Saturday, December 21, 2013

Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Alvin, Vivian Tangguh Perbicaraan


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur  menolak permohonan pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa mempersenda umat Islam dalam laman Facebook untuk menangguhkan perbicaraan kes mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim menolak permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan itu dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. 

Kamardin dalam penghakimannya berkata tiada merit dalam permohonan itu selain alasan yang dikemukakan kedua-dua pemohon tidak mencukupi bagi membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan prosiding itu.

Terus Sokong Harimau Muda - PM


Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong pasukan bola sepak negara meskipun gagal dalam misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA ke-27 di Myanmar.

"Walaupun kemenangan tidak berpihak kepada skuad Harimau Muda, saya yakin setiap pemain telah lakukan yang terbaik. Teruskan menyokong mereka," kata perdana menteri di laman Twitter beliau semalam.

Misi membawa pulang emas gagal apabila skuad bawah 23 tahun negara tersingkir di peringkat separuh akhir pada Khamis.

Suspek Samun Dan Belasah Wanita OKU Diberkas

Kes samun dan belasah seorang wanita warga emas kurang upaya di Besut pada Sabtu lalu dianggap selesai dengan penangkapan seorang lelaki di Felda Tenang, Besut dua hari kemudian.

Suspek berusia 21 tahun itu diberkas pada pukul 1.30 pagi di rumahnya dan polis menemui semula barangan kemas milik mangsa, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan kepada pemberita, semalam.

Katanya, polis juga merampas sebatang besi yang dipercayai diguna oleh suspek untuk membelasah mangsa.

Azih Muda Presiden Baru CUEPACS

Pemilihan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyaksikan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysis (ANULAE), Azih Muda, 56, diumumkan sebagai Presiden CUEPACS bagi penggal 2013-2016.

Bekas Timbalan Presiden 1 CUEPACS itu menewaskan pencabarnya, yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Kementerian Pertahanan (KESATRIA), Ahmad Shah Mohd Zain dengan majoriti 390 undi bagi jawatan tertinggi kesatuan.

Azih mendapat 701 undi, manakala Ahmad Shah 311 undi pada Konvensyen Tiga Tahun Sekali CUEPACS di Dewan Wawasan, Menara PGRM, di Kuala Lumpur, kelmarin.Badan itu mewakili suara 1.4 juta penjawat awam.

Tanaman Bernilai RM4.7 Juta Rosak Akibat Banjir di Terengganu

Seluas lebih 700 hektar kawasan tanaman di Terengganu mengalami kerosakan akibat banjir yang melanda baru-baru ini menyebabkan kerugian bernilai lebih RM4.7 juta.

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Md. Yusof Maidin berkata, kerosakan itu juga melibatkan tanaman kontan seperti padi, jagung, ubi kayu dan ubi keledek selain buah-buahan, sayur-sayuran, cendawan serta juga tapak semaian anak pokok (nurseri).

"Tanaman itu telah rosak kerana ditenggelami air dan jumlah petani yang terlibat seluruh negeri ini dengan banjir adalah sebanyak 856 orang,” katanya kelmarin.

  Md. Yusof berkata, daerah Kemaman mengalami kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM4.1 juta melibatkan 532 orang petani dengan kawasan seluas 317 hektar.

Rekod Mengagumkan Malaysia Basmi Kemiskinan


Malaysia terima pujian daripada Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) kerana pencapaiannya mengagumkan dalam membasmi kemiskinan sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Hari ini, Malaysia dianggap sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana hujung tinggi bersama indeks pembangunan manusia yang tinggi. Pelapor Khas PBB Hak Bagi Makanan, Olivier De Schutter berkata, antara 1995 dan 2012, insiden kemiskinan agregat rakyat Malaysia dikurangkan daripada 8.9 kepada 1.7 peratus dan kemiskinan bandar berkurang daripada 3.7 peratus kepada 1.0 peratus.

VAT69 Dan Polis Besut Adakan Bacaan Tahlil Untuk Wira Negara


Kira-kira 200 pegawai dan anggota dari VAT 69 bersama anggota polis Besut serta penduduk kampung mengadakan bacaan yasin dan tahlil kelmarin (Rabu) untuk Allahyarham Wira Negara ASP Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah Mac lalu.

Majlis yang diadakan di Masjid Gong Bayor di Besut  ini adalah bersempena sambutan Perayaan ke-44 Tahun VAT 69 atau 69 Komando Pasukan Gerak Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpengkalan di Markas Briged Utara Ulu Kinta, Perak.

Turut serta Komander PGK, Datuk Azizan Abd Aziz; Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil; ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail; serta isteri Allahyarham, Nor Aziah Noor dan tiga anak lelakinya, Nur Aqma Amiruddin, 5, Nur Muhammad Aqil, 3, dan anak bongsunya Nur Aqib Syehid yang baru berumur 3 bulan.


PNB Sumbang RM411,000 Bantu Mangsa Banjir

Permodalan Nasional Berhad (PNB) kelmarin  menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM411,000 kepada Tabung Bencana Malaysia Relief Agency (MRA)-Utusan dan Yayasan Sukeralawan Siswa (YSS) untuk membantu mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menyerahkan cek bernilai RM300,000 kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, untuk Tabung MRA-Utusan.

Skuad Bola Sepak Malaysia Pada Ranking 154 Dunia


Skuad bola sepak negara menutup kalendar 2013 dengan peningkatan dalam kedudukan ranking bola sepak dunia selepas apabila menghuni tangga ke-154. Ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) semalam menunjukkan skuad negara naik empat anak tangga berbanding kedudukan ke-158 bulan lepas.

Pada Januari, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158 disusuli 159 pada Februari, 164 (Mac), 163 (April), 161 (Mei) selain kekal pada kedudukan ke-159 dunia pada Jun dan Julai, Ogos (162), September (161) dan Oktober (160).

Pelajar Kolej Kena Ragut


Seorang pelajar wanita Kolej Yayasan Terengganu cedera akibat terjatuh daripada motosikal selepas diragut sekumpulan lelaki yang menaiki kereta PERODUA Viva di Kampung Tok Jembal, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 7.30 pagi ketika Zafira Halwa Ibrahim, 20, yang menunggang motosikal Honda Dash dalam perjalanan ke kolej berkenaan untuk menduduki ujian percubaan akhir tahun.

Kuarters Bomba Tidak Dihuni Boleh Digunakan Keluarga Terlibat Banjir

Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat yang tidak dihuni boleh dijadikan pusat pemindahan untuk keluarga anggota bomba yang terlibat dengan banjir di negeri ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Noriah Hashim.

Kuarters yang tidak didiami itu sesuai digunakan kerana ia mempunyai banyak tingkat dan memudahkan urusan pemindahan, katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Cukai yang terjejas akibat banjir di Kemaman, kelmarin.

PTPTN Sediakan Beg Sekolah RM100,000 Untuk Bantu Mangsa Banjir

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang dalam proses menyampaikan sumbangan beg sekolah bernilai RM100,000 kepada 1,900 keluarga mangsa banjir.

Ia dilakukan melalui Misi Sukarelawan PTPTN di negeri terjejas banjir iaitu Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan. "Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi," kata Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah tentang misi itu yang dilancarkan di ibu negara semalam.

Menurutnya, Misi Sukarelawan PTPTN yang pertama berada di Temerloh, Pahang pagi ini untuk menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Wednesday, December 18, 2013

Jangan Salah Guna Surat Sokongan Pertimbangan Untuk Lulus Projek - Ahmad Said


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said Selasa mengingatkan ketua-ketua jabatan di negeri ini supaya tidak menganggap surat sokongannya agar sesuatu projek itu dipertimbangkan, sebagai bermaksud arahan kelulusan.

Katanya beliau sudah mengingatkan semua pegawai dan ketua jabatan supaya menyiasat dan menimbang setiap permohonan projek bergantung kepada kesesuaian harga.

Ada pihak yang tidak memahami kaedah sebenar pada hal beliau hanya menurunkan tandatangan sokongan meminta supaya permohonan (sesuatu projek) itu dipertimbangkan terlebih dahulu, katanya kepada pemberita selepas Program Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said mendedahkan ada juga beberapa ketua jabatan di Terengganu yang meluluskan projek berdasarkan surat yang beliau tandatangan untuk sesuatu projek itu dipertimbangkan.

Beliau tidak pernah mengarah atau memaksa mana-mana ketua jabatan untuk meluluskan projek kepada individu tertentu, tegasnya.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya sedang memantau perkara itu. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali.

Terengganu Umum Bantuan Kepada Mangsa Banjir Hari Ini

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said akan mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan memberi bayangan tentang bentuk sumbangan itu.

"Tunggulah esok. Kita akan bincang bantuan ini dalam mesyuarat Exco dan umumkan selepas itu. "Yang pastinya memang ada sumbangan untuk mangsa banjir di Terengganu agar dapat ringankan beban mereka," kata semalam.

Pada 7 Dis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga mangsa banjir.

Permohonan BR1M 2014 Dibuka Dari 23 Dis Hingga 31 Jan

Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 akan dibuka dari Isnin ini sehingga 31 Jan depan, menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

"Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Pelakon Azean Irdawaty Meninggal Dunia Akibat Kanser


Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty Yusoff, 63, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Selasa akibat kanser.

Allahyarham meninggalkan suami Khairil Anwar Z.M Rashidi serta tiga anak, Khaeryll Benjamin atau Benjy, Inessa Irdayanty dan Elza Irdalynna.

Pengurus Benjy, Faizal Mustaffa berkata Allahyarham Azean yang menghidap kanser sejak lapan tahun lepas meninggal dunia pada 7.29 malam.

Allahyarham Azean merupakan pelakon yang mula mencipta nama sebagai penyanyi pada era 70-an dan kemudian meledak sebagai primadona layar perak pada akhir 70-an menerusi lakonannya dalam banyak filem dan drama televisyen serta pentas.

Pegawai Kanan Penguatkuasa Antara 11 Ditahan Sindiket Dadah RM14 Juta


Polis percaya dapat menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan penahanan 11 lelaki termasuk pegawai kanan dan pegawai penguatkuasa serta warga asing dalam beberapa serbuan di ibu negara dan Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata mereka disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM14 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Beliau berkata dalam serbuan di sekitar Taman Desa, Jalan Klang Lama, Brickfields dan Jalan Pudu di sini, serta Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan pada Sabtu lepas dan kelmarin, polis menahan empat lelaki warga Nigeria, seorang lelaki warga India dan enam lelaki tempatan berumur antara 22 dan 58 tahun.

Mercy Malaysia Bersedia Hadapi Banjir Gelombang Kedua

Mercy Malaysia sudah bersedia menghadapi banjir gelombang kedua dengan memastikan sukarelawannya ditempatkan di kawasan yang dijangka berlaku bencana itu.

Pegawai Operasi Mercy Malaysia Hilda Zamri berkata dalam pada itu misi kemanusiaan membantu mangsa banjir semasa gelombang pertama tetap diteruskan.

"Misi kami bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan bagi mengagihkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan dan juga ubat-ubatan selain menyediakan klinik bergerak," katanya kepada pemberita, di Kemaman, semalam.

Ujian Kecenderungan Kemasukan Ke MRSM Pada 24 Dis

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadualkan semula Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk calon yang terjejas akibat banjir di kawasan Pantai Timur.

MARA dalam kenyataan semalam memaklumkan ujian dan sesi temu duga itu akan diadakan pada 24 Dis bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang di MRSM Kota Putra, Terengganu (calon program Ulul Albab) dan MSRM Kuantan, Pahang (calon program biasa dan 'International General Certificate of Secondary Education').

Calon boleh menghubungi talian 09-6957655 bagi ujian dan sesi temu duga di MRSM Kota Putra dan 09-5681502 bagi MRSM Kuantan.

Tuesday, December 17, 2013

Pelajar 14 Tahun Cuba Bunuh Diri Berdepan Penjara


Akibat tekanan perasaan, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan di daerah ini nekad untuk membunuh diri dengan cuba terjun dari bangunan sekolah.

Natijahnya, dia terpaksa menanggung hukuman yang bakal dikenakan akibat perbuatan di luar kewarasannya itu.

Dia yang difahamkan anak ketiga daripada lima beradik itu bakal berdepan hukuman penjara atau denda. 

Tertuduh yang sempat ditemui Sinar Harian selepas pendakwaan dilakukan ke atasnya berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana gagal mengawal emosi selepas menghadapi masalah pelajaran dan keluarga.

“Saya menyesal melakukan kesalahan itu. Mungkin apa yang saya lalui ini merupakan pengajaran buat saya. Saya nasihatkan rakan-rakan lain agar tidak melakukan perbuatan ini kerana ia salah di sisi agama dan undang-undang,” luah gadis 14 tahun yang berhadapan dakwaan cuba membunuh diri itu.

Pelajar perempuan terbabit berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Dia yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun pagi semalam didapati melakukan perbuatan itu pada jam 9.10 pagi 6 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pelajar yang berasal dari Kampung Kuala Abang itu bagaimanapun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Hussain Bustari.

Dia dikenakan jaminan sebanyak RM1,500 dan mahkamah menetapkan 24 Disember ini sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Episod Ketiga Hujan Lebat Di Pahang, Terengganu Dan Johor Bermula Esok?

Penduduk di Terengganu, Pahang dan Johor dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod ketiga hujan lebat yang dijangka bermula esok hingga Jumaat ini.

Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata ia dijangka disertai air pasang besar dan tiupan angin kencang di Laut China Selatan.

Beliau mengulas lanjut mengenai kenyataan media jabatan itu yang menyatakan hujan lebat itu boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

ECER Umum 12 Pelaburan Baharu Bernilai RM10.08 Bilion


Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Isnin mengumumkan pelaburan baharu di wilayah ini berjumlah RM10.08 bilion oleh 12 pelabur, termasuk tiga penerima Tabung kemudahan Teraju untuk Usahawan Bumiputera.

Ia membabitkan empat pelaburan bernilai RM5.61 bilion di Pahang, lima pelaburan di Kelantan bernilai RM2.96 bilion dan tiga pelaburan di Terengganu bernilai RM1.51 bilion.

Menerusi pelaburan baharu ini, jumlah pelaburan yang berjaya ditarik oleh wilayah pembangunan itu pada 2013 sahaja berjumlah RM28.46 bilion.

Terengganu Salur Bantuan RM1.34 Juta Kepada 788 Pesakit Kronik

Tabung Penyakit Kronik yang ditubuhkan kerajaan Terengganu menyalurkan RM1.34 juta kepada 788 pesakit kronik di negeri ini bagi tempoh April hingga Oktober lepas.

Daripada jumlah itu, 156 pesakit buah pinggang menerima bantuan sebanyak RM256,500, 132 pesakit jantung (RM166,200) dan 35 pesakit kanser (RM123,750), kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof.

Selain itu, katanya, sebanyak RM412,479.63 disalurkan untuk membayar bil perubatan dan RM388,150 untuk penyakit lain.

3,252 Anggota Polis Terengganu Sedia Hadapi Gelombang Kedua Banjir

Polis Kontinjen Terengganu bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir yang diramalkan berlaku dalam masa terdekat.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata bagi melicinkan operasi penyelamat, seramai 3,252 pegawai dan anggota polis akan digerakkan bagi membantu mangsa banjir.

Katanya, kerjasama dengan agensi yang lain juga akan terus dijalinkan agar kesemua operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir berjalan lancar.

Penternak Rugi Lebih RM2.4 Juta Akibat Banjir Di Terengganu

Banjir yang melanda Terengganu menyebabkan para penternak mengalami kerugian lebih RM2.4 juta, kata Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Dr Syed Zulkifli Syed Zainulabidin.

Beliau berkata ia melibatkan kira-kira 700 orang penternak di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu. "Kerugian sebenar ialah RM2,406,000 sebab ternakan mereka seperti lembu, kambing, ayam dan rusa terkorban dalam banjir," katanya.

Dr Syed Zulkifli berkata daerah Kemaman mencatat kerugian paling tinggi iaitu bernilai RM1.6 juta, Dungun (RM470,000), Hulu Terengganu (RM210,000), Marang (RM86,000) dan Setiu (RM40,400).

SOP Polis Terengganu Pada Tahap Terbaik - Ketua Polis Negeri

Prosedur Operasi Standard (SOP) Polis Terengganu dalam menghadapi bencana banjir ketika ini berada pada tahap terbaik, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Bagaimanapun, katanya tahap kesiapsiagaan polis Terengganu dalam menghadapi bencana itu akan terus dipertingkatkan. "SOP yang digunakan polis ketika ini adalah berpandukan kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta perintah daripada Ketua Polis Negara," katanya semasa melawat anggota polis yang menjadi mangsa banjir di Balai Polis Pasir Gajah di Kemaman, kelmarin.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan berupa makanan dan peralatan dapur kepada sembilan anggota polis dari balai itu yang menjadi mangsa banjir.


Sesi Persekolahan Sekolah Terlibat Banjir Tetap Ikut Jadual Asal - Idris

Semua sekolah yang terlibat dengan banjir akan memulakan sesi persekolahan tahun depan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima aduan atau permohonan daripada pihak sekolah untuk menangguhkan sesi persekolahan.

"Tambahan pula masih ada tempoh selama dua minggu sebelum sekolah dibuka dan kita yakin mereka (pihak sekolah) dapat menyelesaikan serta menyelaraskan masalah yang dihadapi ekoran banjir," katanya. 

JHEAT Salur Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Kemaman Dan Dungun

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir terutamanya di daerah Kemaman dan Dungun dengan memberi tumpuan kepada golongan asnaf seperti fakir dan miskin.

Pengarah Jabatan Baitulmal JHEAT Mohd Noor Mohamad berkata jumlah bantuan itu berdasarkan kemiskinan dan keperluan mereka.

 "Kita akan bermesyuarat untuk mengambil keputusan supaya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mencadangkan siapa yang layak menerima bantuan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata. bantuan itu akan diagihkan dalam masa terdekat sebagai persediaan menjelang penggal baharu persekolahan tidak lama lagi.

Monday, December 16, 2013

Ketua & Pengikut Tuhan Harun Didakwa Bunuh Pegawai JAIP



Seorang pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun', Sumustapha Suradi, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi ini atas tuduhan dengan niat bersama dua lagi yang masih bebas membunuh Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek pada 10 November lalu.

Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 30, dan Shaizral A Eddie Nizam Shaari, 37, didakwa mengikut Seksyen 120B(1) yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dituduh melakukan konspirasi jenayah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tiba dengan kawalan ketat polis.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati mandatori.

Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali kemudian membenarkan pemohonan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Banjir Di Terengganu, Kerugian Peralatan Sekolah Cecah Puluhan Juta Ringgit

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri turut membantu membersihkan kawasan dilanda banjir di Kemaman, kelmarin. 
Banjir besar luar jangka yang berlaku di Terengganu terutama di daerah Kemaman memusnahkan banyak harta benda dan peralatan sekolah mengakibatkan anggaran kerugian bernilai puluhan juta ringgit.



Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, taksiran sedang dijalankan terutama membabitkan peralatan pejabat seperti sistem komputer di sekolah seluruh daerah itu yang ditenggelami air banjir bermula, 2 Dis lepas.

"Jumlah kerugian sebenar kita belum peroleh kerana kerja-kerja pentaksiran harta benda dan peralatan sekolah yang musnah sedang dijalankan sekarang.

Ia bukan kerugian setakat dua, tiga juta ringgit, tetapi menjangkau puluhan juta ringgit untuk kembali pulih kerana sistem yang rosak perlu diganti.

Persepsi Serong Terhadap Umno, BN Terengganu Perlu Dihakis

Persepsi serong segelintir pihak terhadap Umno dan BN berlaku berikutan maklumat yang dimanipulasi pembangkang tidak ditangani dengan bijak dan dijelaskan dengan baik di semua peringkat.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kebanyakan tohmahan yang dibangkitkan Pas, PKR dan DAP mengenai Umno dan BN boleh mengikis keyakinan rakyat terhadap parti kerajaan secara beransur-ansur sekiranya tidak diselesaikan secara berhemah.

Sehubungan itu katanya, peranan biro penerangan amat besar dalam memastikan cabaran sedemikian diatasi bagi menepis dakyah pembangkang yang boleh meracuni fikiran pengundi.

Dr Asri: Mat Sabu Perlu Akui 2 Sahabat Rasulullah


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu disarankan supaya mengakui kepimpinan dua sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar As Shiddiq dan Saidina Umar Bin Khattab sebagai bukti tidak terlibat fahaman Syiah.

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan perkara itu melalui laman Facebooknya hari ini bagi menangkis dakwaan yang dikenakan kepadanya.

Mohd Asri yang dipetik sebagai berkata, Mohamad atau Mat Sabu perlu mengistiharkan kepada umum kepimpinan dua sahabat Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang sah.

"Mudah saja, kalau Mat Sabu bukan Syiah dia hendaklah mengisytiharkan pada umum bahawa beliau mengakui kepimpinan Abu Bakar dan Umar sebagai pemimpin yang sah lagi berada atas landasan petunjuk ALLAH dan Rasul-NYA," tulisnya

Terengganu Biaya 30 Individu Tunai Haji

Kerajaan Negeri Terengganu membiayai 30 individu terpilih mengerjakan haji tahun ini membabitkan kos sebanyak RM299,400, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib.

Katanya mereka terdiri 17 kakitangan awam, lapan pengerusi Jawankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tiga imam, seorang bilal dan seorang penerima anugerah cemerlang Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

T-Team Uji Dua Pemain Import Ketika Bertemu PKNS Dan ATM

Patrich Steve Wanggai
Pasukan berstatus kelab T-Team akan mengadakan dua siri perlawanan persahabatan bersama Selangor PKNS dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di ibu negara minggu ini sebagai pemanas badan sebelum beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh berkata dalam masa yang sama juga pihaknya akan menguji dua senarai nama pemain import buat kali terakhir sebelum hanya salah seorang dipilih untuk mengisi kuota pasukan tersebut sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain import pada esok ( 17 Dis).

"Kita masih memerlukan seorang lagi diletakkan dalam posisi penyerang di mana kita akan menguji dua nama dalam senarai iaitu Elvado Goncalves (Brazil) dan Andre Buengo (Angola).

SME Corp Salur RM17.6 Juta Kepada 114 Usahawan Di Terengganu Sejak 2007

SME Corporation Malaysia memperuntukkan RM17.6 juta kepada 114 usahawan di Terengganu yang mengusahakan pelbagai bidang perniagaan sejak 2007.

Daripada jumlah itu, sebanyak 29 peratus peruntukan disalurkan kepada bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman, simen dan perkayuan (17 peratus), minyak dan gas (14 peratus) dan tekstil serta pakaian (11 peratus) manakala bakinya disalurkan untuk bidang lain.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rohana Ramly berkata setakat ini pihaknya berpuas hati terhadap prestasi dan pembangunan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Terengganu. 

PAS Kelantan Masih Perlukan Khidmat Husam


Nik Amar
Khidmat Datuk Husam Musa masih diperlukan dalam kepimpinan Pas Kelantan setelah beliau dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya III parti itu bagi sesi 2013 hingga 2015.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi sebelum ini apabila ada mempersoalkan sama ada Husam akan terus berada dalam kepimpinan Pas Kelantan selepas namanya digugurkan daripada senarai exco kerajaan negeri Jun lalu.

Husam berkata, beliau menerima jawatan tersebut walaupun lantikan itu seakan mempersendakannya sebagai Naib Presiden Pas.

Pantai Dan Sungai Terengganu Tidak Selamat Ketika Musim Tengkujuh - Ketua Polis Terengganu

Kesemua pantai dan sungai di kawasan peranginan di Terengganu didapati tidak selamat untuk aktiviti air terutama pada musim tengkujuh sekarang, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Ia ekoran beberapa kes lemas di pantai telah dicatatkan sepanjang musim tengkujuh ini dengan terbaru, seorang lelaki nyaris lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk awal pagi semalam.

Manakala pada Jumaat, dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun terkorban ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Dungun.

Enam Bank Tawar Kemudahan Bantu Ringankan Beban Mangsa Banjir

Enam institusi perbankan yang mempunyai cawangan di kawasan terlibat banjir bersetuju melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban kewangan serta harta benda pelanggannya.

Menurut kenyataan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) baru-baru ini, bank berkenaan ialah Agrobank, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, EXIM Bank dan SME Bank.

ADFIM yang menyelia enam bank itu berkata antara inisiatif jangka pendek yang dikenal pasti ialah menangguhkan sementara bayaran pinjaman, menstruktur semula pinjaman, membantu pelanggan mempercepat proses tuntutan insurans dan melanjutkan tempoh urus niaga di kawasan yang tidak terjejas banjir.

Tentera Darat Siapkan Jambatan Kedua Di Terengganu

Anggota tentera bekerja keras menyiapkan jambatan taktikal di Kemaman minggu lalu.
Tentera Darat telah menyiapkan sebuah lagi jambatan yang sebelum ini mengalami runtuhan di kedua-dua arah akibat banjir di Kampung Kuala Kejil, Kuala Berang, Terengganu.

Jambatan taktikal jenis Compact Bailey 100 itu boleh digunakan orang ramai sejak 7 pagi.

Pembinaan dan pemasangan jambatan itu melibatkan seorang pegawai dan 40 anggota lain-lain pangkat dari 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja.

Jambatan Baharu Menghubungkan Kampung Dusun-Dura Dibina Tahun Depan - Ahmad Said


Kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Kampung Dusun dengan Kampung Dura di sini untuk ke pekan Kuala Berang, tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata jambatan yang menelan belanja RM70 juta itu dijangka mula dibina pada suku pertama tahun depan.

"Dengan adanya kemudahan jambatan itu, orang ramai dapat memendekkan jarak perjalanan daripada 18 kilometer kepada 1.8 kilometer untuk ke Pekan Kuala Berang.


Bantuan Banjir RM500 Diagih Selewat-Lewatnya Hujung Minggu Ini - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bantuan khas RM500 bagi mangsa banjir akan diagihkan kepada mangsa selewat-lewatnya hujung minggu depan.

Beliau berkata pengagihan bantuan itu akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Dalam usaha membantu mangsa, Kolej Kemahiran Tinggi Mara turut menawarkan khidmat baik pulih kenderaan yang rosak akibat banjir.

Skuad Bola Sepak Terengganu, T-Team Bantu Kempen AADK

Pemain bola sepak Terengganu, Nor Farhan Muhammad (dua dari kiri), rakan sepasukan dan anggota AADK mengedar risalah Anti Dadah dan mengutip derma bagi mengisi tabung sumbangan untuk mangsa banjir di sekitar Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, kelmarin.
Dalam usaha menyampaikan maklumat bahaya dadah kepada masyarakat, pelbagai usaha dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), antaranya menyebarkan risalah-risalah berkaitan penyalahgunaan barang terlarang itu. Terbaru, AADK dengan kerjasama pengurusan pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team menyertai Program Ride 4 Care, Ride Serve 2013 anjuran Skuad 1Malaysia dekat Kuala Terengganu semalam.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti cilik Mia Sara dan Imam Muda, Najdi (Wan Najdi Wan Mohd. Noh) yang berkayuh basikal sejauh lebih 10 kilometer bagi mengedar risalah berkaitan.