Saturday, March 3, 2012

Pelumba Terengganu Diharap Naik Podium Ahad Ini - Ahmad Said

Hariff menraikan kejayaannya menduduki tempat kedua pada saingan Kuantan-Chukai semalam.

Terengganu sebagai tuan rumah peringkat akhir perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Ahad ini mengharapkan salah seorang pelumba anak jati negeri itu akan menaiki podium.

Ketika meluahkan harapan itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejayaan itu sebagai satu hadiah yang bermakna kepada rakyat negeri Terengganu.

"Kita mengharapkan pelumba-pelumba Terengganu akan membuat kejutan dan dapat menghasilkan keputusan terbaik pada perlumbaan peringkat terakhir nanti," katanya di Kuala Terengganu.

10,000 Raikan Kejayaan Harrif Menduduki Tempat Kedua

Pelumba Terengganu Cycling Team, Mohd Hariff Salleh meraikan kejayaan bersama ibunya dan Menteri Belia dan Sukan selepas berjaya menduduki tempat kedua perlumbaan Peringkat 8, Le Tour de Langkawi 2012 (LTdL) dari Pekan ke Chukai, semalam.

Kejayaan pelumba pasukan Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh muncul naib juara pada perlumbaan peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam dianggap satu keputusan yang membanggakan.

Ia merupakan pencapaian terbaik bagi pelumba Malaysia pada saingan LTdL 2012 setakat ini. Bagaimanapun, kejayaan penuh bermakna itu tidak akan dicapai jika Harrif tidak mendapat bantuan daripada rakan-rakan sepasukannya terutama abangnya, Zamri,


 Hariff bersama Zamri berjaya menjalankan tanggungjawab masing-masing pada perlumbaan peringkat kelapan dari Pekan ke Chukai, Terengganu semalam.

Liga Super - T-Team Kalahkan Sarawak 1-0

Gambar fail...Mohd Faiz (kiri) ketika beraksi menentang Perak.

T-Team semalam menundukkan Sarawak 1-0 dengan jaringan tunggal minit ke 67 untuk Liga Super.

T-Team menang menerusi jaringan Mohd Faiz Subri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Perlawanan itu satu-satunya untuk Liga Super pada ketika Pahang merampas sementara kedudukan pendahulu Liga Perdana dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Terengganu Teruskan Program Terapi Methadone

Jabatan Kesihatan negeri Terengganu akan meneruskan Program Terapi Gantian dengan Methadone sebagai usaha mengurangkan kemudaratan di kalangan penagih dadah jenis heroin dan morfin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal negeri Dr A Rahman Mokhtar berkata, seramai 1,287 penagih mendaftar untuk mengikuti program itu dan daripada jumlah itu 867 daripadanya aktif menjalani terapi.


Guardini Juara Empat Peringkat Menyamai Rekod Graeme Brown

 Ahmad Shabery (tengah) berkongsi kejayaan dengan Harrif yang muncul naib juara pada perlumbaan peringkat kelapan dari Pekan ke Chukai, Terengganu semalam.

Pelumba Terengganu Pro Asia (TSG) Mohd. Harrif Salleh hanya tewas tipis kepada juara peringkat kelapan untuk menduduki tempat kedua pada saingan dari Pekan ke Chukai, semalam.

Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia yang mencatatkan masa 2 jam 13 minit dan 27 saat memenangi perlumbaan itu.

Kayuhan pakar  pecut itu berjaya membuatnya memperoleh empat kemenangan peringkat dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.


IKBN Kemasik jadi Perintis Konsep Keusahawanan

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, di Kemaman, bakal dijadikan model perintis yang menawarkan konsep pembelajaran keusahawanan di mana pelajarnya diberi peluang menjalankan perniagaan berteraskan produk makanan dan perkhidmatan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya bercadang memberi kebenaran kepada pelajar IKBN di Kemasik untuk menjalankan perniagaan dengan pemantauan pengurusan institut pendidikan itu, sekali gus menambah kemahiran kendiri pelajar.

PDRM Perlus Program 'High Profile Policing' Ke Sekolah

Polis akan memperluaskan program 'High Profile Policing' ke seluruh sekolah di negara ini sebagai usaha menurunkan kadar jenayah dan menerap sikap cegah jenayah sejak kecil kepada murid.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata usaha 'turun padang' dengan mendekati murid dilihat lebih berkesan walaupun polis menggunakan teknologi baru termasuk Facebook sebagai cara berhubung dengan masyarakat.

Wanita Enggan Naik Motosikal Cedera Kena Toreh?

Wan Mek menunjukkan lengan kanannya yang cedera akibat ditoreh pisau di Kampung Kuala Kubang, Jabi Rabu lalu.

Gara-gara enggan menerima pelawaan untuk membonceng motosikal, seorang wanita warga emas ditoreh sehingga terpaksa menerima tujuh jahitan dalam kejadian di Kampung Kuala Kubang, Jabi dekat sini baru-baru ini.

Friday, March 2, 2012

Pekan Ke Cukai - Guardini Juara Fasa ke 8, Hariff Tempat Kedua

Pelumba Pasukan Farnese Vini - Selle Italia Andrea Guardini meraikan kejayaannya memenangi peringkat kelapan perlumbaan Le Tour De Langkawi 2012 dari Pekan ke Chukai sejauh 100.8km meninggalkan pencabarnya pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh (kiri) hari ini. 

(Berita Awal)Pelumba Farnese Vini, Andrea Guardini menenangi perlumbaan fasa kelapan di Cukai hari ini manakala Harrif Salleh dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pula muncul pelumba terbaik negara.

Harrif  turut menaiki podium buat kali kedua apabila menduduki tempat kedua.Setakat ini, Guardini telah memenangi empat fasa.

Perkembangan di Cukai ini adalah pencapaian terbaik pelumba Malaysia dan TSG  setakat ini.

Sultan Terengganu Mahu Lebih Ramai Orang Muda Ke Masjid

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah tindakan segera perlu diambil bagi menarik lebih ramai golongan muda ke masjid termasuk membimbing mereka menjadi imam dan bilal.

Menurut baginda, pihak berwajib termasuk jawatankuasa masjid, perlu mengadakan program yang boleh menarik minat golongan muda serta melatih mereka dengan ilmu yang bersesuaian.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Kuala Pueh di Hulu Terengganu hari ini dan menamakannya Masjid Al-'Atiyyah.

Ahmad Said Sampaikan Taklimat Situasi Politik Kepada TPM

 Muhyiddin diiringi Ahmad Said pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu, petang semalam..

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mendengar taklimat berhubung situasi politik semasa di Terengganu yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Muhyiddin malam semalam mengakhiri rangka Lawatan Kerja Seharinya ke Terengganu dengan mengadakan perjumpaan tertutup bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO memulakan perjumpaan bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu di Hotel Primula pada lewat petang.

"Ini Negeri Biru...Kita Mahu Kekal Begini" - Muhyiddin


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharapkan tumpuan yang lebih diberikan oleh Barisan Nasional (BN)negeri ini menguasai semula kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang.

 ''Terengganu adalah negeri 'biru' dalam erti kata negeri ini adalah negeri di mana BN adalah parti yang kuat. Kita menang majoriti besar, kita dapat banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, “ katanya.

Terengganu merupakan sebuah negeri 'biru' yang berkeupayaan untuk terus memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

T-Team Elak DiLibas Bujang Senang

Faiz (kiri) menjadi senjata T-Team bagi merobek gawang Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Selepas hampir dua minggu berehat, aksi Liga Super kini kembali menghiasi pentas bola sepak tanah air apabila pasukan berstatus kelab, T-Team melayan kunjungan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Beraksi selaku tuan rumah, anak-anak buah Yunus Alif itu diramal mudah meraih tiga mata, sekali gus memungkinkan mereka melonjak ke tangga kedua liga.

Bagaimanapun, nada rendah diri tetap disuarakan Yunus yang mengakui standard tinggi yang dimiliki pasukan lawan dan mahu pemain-pemainnya tidak memandang mudah pertemuan malam ini.

Kerajaan Lulus Peruntukan RM29.13 Juta Untuk Pembangunan Kuala Nerus


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM29.13 juta untuk projek pembangunan di Kuala Nerus.

Beliau berkata peruntukan itu untuk 16 projek infrastruktur di kawasan Parlimen Kuala Nerus yang bakal dijadikan daerah kelapan di Terengganu tidak lama lagi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata peruntukan itu termasuk RM25 juta untuk projek pembinaan sebuah sekolah sukan dan tender pembinaannya akan dibuka April ini.

Anuar, Suhardi Mahu Menang Di Terengganu

Suhardi menjadi pelumba terbaik negara bagi kayuhan Bentong-Kuantan semalam.
 
Tidak ada khabar gembira daripada pelumba pasukan Champion System, Anuar Manan pada peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Bentong ke Kuantan semalam.

Namun, ada janji yang menarik perlu ditunaikan pada baki tiga lagi peringkat iaitu perlu wajib muncul juara di salah satu peringkat tersebut.

Hari ini perlumbaan peringkat kelapan akan berlangsung dari Pekan, Pahang ke Chukai, Terengganu sejauh 100.8km melibatkan tiga zon pecutan (Kuantan - Km 44.8), (Balok - Km 58.9) dan Cherating - Km 81.7 serta satu zon pendakian kategori 4 (Kuantan - Km 47.7).

Anuar yang hanya menduduki tempat ke-20 (empat jam 26.55 saat), semalam berkata, kalau boleh dia mahu memberikan kebanggaan buat rakyat negeri kelahirannya sendiri sambil melupakan kekecewaan yang berlaku di Kuantan.

"Saya mempunyai semangat yang tinggi dan bersedia, namun saya perlu melakukan sesuatu yang luar biasa sambil mengharapkan bantuan daripada Mohamad Adiq Hussainie Othman dan Aaron Kemps, selepas Jann Kirsipuu terkeluar daripada saingan," katanya.

Sementara itu Suhardi Hassan yang menjadi pelumba terbaik negara Bentong-Kuantan semalam yakin mampu meneruskan kayuhannya hari ini.

Selepas sekadar melihat pelumba Malaysia lain menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 terbaik peringkat yang lalu, giliran Suhardi Hassan pula berjaya melakukannya semalam.

Amat berpuas hati muncul pelumba kelapan tiba pada garisan penamat di Kuantan semalam, Suhardi yakin mampu meneruskan momentum kayuhan hari ini.

"Syukur Alhamdulillah selepas muncul pelumba terbaik Malaysia semalam. Saya memang menyasarkan melakukan pemecahan ketika pada 30km terakhir," katanya mengakui masih memiliki tenaga bagi beraksi hari ini pada saingan kelapan yang bermula di Pekan dan berakihr di Chukai,Terengganu.

Pada perlumbaan yang bermula di Bentong tersebut, Suhardi mencatat masa empat jam 25 minit dan28s itu iaitu ketinggalan 11 saat dibelakang juara dari pasukan Colnago CSF Inox, Marco Canola.

Manakala, Harrif Salleh dari Terengganu Cycling Team (TSG) menamatkan kayuhan pada tempat ke-18 dan Anuar (ke- 20).


Dua Kejayaan Bolehkan Terengganu Catat MBOR

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said gembira Kejayaan Terengganu yang mampu mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pelaksanaan Program e-Book kepada pelajar sekaligus dapat mencatat nama negeri dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyampaikan pengiktirafan itu.

Kejayaan Terengganu yang mampu mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pelaksanaan Program e-Book kepada pelajar sekaligus dapat mencatat nama negeri dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Dua berita gembira itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

T-Team Setuju Guna Khidmat Marco Tulio

T-Team secara dasarnya bersetuju mengambil pemain import dari Brazil, Marco Tulio Lopez Silva untuk menguatkan pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Jurulatih T-Team Yunus Alif berkata pengambilan Marco, 29, itu bertujuan mengantikan pemain import Zacharia Simukonda yang disingkir berikutan prestasi tidak memuaskan.

"Majlis menandatangani kontrak secara rasmi antara pemain itu dan T-Team mungkin akan diadakan dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Marco bagaimanapun hanya boleh diturunkan T-Team selepas didaftar dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada April.

Penjawat Awam Perlu Responsif Aspirasi Kerajaan

Kerajaan Barisan Nasional sentiasa memberi keutamaan kepada nasib penjawat awam sama ada di peringkat negeri atau pusat dengan merangka taraf hidup yang lebih baik terhadap golongan itu.

Ini termasuk skim gaji baru menerusi skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini masih dalam proses semakan semula.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penjawat awam perlu lebih responsif terhadap aspirasi dan agenda kerajaan dalam memacu pembangunan negara.

Giliran Marco Canola Naik Podium Utama

Canola melintasi garisan penamat pada peringkat ketujuh LTdL 2012 di Kuantan semalam. 

Pelumba pasukan Colnago CSF Inox, Marco Canola berjaya menjuarai peringkat ketujuh kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Bentong ke Kuantan sejauh 205.8 kilometer semalam.
Pelumba berusia 24 tahun dari Itali itu mencatat masa 4 jam 25 minit dan 17 saat bagi mengatasi Joon Yong Seo daripada pasukan Seoul Cycling di tempat kedua dan pelumba Rusvelo, Serguy Klimov di tempat ketiga.

“Sejak menjadi pelumba profesional, LTdL 2012 ini adalah kejohanan kedua saya selepas Jelajah Calabria.

Kerjasama Pembangkang Tidak Lama, Hanya Tipu Rakyat

Menteri Besar ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, semalam. 

Datuk Seri Ahmad Said mahu rakyat di negeri ini sedar bahawa kerjasama pakatan pembangkang tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu dan menyeleweng rakyat.

Menteri Besar itu berkata, sejarah membuktikan sepanjang mereka bergabung sama ada di dalam Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau terbaru Pakatan Rakyat, tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka.

BR1M Haram Satu Dakwaan Jahat - Muhyiddin

Ribuan penduduk setempat hadir pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik, Kuala Terengganu, semalam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Pas yang memberi gambaran kononnya pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 oleh kerajaan Pusat adalah haram, sebagai satu dakwaan jahat.

"Tujuan kerajaan buat begini ialah untuk membantu mengurangkan belanja rakyat yang kurang berkemampuan. Jadi apa yg diberikan oleh kerajaan itu halal. Halal bagi Umno, halal bagi orang PAS, halal bagi semua rakyat yang layak menerimanya.

Bekas Kakitangan Kontrak KEMAS Terima Bayaran Khas RM3,000

Bayaran khas RM3,000 seorang secara 'one-off' atau sekali sahaja kepada bekas kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan mula diagihkan pada Sabtu ini bermula di Kelantan.

Sehingga kini, Kemas telah menerima sebanyak 6,000 permohonan untuk mendapatkan bayaran khas itu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM18 juta.

UMT Mahu Jadikan Nicol David Ikon Skuasy IPT

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhasrat menjadikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, sebagai ikon squasy universiti itu.

Naib Canselor UMT Datuk Aziz Deraman berkata pemilihan Nicol sebagai ikon universiti itu bertujuan menarik minat lebih ramai pelajar dan penduduk tempatan menyertai sukan itu.

"UMT diberi tanggungjawab untuk menerajui sukan squasy bagi peringkat institusi pengajian tinggi seluruh negara, justeru, kita mengambil peluang yang ada dengan memilih Datuk Nicol sebagai suntikan semangat kepada para penuntut," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Anugerah Sukan UMT di Kuala Terengganu malam kelmarin.

Aziz berkata pemilihan Nicol bertepatan dengan kejayaan yang dirangkul pemain itu apabila berjaya mempertahankan gelaran pemain terbaik dunia sebanyak enam kali berturut-turut.

Thursday, March 1, 2012

Terengganu Bantu Jayakan GTP ECERDC Melalui Pelaburan Asing RM1b

Kejayaan Terengganu meraih nilai pelaburan asing tertinggi melalui projek akuakultur sebanyak RM1 bilion menyumbang kepada nilai projek berimpak tinggi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).


Kejayaan itu sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri Terengganu menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Projek yang dilaburkan syarikat dari China di daerah Marang itu juga dijangka akan membantu mempercepatkan lagi usaha kerajaan negeri untuk menjadi negeri maju.

Usaha kerajaan negeri dengan Ocean Aquatic Marine (M) Sdn Bhd dan syarikat China berkenaan, Zhanjiang Guolian Aquatic Products Co Ltd, itu kelmarin sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang disaksikan Perdana Menteri, Dattk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasinggam Issace John berkata pembangunan dan kemajuan kawasan Pantai Timur semenanjung akan bertambah pesat berikutan keyakinan pelabur untuk melaksanakan 12 projek yang membabitkan pelaburan bernilai RM9 bilion di ECER dalam tempoh tiga bulan mulai Januari tahun ini.

Mengundi Adalah Wajib - Mufti Pahang

Tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum adalah sesuatu yang wajib, kata Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman. 

Beliau berkata, mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan.

"Pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah.

Mohd Saufi Pelumba Terbaik Negara Pendakian Genting Highlands

Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Saufi Mat Senan sekali lagi mengulangi pencapaian tahun lepas, selepas muncul pelumba terbaik tempatan pada peringkat keenam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir di Genting Highlands semalam.

Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan saingan sejauh 108km itu di tempat ke-16, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lepas iaitu ke-21.

Serpa Buktikan Status Pendaki Berkelas Dunia Tawan Genting Highlands

Serpa menjuarai peringkat keenam LTdL 2012 dari Proton, Shah Alam ke Genting Highlands semalam. 

Pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jose Serpa sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pakar pendaki berkelas dunia apabila mengungguli peringkat keenam Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Proton, Shah Alam ke Genting Highlands semalam.

Kejayaan tersebut adalah yang kedua direkodkan Serpa dalam perlumbaan LTdL edisi ke-17 kali ini selepas pelumba berusia 33 tahun itu menjuarai peringkat kelima kelmarin.

Serpa mencatat masa 3 jam 09 minit dan 37 saat untuk mengatasi pelumba Azad University Cross, Victor Nino Corridor, dua saat di belakang, diikuti rakan sepasukannya, Jose Rujano di tempat ketiga.

Pelaburan RM1 Bilion Bangunkan Industri Akuakultur di Marang

Terengganu berupaya menarik pelaburan asing dari China berjumlah RM1 bilion dalam industri akuakultur bagi ternakan udang putih yang bakal dibangunkan di Marang dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

Pelaburan terbesar yang dilaksanakan secara bersepadu dengan syarikat akuakultur dari Malaysia itu akan dilaksanakan di kawasan berkeluasan 1,000 hektar, selain membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan apabila mula beroperasi kelak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata projek industri akuakultur ternakan udang berkenaan adalah yang kedua selepas Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) Setiu yang dijalankan oleh syarikat milik Khazanah Nasional, Blue Archipelago menerusi anak syarikatnya Arca Biru di Setiu melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta.

Dua Beranak Orang Asli Sungai Berua Dosondol Babi Hutan

Rutin seorang wanita Orang Asli bersama dua anaknya mengutip kayu api yang terletak berhampiran Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu bertukar mimpi ngeri hari ini apabila mereka diserang seekor babi hutan, menyebabkan dua daripada mereka cedera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita yang hanya dikenali sebagai Dajang, 62, dari Kampung Sungai Berua, luka di kaki dan tangan manakala anak perempuannya Sallek Bakar, 30-an cedera parah hampir di seluruh badan akibat disondol haiwan seberat 70 kilogram itu.

Kedua-dua beranak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

LPP Terengganu Jual Daging Kambing Mulai April

Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (LPP) akan memperluaskan pasaran menjual daging kambing segar di Jalan Sultan Mohamad di Kuala Terengganu bermula April ini.

Pengarah LPP negeri Shamsuddin Mat Rani berkata sebuah kiosk akan dibuka di hadapan pejabat LPP untuk menjual daging kambing segar setiap pagi Khamis dengan kadar harga antara RM25 dan RM30 sekilogram bergantung pada harga pasaran.

 "Buat permulaan kita akan sembelih antara dua hingga tiga ekor kambing Boer dan Jamnapari untuk dijual kepada orang ramai," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Kencana Peroleh RM74 Juta Kontrak Daripada ExxonMobil

Kencana HL Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM74 juta untuk fabrikasi subsustruktur Tapis R bagi projek pembangunan semula daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.

Menerusi kontrak itu, Kencana HL akan melaksana pelbagai kerja, termasuk pemerolehan, fabrikasi dan pengujian substrukur yang meliputi jaket dan komponen berkaitan yang membentuk sebahagian daripada platform pemprosesan berpusat Tapis R untuk projek yang terletak di luar pantai Terengganu, kata Kencana Petroleum dalam satu kenyataan.

Ia merupakan kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan sekali yang dijangka disiapkan dalam tempoh suku kedua 2013, katanya. Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepaa pendapatan dan aset sesaham syarikat induk, Kencana Petroleum Group, bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2012 hingga 2013.

Perlawanan Selangor - Terengganu Di Stadium Shah Alam


Perlawanan pertama yang bakal berlangsung sebaik stadium Shah Alam dibuka semula ialah Liga Super membabitkan pertemuan Selangor dan Terengganu pada 7 April.

Kerja menaiktaraf Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di Shah Alam yang menelan belanja RM3.4 juta kini di peringkat akhir dan stadium yang ditutup sejak pertengahan November lepas itu akan dibuka semula April ini.


Santapan DiRaja Bersama Pegawai Tadbir Negeri


Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat ke Majlis Santapan Diraja Bersama Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, malam semalam.


Turut berangkat ke majlis berkenaan, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan kenamaan negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta ketua-ketua jabatan turut hadir pada majlis berkenaan.

.

45 Projek Kecil Pembinaan Untuk Kontraktor Kelas F

Matulidi Jusoh (kanan) menyambut ketibaan Ahmad Shabery Cheek serta rombongan berbasikal di kawasan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun, kelmarin.

Sebanyak 45 projek kecil pembinaan dan pengubahsuaian prasarana membabitkan peruntukan kira-kira RM2 juta ditawarkan kepada kontraktor kelas F di daerah ini.

Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh berkata, ia melibatkan kerja-kerja pembinaan longkang, melapisi jalan serta membaiki dan mengubah suai surau dan masjid.

Menurutnya, melalui peruntukan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) itu, setiap kontraktor ditawarkan kontrak kerja bernilai RM40,000 hingga RM50,000.

26 Nelayan Vietnam Didenda RM880,000

 Imbas kembali...gambar bot dan nelayan Vietnam yang ditahan di Kemaman baru-baru ini.

Gara-gara menangkap ikan diperairan negara serta menggunakan pengenalan palsu, seramai 26 nelayan Vietnam dikenakan hukuman denda RM880,000 oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam, setelah mengaku bersalah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Dua tekong iaitu Nguyen Van Hiep dan Huynh Van Tuan masing-masing dikenakan denda RM50,000 atau berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 14 (3) (b) Akta Perikanan 1985.

Manakala, 24 awak-awak dikenakan denda RM20,000 atau berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda tersebut bagi setiap pertudu-han mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 14(3)(b) Akta Perikanan 1985.

Mengikut fakta kes, kapal ronda Jabatan Perikanan Malaysia (P201) yang diketuai Mohd Sabri Mustafa (sebagai pengadu dalam kes ini) menahan dua kapal penangkapan ikan yang menggunakan nombor pengenalan sebagai KNF 7483 dan KNF 7484 di kedudukan garis Lintang 04 darjah 54.331 minit Utara dan Garis Bujur 103 darjah 54.915 minit Timur iaitu pada jarak 53 batu nautika dari Pantai Kuala Terengganu, Terengganu di dalam Perairan Perikanan Malaysia kira-kira jam 9 pagi pada 16 Februari lalu.


Dr A Rahman Berusaha Atasi Masalah Penutupan Pusat Dialisis


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berharap isu penutupan Pusat Dialisis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang kendalikan Persatuan Pesakit Buah Pinggang Terengganu di Jalan Hiliran, di Kuala Terengganu dapat diselesaikan segera.

Difahamkan beliau mengadakan perjumpaan semalam dengan pengurusan pusat itu untuk mendapat maklumat secara rasmim mengenainya.

 Sinar Harian melaporkan, pesakit buah pinggang yang kebiasaannya mendapat rawatan di terpaksa beralih ke tempat lain berikutan pusat tersebut bakal menutup operasi kerana dipercayai tidak mencapai piawaian yang dikehendaki.

Wednesday, February 29, 2012

Kerajaan Negeri Sediakan Pinjaman RM50 Untuk Bina Rumah Sendiri


Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu hari ini meluluskan dana pinjaman perumahan berjumlah RM50 juta untuk rakyat negeri ini yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 untuk membina rumah sendiri.

Keputusan menyediakan kemudahan pinjaman yang boleh mencecah sehingga RM50,000 bagi setiap permohonan itu sebelum ini diluluskan dalam ucapan Bajet 2012 pada Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata petang ini, mereka yang masih tidak memiliki rumah sendiri wajar memohon pinjaman ini.

Selain kemudahan pinjaman yang mengenakan syarat utama hanya kepada pemohon yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, pemohon juga perlu membina sendiri rumah berkenaan di atas tanah milik pemohon berdasarkan geran hak milik.


Peruntukan Permulaan RM9 Juta Program Pembangunan Bandar Ketengah Jaya

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM9 juta buat permulaan kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk perancangan program pembesaran pembangunan Bandar Ketengah Jaya dekat Dungun.

Ia bertujuan memastikan penduduk luar bandar juga dapat menikmati segala kemudahan dan pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perancangan pembesaran bandar tersebut akan dibangunkan kepada tiga fasa dimana ia membabitkan keluasan tanah 45 hektar dengan kos anggaran RM30 juta keseluruhannya.

"Buat masa ini, fasa pertama pembangunan ini melibatkan sekitar lapan hektar akan dimajukan bermula sekitar tahun depan.