Saturday, August 25, 2012

Kecundang Kali Kedua - Pasukan Pilihan Mana Yang Akan Tersisih Saingan Piala Malaysia?

Kelantan akan berdepan Kedah malam ini selepas dikalahkan oleh Terengganu 2-0 Rabu lalu - Gambar Harith Fadzillah.
Juara liga Super 2012 Kelantan, Selangor, Lions XII, Negeri Sembilan, Johor FC pastinya bertekad memburu kemenangan sulung malam ini.

Mereka adalah pasukan pilihan beserta dengan Teregganu yang melakar kemenangan Rabu lalu.
Perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia malam ini menjanjikan saingan lebih getir khususnya kepada pasukan yang tewas pada perlawanan sulung Rabu lalu.

Kelantan mahu menghapus duka tewas perlawanan pertama kepada Terengganu, ketika melayan kehadiran Kedah. Juara 32 kali Selangor pula yang turut tumpas pada perlawanan sulung kepada Sarawak pasti mahu mencari tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri menentang Pahang, andai tidak mahu kecewa menggapai 'Misi 33'.

Juara bertahan Negeri Sembilan yang sekadar seri pada perlawanan pertama, juga beraksi di gelanggang sendiri menentang pasukan berstatus kelab yang juga finalis Piala FA, Sime Darby.

Hakikatnya Kelantan tidak punya pilihan, kecuali menundukkan Kedah pada aksi kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini jika mahu mencerahkan peluang ke suku akhir.

Kekalahan kepada Terengganu dalam aksi sulung Kumpulan B tidak mematahkan semangat The Red Warriors, sebaliknya mereka bagaikan singa lapar apabila berdepan Kedah.

Kelantan akan membuat rombakan kecil bagi menghadapi perlawanan tersebut. Mohammad Ghaddar akan kembali ke pangkuan pasukan selepas penggantungan.

Kehadirannya bakal menguatkan lagi jentera serangan pasukan. Pada perlawanan dengan Terengganu itu, Kelantan bukan tidak bermain baik tetapi nasib tidak menyebelahi apabila banyak percubaan ke gawang digagalkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee.

Bosko Balaban (kiri) bakal berdepan tugasan berat mengemudi jentera serangan Selangor menjelang perlawanan berdepan Pahang dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia, malam ini.
Selangor pula tidak rela dilanyak oleh Pahang pada aksi kedua di Stadium Shah Alam malam ini selepas dibaham Sarawak dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia Rabu lalu.

Pengendalinya, Irfan Bakti menegaskan, tiada pilihan lagi buat Safiq Rahim, Bosko Balaban dan pemain-pemain Red Giants yang lain kecuali meraih kemenangan ke atas Tok Gajah jika masih berhasrat menjayakan Misi 33 kali menjuarai Piala Malaysia.

''Selangor kena menang, sudah tiada cara lain lagi buat kami selepas kalah kepada Sarawak dan tiga mata ke atas Pahang dapat menghidupkan peluang memburu slot ke suku akhir.

''Kekalahan kepada Sarawak sudah dilupakan pemain dan mereka hanya mahu memikirkan pertemuan dengan Pahang kerana perlawanan ini boleh disifatkan sebagai misi hidup mati.

''Biarpun saya akui kekuatan Selangor sedikit terjejas tanpa khidmat Amri Yahyah dan Bunyamin Omar kerana digantung, itu tidak boleh dijadikan alasan dan pemain perlu memikul tanggungjawab bersama, " kata Irfan semalam.

Namun, Irfan sama sekali tidak memandang rendah kemampuan skuad bimbingan Dollah Salleh itu yang masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas T-Team di Stadium Darul Makmur.

Satu lagi perlawanan Kumpulan D membabitkan T-Team dan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan skuad kendalian Yunus Alif juga berada dalam situasi terdesak selepas kalah dalam perlawanan pertama.



Pertembungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu yang menang dalam perlawanan sulung Kumpulan B tidak kurang sengitnya, tambahan B. Sathianathan boleh menagih kembali sentuhan dua pemain import, Marlon Alex James dan Bruno Martelotto yang digantung pada perlawanan pertama.
 
Saingan Kumpulan A dan C masih terbuka kepada mana-mana pasukan selepas tiada pasukan berjaya meraih sebarang kemenangan dalam perlawanan sulung.

Wakil Singapura, LionsXII yang dianggap pilihan utama untuk mengungguli kumpulan tidak mampu menjinakkan pasukan jiran, Johor FC, Rabu lalu dan perlu berwaspada apabila menerima kunjungan PKNS malam ini.

Dalam Kumpulan C, Negeri Sembilan dan Perak dijangka boleh meraih kemenangan ke atas dua pasukan kelab, Sime Darby dan Felda United jika dapat menterjemahkan prestasi sebenar di atas padang.

Pertemuan abang menentang adik di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pasti menarik dengan Johor FC tentunya mahu mengekalkan reputasi selaku wakil terbaik negeri itu, sementara Johor tidak rela dimalukan.

Aksi antara Selangor PKNS dan Johor dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Rabu lalu.
Malah, skuad Lebah kendalian Sazali Saidun sudah ada resipi tersendiri bagi memerangkap kerakusan barisan bimbingan Fandi Ahmad selepas kelibat dua pemain yang digantung pada aksi pertama menentang Lions XII - Mohd Khairul Ismail dan Mohd Syazwan Zainon kemungkinan tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan.

Perlawanan yang amat dinanti oleh kedua-dua penyokong itu pasti menarik tatkala bakal menggamatkan kembali `Sorakan Larkin' yang sekian lama menyepi selepas Johor FC dan Johor buat pertama kali beraksi dalam saingan kompetitif.

"Perlawanan menentang Johor sering diadakan namun ia sekadar aksi persahabatan tetapi berbeza pada kali ini apabila Johor FC dan Johor terpaksa bertembung buat pertama kali bagi memburu kemenangan untuk menjamin kedudukan terbaik dalam Kumpulan A ketika Lions XII yang beraksi di laman sendiri dilihat tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan PKNS Selangor.

Sumber - Berita Harian, Utusan Malaysia & Kosmo

Jurunikah Masuk Wad - Pengantin Ke Hospital Untuk Nikah

Harun  menikahkan pasangan pengantin Faris Marwan dengan Nurul Adina di Hospital Pakar Kuala Terengganu semalam.
Seorang jurunikah, Harun Nuh yang dimasukkan ke Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di Kuala Trngganu  kerana diserang asma tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai jurunikah apabila menikahkan sepasang pengantin ketika dia sedang dirawat di hospital tersebut petang semalam.

Harun, 85, yang berasal dari Bukit Tunggal, dimasukkan ke KTS kira-kira pada pukul 12 tengah malam kelmarin dan dinasihatkan oleh doktor supaya berehat selama dua hari di hospital tersebut selepas dia diserang penyakit asma.

Menurut Harun, sebelum dimasukkan ke hospital, dia telah menyatakan persetujuan untuk menikahkan satu pasangan pada pukul 4 petang semalam di rumah pengantin perempuan di Kampung Tok Jembal di sini, namun malangnya dia yang diserang asma telah ditahan di wad.


Pengurusan Hospital Besut (HB) Diminta Prihatin Aduan Pesakit


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, mengejutkan pengurusan Hospital Besut (HB) apabila beliau bertindak menemui petugas selepas menerima aduan tidak puas hati daripada orang ramai terhadap hospital itu.

Bukan itu, sahaja beliau juga bersemuka dengan seorang pengadu yang tidak puas hati terhadap layanan kakitangan HB dalam satu pertemuan khas sempena lawatan mengejut beliau ke HB semalam.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut pada sesi pendengaran awam di hospital itu antara beliau,pihak pengurusan dan pengadu mendengar pandangan dan aduan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah beerlaku di hospital itu.

Yunus Tuntut Pemain Beri Yang Terbaik Menentang Sarawak Di Laman Sendiri

Pengendali T-Team, Yunus Alif menuntut anak buahnya memberikan yang terbaik ketika bertemu Sarawak di laman sendiri malam ini bagi mencerahkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia.

Katanya perlawanan malam esok (ini) adalah peluang terbaik T-Team menebus kekalahan pada pertemuan pertama dengan Pahang, dalam saingan kumpulan D kelmarin.


Pasar Besar Kedai Payang Kembali Jadi Tumpuan Orang Ramai


Pasar Besar Kedai Payang  kembali menjadi tumpuan orang ramai mulai Hari Raya ketiga setelah agak sepi sepanjang Ramadan lalu. Tinjauan Bernama mendapati pasar dua tingkat itu mulai sesak dengan orang ramai dari seluruh negara yang rata-ratanya bercuti ke Terengganu sempena Aldilfitri.

Seorang peniaga batik, sutera dan songket, Ahmad Tarmizi Mohammad, 35, berkata senario itu adalah perkara biasa kerana ramai pengunjung mengambil kesempatan berkunjung ke pasar itu selain melawat sanak saudara di kampung halaman sekitar Terengganu.

Dendam Berbalas - Butler Puas Benam Kelantan

 
Pengendali Terengganu, Peter James Butler puas dengan prestasi cemerlang yang dipamer anak-anak buahnya ketika menjinakkan musuh berjiran, Kelantan 2-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia kelmarin.

Tegas Butler, kemenangan pertama ke atas lawan yang dianggap paling kuat dalam Kumpulan A amat penting, apatah lagi mereka diletak dalam kumpulan maut.

Menurut jurulatih kelahiran England itu, kemenangan tersebut menjadi suntikan moral yang diperlukan oleh skuad Penyu sebelum berdepan satu lagi tugas getir menentang juara baru Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tempat lawan, hari ini.

Bantuan Motosikal Fama Bantu Usahawan Kecil Berdikari

 
Pemberian motosikal roda tiga oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri Terengganu berjaya mengubah kehidupan seorang peniaga ikan air tawar kecil-kecilan di Kuala Terengganu.

Memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu, Mohd Khairi Yassin, 30, kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,000 sehari, sekali gus memberi kehidupan yang lebih selesa kepada isteri dan dua anaknya.

"Pemberian jentera ini menjimatkan belanja, kerana sebelum ini saya menyewa van orang untuk menjaja dari kampung ke kampung kerana tidak ada wang untuk membeli kenderaan sendiri," katanya.


Pinjaman YPKT Beri Peluang Peserta Tingkatkan Pendapatan

Peserta Program Jaya Diri Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bersyukur kerana dapat keluar daripada kepompong kemiskinan sekali gus menjalani kehidupan yang lebih selesa, hasil modal pinjaman yayasan berkenaan.

Bagi seorang ibu tunggal, Zalina Zakaria, 44, beliau kini mampu menanggung dan membesarkan empat anaknya apabila perniagaan jagung yang diusahakan sejak lima tahun lalu berjaya.

Raih RM1,000 Sehari Jual Satar Di Jalan Geliga


Pada ketika umat Islam lain masih bercuti meraikan lebaran, namun seawal hari raya kedua peniaga telah membuka gerai.

Hal ini berikutan peniaga tidak mahu melepaskan peluang merebut limpahan rezeki berikutan kebanjiran pengunjung dari luar ke kawasan sepanjang jalan Geliga dan Kuala Kemaman bagi menikmati satar dan otak-otak yang lazat.

Ternyata rata-rata peniaga boleh tersenyum riang kerana satar dan otak-otak yang dijual laris bagaikan ‘pisang goreng panas’ serta umpama rezeki Aidilfitri buat peniaga.

Kelindan Lori Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Pantai Tanjung Batu


Seorang kelindan lori dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Kampung Tanjung Batu Satu di Kuala Terengganu petang semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang di belakang sebuah hotel di Kuala Terengganu, mangsa Suhaimi Abdullah, 36, bersama abang, Shaifuddin Abdullah, 38, dan tiga sepupunya mandi di pantai berkenaan sebaik mereka pulang memancing.

Menurut Shaifuddin ketika sedang mandi, mangsa mengajak tiga sepupunya untuk berlumba ke sebuah bot terletak 50 meter dari daratan, bagaimanapun sepupunya enggan kerana tidak tahu berenang.

Friday, August 24, 2012

Semua Imam, Pengerusi JKKK Berpeluang Tunai Haji


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa semua imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara bakal mendapat peluang menunaikan haji selagi beliau memimpin kerajaan.

Jaminan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah yang memaklumkan, mereka yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan berpeluang ke Mekah di bawah tajaan Program Khas Haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, pada tahun lalu, seramai 111 orang imam dan pengerusi JKKK telah mengerjakan haji manakala manakala tahun ini seramai 400 orang telah menerima tawaran yang sama.

Yunus Marahkan Marco Tulio Kerana Tidak Profesional


Jurulatih T-Team, Yunus Alif menyalahkan pemain asing pasukan itu, Marco Tulio Lopes Silva, kerana tidak profesional ketika bermain bersama pasukannya melawan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan,  malam kelmarin.

Yunus berkata pemain import dari Brazil itu diarah keluar padang oleh pengadil dan pasukan T-Team bukan sahaja terpaksa bermain dalam masa 25 minit terakhir dengan 10 pemain yang berkesudahan tewas 2-3 kepada pasukan lawan.

Suspek Utama Kes Pukul Guru, Anak Serah Diri Malam Semalam

Seorang daripada tujuh suspek yang terlibat dalam kes menyerang seorang guru dan anaknya di Jalan Sultan Mahmud di sini, awal pagi semalam tampil menyerah diri Rabu malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata suspek utama yang juga pemilik kereta Perodua Myvi itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 11 malam hari yang sama.

Katanya suspek yang berusia 26 tahun itu juga turut membuat laporan polis dengan mendakwa anak guru yang berusia 20 tahun itu terlebih dahulu menimbulkan provokasi dengan menunjukkan isyarat lucah kepadanya empat lagi rakannya di dalam kereta pada kejadian 12.30 tengah malam itu.

Dua Gergasi Bermula Sumbang, Terengganu Memang Bergaya

Gol kedua yang dijaringkan Ismail Faruqi meranapkan harapan Kelantan untuk kembali mendekati jurang.
Langkah sumbang mengiringi dua gergasi bola sepak tempatan - Kelantan dan Selangor -  apabila masing-masing membuka kempen Piala Malaysia dengan kekalahan, malamkelmarin.

Terengganu mencipta kemenangan bergaya 2-0 ke atas juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan dalam pertembungan dua jaguh Pantai Timur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Penjaring terbanyak saingan Liga Super, Francis Forkey Doe menjaringkan gol sulung Terengganu seawal minit ke-3 melalui tandukan selepas menerima hantaran Ismail Faruqi (gambar kanan).

 Ismail Faruqi (tengah) diasak empat pemain Kelantan pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malams emalam.

Umi Hamimah Buru Keputusan Terbaik Di New Zealand

Tanggungjawabnya bersama negeri kelahiran, Terengganu sudah selesai selepas berakhirnya Sukan Malaysia 2012 Pahang bulan lepas, sekarang Ummi Hamimah Mohamad mempunyai misi yang lebih besar iaitu beraksi cemerlang pada Kejohanan Trek Remaja Dunia di Invercargill, New Zealand.

Ummi Hamimah, 18, yang memenangi dua pingat emas di Pahang akan memulakan kempen dalam acara pecut 200 meter semalam.
 
Ia merupakan acara kegemarannya daripada tiga saingan yang disertai. Dia juga akan turun bertanding dalam ujian masa 500m, selain keirin.

KPDNKK Pantau Harga Walaupun Cuti, Beri Peniaga Amaran

Pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Terengganu tetap meneruskan tugas pemantauan harga barangan di seluruh negeri tanpa mengira cuti umum, kata Timbalan Pengarahnya, Ab Ghani Harun.

Menurut Ab Ghani umumnya ramai peniaga di negeri ini didapati cuba mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan bagi mengaut keuntungan pada musim perayaan.

"Mungkin ramai pihak terutamanya para peniaga menyangka kami bercuti dan sewenang-wenangnya menaikkan harga tanpa menyedari pihak kami sebenarnya sedang memantau kegiatan mereka," katanya di Besut, semalam.


Mohd Afif Tekad Pamer Aksi Cemerlang Dalam Tiga Kejohanan Berbasikal Serantau Bulan Depan

Pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri bertekad mempamerkan aksi cemerlang pada tiga kejohanan berbasikal serantau, September ini.

Tiga kejohanan berbasikal serantau itu ialah Tour de East Java di Jawa Barat, Tour of Brunei dan Tour d'Indonesia.

Bantuan Motosikal Fama Bantu Usahawan Kecil Terengganu Berdikari

Pemberian motosikal roda tiga oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri Terengganu berjaya mengubah kehidupan seorang peniaga ikan air tawar kecil-kecilan di Kuala Terengganu.

Memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu, Mohd Khairi Yassin, 30, kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,000 sehari, sekali gus memberi kehidupan yang lebih selesa kepada isteri dan dua anaknya.

Persatuan Al-Amin Terengganu Sokong JPN Larang Pemakaian Gelaran Keturunan Sewenangnya

Persatuan Al-Amin Negeri Terengganu, yang mewakili keturunan Syed, menyambut baik langkah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melarang pemakaian gelaran keturunan pada pangkal nama dengan sesuka hati oleh mana-mana pihak tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan JPN.

Yang Dipertua persatuan itu Engku Mohd Afandi Engku Dalam Ahmad berkata pihaknya menyokong penuh langkah yang ditetapkan JPN itu kerana terdapat kes pemakaian gelaran keturunan dibuat sesuka hati di negeri ini.

Thursday, August 23, 2012

Penganjur SQ2012 Pohon Sumbangan Jayakan Seminar Antarabangsa Di Terengganu

Penganjur Seminar Antarabangsa Al-Quran Dalam Masyarakat Kontemporari 2012 (SQ2012) mempelawa badan-badan korporat dan orang perseorangan membantu menghulurkan sumbangan bagi menjayakan seminar itu yang akan berlangsung di Kuala Terengganu, 1 Disember depan.

Pengerusinya Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata SQ2012 yang disertai antaranya The World Islamic Sciences and Education University (Wise) dari Jordan dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), masih kekurangan dana bagi menampung perbelanjaan program itu.


Empa t Pemandu Lori Minyak Ditahan Seleweng Diesel Bersubsidi

Empat lelaki termasuk tiga pemandu lori tangki milik syarikat minyak di negara ini, ditahan semalam kerana dipercayai menyelewengkan diesel yang sepatutnya dihantar ke stesen minyak di Kelantan.

Mereka yang berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan dalam satu operasi di Kampung Lak Lok dekat Jerteh, membabitkan pasukan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta polis Besut

Arkib Negara Pelawa Orang Ramai Sumbang Koleksi Tokoh Untuk Diabadikan

Arkib Negara Malaysia Cawangan Terengganu (ANMCT) meminta orang perseorangan di negeri ini tampil menyumbang sebarang koleksi tokoh penting dalam pelbagai bidang untuk dipulihara dan diabadikan.

Pengarahnya Mohd Nasir Ismail berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang sumbangan berkaitan tokoh sama ada dalam bidang politik, pelajaran, ekonomi dan agama.


Wednesday, August 22, 2012

YIT Sasar 9,000 Kanak-Kanak Khatam Al-Quran Oktober Depan

Majlis Khatam Al-Quran Yang Diadakan Di Stadium Tertutup Gong Badak Kuala Terengganu pada 2009.
 Kira-kira 9,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan pusat di Terengganu akan menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran yang dijangka diadakan pada Oktober atau November depan.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

Berdasarkan rekod, jumlah penyertaan kanak-kanak terhadap program itu semakin meningkat pada setiap tahun berikutan mendapat sokongan dan komiten padu daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin setempat.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu, hanya 937 kanak-kanak dari tadika YIT yang menyertainya.

“Setahun kemudian iaitu 2007, tadika JPNT dan Kemas bersetuju bersama-sama tadika YIT menyertai program itu dengan jumlah penyertaan seramai 2,010 kanak-kanak.

“Pada 2008 pula, tadika JPIN menyatakan persetujuan ingin bersama-sama tiga tadika lain dengan menjadikan jumlah 2,660 kanak-kanak kesemuanya,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, apa yang membanggakan jumlah itu terus meningkatkan dengan penglibatan keempat –empat tadika iatu seramai 4,622 kanak-kanak pada 2009; manakala 6,246 kanak-kanak (2010) dan pada tahun lalu pula, seramai 7,930 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran.

“Bermula awal persekolahan lagi, mereka mula mengaji dengan bantuan guru tadika masing-masing bagi menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas sebagai seorang Islam,” katanya.

“Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu mahir membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah dan menengah,” katanya.

T-Team Sedia Bertemu Pahang Di Kuantan Malam Ini

 Mohd Fauzi, Sumardi dan Sharul Azhar bersama skuad T-Team mendengar penerangan ringkas berhubung perlawanan pembukaan menentang Pahang esok sebelum memulakan sesi latihan.
Pasukan berstatus kelab, T-Team bersedia menghadapi saingan Piala Malaysia dengan kehadiran tiga pemain pinjaman dari Sabah dan ATM dalam memperkuatkan pasukan menjelang perlawanan pembukaan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

 Pengendalinya, Yunus Alif berkata, sejak saingan Liga Super berakhir, skuad bimbingan sudah melakukan persiapan rapi dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan turut menjalani latihan sepanjang bulan puasa dalam memperkemaskan corak permainan.

Menurutnya, beliau juga berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan tiga pemain pinjaman sejak mereka menyertai pasukan hampir dua minggu lalu.

Produk Tradisional Mampu Tarik Pelancong Ke Terengganu - MB

 Ahmad Said dan isteri serta Muhamad Ramli bergambar dengan pemenang Pertandingan Pelita Raya 2012 selepas majlis penyampaian hadiah.
Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengenengahkan produk-produk tradisional untuk tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan juga sebagai tatapan generasi baru.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, salah satu produk yang akan dijaga dan disemarakkan ialah Pertandingan Pelita Raya yang menjadi kebanggaan orang-orang terdahulu untuk mewujudkan suasana kemeriahan malam Tujuh Likur pada bulan Ramadan.

 “Kerajaan berusaha memberi tumpuan terhadap pembangunan pelancong sebagai sumber baru kepada negeri ,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya 2012 di perkarangan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, semalam (21 Ogos).


JHEAT Terima 58 Permohonan Sijil Halal Dalam Tempoh 5 Bulan

Sebanyak 58 permohonan sijil pengesahan halal pelbagai kategori diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sejak sistem permohonan secara online diperkenalkan mulai 1 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 38 permohonan adalah bagi kategori produk makanan dan minuman kesihatan, 17 permohonan premis makanan, dua bagi permohonan bagi rumah sembelih dan satu bagi kategori produk pelbagai guna.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh berkata tujuh permohonan ditolak sebelum proses audit kerana borang permohonan yang tidak cukup maklumat dan beberapa masalah teknikal berkaitan borang permohonan.

SUKMA - Terengganu Guna Pakar Akademik Rancang Program Latihan


Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menggunakan khidmat tenaga akademik tempatan bagi menyediakan pelan periodisasi latihan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2013 dan 2014.

Mini SUKMA 2013 akan diadakan di Kuala Lumpur sementara SUKMA 2014 akan dihoskan oleh Perlis.

Pengarah MSNT Zainal Abidin Hussin berkata bagi mencapai matlamat itu, pihaknya telah menganjurkan bengkel penyediaan pelan periodisasi latihan selama tiga hari di Stadium Tertutup Gong Badak minggu lepas.

MTUC Mahu Faedah Lama KWSP Dikembalikan

 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) segera mengembalikan semula formula lama bayaran faedah kematian dan hilang upaya kepada 6.28 juta pencarum yang aktif.

Di bawah formula itu, pencarum berhak menerima pembayaran sekali antara RM1,000 hingga RM30,000 daripada Tabung Faedah Kematian dan Hilang Upaya KWSP, kata Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam.


SMK Seri Budiman Jadi Sekolah Skuad Berbasikal Wanita Terengganu

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman di Kuala Terengganu, dijadikan sebagai sekolah angkat kepada pelumba basikal wanita Terengganu.

Jurulatih lumba basikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata ia bagi memudahkan persiapan melatih pelumba basikal wanita negeri itu menghadapi mini Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur pada tahun depan.

"Kita telah bincang perkara itu beberapa hari lepas dan pihak sekolah bersetuju," katanya semalam.

Tuesday, August 21, 2012

Ismail Johan Pelita Raya Kali ke 12 Berturut-Turut

Ismail dari Kampung Padang Hangus mengekalkan kehebatan memasang pelita raya di malam tujuh likor apabila sekali lagi dinobatkan pemenang dalam Pertandingan Pelita Raya 2012.
Encik Ismail Sulong, 70, dari Kampung Padang Hangus, sekali lagi diangkat sebagai johan dalam Pertandingan Pelita Raya 2012 kali ke 12 berturut-turut.

Beliau bersama keluarga iaitu isteri dan enam anak mengambil masa lima hari menyiapkan replika rumah tradisional menggunakan 450 pelita yang dihasilkan dari bahan terbuang seperti tin minuman dan tali guni sebagai sumbu.

Pertandingan ini telah diadakan sejak 12 tahun lalu dimulai sebuah kampung (Padang Hangus) dan sejak 2009 kerajaan negeri dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) bertindak sebagai penganjur dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000.



Hadi Hanya Mementingkan Penyokong, Jemaah PAS, Bukan Umat Islam Terengganu...


Analisis Hambali Abdul Latiff

Siapakah pemimpin Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang mementingkan jemaah, kumpulan dan penyokongnya sahaja?


Jawapannya ialah Presiden PAS, Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhud Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Membandingkannya dengan perutusan Aidilfitri Pesuruhjaya PAS Terengganu, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut, perutusan Hadi menggambarkan beliau seorang yang hanya mementingkan jemaah, penyokong dan mereka yang bersimpati dengan PAS semata-mata.

Sedangkan Wahid yang mewakili seluruh saf kepimpinan PAS Negeri Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Negeri Terengganu DarulIman.

Kenapa saya katakan Hadi mementingkan penyokong PAS berbanding umat Islam yang lain?

1. Hadi lebih jelas mementingkan jemaah dan penyokong PAS sahaja apabila menyebut: ‘Firman Allah Yang bermaksud Dan hendaklah kamu menyempurnakan masa dan hari-hari puasa itu dan kamu juga hendaklah bertakbir membesarkan Allah supaya kamu termasuk kalangan orrg yg menyatakan kesyukuran keatas nikmatnya kepada seluruh kaum muslim dan muslimat bagi pihak Parti Islam Semalaysia PAS, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri dan marilah sama-sama kita bersyukur kepada Allah S.W.T pada hari mulia ini dengan penuh gembira kerana diberi kesempatan mendapat fadilat Ramadan, sama ada mengerjakan ibadat puasa dan pengisian –pengisian yang lain.

2. Hadi menjuruskan perutusannya kepada penyokong PAS semata-mata apabila menyebut: “Adalah menjadi satu hikmat yg besar Allah taatlah memilih bulan Ramadan bulan ibadat, bulan Ramadan diturunkan al-Quran ,bulan Ramadan bulan perjuangan, kemenangan di badar dan pembukaan Mekah .Mekah...Mekah di merdekakan daripada jahiliah tanggungjwb kita selepas ini ialah menghayati tarbiyah yg dihasilkan dibulan Ramadan itu dgn kita meneruskan pembinaan peribadi didalam Parti Islam Semalaysia (PAS) ..”

3. Presiden PAS secara khususnya dalam perutusannya mengatakan: “Sehingga kita menjadi satu parti yg kuat model kepada parti-parti yang lain, contoh teladan yang menarik bukan sahaja untuk mendapat penerimaan daripada Allah S.W.T serta pertolongNya dalam masa yang sama mendapat sokongan daripada rakyat sehingga membolehkan kita menegakkan Quran yang menjadi pertunjuk itu ke para adil seluruh manusia adil menjadi sifat wajib bagi Allah S.W.T yg diserlahkan melalui pertunjuk al-Quran karim tanggungjawab.

Saya ingin bertanya kepada umat Islam di Terengganu, belum lagi di Malaysia seluruhnya tidakkah kenyataan Presiden PAS itu berjuang untuk penyokong dan jemaah PAS sahaja?

Jika demikian, pemikiran dan visi Hadi untuk umat Islam di negara ini amat terbatas, malah pemikiran Hadi yang sempit ini perlu ditolak kerana ia tidak menyumbang kepada perpaduan umat Islam di Terengganu dan ummah seluruhnya!

Selain itu Hadi melalui perutusan Aidilfitrinya, hanya mengajak orang PAS supaya "...meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T mengikut segala perintah dan meninggakan segala larangnNya mejadi orang Islam yang patuh dan taat kepada Allah dengan ikhlas, secara memperhambakan diri dengan sesungguhnya. Hendaklah juga dilahirkan melalui kepercaya kita, yang disertakan dgn amalan daripada petunjuk Al-Quran yg diturunkan di bulan Ramadan dgn kita menhayati dan beramal bagi diri kita sendiri, keluarga dan jemaah kita parti islam semalaysia (PAS) dan seterusnya kita dpt menunaikan kewajipan berjuang dgn lebih ikhlas dan lebih bersungguh.”

Amatlah jelas kini dalam kepimpinan PAS yang bercelaru itu, Hadi hanya melihat kepada kepentingan PAS walaupun hakikatnya ramai juga pemimpin PAS yang melihat kepentingan umat Islam di negeri dan negara ini wajar diberikan perhatian utama.

Perbezaan pemikiran dan hala tuju perjuangan Hadi dan Wahid dalam mendoakan keberkatan umat Islam begitu terserlah.

Pandangan Hadi ini jauh tersasar jika kita bandingkan dengan perutusan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mendoakan kesejahteraan seluruh umat Islam di Malaysia dan Terengganu amnya.

Sultan Mizan dalam perutusannya mahu umat Islam menjauhkan diri daripada persengketaan, perselisihan pendapat dan pandangan sesama sendiri. Ini kerana ia boleh menyebabkan terbuka ruang dan peluang bagi musuh-musuh Islam mencampuri urusan pentadbiran negara dan memecahbelahkan umat Islam.

Setiap perpecahan yang berlaku walaupun atas alasan perjuangan, tidak akan menguntungkan sesiapa, titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri yang dikeluarkan di Kuala Terengganu, kelmarin.

Malah, titah baginda sejarah Islam telah menunjukkan perpecahan menjadi sebab kepada runtuhnya kekuatan umat Islam sebagaimana yang berlaku terhadap beberapa kerajaan Islam sebelum ini.

Baginda bertitah sejarah ini seolah-olah berulang kembali dan dapat disaksikan di beberapa negara Islam seperti Syria dan Mesir.

Berikutan itu, Sultan Mizan bertitah Islam telah meletakkan perpaduan umat sebagai asas terpenting yang perlu dipelihara dan diberi perhatian dalam menjaga dan mempertahankan keselamatan serta kemakmurah negeri dan negara.

YPU Cari Kaedah Terbaru Modenkan Perkhidmatan Beca

Gambar Hiasan...Beca berhias memang menjadi daya tarikan.
Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) kini memikirkan kaedah baru bagi memodenkan perkhidmatan beca di bandar ini untuk menambah tarikan perkhidmatan itu, seterusnya mempertingkat taraf ekonomi penarik beca.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata YPU mungkin menggunakan konsep yang dilaksanakan di Melaka.

"Di Melaka, pengayuh beca dia programkan, itu satu cara yang baik yang kita lihat perlu kita lakukan di sini, terutama apabila Payang Walk siap dibina nanti," katanya semalam.

Beliau berkata Payang Walk, atau kawasan pejalan kaki berhampiran Pasar Payang, akan dibina kira-kira sejauh satu setengah kilometer di pesisir benteng sungai Terengganu selepas Pasar Payang yang baru siap.