"Peruntukan RM2,000 berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi
meringankan beban golongan itu untuk meneruskan kehidupan baru bersama
pasangan mereka,...Di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM20 juta disediakan untuk ibu
tunggal dan daripada jumlah itu kita akan ambil kira untuk diberi kepada
bapa tunggal juga."
- Datuk Yahaya Khatib Mohamad
Bermula Januari depan, kerajaan negeri Terengganu akan memberikan bantuan sebanyak RM2,000 kepada mana-mana ibu tunggal dan bapa tunggal yang berkahwin semula.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahaya Khatib Mohamad berkata bantuan julung kali diwujudkan itu bertujuan mengalakkan golongan berkenaan mendirikan rumah tangga semula selepas melalui fasa perceraian.
"Peruntukan RM2,000 berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan itu untuk meneruskan kehidupan baru bersama pasangan mereka," katanya pada sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.
Katanya sehingga kini seramai 21,838 ibu tunggal dan 2,890 bapa tunggal dicatatkan di negeri ini.
Selain itu, katanya peruntukan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan Terengganu 2013 di bawah program ibu tunggal, akan turut diagihkan kepada golongan bapa tunggal.
"Di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM20 juta disediakan untuk ibu tunggal dan daripada jumlah itu kita akan ambil kira untuk diberi kepada bapa tunggal juga," katanya.
Yahya berkata, kerajaan menyediakan pelbagai program di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terngganu bagi membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal.
Beliau berkata, antara program berkenaan ialah bengkel, kursus kemahiran, masakan dan jahitan, bengkel pemantapan pengurusan dan lawatan sambil belajar.
Katanya selain itu YPK juga mengadakan program peningkatan ekonomi yang melibatkan pinjaman modal dan program ekonomi berkelompok, program inkubator bagi memberikan latihan kepada ibu tunggal, program bimbingan keluarga dan pendidikan untuk anak-anak ibu tunggal.
"Kerajaan juga mengadakan bantuan pengurusan kepada kelab-kelab ibu tunggal iaitu dana untuk pengurusan kelab sebanyak RM2,000 bagi setiap kelab yang meliputi 32 buah di setiap DUN di negeri ini," katanya ketika menjawab soalan Ramlan Ali (BN-Jabi).
Yahya berkata semua program yang diwujudkan untuk golongan ibu tunggal mencapai kecemerlangan di mana seramai 2,771 orang ibu tunggal terlibat secara langsung dalam program yang telah diadakan itu dan mereka mampu hidup berdikari dan menambah pendapatan.
"Ada antara ibu tunggal itu telah meningkat pendapatan mereka sehingga RM6,000 dan RM7,000 sebulan dengan melibatkan diri dalam bidang perniagaan di bawah bimbingan YPK," katanya.