“Juga, digembar-gemburkan ada segelintir individu yang dikatakan lebih
berkuasa dalam pentadbiran negeri.
Ia sehinggakan timbul cakap-cakap di belakang, antaranya ‘ada segelintir
individu dikatakan melangkaui tangga jawatan meninggalkan mereka yang
lebih senior...’
- Mohd Nasir Ibrahim Fikri
Ahli Parlimen Kuala Nerus. Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri kelmarin memberikan peringatan bahawa pegawai dan kakitangan kerajaan di Terengganu agak signifikan pengaruhnya dalam menentukan kemenangan sesuatu parti politik dalam pilihan raya.
Beliau turut timbulkan isu ‘Ketua Menteri Besar’ dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) Terengganu.
Apakah yang dimaksudkan beliau mengenai 'Ketua Menteri Besar'? Apakah orang ini lebih besar kuasanya daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said?
Dalam temubual dengan Utusan Malaysia kelmarin bertajuk ‘Terengganu Boleh Menang, Asalkan…” beliau berpendapat isu seperti ini akan menggugat kestabilan BN dan kerajaan negeri perlu memberikan perhatian mengenai keperluan menjaga hati dan perasaan pegawai-pegawai kerajaan.
“Ini memandangkan timbul cakap-cakap mengenai isu ‘Ketua Menteri Besar’,” katanya.
Tanpa menama atau memberikan petunjuk mengenai orang berkenaan, apa yang ditimbulkan oleh Mohd Nasir itu perlu diberikan perhatian oleh pemimpin kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah.
“Juga, digembar-gemburkan ada segelintir individu yang dikatakan lebih berkuasa dalam pentadbiran negeri. Ia sehinggakan timbul cakap-cakap di belakang, antaranya ‘ada segelintir individu dikatakan melangkaui tangga jawatan meninggalkan mereka yang lebih senior’,” katanya.
Benarkah keadaan ini dan bukankah kuasa ini berada di tangan SUK?
Apakah kuasa Mazlan juga terhad berbanding orang yang dimaksudkan itu?
Mohd Nasir memberi amaran, keadaan ini samalah seperti pada 1999 apabila sesetengah orang dalam kerajaan tidak puas hati dengan Menteri Besar yang masih belum berganti.
“Para pegawai dan kakitangan kerajaan di Terengganu agak signifikan pengaruhnya dalam menentukan kemenangan sesuatu parti politik. Apabila Pas ambil alih, orang-orang mereka begitu rakus mengambil alih kuasa dan membuang pegawai-pegawai yang dilantik sebelum itu oleh pentadbiran BN,” katanya.
Tetapi apabila BN waktu ambil pada 2004, BN ambil juga pegawai-pegawai yang dilantik masa Pas memerintah, kerana tidak semua yang tidak bagus.
“Inilah yang cuba saya kongsikan sebab orang dalam kerajaan ini apatah lagi kakitangan sokongan seperti kerani, mereka ini ibarat gatekeeper untuk orang kampung bertanyakan masalah setempat.
Ia termasuklah soal yang sekecil-kecilnya seperti membantu mengisi borang permohonan tanah dan sebagainya. Apa yang mereka saksikan dan isu-isu yang berlegar di jabatan mereka, itulah yang akan diceritakan kepada rakyat terutama pengundi, yang kemudian akan memangkah di kertas undi," katanya.
Mengenai isu pemilihan calon, Mohd. Nasir berharap mereka yang lama bergelumang dengan sepak terajang parti dan ‘masak’ dengan pengalaman diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran BN pada PRU-13 nanti.