Saturday, December 7, 2013

Kelewatan Hantar Bekalan Bantuan Banjir Bukan Disengajakan - KP Bomba

Anggota tentera memunggah bantuan bekalan makanan dari helikopter setibanya pesawat EC725 itu di Pusat Penempatan Mangsa Banjir SK Banggol, Chukai, Kemaman di sini, hari ini untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Datuk Seri Ahmad Said berkata segala bentuk bekalan bantuan seperti barangan keperluan dapur, minuman, ubatan, selimut dan barangan asas berkaitan akan disalurkan segera kepada para penduduk terlibat dengan banjir.

"Ini termasuk menggunakan sepenuhnya bantuan logistik daripada Angkatan Tentera Malaysia bagi menyegerakan penghantaran bekalan berkenaan terutamanya di kawasan sukar serta terputus laluan darat," kata Menteri Besar Terengganu itu.


Beliau menyatakannya selepas mempengerusikan  mesyuarat penyelarasan bantuan banjir Kemaman, di Cukai hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Anggota Parliman Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata kelewatan pasukan penyelamat menghantar bantuan ke beberapa lokasi dilanda banjir bukan disengajakan, sebaliknya disebabkan beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (kiri) berkata antara halangan yang terpaksa ditempuhi ialah gangguan bekalan elektrik selain kesukaran komunikasi.

"Selain itu kita terpaksa tempuhi laluan menuju ke tempat penghantaran bantuan yang terpaksa ditutup ekoran ditenggelami air banjir.

"Terdapat juga kenderaan-kenderaan yang diletakkan di bahu jalan agar tidaktenggelam menyebabkan kelewatan bantuan kita tiba di sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Bomba Sukarela Zon Pantai Timur dan Selatan di Kuala Terengganu hari ini.

Konvensyen dua hari bermula semalam itu dihadiri hampir 300 peserta mewakili28 pasukan bomba sukarela. Menurutnya ekoran kekangan itu, perjalanan yang sepatutnya singkat akhirnya mengambil masa sehingga dua atau tiga jam untuk sampai.

Dalam pada itu Wan Mohd Nor berkata pengurusan bencana di negara ini masih berada di tahap yang baik jika dibandingkan negara lain. Katanya ini berikutan jumlah mangsa yang terkorban akibat bencana alam itu sentiasa berada pada tahap minimum manakala mangsa berjaya diselamatkan pula masih terjaga makan minumnya.

"Kita difahamkan setakat ini, yang kita dapat pindahkan...berpuluh-puluh ribu mangsa banjir kita tiada masalah. Kita pasukan penyelamat ni...kita cuba sedaya upaya memberi bantuan jika diperlukan. "Mungkin ada satu dua kesulitan sehingga menyebabkan kelewatan.

Tapi, bagi saya ia bukan satu isu yang besar. Yang penting, dalam keadaan kecemasan begini, kita kenalah bertenang dan berlapang dada," katanya.

Sementara itu,  Jurutera daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kemaman Abdul Razak Ahmad berkata di Kemaman hari ini, limpahan air melanda Kemaman khususnya di sekitar bandar Cukai dikatakan mengatasi rekod banjir besar di daerah tersebut pada tahun 1971 dan tahun lepas.

 rekod hujan tertinggi itu melebihi 1,161 milimeter (mm) di Stesen Hujan Jabor dan 1,029mm di Stesen Hujan Padang Kubu.

Katanya satu lagi stesen hujan di Air Putih turut mencatatkan jumlah yang tinggi bagi tempoh berkenaan iaitu 712mm.

"Rekod taburan hujan tertinggi di Stesen Hujan Jabor itu menghampiri separuhdaripada purata taburan hujan dicatat seluruh negeri Terengganu iaitu antara 3,000-3,500mm bagi tempoh setahun.

"Jumlah kuantiti air bagi tempoh tersebut agak luar biasa berbanding 500mm sahaja di Stesen Air Putih iaitu catatan taburan hujan tertinggi dari 24 hingga 27 Dis 2012 ketika terjadinya banjir tahun lepas," katanya.

Abdul Razak berkata faktor semula jadi adalah penyebab curahan hujan lebat luar biasa melanda daerah ini (Kemaman) selama tiga hari bermula 2 hingga 5 Dis lalu

 Kesemua aliran air hujan itu memasuki tiga sungai utama di daerah ini iaitusungai Jabor, sungai Tebak dan sungai Air Putih sebelum bertemu dan masuk kesungai kemaman di bahagian hulu, yang mengalir ke kuala di mana terletaknyabandar Cukai.

Katanya limpahan hujan luar biasa itu turut mengakibatkan beberapa kawasan berkepadatan penduduk yang sebelum ini tidak pernah ditenggelami secara kritikal seperti Paya Berenjut dan Mak Lagam menerima kesannya.

"Malah banjir kali juga ditambah dengan faktor air pasang laut besar dari 2hingga 5 Dis lalu," katanya.

Friday, December 6, 2013

Paras Takungan Normal - Empangan Kenyir Tidak Perlu Lepaskan Air



Pihak pengurusan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud hari ini  menafikan dakwaan bahawa mereka akan melepaskan air Empangan Kenyir bagi menurunkan paras takungan.

Pengurus Besar stesen Mohd Aidee Hamidin berkata paras air di empangan itu sekarang ialah pada ketinggian 138 meter, iaitu paras normal.

"Empangan ini memerlukan takungan air yang banyak untuk menjana elektrik, justeru dakwaan kami akan melepaskan air untuk mengurangkan takungan sekali gus menyebabkan banjir besar, adalah tidak benar," katanya hari ini.

TPM Mohon Maaf Kepada Mangsa Bencana, Arah Segerakan Salur Bekalan

Muhyiddin Yassin bersama Ahmad Said, Ahmad Shabery dan rombongan bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Permindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggo, Paya Berenjut, Kemaman.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada semua mangsa bencana banjir kerana kelewatan bantuan bekalan makanan semasa banjir kali ini di seluruh negara.

Ia suatu perkara yang tidak diduga.

Justeru Muhyiddin mengarahkan agensi kerajaan berkaitan menyedia dan memberi stok makanan dengan segera kepada mangsa banjir memandangkan keadaan meruncing terutama di Kemaman.

"Saya telah keluarkan arahan kepada pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara)supaya menyediakan stok bekalan makanan yang mencukupi untuksekurang-kurangnya tiga hari.

"Amaun yang boleh digunakan tidak menjadi isu. Soalnya bekalan yang boleh kita ambil, mesti disimpan di setiap pusat pemindahan dan saya minta supaya perkara ini diteliti," katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan dan penempatan mangsa banjir di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Paya Berenjut, hari ini.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar.


Maybank Tawar Penangguhan, Pelepasan Bagi Pelanggan Terjejas Banjir

Maybank akan menawarkan penangguhan enam bulan bagi bayaran ansuran bulanan dan pelepasan daripada caj tertentu mengikut kes kepada pelanggannya di Pahang, Johor dan tempat lain yang terjejas oleh banjir.

Menurut bank itu, penangguhan pembayaran juga diberi kepada pelanggan perbankan perniagaan, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna bagi tempoh Disember 2013 hingga Mei 2014.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata penangguhan itu juga meliputi pelepasan caj bagi pelanggan bank berkenaan yang ingin mendapatkan gantian bagi kad ATM, buku cek dan buku pas yang musnah akibat banjir.

Bekas Calon PKR Bukit Besi Saman Hadi Awang

Mohd. Shamsul Mat Amin (kanan) ketika hadir bersama peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam, bagi memfailkan saman malu sebanyak RM2 juta terhadap Abdul Hadi Awang yang didakwa menfitnahnya semasa kempen PRU-13, April lalu.
Bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin semalam memfailkan saman RM2 juta terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah memfitnahnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), April lalu.
Mohd. Shamsul, 28, yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Dungun selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Tetuan Vasudevan A & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu.

Plaintif ketika ditemui berkata, tuntutan saman itu dikemukakan setelah Abdul Hadi melalui peguamnya menghantar surat bertarikh 7 November kepadanya dengan menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Menurut Mohd. Shamsul yang masih menjadi ahli PKR, tindakan saman itu diambil bagi membersihkan namanya dan dilakukan atas sifat peribadi serta tiada kaitan dengan parti itu yang sebelum ini memintanya agar tidak meneruskan hasrat berkenaan.

Jumlah Mangsa Banjir di Terengganu Kembali Meningkat, Pahang Semakin Ramai

Keadaan banjiir di Kemaman, Bandar Cukai Lumpuh.
Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila seramai 7,337 mangsa daripada 1,810 keluarga ditempatkan di 70 buah pusat pemindahan di empat daerah di sini sehingga pukul 2 petang ini.

Berbanding lewat petang semalam, jumlah mangsa yang ditempatkan di 82 pusat pemindahan adalah seramai 6,052 orang daripada 1,559 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri memberitahu, daripada empat daerah itu, Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,472 orang daripada 595 keluarga.

Katanya, ini diikuti oleh daerah Dungun dengan 4,340 orang daripada 1,075 keluarga, Hulu Terengganu seramai 483 orang daripada 126 keluarga dan Marang dengan 42 mangsa daripada 14 keluarga.

Muhyiddin Arah Pihak Berkuasa Simpan Stok Tiga Hari Makanan



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun padang ke kawasan teruk banjir di Terengganu hari ini mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menghantar bekalan makanan segera ke pusat-pusat pemindahan selain menyedia stok bekalan sekurang-kurangnya tiga hari di situ.

"Amaun yang boleh digunakan tidak menjadi isu. Soalnya bekalan yang boleh kita ambil, mesti disimpan di setiap pusat pemindahan dan saya minta supaya perkara ini diteliti," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan mangsa banjir di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Paya Berenjut, di Kemaman, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan TPM itu ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar.


Ekonomi M'sia Lebih Cerah Tahun Depan Berikutan Pemulihan Global, Kata Ahli Ekonomi

Eksport Malaysia dijangka tumbuh 2.9 peratus tahun ini berbanding 2012 dan meningkat enam peratus tahun depan berikutan ekonomi global yang bertambah baik pada bulan-bulan akan datang, kata pakar ekonomi Institute of Chartered Accountants di England dan Wales (ICAEW).

Douglas McWilliams, Ketua Ekonomi ICAEW merangkap Pengerusi Eksekutif Centre for Economics and Business Research Ltd, berkata ekonomi juga dijangka lebih cerah tahun depan berikutan pemulihan ekonomi global dan pertumbuhan eksport.

"Kami mengunjurkan eksport Malaysia mencapai RM723 bilion untuk 2013 (pertumbuhan 2.9 peratus lebih daripada 2012) dan RM766 bilion untuk 2014 (pertumbuhan enam peratus), katanya.

1,077 Pesalah Trafik Ditahan Dalam Ops Warta Sejak 25 Sept - KPN

Seramai 1,077 pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap ditahan dalam Ops Warta yang dijalankan di seluruh negara, sejak 25 Sept lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sehingga hari ini, lebih 3,000 pemandu yang dikenakan waran tangkap telah secara sukarela membayar saman tertunggak mereka dan waran tersebut dibatalkan.

Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas khusus dalam memastikan 1.7 juta saman tertunggak yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dibayar oleh pesalah trafik.

"Saya menyeru kepada mereka yang masih belum menyelesaikan saman tertunggak ini supaya segera melangsaikannya," katanya dalam sidang media di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6, di Marang, semalam.

KDN, Agensi Berkaitan Digerakkan Secara Bersepadu Bantu Mangsa Banjir

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan sudah bergerak secara bersepadu dalam Ops Banjir bagi membantu mangsa di negeri yang terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian dan agensi yang terbabit adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

"Setakat ini, kita sudah tempatkan seramai 2,443 pegawai dan anggota polis membabitkan 310 bot di lima negeri yang terjejas teruk iaitu Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan dan Melaka untuk membantu memindahkan mangsa," katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Penipuan Kakitangan Bank Babit Kerugian RM473.82j Dalam Tempoh 5 Tahun

Penipuan oleh kakitangan bank dilihat semakin serius sehingga membabitkan kerugian berjumlah RM473.82 juta dalam tempoh lima tahun sejak 2008 sehingga bulan lepas.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Perbankan Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Superintendan Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata, keseluruhan kerugian penipuan bank yang direkodkan dalam tempoh itu adalah RM789,106,376.

Ia membabitkan RM10.1 juta pada 2008, RM27.1 juta (2009), RM85.4 juta (2010), RM84.5 juta (2011), RM191.8 juta (2012) dan RM390 juta (November 2013), katanya kepada pemberita dalam wawancara khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) hari ini.

Kerajaan Sedia Timbang Bantuan Khas Kepada Mangsa Banjir - Najib


Kerajaan sedia menimbangkan bantuan khas kepada mereka yang ditimpa musibah banjir yang melanda beberapa negeri pantai timur ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Kita akan timbang apa yang patut selepas ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia memberi bantuan khas kepada mangsa banjir sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

Terdahulu perdana menteri menaiki helikopter meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang. Beliau turut singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah Pekan, Sekolah Kebangsaan Sungai Miang, Pekan dan Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri di Rompin.

Rakyat Malaysia Dipenjara 15 Bulan Hina Bendera Indonesia

Seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Daerah Dumai semalam selepas dia didapati bersalah menghina bendera Indonesia.

Panel hakim mendapati Broderick ’Achin’ Chin Teck Fui didapati bersalah melanggar Perkara 154 Kanun Jenayah kerana menghina atau menunjukkan permusuhan atau kebencian terhadap kerajaan Indonesia.

Achin, pengurus operasi PT Kreasijaya Adhikarya, sebuah syarikat pemprosesan minyak sawit Malaysia, juga didapati bersalah melanggar Perkara 66 Undang-undang No. 24/2009 terhadap bendera negara, bahasa, lambang dan lagu kebangsaan, lapor akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku pada 16 Ogos lepas apabila kakitangan syarikat itu menyediakan bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan kemudian Achin bertanya kepada orang bawahannya sama ada mereka mempunyai bendera baharu.

"Jika kamu tidak mempunyai bendera baharu, gunakan sahaja seluar dalam putih saya. Untuk merah, kamu boleh minta daripada isteri saya,”  Achin dilaporkan memberitahu pekerjanya.

Kata-katanya itu yang bermaksud sebagai jenaka, dilaporkan kepada Majlis Kota Dumai dan didedahkan media. Polis menahan Achin beberapa hari kemudian selepas mendapat tekanan awam dan didakwa di mahkamah, lapor akhbar itu.

Jambatan Kuala Kejir Retak Akibat Banjir


Laluan alternatif pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang melalui jambatan Kampung Kuala Kejir, Tanggol, Hulu Terengganu terjejas berikutan terdapat lubang dan keretakan di jambatan itu, pagi semalam.

Jambatan Kampung Kuala Kejir, Tanggol, Hulu Terengganu tidak dapat dilalui semua kenderaan kerana runtuh dan terbentuk lubang besar.

Tinjauan Teganukita ke tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam mendapati pihak berkuasa sudahpun mengambil langkah berjaga-jaga dan menutup laluan itu sepenuhnya untuk semua kenderaan, kira-kira dua jam sebelum itu.

Mangsa Banjir Dipastikan Tidak Terputus Terima Perkhidmatan Perubatan Dan Kesihatan

Kementerian Kesihatan akan memastikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada mangsa banjir tidak terputus, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata kementerian telah menggariskan langkah dan tindakan yang perlu diambil oleh anggota serta fasiliti kesihatan dan hospital khususnya di negeri berlakunya banjir iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Melaka.

"Banjir meningkatkan risiko berlakunya penyakit berjangkit seperti cirit-birit, demam kepialu (tifoid), taun (kolera) dan leptospirosis.

TNB Terpaksa Tutup 246 Pencawang Di Kemaman Akibat Banjir

Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam terpaksa menutup 246 daripada lebih 500 pencawang di daerah ini berikutan banjir yang melanda.

Pengurus Besar TNB Terengganu Ir Saharenam Mukhtar berkata berikutan itu, sebahagian kawasan di Kemaman dan satu di Dungun terputus bekalan elektrik sejak Selasa.

"Penutupan itu membabitkan lebih 11,000 pengguna yang hanya dibuat di pencawang yang terletak di sekitar bandar Cukai, Air Putih, Neram dan Hulu Dungun.

Umno Disaran Wujud Portfolio Sesuai Untuk Golongan Ulama

Ulama dan cendekiawan agama yang menyertai Umno perlu diberi portfolio bersesuaian agar golongan itu tidak dilihat sekadar memenuhi kerusi di dalam parti.

Mencadangkan perkara itu, Exco Pergerakan Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata kewujudan portfolio tertentu akan membantu ulama memahami dengan jelas peranan mereka dalam usaha bersama Umno memartabat agama, bangsa dan negara.

"Harapan saya agar ulama yang menyertai Umno, terutama di peringkat Majlis Tertinggi, diberi portfolio yang jelas supaya kehadiran mereka tidak dilihat sebagai pelengkap di dalam Umno sahaja," katanya semasa menyokong usul ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 di PTWTC semalam.

Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Dinaik Taraf

Bagi meningkatkan kecekapan dan pengurusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) semalam dinaik taraf sebagai satu formasi bertaraf briged dalam pasukan PDRM.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dengan pengiktirafan PSP sebagai sebuah briged atau kontinjen, menjadikan PSP dibawah perintah dan kawalan komander PSP sendiri.

"Kami rasa kini sudah tiba masanya untuk PSP diiktiraf sebagai sebuah formasi agar mereka dapat membuat, merancang serta mengatur gerak penugasan secara lebih tersusun.

Thursday, December 5, 2013

Syed Azman - Sudah-Sudahlah Berbohong, Memfitnah & Memperlekehkan Orang!

Banjir yang melanda bandar Chukai...
Daripada hambali1

TIDAK BENAR sama sekali tuduhan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bahawa pimpinan kerajaan negeri Terengganu  lebih mementingkan Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Beliau merujuk kepada keadaan banjir yang semakin buruk melanda Terengganu, khususnya di daerah Kemaman.

Syed Azman
Sedangkan pasukan petugas sudah menjalankan kerja mereka sejak kelmarin (3 Disember) apabila sehingga jam 9 malam berkenaan, sebanyak lapan buah pusat pemindahan dibuka di daerah Kemaman bagi menempatkan 171 mangsa banjir di daerah itu. susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.

Beberapa kawasan terjejas teruk kelmarin termasuk Kampung Teluk Kalong yang menjadi kampung paling awal berpindah ke pusat pemindahan. Turut terjejas kawasan bandar Chukai dekat Kompeks Centre Point Kemaman yang turut digenangi air selain beberapa kawasan rendah lain di seluruh daerah ini juga ditenggelami air.

Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu turut memaklumkan Bilik Gerakan Daerah Kemaman di Pejabat Daerah Kemaman telah dibuka jam 10.38 pagi Selasa.

Tahukah Syed Azman apa perasaan pekerja yang ditugaskan dan pekerja sukarela jika membaca atau diberitahu mengenai kenyataan beliau itu.

Syed Azman tidak perlu diberitahu mengenai keprihatinan pemimpin UMNO - sebilangan daripada mereka, khususya dari daerah Kemaman, tidak pun menghadiri perhimpunan tersebut.

Kenyaataan Syed Azman semalam bahawa PAS kesal dengan sikap Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak dalam membantu mangsa-mangsa banjir, tidak tepat dan mempunyai niat tidak baik.

Kenyataan untuk tujuan politik dalam keadaan sebegini amat dikesalkan dan tidak pun membantu apa-apa kepada mangsa banjir berkenaan.

Syed Azman sengaja mengeruhkan keadaan!


Syed Azman sendiri mengakui banjir di Terengganu tahun ini agak luar biasa berbanding tahun sebelum ini, sehingga pada hari kedua sudah banyak kawasan dinaiki air.

Jadi, wajarkah kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh seorang pemimpin ‘Parti Islam’ yang memperjuangkan keadilan bukan sahaja dari segi pembelaan tetapi juga sikap pemimpin terhadap pemimpin yang lain?

Menurut beliau, hujan lebat yang turun sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di negeri Terengganu mengalami banjir dan antara daerah yang teruk dilanda banjir di Kemaman terutama di kawasan Air Putih.

"Sehingga tengah hari ini sudah banyak kawasan di Kemaman terutama di Air Putih dilanda banjir. Banyak penduduk yang terpaksa berpindah dan terperangkap. Tetapi kita amat kesal kerana sehingga sekarang masih tidak kelihatan bantuan-bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily tengah hari semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankkuasa PAS Pusat berkata, sikap pihak Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak memghadapi bencana banjir dan nasib mangsa-mangsa banjir itu amat dikesali dan ia tidak seharusnya berlaku.

"Sedangkan mangsa-mangsa banjir sekarang berada dalam keadaan yang cukup mencemaskan. Mereka amat memerlukan bantuan segera daripada pihak kerajaan negeri dalam pelbagai aspek," ujarnya.

Lambat bertindak? Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pulang ke Kemaman kelmarin selepas diberitahu banjir semakin buruk.

ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang sampai di KLIA malam semalam - pulang dari lawatan luar negara – bergegas pulang pagi ini ke Kemaman bagi tujuan mendekati rakyat yang dilanda musibah.

Barisan Ahli Majlis Tertinggi Umno mengangkat sumpah sebelum bermulanya Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi, malam Rabu. 
Menteri Besar itu semalam mempengerusikan Mesyuarat Exco dan PreCouncil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebuah hotel dan tidak pun menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Mesyuarat MT itu diadakan di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra, sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Ahmad Shabery juga tidak hadir mesyuarat tersebut.

Pagi ini Ahmad Said akan mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan melawat kawasan banjir di Kemaman.

Pada 22 Oktober lalu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) menyediakan 437 pusat pemindahan yang berupaya menampung seramai 63,172 mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Daripada keseluruhan jumlah itu, Kuala Terengganu (47), Kemaman (57), Dungun (52), Besut (141), Hulu Terengganu (81), Marang (24) dan Setiu menyediakan 35 pusat pemindahan.

Menteri Besar menyebut, JKM juga mengenalpasti 118 buah pengkalan hadapan di seluruh Terengganu bagi menempatkan bekalan di tempat strategik supaya kawasan kejadian bencana tidak terputus bekalan.

Ini berbeza berbanding persediaan tahun lepas iaitu hanya memiliki sebanyak 113 pangkalan hadapan serta 397 pusat pemindahan mangsa banjir yang hanya mampu memuatkan sehingga 53,702 orang.

“Inisiatif itu juga supaya bekalan apa dihantar dengan cepat kepada mangsa bencana yang memerlukan. Selain itu, kita juga sentiasa bersiap-sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi musim banjir dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang berisko berlaku bencana itu di seluruh Terengganu,” katanya.

Ahmad Said menegaskan, semua pihak dan agensi yang terlibat dengan persiapan berdepan musim banjir sudah bersiap sedia sepenuhnya meliputi bekalan makanan, logistik, kenderaan serta kekuatan anggota serta petugas di barisan hadapan dan sokongan.

“Saya juga menggesa semua pihak dalam pengurussan bencana negeri Terengganu yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan sukarela , badan bukan kerajaan serta pemimpin dan komuniti setempat perlu memperkemaskan lagi jentera pengurusan bencana supaya lebih proaktif dan responsive pada setiap masa,”katanya.

Wan Hakim mengharungi air banjir....
Selain Ahmad Shabery dan Ahmad Said, ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar sentiasa berada di kawasannya dan tidak ke mana-mana membantu rakyat yang berdepan dengan ancaman banjir.

Sementara ADUN Kemasik, Ir. Rosli Othman juga difahamkan pulang pagi ini untuk tujuan yang sama.

Jadi adilkah Syed Azman menuding jari kepada pemimpin UMNO sedangkan pada waktu sebegini, semua pihak sewajarnya berganding bahu.

Kenyataan Syed Azman yang menyatakan kesalnya dengan sikap pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang lebih mementingkan Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat adalah fitnah semata-mata.

Malah kenyataannya yang berharap agar pihak kerajaan negeri segera datang ke kawasan yang terlibat bagi memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan orang ramai dalam keadaan sedang sibuk dengan urusan Perhimpunan Agung Umno, sangat-sangat tidak bertanggungjawab.

Malah kata-katanya: …”janganlah pula sampai nyawa rakyat pun hendak dipertaruhkan," adalah sesuatu yang sangat jahat dan amat dikesalkan.

Untuk rekod, Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan kira-kira RM630 ribu sebagai persediaan menghadapi ancaman banjir tahun ini.


Pengarah JKM, Encik Zuhami Omar berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membeli barangan keperluan harian untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir. JKM menyediakan keperluan asas seperti beras, gula selain menyediakan selimut, tikar dan tuala untuk mangsa-mangsa banjir.

Barang-barang tersebut dihantar ke 110 pusat pangkalan hadapan di seluruh daerah di negeri Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang biasa dilanda banjir.

Tahun ini 353 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 49 ribu mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

Sementara Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melakukan persiapan rapi sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir.

Pengarah JKNT, Dr. Anwa Sulaiman berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan di setiap daerah bagi melancarkan kerja-kerja membantu mangsa banjir.

“Seramai 324 anggota jabatan telah bersedia laksanakan tugasan masing-masing jika banjir melanda negeri ini…Daripada jumlah tersebut, para petugas akan dibahagikan kepada 81 kumpulan iaitu 41 kumpulan pasukan perubatan dan 40 kumpulan pasukan kesihatan dan setiap pasukan akan diwakili oleh empat orang petugas,” ujarnya.

Pasukan perubatan akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan dari sudut pemantauan kesihatan dan menangani kes-kes kecemasan dengan merujuk kepada hospital sekiranya perlu.

Manakala, pasukan kesihatan pula akan memberi perhatian terhadap persekitaran pusat pemindahan dengan memastikan segala bekalan air dan makanan sentiasa bersih dan terkawal agar tidak berlaku masalah kesihatan yang lain seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Persediaan- persediaan ini tidak termasuk peruntukan bernilai hampir RM1 juta telah disalurkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi membantu persediaan menghadapi gelombang banjir di Terengganu.
Jumlah RM1 juta itu bagaimanapun tidak termasuk bekalan bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan memasak sepanjang bencana tersebut yang juga dijangka mencecah ratusan ribu ringgit.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd. Mahdi Musa berkata baru-baru ini, peruntukan itu meningkat berbanding hanya RM630,000 digunakan untuk tujuan sama tahun lepas.

Beliau berkata, pertambahan peruntukan itu disebabkan peningkatan dari segi populasi penduduk yang dijangka mencecah sehingga 10,000 orang serta bagi mengelakkan berlakunya keadaan luar jangka seperti kejadian banjir besar di Kemaman tahun lepas.

Merenung kembali kenyataan Dr Syed Azman, kadang-kadang terfikir...betul juga apa yang dikatakan oleh Ahmad Said - memang benar ADUN Batu Burok ini 'pembohong bersiri'!

Kemaman Terjejas Teruk, Bandar Cukai Turut Lumpuh


Banjir yang kini melanda daerah Kemaman disifatkan lebih buruk berbanding tahun lepas dan melumpuhkan hampir sebahagian besar bandarnya yang terletak di Chukai.

Kemaman merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat banjir di Terengganu berbanding Hulu Terengganu dan Dungun.

Walaupun mangsa yang dipindahkan lebih mencecah 3,000 orang setakat 7 petang semalam di Kemaman, namun jumlah itu dijangka meningkat menjelang malam semalam berikutan air laut pasang.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut meninjau keadaan banjir dan melawat pusat pemindahan sambil menghulurkan bantuan.


Banjir - 7,500 Pengguna di Terengganu Terputus Bekalan Air

Kira-kira 7,500 pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu) di beberapa daerah negeri ini mula mengalami gangguan bekalan air sejak pagi ini disebabkan rumah pam di kawasan yang dilanda banjir tidak dapat beroperasi.

Kawasan Ceneh, Cerul, Felda Neram, Kampung Air Putih dan Bandi di Kemaman paling banyak terlibat iaitu 5,100 pengguna setelah rumah pam di Loji Rawatan Air Cerul di tenggelami air dan bekalan elektrik terpaksa dipotong.

Di Hulu Terengganu pula bekalan terjejas di beberapa kampung terutama kampung Tapu dan Pantai Ali melibatkan 1,400 pengguna ekoran paip retikulasi rosak teruk akibat kejadian tanah runtuh di Kuala Kejil. 

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Husain Embong memberitahu, pihaknya turut dimaklumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memotong elektrik di kawasan Sungai Pinang, Setiu.

Ratusan Penumpang Bas Ke Kuala Lumpur Terkandas

Beratus-ratus penumpang bas ekspres di Kuala Terengganu dijangka tidak dapat meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur selepas banyak syarikat bas itu terpaksa menghentikan operasi mereka buat sementara waktu.

Ini ekoran beberapa laluan utama dinaiki air sehingga menyebabkan terpaksa ditutup untuk laluan semua kenderaan dan keadaan sukar dijangkakan.

Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) negeri, Nik Aminuddin Nik Shahar Shah berkata, lebih daripada sembilan pengusaha bas mula menghentikan operasi mereka secara berperingkat-peringkat mulai malam semalam.

Kelab UMNO Luar Negara Perlu Tarik Orang Melayu Di Luar Negara Sertai UMNO

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Kelab UMNO Luar Negara lebih aktif menjalankan program menarik lebih ramai kaum Melayu dan Bumiputera di luar negara termasuk golongan muda untuk menyertai UMNO.

Hasrat Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu disampaikan sewaktu pertemuannya dengan wakil-wakil Kelab Umno Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Warwick dan Coventry Muhammad Hakimi Jaafar yang bertindak sebagai jurucakap kelab-kelab Umno Luar Negara berpendapat matlamat itu antaranya boleh dicapai melalui program diskusi ilmu.

Chua Soi Lek Sahkan Tidak Pertahan Jawatan Presiden MCA

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti 21 Dis ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat sebagai menerima tanggungjawab atas kekalahan teruk MCA dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selain memberi laluan kepada generasi baharu untuk menerajui parti. 

"Sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-13, saya pernah menyatakan perkara yang sama...sekarang sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan bertanding jawatan presiden.

Keadaan Banjir Semakin Buruk Di Pahang, Dua Beranak Dikhuatiri Lemas

Pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pencawang Masuk Utama Utara TNB Kuantan melakukan pemeriksaan selepas kawasan itu ditenggelami banjir. 

Keadaan banjir di Pahang dilaporkan semakin buruk apabila lebih 20,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir, manakala dua beranak dikhuatiri lemas ketika sedang memindahkan barangan di Perkampungan Sungai Isap malam semalam.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Pahang, kedua-dua beranak itu dikatakan cuba memindahkan barangan dari rumah mereka yang ditenggelami air di Perkampungan Sungai Isap menggunakan sebuah bot jenis fiber.

Kedua-dua beranak itu, Jamal Ali, 40-an, yang juga AJK Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya yang dikenali sebagai 'Megat' berusia belasan tahun dikatakan terjatuh ke dalam air ketika memindahkan barangan dari rumah mereka kira-kira jam 8.30 malam.

ATM Gerakkan Op Murni Bantu Mangsa Banjir Di Pahang, Johor Dan Terengganu

Gambar hiasan...askar membantu mangsa banjir.
Kementerian Pertahanan menggerakkan operasi khas dikenali sebagai Op Murni untuk memberikan bantuan menyelamat kepada mangsa banjir di Pahang, Johor dan Terengganu.

"Sehingga hari ini, mangsa dianggarkan seramai 20,378 orang di 164 pusat pemindahan. "Kementerian Pertahanan melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa banjir di Pahang, Johor dan Terengganu serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban," kata kementerian dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Justeru itu, kementerian menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa banjir dan sentiasa mendengar nasihat pihak berkuasa dan pasukan keselamatan.

Terengganu Guna Khidmat Jurulatih Renang China Hadapi Sukma Perlis

Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) telah mendapatkan khidmat seorang jurulatih dari China dalam usaha membentuk pasukan renang yang mantap bagi menghadapi saingan Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis, tahun depan.

Setiausaha PRAT Yan Kong Lee berkata jurulatih itu ialah Li Zhong, 27 tahun, yang merupakan bekas pelatih kelab renang Liaoning di China sebelum berhijrah ke sini, bulan lepas.

"Dia berada di Terengganu sejak 20 Nov lepas dan telah pun memulakan tugas melatih atlet-atlet renang Terengganu," katanya semalam.

1,402 Inspektor Naik Pangkat Ke ASP

Kerajaan bersetuju menaikkan pangkat seramai 1,402 anggota polis berpangkat Inspektor kepada Asisten Superitenden Polis (ASP), mulai Januari depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka merupakan anggota yang sebelum ini berpangkat Cif Inspektor sebelum ditukarkan kepada Inspektor setelah jawatan Cif Inspektor dimansuhkan.

"Ini merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu terutama oleh Persatuan Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan pegawai awam PDRM bersama Ketua Polis Negara di Melaka, semalam.

Reman Tuhan Harun, 2 Pengikut Disambung Seminggu Lagi

Tempoh tahanan reman ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat dan dua pengikutnya yang sepatutnya berakhir hari ini disambung seminggu lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Aziz Ahmad berkata, ini merupakan kali kedua tempoh tahanan reman ketiga-tiga mereka dilanjutkan bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Harun dan isteri ketiganya Nor Azida Mohd Zol, 30, dan pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Ahmad Raffli Abdul Majid di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini 10 November lalu.

Banjir: Enam Pelajar KIST Diselamatkan Setelah Terperangkap Di Rumah Sewa

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyelamatkan enam pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang terperangkap selama kira-kira tujuh jam di rumah sewa mereka akibat air naik mendadak di Kampung Bukit Tok Bat di Hulu Terengganu, pagi semalam.

Menurut salah seorang pelajar itu, Fatimah Safiera Mohd. Azmi, 18, dia bersama lima rakan lain menyedari air naik secara mendadak kira-kira pada pukul 6 pagi.

“Pada mulanya, saya perasan air mula naik kira-kira pada pukul 3 pagi tetapi tidak menyangka ia akan naik sehingga paras dada. “Sebelum itu, kami telah dimaklumkan warden bahawa kawasan berkenaan dijangka dinaiki air. Justeru, kami telah mengemas barangan penting untuk diselamatkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Wednesday, December 4, 2013

Lebih 1,000 Lagi Mangsa Banjir Dipindahkan Di Terengganu

Penduduk Perumahan Permatang Badak Baru, Kuantan menyelamatkan diri selepas seluruh kawasan perumahan itu ditenggelami banjir kira-kira dua meter pada Rabu. Bagi penduduk perumahan tersebut, banjir tahun ini agak luar biasa apabila hujan turun dengan lebatnya sejak Sabtu lalu.


Sejumlah 1,443 orang lagi mangsa dipindahkan di kawasan terjejas banjir di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu petang ini,  menjadikan kesemua 4,929 orang ditempatkan di pusat pemindahan.

Pagi tadi, jumlah yang ada sebanyak 3,486 orang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mangsa yang baru dipindahkan di Kemaman sebanyak 481 orang, Dungun (294) dan Hulu Terengganu (668) orang. Jumlah keluarga yang terlibat adalah 1,275.
Di Kemaman, sebanyak 36 pusat pemindahan dibuka di kawasan terjejas dengan banjir iaitu balai raya, bangunan sekolah, surau, masjid dan sebagainya.

Di Dungun, lima pusat pemindahan dibuka setakat ini di balai raya, bangunan sekolah sementara di Hulu Terengganu, 17 buah pusat pemindahan di surau, dewan sivik, masjid, dan balai raya.


Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan keadaan air di beberapa batang sungai utama di negeri ini berada dalam kedudukan bahaya.

Sungai Kemaman misalnya di Jambatan Banho paras air melebihi paras bahaya setinggi 20.08 meter (bahaya 19 meter), Jambatan Air Putih 15.27 meter (bahaya 14 meter) dan Jambatan Tebak 19.37 meter (bahaya 19 meter). Sungai Dungun di Kuala Jengai air setinggi 26.12 meter melepasi paras bahaya 21 meter dan Jambatan Jerangau 13.39 meter (bahaya 12.5 meter) manakala di Hulu Terengganu di Sungai Menerong 25.1 meter (bahaya 24.5 meter).

Menurut jurucakap JPS, kedudukan paras air itu, dibaca pada pukul 3 petang ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini  mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di beberapa kawasan di Kelantan, Pahang dan Terengganu yang dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan jabatan itu hari ini, hujan yang kadang kala sederhana akan berlaku di Kuala Krai, Kelantan; Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran di Pahang serta Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu di Terengganu. Keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Amaran hujan lebat peringkat kuning juga dikeluarkan di Jerantut, Pahang; Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu; Tumpat, Kota Baharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Bachok di Kelantan; Sik, Baling dan Padang Terap di Kedah serta Hulu Perak, Perak.

Hujan itu dijangka berterusan hingga Khamis dan boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Menurut jabatan itu, amaran peringkat Kuning adalah tidak kritikal yang melibatkan hujan yang kadang-kadang sederhana dan lebat.

Peringkat Jingga juga tidak kritikal dengan hujan sederhana dan lebat yang berterusan. Peringkat Merah pula bermaksud amaran peringkat tertinggi dengan hujan lebat yang boleh membawa banjir teruk.

Kenyataan Raja Kamarul Bahrin Tidak Betul, Bukan Runtuh Tetapi Terkopak

Keadaan bumbung yang terkopak akibat dipukul ribut.

Bazlan...bukan runtuh
Pengerusi Lembaga Pengurusan Kolej Universiti Tati (TATiUC), Bazlan Abd Rahman menafikan bumbung bangunan Dewan Canselor TATiUC di Teluk Kalung, Kemamam runtuh.

Sebaliknya, hanya sebahagian bumbung terkopak akibat angin kencang kelmarin.

Bazlan menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu (PAS), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad di bangunan Parlimen semalam, bahawa berlaku satu lagi insiden bumbung runtuh.

Menurut Raja Kamarul Bahrin bumbung dewan kolej tersebut runtuh dalam tempoh kurang daripada 14 bulan selepas siap dibina.

"Dalam kejadian alam, kita tidak dapat menjangka akan berlaku kejadian seperti ini," tegas Bazlan melalui sms kepada Teganuku, malam tadi.

Semalam pada sidang media di Bangunan Parlimen, Raja Kamarul Bahrin menyatakan kecewa dengan kejadian runtuh yang menurutnya bangunan itu berharga RM17 bilion itu dibuka pada Oktober lalu dan boleh memuatkan sekurang-kurangnya 2,000 orang pada satu masa.

"Saya sangat kecewa dengan insiden itu yang menunjukkan pelaksanaan dan urus tadbir sangat lemah. Kejadian seumpama itu adalah yang ketiga berlaku tahun ini di negeri itu," katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.
Raja Kamarul Bahrin...dewan RM17b

Raja Kamarul Bahrin dipetik Sinar Harian Online, kejadian yang kerap itu amat menggerunkan masyarakat dan menimbulkan persoalan tindakan diambil kerajaan terhadap kontraktor dan pembekal yang menyebabkan keruntuhan tersebut.

"Jawapan diberikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin adalah kontraktor tersebut akan disenaraihitamkan. Tetapi hasil penyelidikan pihak kami, ada kontraktor itu masih mendapat projek lain seterusnya berlaku lagi kejadian runtuhan.

"Hal ini menunjukkan masalah perlaksaan penguatkuasaan yang tidak tegas menyebabkan masalah sama terus berulang. Dan kenapa ia banyak berlaku di Terengganu?," katanya.

Bazlan menjelaskan pihaknya akan meminta kontraktor yang menyiapkan projek berkenaan untuk mengkaji dan membaiki bumbung yang terkopak selain berharap kejadian serupa tidak berlaku lagi di masa hadapan.

MBKT Nafi Tindas Sabasun, Minta Pemilik Datang Berunding


Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam  menafikan dakwaan pemilik Sabasun, sebuah super mini market yang beroperasi di Kuala Terengganu, kononnya ditindas MBKT ekoran lesen perniagaannya digantung.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata isu itu timbul berikutan kegagalan pihak Sabasun mematuhi prosedur bagi membolehkan MBKT meluluskan permohonannya.

"MBKT sehingga kini masih menunggu kedatangan pemilik Sabasun untuk bersemuka...sebaliknya dia menggunakan hebahan di media sosial pembangkang untuk memburuk-burukkan imej MBKT dan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Adzlan mahu pemilik Sabasun menghentikan tohmahan itu dan datang berbincang untuk menyelesaikan masalah.

Menurut beliau Sabasun dikategorikan sebagai sebuah 'super mini market' yang dan bukannya 'hipermarket' yang tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Tiga Sayap Sedia Jadikan Umno Parti Harapan Seluruh Rakyat Malaysia

Tiga sayap Umno menyatakan kesediaan melaksanakan amanah untuk terus menjadikan Umno sebagai parti harapan seluruh rakyat, terutama orang Melayu dan umat Islam.

Mas Ermieyati
Amanah itu disampaikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan perhimpunan agung ketiga-tiga sayap iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri di Kuala Lumpur, malam semalam.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (kiri) berkata pergerakan itu akan terus menjadi benteng dan perisai kepada orang Melayu serta umat Islam di negara ini seperti yang diamanahkan Muhyiddin.

"Kebimbangan terhadap usaha dijalankan untuk pertikaikan kedudukan orang Melayu atau menyerang agama Islam takkan dikompromi, dan Umno terutama Pemuda, tetap di barisan hadapan dengan jaminan untuk lindungi, atasi dan tewaskan anasir ini," katanya kepada pemberita.

Banjir: Lebih 14,000 Mangsa Telah Dipindahkan Di Tiga Negeri

 
Keadaan banjir di Johor, Pahang dan Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan semakin meningkat.

Menurut laporan laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), sehingga pukul 11 malam ini sebanyak 14,038 orang telah dipindahkan di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 6,139 orang diikuti oleh Johor sebanyak 5,552 orang dan Terengganu 2,347 orang.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di tiga daerah, Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu meningkat kepada 2,819 orang malam tadi berbanding 905 pada petang semalam.

ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar meninjau kawasan banjir semalam.