Saturday, July 6, 2013

PRK Kuala Besut: TPM Umum Calon BN Selasa Depan


Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 9 Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengumuman itu akan dilakukan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dilantik sebagai Pengarah PRK Kuala Besut. Pada Jumaat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi adalah 24 Julai.

Di Besut, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata BN menyasarkan majoriti kemenangan untuk parti itu melonjak daripada 2,434 kepada hampir 4,000 dalam PRK berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut yakin sasaran itu dicapai dengan semangat jentera yang bersepadu dan sokongan secara berterusan pengundi ketika kemenangan cuba dinafikan oleh pembangkang.

Apatah lagi, katanya, ketika lebih banyak kebaikan dijangka dapat dikecapi oleh rakyat, pembangkang hanya menjanjikan permainan politik yang tidak berkesudahan dan merugikan agama, bangsa dan negara.

"Pada PRK itu BN tidak akan menganjurkan program besar-besaran sebaliknya jentera parti akan menemui pengundi secara langsung," katanya kepada media selepas majliis sarapan pagi bersama penduduk di Kampung Seri Kemunting hari ini.


Premis Haram Jual Arak Di Pulau Perhentian Diroboh

Majlis Daerah Besut (MDB) merobohkan tiga premis haram yang dikenal pasti menjual minuman keras di Pulau Perhentian, dalam satu serbuan yang turut disertai polis, kelmarin.

Yang Dipertua MDB, Ibrahim Mohamad berkata, seramai 12 penguat kuasa MDB bersama dua anggota polis terbabit dalam operasi selama tiga jam bermula 9 pagi di kawasan pantai berhampiran Pasir Panjang. 

"Melalui siasatan dan risikan yang dilakukan, premis tersebut telah dibuka sejak bulan lalu dan dijadikan sebagai lokasi penjualan arak tanpa kelulusan atau kebenaran MDB," katanya kepada pemberita semalam.

Friday, July 5, 2013

SPR Tidak Boleh Campur Tangan Sekiranya DUN Terengganu Tergantung - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh campur tangan sekiranya Dewan Undangan Negeri Terengganu tergantung selepas pilihan raya kecil DUN Kuala Besut pada 24 Julai nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sekiranya berlaku DUN tergantung, wakil kedua-dua parti harus berbincang sesama sendiri.

"Sekiranya ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah, sultan boleh campur tangan dan sekiranya masih gagal, satu lagi pilihan raya negeri terpaksa diadakan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sukma Ke-16 Pamer Inisiatif Negeri Bangunkan Sukan Bukan Pilihan - Zolkples



Penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 yang sedang berlangsung kini telah mempamerkan komitmen negeri mempertingkatkan persiapan dalam acara sukan bukan pilihan, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Dari sudut positif, penganjuran Sukma kali ini menunjukkan bahawa negeri-negeri kini sudah semakin serius menbangunkan acara sukan bukan pilihan (acara sukan yang tidak dipilih oleh tuan rumah Sukma).

"Jika sebelum ini, tumpuan sentiasa diberikan kepada jenis-jenis sukan popular seperti olahraga, renang, bola sepak dan sebagainya. Kita dapat lihat dengan pertambahan jumlah penyertaan dalam semua jenis sukan yang diadakan kali ini," katanya hari ini.

Meningkatkan Hasil Minyak Di Lapangan Minyak Malaysia

Malaysia dijangka dapat meningkatkan pengeluaran minyak mentah daripada lapangan-lapangan minyaknya yang semakin matang menerusi teknologi 'Enhanced Oil Recovery' (EOR) menggunakan kepakarannya dalam kejuruteraan petroleum.

Kerja-kerja sudahpun bermula untuk melaksanakan EOR di lapangan minyak Tapis yang terletak lebih kurang 200 kilometer dari pesisir Terengganu dan mengeluarkan minyak mentah 'extra-light' bersama kandungan sulfur yang kurang.

Tapis merupakan salah sebuah daripada tujuh lapangan minyak yang telah matang dan dikenalpasti oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI) serta Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) untuk dibangunkan semula di bawah kontrak perkongsian pengeluaran selama 25-tahun yang dimeterai pada 2009.

PRK Kuala Besut: SPR Guna Dakwat Kekal Baru

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyerahkan watikah pelantikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A.Rahim Jusoh (Pegawai Daerah Besut) ketika sidang akhbar mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, di Putrajaya, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan mereka akan menggunakan jenis dakwat kekal baru yang kekal lebih lama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penggunaan dakwat kekal telah termaktub dalam undang-undang yang ditetapkan dan perlu dicalit pada jari pengundi sebelum kertas undi diberikan. "Dakwat kekal akan terus digunakan, kecuali undang-undang dipinda. Dakwat kekal adalah syarat mengesahkan undi seseorang itu.

"Bagaimanapun dakwat kekal yang bebeza akan digunakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibu pejabat SPR hari ini.

PRK: Jaga Adab Berkempen Ketika Ramadan

Calon atau penyokong yang terlibat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai ini dinasihat menjaga akhlak dan adab sepanjang berkempen sebagai menghormati bulan Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, memandangkan ia diadakan pada bulan Ramadan, kempen yang dijalankan seharusnya tidak tercemar dengan hal-hal tidak baik.

"Saya mengharapkan sepanjang tempoh penamaan calon sehinggalah tarikh pilihan raya, kita harus menjaga akhlak dan adab kita masing-masing. Lebih-lebih lagi dalam bulan yang amat besar nilainya bagi umat Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Ramadan TV AlHijrah hari ini.

P/Raya Kecil DUN Kuala Besut 24 Julai, Penamaan Calon 12 Julai - SPR


Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu ditetapkan pada 24 Julai, pengundian awal 20 Julai manakala tarikh penamaan calon ialah 12 Julai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, berkata daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku pertama, kedua, ketiga dan keempat tahun 2012 dan DPT suku pertama tahun 2013.

"Sembilan pusat mengundi akan dibuka, satu untuk pusat mengundi awal dan lapan bagi pengundian biasa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil DUN Kuala Besut di Putrajaya, hari ini.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Playoff Piala Malaysia Hari Pertama Puasa Rabu Ini

Dua slot terakhir ke saingan Piala Malaysia musim ini ditentukan pada dua perlawanan playoff, Rabu ini, iaitu hari pertama Ramadan.


Ia membabitkan dua pasukan tercorot Liga Super serta pasukan tempat kelima dan keenam Liga Perdana. 

Kedua-dua perlawanan pada 10 Julai ini akan berlangsung serentak di dua stadium berkenaan dengan sepak mula lewat jam 9.45 malam kerana ia hari pertama umat Islam berpuasa Ramadan.

Setiausaha Agung FAM Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata dua perlawanan playoff itu membabitkan pasukan ke-11 Liga Super menentang pasukan ke-6 Liga Perdana di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan pasukan ke-12 Liga Super menentang pasukan ke-5 Liga Perdana di Stadium Shah Alam.

Umno Kelantan Hantar 150 Penceramah Pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut

Badan Perhubungan Umno Kelantan akan menghantar seramai 100 hingga 150 penceramah untuk membantu Umno Bahagian Besut menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Wakil Badan Perhubungan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata sebahagian besar tenaga berkenaan terdiri daripada anggota Umno Bahagian Pasir Puteh dan penceramah yang mewakili badan-badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami sudah bersiap sedia membantu untuk pilihan raya kecil itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan futsal DUN Semerak yang disertai 13 pasukan semalam.

Lapan Sekeluarga Nyaris Maut Dirempuh Lori Minyak Di Persimpangan Lampu Isyarat

Lapan sekeluarga nyaris maut selepas kenderaan mereka dirempuh sebuah lori tangki di Kilometer 135, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Bukit Anak Dara hari ini. 

Kejadian pada kira-kira 12 tengah hari itu berlaku ketika pemandu kereta Proton Iswara yang berusia 40-an memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat bertukar merah.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba lori membawa muatan minyak itu melanggar kenderaan berkenaan, yang dinaiki tiga dewasa dan lima kanak-kanak berusia antara 6 bulan dan 60 tahun, dari arah belakang.

SPR Tolak Kiraan Undi 'Live' PRK Kuala Besut

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menolak cadangan menteri supaya proses pengiraan undi PRK Kuala Besut disiarkan secara langsung menerusi RTM pada 24 Julai ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu dibuat kerana pada ketika ini, ejen pilihan raya daripada parti bertanding telah diberikan kebenaran untuk berada dalam bilik pengiraan undi. 

Beliau menambah, sebagai sebuah badan yang bebas, SPR perlu berlaku adil kerana jika RTM diberikan kebenaran, pihak lain juga akan menuntut perkara yang sama.

Peningkatan Kes Dera Di Terengganu Semakin Membimbangkan - JKM

Imbas kembali...Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melawat salah seorang kanak-kaank mangsa dera  di HSNZ  tidak berapa lama dahulu.
Kes penderaan kanak-kanak di Terengganu kini semakin membimbangkan apabila ia menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 42 kes penderaan dilapor pada tahun lepas berbanding hanya 22 kes pada tahun 2008 dan ia menunjukkan peningkatan hampir sekali ganda. 


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Mohd Mahdi Musa (kiri) berkata pada tahun 2009, sebanyak 18 kes direkod namun ia meningkat pada tahun 2010 (32 kes) dan 2011 (49 kes).

"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 15 kes dera sudah dilaporkan kepada JKM," katanya kepada pemberita selepas melawat tiga beradik yang menjadi mangsa dera di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam.

Tiga beradik itu adalah mangsa dera ibu kandung dan bapa tiri mereka di sebuah rumah di taman perumahan di sini, bulan lepas.

Ibu dan bapa tiri kanak-kanak itu dijatuhkan hukan penjara oleh Mahkamah Majistret pada 2 Julai lepas setelah pasangan itu mengaku bersalah mendera kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, nenek kanak-kanak itu bersyukur kerana ketiga-tiga cucunya itu sudah menunjukkan perkembangan positif dan semakin ceria setelah menerima rawatan di hospital itu.

"Cucu mak cik dah selera makan, doktor pun kata keadaannya semakin pulih, dia sudah mula nak bercakap dan bertegur sapa dengan petugas-petugas di wad ini.

"Kami semua tak sabar nak tunggu cucu mak cik ni pulih dan kami sudah berbincang bersama keluarga besan di sebelah Johor untuk sama-sama memelihara mereka sehingga besar," katanya.

Dakwaan Miliki 20 Akaun: MP Simpan Renggam Mahu Kerajaan Siasat


Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng hari ini mendesak kerajaan supaya menyiasat maklumat kewujudan 20 akaun di luar negara yang kononnya milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Teck Meng berkata, tindakan itu penting untuk mengetahui sejauh mana kebenaran maklumat yang didedahkan di internet dan kemungkinan wujud campur tangan pihak ketiga dalam politik negara.

"Saya mahu kerajaan menyiasat apa jua yang disebarkan di internet tentang wujudnya 20 akaun di luar itu.

Exco: Ada 1,435 premis judi haram di Selangor

Exco kerajaan tempatan Selangor Datuk Teng Chang Khim mengakui bahawa masalah kebanjiran premis judi haram di sekitar negeri itu masih gagal diatasi ekoran jumlahnya yang terlalu banyak.

Katanya lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan sebanyak 148 pemeriksaan, dan mengeluarkan 77 saman serta melakukan 49 penyitaan.

Namun ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan, kata Teng yang menambah, sebanyak 1,435 premis judi dikenalpasti wujud di negeri tersebut.

Undang-Undang Baharu Ganti Ordinan Darurat Yang Dimansuh 2011


Satu rang undang-undang baharu dirangka untuk menggantikan Ordinan Darurat 1969 yang dimansuh pada 2011 dalam usaha mengatasi masalah jenayah khususnya dadah yang semakin berleluasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung draf rang undang-undang baharu itu.

“Kami akan umumkannya selepas AG (Peguam Negara) menelitinya dan kami juga akan membuat perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Ahli Parlimen,” katanya selepas melawat pusat khidmat Cure and Care di Chow Kit semalam.

Istana Baharu Terengganu Dinamakan Istana Syarqiyyah




Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin semalam berkenan mengisytiharkan permasyhuran istana baharu di Bukit Cendering di Kuala Terengganu dengan nama Istana Syarqiyyah dan menjadi istana rasmi baginda.

Baginda bertitah demikian pada surat watikah yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada majlis Pemasyhuran Nama dan Istiadat Menaikkan Bendera di istana baharu itu semalaam.

Istiadat bermula dengan laungan azan oleh pegawai agama istana diikuti upacara menaikkan Bendera Sultan sebelum Ahmad membacakan pengisytiharkan permasyhuran nama istana berkenaan sebagai Istana Syarqiyyah yang bermaksud Permata Timur.


Kuala Besut: KKMM Akan Runding Dengan SPR Benarkan Kamera RTM Di Bilik Pengiraan Undi

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan RTM memberi liputan terbaik pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya bulan lepas.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia termasuk membenarkan kamera RTM diletakkan di dalam bilik pengiraan undi.

"Terlebih dulu saya akan bincang dengan bahagian teknikal untuk melihat keupayaan yang ada. Orang tahu mula kira undi pada pukul 5 petang. Kalau ada 'blackout' pun orang boleh tonton secara live (langsung)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2013 semaalam.

BN Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Kecil Kuala Besut - Ahmad Said


Barisan Nasional (BN) Terengganu kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, walaupun terdapat ura-ura parti pembangkang akan memulaukannya.

Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau tidak kisah sama ada DAP atau PAS mengadakan pakatan untuk memulau pilihan raya itu.

"Namun, kita BN telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil itu. Kita telah mengemukakan tiga nama anak tempatan dan telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya," katanya ketika ditemui pada majlis pemasyhuran Istana Syarqiyyah, istana baharu Sultan Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Sukma 2013 - Terengganu Sapu Bersih Lapan Pingat Emas Acara Mendayung


Terengganu berjaya menyapu bersih lima pingat emas yang ditawarkan pada hari terakhir acara mendayung pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Pusat Latihan Rowing Kebangsaan, Empangan Batu, Ulu Yam, dekat Kuaala Lumpur, kelmarin.

Emas Terengganu diperoleh menerusi Nur Fatiha Che Yon Rani dalam acara acara perseorangan wanita scull (W1X), double scull (LW2X) (Nor Shazlin Che Adnan/Che Ku Nurul Asma' Cheku Abdullah, dan acara berempat lightweight (LW4-) oleh gandingan Ika Natasha Yahya/Siti Niartun Aniqah Anirad/ Kasyifah Mohiddin/Siti Ratin Nabilah Mohd Ashini). 

Pingat emas kempat dan kelima Terengganu dipungut masing-masing menerusi acara berpasangan wanita (W2) dan pasukan  lelaki coxed eight.

Cadangan Hasilkan Rangka Tindakan Komunikasi Visual Satukan Semula Melayu

Seorang ahli akademik berhasrat menghasilkan satu rangka tindakan komunikasi visual yang berkesan untuk menyatukan semula masyarakat Melayu di negara ini.

Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Ghazali Daimin berkata perpecahan masyarakat Melayu ekoran perubahan senario politik dilihat membimbangkan akibat terpengaruh dengan iklan grafik yang banyak dipaparkan melalui media.

"Kajian ini adalah untuk menyatukan semula bangsa Melayu sama ada Umno, PAS atau PKR. Saya akan hasilkan poster, iklan, billboard yang mengambil kira pelbagai elemen grafik termasuk typoghaphy, gambar dan warna supaya apabila penyokong PAS lihat, dia tidak marah kepada Umno dan sebaliknya," katanya.

100 Guru ETA Fullbright Mengajar Bahasa Inggeris Tahun Depan - Duta Amerika Syarikat

Seramai 100 graduan muda dari Universiti Amerika Syarikat (AS) akan menyertai program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright di negara ini, tahun depan.

Duta Besar AS ke Malaysia,
Datuk Paul W. Jones berkata program pada 2014 itu akan melibatkan penambahan satu negeri baharu, namun ia masih belum diputuskan Kerajaan Malaysia.

Ketika ini, guru-guru Amerika ditempatkan di sekolah-sekolah di Johor, Terengganu, Pahang dan Perak.

Kabaddi Lelaki - WP Juara Kalahkan Selangor, Terengganu, NS Gangsa

Wilayah Persekutuan berjaya menebus kekecewaan 2011 apabila mengalahkan juara bertahan Selangor 16-14 untuk meraih emas acara kabaddi lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 semalam.

Bagaimanapun, skuad wanita Wilayah Persekutuan gagal mengikut jejak pasukan lelaki apabila kalah 4-2 kepada Selangor pada saingan akhir di Dewan Serbaguna, Sekolah Sukan Bukit Jalil .

Pingat gangsa acara lelaki dikongsi bersama oleh Negeri Sembilan dan Kedah manakala dalam acara wanita, Negeri Sembilan dan Terengganu berkongsi pingat gangsa.

Tempah Barang Kini Boleh Dibuat Menerusi Posmen


Pelanggan Pos Malaysia Berhad kini tidak perlu lagi keluar ke premis-premis perniagaan untuk membeli-belah, sebaliknya mereka kini boleh membuat tempahan barangan menerusi posmen dan barang akan dihantar terus ke pintu rumah.

Perkhidmatan baharu yang dikenali sebagai MyShopping itu akan dikendalikan lebih 5,000 posmen di seluruh negara yang bertindak sebagai ejen jualan.

Pengharaman Merokok Sudah Memadai Tangani Shisa - Mufti Terengganu

Terengganu tidak bercadang untuk mengeluarkan fatwa berhubung penggunaan shisha kerana sudah terdapat fatwa mengenai pengharaman merokok, kata Mufti kerajaan negeri Dr Zulkifli Muda.

Beliau berkata sudah terdapat dua fatwa mengenai pengharaman merokok seperti yang dikeluarkan sekitar 70-an dan 1995.

Zulkifli berkata shisa diletak dalam kategori rokok. "Jika merokok sudah difatwakan haram, penggunaan shisha adalah lebih haram kerana kemudaratannya kepada pengguna mengatasi tabiat merokok," katanya semalam.

Jaket Eor Tapis Sedia Untuk Dipasang Di Luar Pantai Terengganu

ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI), sebuah anak syarikat Exxon Mobil Corporation, bersama dengan Petronas Carigali Sdn Bhd telah berjaya menyiapkan pembinaan dan pengalihan jaket pelantarnya bagi projek Perolehan Minyak Tertingkat (EOR) di rantau ini.

Jaket lapan kaki itu yang merupakan sebuah struktur keluli yang tinggi yang dibina timbul dari laut untuk menyokong dek permukaan, kini sudah sedia untuk dipasang di medan minyak Tapis, yang terletak kira-kira 200 kilometer di luar pantai Terengganu.

"Jaket seberat 5,500 tan metrik itu ialah struktur sampingan bagi kemudahan pemprosesan pusat utama projek EOR. Jaket yang dibina di Lumut itu adalah yang terberat pernah kami pasang di Malaysia," kata Eksekutif Projek Douglas C. Smith, kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif.

Bola Sepak Pantai - Naib Juara Untuk Lelaki, Juara Untuk Wanita Terengganu


Pahang muncul juara sulung acara bola sepak pantai lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2013 apabila menewaskan Terengganu 6-0 pada aksi final di Pantai Morib, Banting, Selangor semalam.

Latihan 'ala Samba' selama sebulan bersama jurulatih kelab Brazil, Flamengo, Julio Cesar Franco ternyata menjadi senjata ampuh Pahang bagi menjinakkan Terengganu.

"Saya rasa begitu gembira kerana pemain-pemain telah mempamerkan kesungguhan mereka untuk menjadi juara.

Wednesday, July 3, 2013

Pemansuhan Ordinan Darurat: Ramai Penjenayah Tegar Masih Bebas

Bagi melindungi pelanggan, sebuah restoran makanan laut di Kampung Baru Subang dikawal oleh pengawal keselamatan.
Pemansuhan Ordinan Darurat menyaksikan kira-kira 2,000 tahanan di bawah ordinan tersebut dibebaskan.Seandainya satu pertiga daripada mereka kembali melakukan jenayah, ini bermaksud kira-kira 800 penjenayah tegar masih bebas di Malaysia.

Polis bagaimanapun, percaya bilangan itu mungkin jauh lebih besar.

Kebanyakan remaja yang dibebaskan dari tahanan di bawah Ordinan Darurat biasanya akan kembali ke tabiat lama mereka, kata seorang pegawai polis.

Seorang Asisten Superitenden Polis (ASP) dari Perak yang enggan namanya didedahkan berkata, apabila Ordinan Darurat dikuatkuasakan, golongan tersebut ditahan.

"Sebaik saja ia dimansuhkan, mereka kembali melakukan jenayah," katanya dalam satu temu bual. Beliau berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana jenayah merupakan tabiat biasa dalam kehidupan bekas tahanan.

"Apa yang perlu mereka lakukan ialah membuat panggilan telefon dan mereka akan ketagih. Segelintir daripada mereka tidak perlu membuat panggilan telefon, mereka dengan serta merta direkrut'.

Melihat situasi berhubung bekalan senjata api yang boleh diperoleh dengan mudah di sepanjang laluan dari Bukit Kayu Hitam ke Johor, kita berhadapan senario menakutkan.

Dengan peningkatan jenayah ragut, keganasan dan rompakan di restoran dan pelanggan-pelanggan mereka, malah premis makanan turut mengupah pengawal keselamatan untuk melindungi mereka.

Namun ramai pemilik restoran di negara ini sentiasa memastikan pintu berkunci, hanya membenarkan pelanggan setia memasuki premis mereka. ASP itu turut berkata, kebanyakan bekas tahanan mampu melakukan apa saja termasuk merompak tetamu di majlis perkahwinan di sebuah rumah ibadah

"Terdapat banyak kes seperti itu apabila perkahwinan di sebuah kuil pada awal pagi yang menguntungkan bagi kaum Hindu.

"Perompak melihat waktu itu juga sebagai menguntungkan.

Waktu itu sesuai untuk mereka - pukul 5 pagi, keadaan masih gelap dan tiada kawalan keselamatan yang ketat.

"Malah mereka juga tahu ramai wanita memakai barang kemas ketika majlis tersebut," katanya.

MStar

Dera Anak: Ibu Kandung Dihukum Penjara 10 Tahun, Bapa Tiri 13 Tahun



Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam  menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang ibu kandung yang mendera tiga anaknya.

Bagi bapa tiri mereka dihukum penjara 13 tahun selepas pasangan itu mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mendera kanak-kanak berkenaan.

 Norazira Abas, 29, dan Mohd Shazwan Shaari, 26, didakwa melakukan perbuatan itu antara Mac hingga Jun lepas di sebuah rumah di Taman Perumahan Gong Badak 4 di Kuala Terengganu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SUKMA: Terengganu Pintas Wilayah Persekutuan Dalam Pungutan Pingat

Kontinjen Terengganu mula menunjukkan taring di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 apabila merampas tempat teratas carta pungutan pingat daripada kontinjen Wilayah Persekutuan dengan menambah tiga emas dan dua perak pada hari keenam temasya itu semalam.

Terengganu kini mengumpul 10 emas, sembilan perak dan enam gangsa untuk mengatasi Wilayah Persekutuan yang memungut 10 emas, enam perak dan 11 gangsa. Johor di tempat ketiga dengan sembilan pingat emas, tiga perak dan 13 gangsa.

Emas pertama Terengganu dikutip menerusi acara mendayung apabila Muhammad Faizzuan Mohd Pazi mengungguli acara scull perseorangan lelaki.

Tukar Agama: Perlu Sokongan Dua Pertiga Di Dewan Rakyat?


Ahli Parlimen Islam daripada BN dan PR harus bersatu menyokong Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 sekali gus mengenepikan perbezaan pegangan politik bagi memastikan kedaulatan Islam di negara ini dapat terus dijamin di sisi undang-undang.

Tanpa penyatuan sokongan Ahli Parlimen Islam di pihak kerajaan dan pembangkang, tidak mudah untuk rang undang-undang itu diluluskan memandangkan sudah ada bantahan wakil rakyat bukan Islam daripada BN dan juga PR.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang minta Kabinet menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam.

Bilangan wakil rakyat yang beragama Islam di Dewan Rakyat adalah seramai 149 daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen dengan 112 daripada BN dan 37 mewakili PR (21 Pas, 14 PKR, 2 DAP).

Kenaikan Gaji Tahunan Penjawat Awam Mulai 1 Julai - Mazlan


Setiap penjawat awam di seluruh Malaysia akan mendapat faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) iaitu minimum RM80 dan maksimum RM 320 bermula semalam (1 Julai).

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk menerima pakai pekeliling daripada kerajaan Persekutuan untuk dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri.

"Ini adalah anugerah daripada kerajaan Persekutuan, di mana semasa ucapan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam perjumpaan dengan penjawat awam pada bulan Mac lalu ada menyebut mengenai perkara ini.

ADUN Minta Kerajaan Selangor Haram Jual Arak Murah


Kerajaan Negeri Selangor disaran menghalang dan mengharamkan penjualan arak murah kepada rakyat negeri ini.

Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, penjualan arak murah berlaku di kedai runcit dan pasar raya pada masa ini.

Menurutnya, pengambilan arak murah yang tinggi bukan sahaja boleh merosakkan organ dalaman juga boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti keganasan rumah tangga dan gengsterisme.

64 Premis Menjual Makanan Diarah Tutup Kerana Kotor


Orang ramai dinasihatkanmengambil berat tahap kebersihan pengendali dan premis restoran serta kedai makan dikunjungi sebelum menjamu selera.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, sikap sedemikian penting bagi memastikan pelanggan dapat menikmati makanan bersih dan terhindar daripada jangkitan kuman berpunca daripada persekitaran kotor.

Menurutnya, ramai pelanggan terpesona dengan pelbagai menu makanan tetapi tidak menyedari terdapat makanan telah dijangkiti kuman akibat kewujudan serangga perosak seperti tikus dan lipas di dapur premis berkenaan.

Anwar Miliki 20 Akaun Luar Negara Termasuk Israel?



Seorang penyokong kerajaan mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta.

Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada laman web Wikileaks.

Katanya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu dikatakan mempunyai 20 akaun bank dengan jumlah simpanan kira-kira AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD$49 juta (RM123 juta) di bank di Amerika Syarikat, China, Singapura dan Israel.

Lions XII juara baharu Liga Super 2013


Secara rasmi, Lions XII muncul sebagai juara baharu Liga Super selepas menepati ramalan dengan mudah menjinakkan Felda United 4-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura, sebentar tadi.

Seperti yang dijangka, wakil Singapura itu tidak berdepan masalah untuk membuka jaringan menerusi gol sendiri pemain Felda, Azrul Ahmad pada minit ke-47.

SUKMA: Wilayah Persekutuan Bertemu Kedah Perlawanan Akhir Bola Jaring

Juara bertahan, skuad bola jaring Wilayah Persekutuan menepati ramalan mara ke peringkat akhir temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2013.

 Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, skuad Wilayah Persekutuan mengatasi Selangor, 57-29 untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.

Mereka akan bertemu Kedah pada perlawanan akhir hari ini.

Kesal Gambar Masjid Dipijak Di Pasar Raya Melaka


Tindakan sebuah pusat beli-belah di Bandar Hilir Melaka  meletakkan gambar masjid bersama ucapan Selamat Hari Raya di atas lantai setiap pintu masuk pasar raya berkenaan mendapat bantahan orang ramai. 

Ini kerana, tindakan mereka itu seolah-olah menggalakkan orang ramai memijak masjid, sekaligus dianggap satu penghinaan kepada umat Islam.

Peniaga, Aziz Embi, 58, mendakwa, kewujudan gambar masjid di atas lantai sejak kira-kira seminggu lalu amat dikesali kerana masjid merupakan simbol umat Islam, bagaimanapun pengurusan pasaraya terbabit meletakkan martabatnya di bawah tapak kaki.

Tarikh Lihat Anak Bulan Ramadan 8 Julai Ini

Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa ialah pada petang Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Terengganu akan panggil pelajar pulang jika Mesir terus bergolak


Semua pelajar Terengganu di Mesir akan dipanggil pulang sekiranya keselamatan mereka terancam berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu sekarang.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, kini terdapat lebih 300 orang pelajar Terengganu yang sedang belajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah dan Mansoura di Mesir.

10 wanita Thailand dijel sebulan, denda RM500

Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu, semalam  menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM500 atau dua minggu penjara jika gagal menjelaskan denda terhadap 10 wanita warga Thailand.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu selepas tertuduh, Chalida Namnon, 23; Nutphatsorn Phakhot, 37; Wipaporn Khumpon, 26; Sunisa Tamat, 19; Pharaison Siriburee, 24, Sudarat Kanjak, 27; Napalai Lueprom, 24; Jeeraporn Joonok,20-an; Niyuda Chaleephan, 20-an; dan Sawanya Boonprasit, 20-an mengaku bersalah melanggar syarat pas lawatan yang diberikan.

Tuesday, July 2, 2013

PRK Kuala Besut - BN Kemuka Tiga Nama - Muhyiddin

BN akan mengemukakan tiga nama untuk dipilih sebagai calon bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dun Kuala Besut.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ketiga-tiga mereka merupakan orang tempatan dan mempunyai latar belakang berkelayakan tinggi serta berhemah.

"Kita ada ramai tokoh, tetapi saya dikemukakan dengan tiga nama, walaupun Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berada di luar negara, kita akan kemukakan nama-nama ini kepada beliau dan akan putuskan seberapa cepat yang mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-20 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands hari ini.

Muhyiddin yang juga pengarah pilihan raya kecil BN bagi Dun Kuala Besut berkata BN telah membuat persiapan rapi dan berharap menerusi kempen yang akan diadakan nanti, keputusannya akan lebih baik dan majoriti undi meningkat daripada diperoleh pada PRU13, 5 Mei lalu.

"Kita baru mesyuarat tadi di mana wakil bahagian dan setiausaha bahagian bagi taklimat, Menteri Besar (Terengganu Datuk Seri Ahmad Said) pun hadir untuk memberi input tentang apa yang boleh kita lakukan. 

"Begitu juga dengan pembahagian tugas-tugas, bahagian pun usulkan kalau negeri-negeri lain hendak membantu, bahagian akan tetapkan setiap peti undi ada dua buah negeri, tidak ada masalah," katanya.

Beliau berkata sekiranya pilihan raya kecil diadakan pada bulan Ramadan, mungkin gerakan kempen akan diadakan dengan pendekatan berbeza daripada biasa.

"Strategi kita adalah untuk menang kawasan itu yang juga merupakan kubu kuat BN, tidak ada soal wujudnya kerajaan campuran, tidak payah andaikan (akan berlaku)," katanya.

Mengenai kenyataan DAP berkaitan tindakan memboikot pilihan raya kecil tersebut berikutan isu dakwat kekal, Muhyiddin berkata,: "Saya andaikan bagus juga kalau dia boikot, kita hadapi itu sebagai kenyataan, tidak ada masalah kerana sistem demokrasi negara kita mengizinkan, kalau ada pencabar, kita akan tentang."

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada majlis di Kulaijaya, Johor baru-baru ini mencadangkan agar Pas memboikot pilihan raya kecil Dun Kuala Besut, bagaimanapun Pas Terengganu sudah membuat keputusan muktamad untuk bertanding dan tidak akan memberi kemenangan mudah kepada BN.

Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mulai 26 Jun lalu berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada Rabu lepas.

Pada PRU13, Allahyarham mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut untuk BN dengan mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi itu. Dun Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi berdaftar.