanan besar dalam dan luar negara.

Berikutan itu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu melihat TSG mampu bersaing dengan pasukan profesional dan hebat di luar negara bagi memantapkan lagi penampilan dan membuktikan kekuatan sebenar pasukan berkenaan.

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, Terengganu mahu pastikan ada pelumba TSG boleh melibatkan diri dalam dua kejohanan berbasikal terkemuka dunia seperti Le Tour de France dan Italia(Giro d’ Italia).

Pada masa yang sama, kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan mencari jurulatih lain yang lebih profesional serta pakar dalam setiap aspek sukan itu.

Menteri Besar gembira kerana dalam tempoh tidak sampai setahun penubuhan TSB, pasukan itu mendapat tempat kelima terbaik pada Le Tour De Langkawi lepas menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Bagi menghargai jasa atlet berbasikal negeri, kerajaan telah mengambil pelbagai insentif sebagai pendorong agar lebih maju dalam sukan berbasikal.

Kini, TSG mempunyai sembilan pelumba anak jati Terengganu dan empat pelumba import dalam pasukan.

Selain itu, bagi menguruskan pasukan secara professional, TSG kini memiliki pejabat urusan sendiri secara rasminya di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu.

Ahmad Said sendiri merasmikan pejabat tersebut selepas mesyuarat kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Pejabat urusan berkenaan mengurus tadbir pasukan TSG dan diketuai enam Ahli Lembaga Pengarah serta dibantu 11 kakitangan untuk melicinkan pentadbiran.
Dalam pada itu, Menteri Besar mahu atlet kelahiran Terengganu komited terhadap sukan yang diceburi.
Katanya, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha keras dan atlet harus mempersiapkan diri secukupnya supaya kejajayaan mampu dimiliki.

“ Kerajaan akan memberi penghargaan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri serta Negara di kejohanan dalam mahupun luar Negara. Harapannya hanya satu supaya kejayaan akan terus digenggam dan Terengganu menjadi negeri pengeluar atlet sukan terkemuka Malaysia terutama acara berbasikal”, katanya lagi.

Katanya lagi, ramai anak muda di setiap daerah Terengganu menunjukkan minat tinggi terhadap sukan berbasikal. Penubuhan TSG diharap menjadi platform utama golongan muda mengasah bakat menjadi pelumba basikal digeruni dunia seperti Azizul Hasni Awang.

“Orang luar sendiri menggelar Azizul ‘Rocket Pocket Man’ kerana kepantasan kayuhan walaupun mempunyai bentuk fizikal yang kecik dan ini membuktikan kita mampu bersaing di pentas antarabangsa”, ujar Dato’ Seri Ahmad ketika sidang media selepas upacara perasmian itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda serta pegawai kerajaan lain.

Turut memeriahkan majlis ialah atlet berbasikal TSG seperti Anuar Manan dan ramai lagi.

Sambutan Hari Belia Terengganu di Kuala Berang

Kira-kira 3,000 belia di negeri ini dijangka menghadiri pelancaran sambutan Hari Belia Negara peringkat Terengganu pada 20 Mei depan di Padang Astaka, Kuala Berang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pelbagai program diadakan bagi menambahkan kemeriahan dan menarik penglibatan remaja termasuk pertandingan futsal, Pekan Budaya dan City Night Game.

"Pada masa sama, setiap daerah turut memainkan peranan dengan menganjurkan aktiviti keilmuan dan sosial yang boleh turut mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat," katanya.

Katanya, Hulu Terengganu bakal menganjurkan Forum Perdana, Marang (Sentuhan Rohani bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan), Besut (Gotong-Royong Perdana) dan Setiu (Seminar Kepenggunaan Belia).

Penghuni Taman Sri Kolam Desak PBT Atasi Segera Masalah Sampah

Lebih 100 penghuni Taman Sri Kolam di Kuala Terengganu memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan segera masalah sampah yang tidak dikutip sejak beberapa minggu lalu.

Tinjauan Bernama ke kawasan itu mendapati longgokan sampah bertimbun yang menyebabkan penghuni terpaksa menghidu bau busuk saban hari.

Rata-rata penghuni yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan perkhidmatan penyelenggaraan sampah-sarap itu kerana ia tidak dikutip mengikut jadual sehingga menimbulkan bau busuk dan kurang selesa terhadap penghuni.

Keadaan menjadi semakin parah apabila beberapa saluran paip bocor menyebabkan air membasahi sampah yang menyebabkannya berulat.

Wakil penduduk, Sabihah Alias, 28, berkata masalah sampah yang tidak dikutip mengikut jadual itu bukan masalah baru, malah ia semakin meruncing apabila cuti umum.

"Kita sudah buat beberapa aduan kepada pihak yang berkenaan tapi masih tiada tindakan diambil. Saya harap sangat perkara ini dapat diselesaikan segera kerana ia bukan sahaja membabitkan bau busuk tetapi juga faktor kesihatan kerana bimbang ia menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya semalam.

Seorang daripada penghuni taman itu, Siti Hajar Mohd Johar, 19, berkata sampah yang bertaburan di atas jalan dan sekitar tempat sampah juga tidak dibersihkan.

"Ia mengganggu kehidupan seharian kami. Jadi, saya berharap perkara ini tidak dibiarkan berlarutan," kata pelajar di sebuah institusi di bandar raya

Perak Mohon Sekolah Sukan Berasrama Penuh Seperti Terengganu

Kerajaan pusat diminta menimbang permohonan kerajaan Perak supaya sebuah sekolah sukan yang turut dilengkapi kemudahan untuk pelajar yang menjadi atlet orang kurang upaya (OKU) dibina di negeri itu.

Kini terdapat dua sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil di Kompleks Sukan Negara dan Sekolah Sukan Bandar Penawar.

Terengganu juga mempunyai sebuah sekolah sukan negeri iaitu Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas di Setiu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar kanan) berkata permohonan itu akan disampaikan secara rasmi oleh kerajaan negeri dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat ramai pelajar di Perak yang berpotensi untuk diketengahkan dalam pelbagai bidang sukan.

"Hari ini kerajaan negeri telah mendengar taklimat oleh sekumpulan mereka yang terlibat dalam kurikulum sekolah sukan dari Kementerian Pelajaran. Perak akan menyediakan tapak bagi sekolah sukan itu sekiranya kementerian meluluskan pembinaannya di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Ipoh semalam.

Zambry berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak sekolah sukan itu.

Katanya kerajaan negeri berharap sekolah sukan itu membuka peluang untuk kemasukan pelajar yang menjadi atlet OKU agar potensi mereka dapat digilap.

"Jika ini dapat direalisasikan, sekolah itu dapat memberi kemudahan untuk atlet OKU dan juga atlet normal. Ini akan menjadi satu keunikan sekolah sukan ini. Kita mahu konsep sekolah sukan yang dibina di Perak mempunyai konsep seperti Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor," katanya.

Zambry berkata anggaran kos pembinaan sekolah sukan adalah antara RM80 juta dan RM100juta yang melengkapi kemudahan persekolahan, asrama dan kemudahan sukan.

TSG Diperkasa Dengan Jaguh Bukit

Kerajaan negeri sedang mengenal pasti seorang jaguh bukit untuk diserapkan dalam pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bagi memastikan pasukan profesional itu mampu menguasai setiap zon pendakian dalam kejohanan berbasikal di dalam dan luar negara .

“Kita sedang mencari jaguh bukit, kerana apabila bertanding di peringkat antarabangsa, mahupun negeri, permarkahan dikira dari aspek keseluruhan. Ini merugikan kita apabila ada zon pendakian pelumba kita gagal mendapat masa yang ditetapkan,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau menyatakannya pada sidang media sempena pelancaran Pejabat Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), di Jalan Pejabat, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

Setakat ini, TSG turut berminat untuk mendapatkan khidmat pelumba yang mewakili Malaysia, Muhammad Adiq Husainie Othman bagi memikul tanggungjawab itu.

Muhammad Adiq yang juga anak kelahiran Terengganu pernah merangkul gelaran Raja Bukit (jersi merah) pada perlumbaan terakhir dalam persaingan Jelajah Malaysia 2011, baru-baru ini.
“Kita akan berunding untuk mendapatkan Adiq Husainie (Othman) dan berharap pelumba itu akan menyertai TSG pada masa depan. Sekarang Adiq terikat kontrak dengan pasukan lain,” katanya lagi.

Unit Komunikasi Negeri

Festival Kenyir Tiga Hari Bermula Esok

Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah (depan 3 dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Ahmaddin Mahmood (dua dari kiri) bagi tajaan akhbar Kosmo dan Utusan di pejabat Ketengah Bandar Al-Muktafi Billah Shah Dungun.

Tasik Kenyir bakal menjadi tumpuan umum dalam suasana penuh kemeriahan sepanjang tiga hari bermula Jumaat ini dengan berlangsungnya Festival Kenyir.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka merasmikan festival itu kira-kira jam 10 esok.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah berkata, pelbagai acara yang sebahagiannya belum disaksikan seperti belon udara panas dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Program anjuran agensi itu dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-38 Ketengah.

Katanya, program yang tertumpu di sekitar Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir itu bertujuan meningkatkan kunjungan pelancong serta memaparkan kesesuaian tasik berkenaan untuk pelbagai jenis aktiviti rekreasi dan sukan darat, air dan udara.

"Program itu juga sebagai persiapan awal dalam usaha mempromosi Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai yang dijangka beroperasi Ogos tahun depan.

"Festival itu turut memperkenalkan program 'Kenyir Island Hopping' di mana pulau-pulau diberikan daya tarikan dengan taman orkid, taman buah-buahan tropika, taman herba, taman burung dan taman rama-rama," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Hamzah, lebih 170 gerai pameran dan jualan daripada agensi kerajaan dan swasta di samping usahawan dari wilayah Ketengah mengambil bahagian dalam program itu.

Pelbagai aktiviti air bakal menarik minat pengunjung katanya, seperti pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.

"Selain pertunjukan belon udara panas yang bakal mewarnai langit Tasik Kenyir, festival turut dimeriahkan dengan penampilan krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal, Upin dan Ipin," katanya.

Sementara itu, pihak penganjur turut memberi kemudahan kepada orang ramai dengan menyediakan pengangkutan bas dan van dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Pengkalan Gawi.

Terengganu Perkenal Pakej Penerbangan Ke Bandung

Syarikat yang mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Bandong, yang akan memulakan perkhidmatan bulan Jun depan, mengenakan kos RM1,688 bagi setiap penumpang.

Kos tersebut bukan saja meliputi tempat penginapan, tetapi setiap penumpang juga akan diberi baucer untuk membeli-belah di sebuah gedung perniagaan di Kota Bandong.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata penerbangan terus yang dikendalikan Syarikat Heritage Air akan dimulakan pada 2 Jun depan di mana pesawat pertama akan berlepas dari Lapangan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, jam 10 pag.

Syarikat berkenaan menawarkan pakej empat hari tiga malam untuk pelancong dari Terengganu berada di Bandong. Begitu juga mereka yang datang dari Bandong akan tinggal di Kuala Terengganu selama empat hari tiga malam.

“Kita akan melantik agen bagi mengendalikan tempahan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pejabat Terengganu Pro-Asia Cycling Team di Jalan Pejabat, semalam.

Ahmad Said berkata, tempahan untuk penerbangan pertama sudah penuh dan penumpang diberi diskaun di mana mereka hanya perlu membayar RM1,500 seorang.

Beliau berkata, pada masa ini syarikat tersebut akan mengadakan perkhidmatan itu dua kali seminggu bagi membolehkan pelancong dari Bandong melawat Terengganu dan sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan itu boleh ditambah jika ia mendapat sambutan menggalakkan di masa depan.

Unit Komunikasi Negeri

Azizul Tangguh Rawatan ke Melbourne

Mohd Azizulhasni Awang menangguhkan hasrat untuk pulang ke Melbourne yang dijadual pada 10 Mei ini memandangkan kecederaan betis kirinya yang belum pulih.

Buat sementara kata Azizulhasni, dia berlatih sendiri untuk mengekalkan kecergasannya dan pada masa yang sama terus menjalani rawatan fisioterapi.

“Saya mengambil keputusan meneruskan latihan di sini sehinggalah betis saya betul-betul kuat untuk mengayuh semula,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2009/2010 di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Tambah Azizulhasni, dia perlu membuat persediaan untuk menghadapi dua kejohanan pada Ogos ini di China dan Kazakhstan, selain empat kejohanan Siri Piala Dunia hingga awal tahun depan sebelum ke Sukan Olimpik.

Katanya, misi utamanya adalah meraih pingat emas negara pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Azizulhasni mengalami cedera pada betis kiri yang ditusuk serpihan kayu semasa bersaing dalam acara akhir keirin Piala Dunia Klasik di Manchester, England, Februari lalu.

Kemelut T-Team Akan Selesai - Rozi

Oleh Shahrir Hamid

Ketua Jurulatih T-Team, Yunus Aliff yang direhatkan seminggu bakal ditentukan statusnya apabila pengurusan pasukan berstatus kelab itu akan bermesyuarat bagi menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan berkenaan.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat selepas majlis perasmian pejabat urusan Terengganu Pro-Asia Cycling Team, Kuala Terengganu semalam.

“Kita tidak boleh memecat ketua jurulatih sesuka hati kerana tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan FAM. Yunus masih sebagai Ketua Jurulatih T-Team dalam rekod FAM”, katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai mengenai jawatan ketua jurulatih bakal digalas oleh Yusof Ali, Rozi menafikan sekerasnya dan memberitahu media Yusof hanyalah pemangku jawatan itu dan merupakan pembantu Yunus sebelum ini.

Menurut Rozi, Yusof adalah bekas jurulatih Piala Presiden Terengganu dan sekiranya mampu membawa T-Team ke suatu tahap lebih baik beliau berkemungkinan akan terus memimpin T-Team.

Menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said memberi masa setahun kepada T-Team menunjukkan prestasi memberangsangkan kerana kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi pasukan kelab berkenaan.

“Kita mempunyai dua pasukan bolasepak di bawah kerajaan negeri dan kerajaan membelanjakan 3 juta setahun untuk T-Team dan sekiranya prestasi tidak menentu, kerajaan akan membubarkan pasukan itu”, ulas Dato’ Seri Ahmad.

Menurut Ahmad Said lagi, T-Team sebuah pasukan yang kuat tetapi prestasi ketika menunujukkan prestasi yang tidk menentu kebelakangan ini.

Beliau meluahkan rasa hairan kerana T-Team mempunyai barisan bintang yang lebih ramai daripada Terengganu.

Namun kedudukan liga ketika ini menunujukkan Terengganu berada di kedudukan lebih baik iaitu di tangga ketiga dan hanya dibezakan satu mata daripada pendahulu liga.

“Saya berharap pengurusan T-Team dapat membuat keputusan tepat supaya pasukan ini terus bersaing dan sekurang-kurangnya memasuki peringkat separuh akhir dalam kejohanan tempatan”, kata Menteri Besar itu pada majlis yang sama.

Cawangan RHB Islamic Di Kuala Terengganu DiBuka Secara Rasmi

Majlis pembukaan rasmi bank RHB Islamic Bank Berhad Cawangan Kuala Terengganu dan Majlis Pelancaran Fiesta Perbankan Islam 2011, diadakan pagi ini (5 Mei 2011) di Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu Darul Iman.

Majlis tersebut akan di hadiri tetamu VIP, tetamu jemputan dan media ja, 9.30 nanti.

Pada majlis tersebut Pengarah Urusan, RHB Islamic Bank Berhad, Abd Rani Bin Lebai Jaafar akan menyampaikan ucapan.

Upacara Penyerahan Sumbangan Kewangan kepada Asrama Anak Yatim Darul Falah, Taman Sinar Harapan dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Terengganu akanm turut diadakan.

Seterusnya majlis upacara pembukaan Rasmi RHB Islamic Bank Berhad dan lawatan ringkas ke RHB Islamic Bank Berhad, Cawangan Kuala Terengganu akan dilakukan.

Upacara Perasmian Fiesta Perbankan Islam 2011 Terengganu akan turut diadakan, selain ke tapak pameran.

Semalam RHB Islamic Bank Berhad mengadakan Majlis Makan Malam Bersama Pelanggan RHB Islamic Bank Berhad di Primula Beach Hotel.

Penyu Perlu Menang Semua Perlawanan

Analisis: Shahrir Hamid

Pasukan bolasepak Terengganu perlu menang kesemua baki perlawanan serta mengharapkan pasukan Kelantan dan Selangor tewas kepada lawan pada perlawanan akan datang dalam usaha merebut takhta Liga Super.

Terengganu terus mengejar rapat di belakang Selangor dan Kelantan apabila megumpul 35mata daripada 17 perlawanan dan dibezakan 1 mata daripada pendahulu liga.

Malam semalam, Terengganu menewaskan Perlis 3-1 di halaman sendiri bagi memastikan tiga mata penuh berjaya diperolehi.

Pada masa yang sama, Selangor dan Kelantan turut mencapai kemenangan di arena lawan. Pasukan Terengganu di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti bermula hambar pada babak pertama perlawanan.

Peluang tersebut dimanfaatkan anak buah Md Salim Topel Mohd apabila ayam tambatan pasukan lawan Shahrul Hanizan Mohd membuat lambungan cantik melepasi penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee pada minit ke 17.

Namun, percaturan menjadi Irfan memasukkan ketua pasukan, Marzuki Yusof menggantikan Roni Harun di bahagian pertahanan dan Manaf Mamat di bahagian serangan nyata menaikkan semangat skuad Penyu

Dua ledakan gol daripada Manaf pada minit ke 54 dan 76 serta gol Ashaari minit ke 67 memastikan skuad Penyu tersenyum mengenepikan cabaran Singa Utara di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Permainan tidak konsisten Terengganu pada separuh masa pertama diakui sendiri oleh Pengurus Skuad Penyu, Dato’ Che Mat Jusoh selepas perlawanan semalam apabila bahagian pertahanan sering melakukan kesilapan.

Beliau berkata, gol pertama lawan berpunca daripada barisan pertahanan yang membiarkan pihak lawan mudah bertindak dengan banyak melakukan asakan kepada pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama.

Che Mat berkata, Manaf yang mengalami kecederaan ketika pertemuan dengan Sabah terpaksa dimasukkan bagi mempertajamkan jentera serangan dan ternyata pemain itu bijak melakukan penyudah tajam dengan menjaringkan dua gol berharga.

Beliau berkata, Terengganu sepatutnya dapat menambahkan sekurangnya beberapa gol lagi melalui Manaf dan Ismail Faruqi tetapi ketangkasan penjaga gol pihak lawan menafikannya.

Che Mat berkata, jika jaringan gol oleh Manaf Mamat tidak dibatalkan oleh pengadil perlawanan terakhir pemainan sudah tentu pemain itu dapat melakukan hatrik malam kelmarin.

Beliau mengucapkan taniah kepada semua pemain yang bermain dengan baik untuk memastikan Perlis pulang hampa setelah gagal mencuri sebarang mata di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

T-Shoppe Dilantik Perunding Program Transformasi Kedai Runcit

Rangkaian kedai serbaneka 24 jam, T-Shoppe telah dilantik sebagai perunding Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) di negeri ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, T-Shoppe diberi peranan untuk memodenkan operasi kedai runcit tradisional dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Menurutnya, peniaga kedai runcit ini akan dibantu dari segi reka bentuk kedai yang menarik, amalan pengurusan yang cekap dan selamat serta aplikasi sepenuhnya sistem maklumat dalam operasi perniagaan.

"Sebagai mentor, T-Shoppe diamanahkan untuk membimbing pengusaha yang disasarkan supaya operasi kedai runcit mereka menjadi lebih berdaya maju dengan identiti tersendiri.
"Kita menyasarkan untuk membentuk 30 kedai runcit dengan imej lebih baik pada tahun ini," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 Dewan Perniagaan Islam Malaysia cawangan Terengganu (DPIMT), kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi DPIMT, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang dan wakil Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Datuk Seri Mohd. Yusof Latif.

Program Tukar diperkenalkan oleh KPDNKK membabitkan peruntukan RM30 juta selepas mendengar luahan hati serta masalah yang dihadapi peniaga kedai runcit yang sukar bersaing dengan pasar raya.

Sebanyak 600 kedai runcit tradisional di negara ini bakal dimodenkan menerusi kerjasama kerajaan dengan pasar raya atau outlet terpilih seperti Tesco, Carrefour, Mydin, AEON, Giant dan Econsave secara percuma.

Sementara itu, kata Mohamed, walaupun perniagaan T-Shoppe mencatatkan jualan memuaskan, sasaran untuk menjual 30 peratus produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan masih jauh ketinggalan.

Katanya, T-Shoppe yang kini mempunyai 21 cawangan di seluruh negara hanya mampu menjual sehingga dua peratus produk keluaran IKS tempatan.

"Hasil kajian kita, faktor pelabelan dan pembungkusan serta minda masyarakat yang merasakan produk luar lebih baik turut menjadi masalah kenapa produk ini tidak begitu mendapat sambutan, " katanya.

Wanita DiSamun, Ditumbuk Muka Hingga Pengsan

Entah di mana hilangnya sifat kemanusiaan, seorang wanita berusia 53 tahun bukan sahaja disamun malah ditumbuk mukanya sehingga pengsan sebelum mulut dan matanya ditampal dengan pita pelekat sehingga mengakibatkan mangsa maut akibat sesak nafas.

Kejadian berlaku pukul 4 pagi Sabtu lalu, ketika mangsa, Ka'yah Said dan anak perempuannya berusia 13 tahun berada di dalam rumah di Bukit Kuang, Kemaman, sebelum kediaman mereka diceroboh sekumpulan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mangsa yang terkejut terus menjerit sebaik terserempak dengan suspek yang sedang menggeledah rumah.

Katanya, berikutan itu mangsa dipercayai ditumbuk pada mukanya sehingga tidak sedarkan diri.

"Suspek kemudian mengikat mangsa serta menutup mulut dan matanya menggunakan pita pelekat sebelum melarikan beberapa barang berharga termasuk barang kemas dan elektronik," katanya ketika ditemui di Kemaman, Ahad lalu.

Manoharan berkata, semasa kejadian, anak mangsa berada dalam bilik kerana ketakutan manakala suami wanita itu pula di Kota Bharu, Kelantan, kerana mempunyai urusan.

Katanya, kanak-kanak itu hanya keluar selepas kedatangan pihak polis yang dihubungi jirannya setelah melihat sesuatu mencurigakan di rumah tersebut.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman tetapi disahkan meninggal dunia 15 minit selepas menerima rawatan," ujarnya.

Tambah Manoharan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 396 dan Seksyen 302 atas kesalahan menyamun dan membunuh.

"Kita sudah ada maklumat dan petunjuk tentang kes itu dan siasatan diteruskan dengan kerjasama IPD Kemaman," ujar beliau.

Velodrom - Ahmad Said Tetap Tidak Puas Hati?

Menteri Besar melawat salah satu gerai pameran pada sambutan Hari Penyakit Kronik dan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri Terengganu di Setiu, kelmarin.


Kontroversi projek pembinaan velodrom mini di Dungun yang bernilai RM36juta belum berakhir apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tetap tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak berkenaan.

Malah, Ahmad turut menempelak pihak-pihak berkaitan yang mengesahkan bahawa kos tersebut amat sesuai untuk pembinaan sebuah kompleks sukan yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk velodrom mini.

Beliau seterusnya mempertikaikan kos projek berkenaan yang disifatkannya jauh lebih tinggi berbanding kos asal RM3.5 juta, seolah-olah memberi gambaran projek itu dibina untuk penganjuran temasya sukan berprestij dan bertaraf dunia.

“Pembinaan projek sukan ini biarlah berpatutan dengan keperluan sukan peringkat negeri. Kita buat velodrom atau kompleks sukan bukan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, tetapi kalau Majlis Sukan Negeri ada duit, dia buatlah,” katanya sinis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis sambutan Hari Penyakit Kronik dan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri Terengganu di Setiu, kelmarin.

Ahmad Said diminta mengulas pendirian pihak yang berkaitan bahawa kos RM36 juta yang dicadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri adalah untuk membina sebuah pusat kecemerlangan basikal negara, bukan hanya untuk sebuah velodrom mini semata.

Pengarah MSN negeri, Zainal Abidin Hussin sebelum ini berkata, kos tersebut merangkumi kemudahan velodrom tertutup, asrama serta kemudahan-kemudahan sukan lain di pusat kecemerlangan itu.

Katanya, konsep yang diambil berdasarkan velodrom di Melbourne, Australia itu dibuat selepas JKR dan MSN melawat tapak cadangan pembinaan tersebut di Kampung Balai Besar, Dungun dan juga kemudahan sama di Ipoh, Perak dan Cheras, Kuala Lumpur.

Ahmad sebelum itu terkejut dengan penetapan kos projek berkenaan yang disifatkannya amat tinggi serta tidak munasabah berbanding kos asal sehingga mendorong beliau mengarahkan pihak JKR mengkaji semula perkara itu.

Beliau selanjutnya berkata, jika MSN atau pihak berkenaan mempunyai kemampuan untuk membina projek sukan tersebut dengan kos setinggi itu, terserahlah kepada mereka untuk menentukannya.

“Sebenarnya kita nak buat sebuah velodrom rakyat yang sesuai untuk latihan asas. Tetapi kalau MSN ada duit, ‘buatlah’… bukan payah pun.

“Orang suruh reka dengan kos RM3.5 juta, kenapa buat RM36 juta,” soal Ahmad.

PISB Untung, Pekerja Melancong ke Terengganu, Pahang

Pens Industries Sdn. Bhd., (PISB), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) mengumumkan pembayaran bonus lima bulan kepada pekerjanya bagi tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (gambar kiri) berkata, pemberian bonus tersebut sebagai penghargaan kepada 64 pekerjanya yang menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu memajukan syarikat.

“Selain bonus, PISB menyediakan mereka (pekerja) pakej pelancongan bersama keluarga selama tiga hari di dua destinasi iaitu Pahang dan Terengganu,” katanya pada majlis penyerahan dividen PISB di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar PISB, Rosli Mat Hussin.

Md. Isa berkata, sejak tiga tahun lalu, prestasi jualan premix dan kuari batu PISB dianggarkan lebih RM19 juta manakala sasaran pada tahun ini melebihi RM20 juta berikutan peningkatan dalam beberapa sektor khususnya infrastruktur.

“PISB mendapat langganan daripada kontraktor dan syarikat pem binaan di sekitar Perlis dan utara Kedah dan tawaran membaik pulih jalan raya di seluruh negeri ini. Syarikat juga terlibat dalam sektor hartanah termasuk pembelian rumah kedai untuk disewakan sebagai sumber pendapatan,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain kata Menteri Besar, kerajaan negeri menarik balik cadangan penutupan kuari batu di Sungai Batu Pahat dekat sini berikutan prestasi keuntungan yang memberangsangkan dan akan memantau perkembangan kuari berkenaan supaya ia tidak menjejaskan alam sekitar.

“Sebelum ini terdapat cadangan menutup beberapa syarikat yang beroperasi di kawasan berkenaan kerana kedudukannya berhampiran pusat rekreasi terkenal dan berada dalam Taman Negeri Perlis,” katanya.

Sehubungan itu jelasnya, syarikat terlibat diarah mengikut piawaian atau garis panduan ditetapkan bagi mengelak timbul masalah kepada alam sekitar.

Wednesday, May 4, 2011

PAS Pentingkan Undi, Bukan Syiar Islam

Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Seri Ahmad Said, berkata Pas masih dengan keputusan untuk berada dalam pakatan pembangkang kerana mahukan undi bukan Melayu, khususnya daripada penyokong DAP, setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau berkata, Pas tidak akan berundur daripada pakatan pembangkang yang turut disertai DAP walaupun pemimpinnya tahu parti itu tidak mendapat keuntungan untuk memperjuangkan agenda Islam kerana sebab berkenaan.

“Pemimpin Pas memang tahu bahawa pemimpin DAP seperti Karpal Singh tidak akan menyokong perjuangannya untuk menegakkan undang-undang Islam.

“Tetapi kerana mahu undi orang Cina dan masyarakat bukan Melayu, Pas tetap mahu bergabung dengan DAP,” katanya ketika diminta mengulas saranan Presiden Umno, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar Pas keluar daripada pakatan pembangkang yang turut disertai DAP.

Dalam ucapannya di Pulau Duyong baru-baru ini, Perdana Menteri berkata slogan ’Pas Ganti Umno’ yang dimainkan parti pembangkang itu tidak menjadi kerana apa yang berlaku kini ialah ‘DAP ganti Pas’.

Malah, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada Pas, termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang bekerja keras di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, kerana parti DAP yang mendapat untung.

“Orang PAS bekerja berhempas pulas di Sarawak...Haji Hadi sendiri pun kerja keras, tapi yang dapat untung DAP,” katanya.

Ahmad Said yang juga Menteri Besar berkata, Pas patut mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan parti pembangkang demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

“Dalam gabungan pembangkang, DAP memperkudakan Pas dan Pas pula memperkudakan PKR (Parti Keadilan Rakyat),” ujar beliau.

Unit Komunikasi Negeri

Liga Super: Pungutan Mata Semakin Sengit Antara Kelantan, Selangor, Terengganu

Penjaga gol Terengganu tewas bagi membolehkan Perlis mendahului pada perlawanan malam semalam. Terengganu bangkit menang 3-1. Gambar Harith Fadzilah

Terengganu kekal di tangga ketiga walaupun menang 3- 0 ke atas Perlis malam semalam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Perlis pasukan tercorot ketika ini membuat kejutan awal pasukan tuan rumah Terenganu dengan mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Nik Shahrul Hanizam Mohd pada minit ke-17.

Terengganu, yang menduduki tangga ketiga liga dengan 35 mata, bangkit pada babak kedua untuk menjaringkan gol menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-54, Ashari Samsudin (min-67) dan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-76.

Sementara itu, jaringan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-44 telah membantu Kelantan menewaskan Johor FC 1-0 di Stadium J.Corp, Pasir Gudang, Johor, malam semalam, sekaligus mengekalkan kedudukan takhta Liga Super.

Kelantan dibawah bimbingan Datuk. M. Karathu kini mempunyai kelebihan jaringan untuk menerajui carta kedudukan selepas berkongsi 36 mata dengan pencabar terdekat, Selangor.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Selangor menewaskan Kuala Lumpur 3-1 dengan dua jaringan dilakukan oleh Rudie Ramli pada minit ke-10 dan 89 serta Safiq Rahim pada minit ke-46.

Manakala gol saguhati Kuala Lumpur disumbangkan oleh Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-30.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Negeri Sembilan mengatasi Perak 3-1.

Hairudin Omar muncul wira pasukan Negeri Sembilan dengan menjaringkan dua gol pada minit ke 55 dan 72 manakala Mohd Khairul Ridzwan membuka tirai jaringan pada minit ke-33.

Gol tunggal Perak dihasilkan oleh Razali Umar Kandasamy pada minit ke-89.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang mencatat keputusaan seri tanpa jaringan dengan Felda United.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah seri 1-1 kepada Sabah.

Gol Kedah dijaringkan oleh Shafizan Hashim minit ke-12 manakala gol Sabah pula disumbangkan oleh Mohd Farid Idris menerusi sepakan penalti pada minit ke-41.

Sementara itu, dalam satu perlawanan Liga Perdana di Stadium Selayang malam ini, Sime Darby mengatasi Harimau Muda B.