Friday, December 13, 2013

Banjir Di Terengganu Hampir Pulih, Hanya Tinggal 784 Mangsa

Mangsa banjir di Dungun membersih dan menyusun kelengkapan rumah.
Hanya 784 mangsa banjir (190 keluarga) masih berada di 10 pusat pemindahan di seluruh Terengganu malam semalam berbanding 1,341 orang (311 keluarga) di sebelah petang.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negera (MKN), tiga daerah yang masih terjejas banjir ialah Dungun, Kemaman dan Marang.

Di Kemaman, jumlah mangsa di empat pusat pemindahan ialah 394 orang (80 keluarga) berbanding 846 (187 keluarga) pada sebelah petang.

Naib Ketua Muslimat Pas Pulau Pinang Tuntut Fasakh

Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Tengah Pulau Pinang semalam menetapkan 20 Januari depan untuk Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang, Rahmah Md Isa memfailkan jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas suaminya.

Hakim Syarie Faiyzan Ahmad menetapkan tarikh itu terhadap permohonan fasakh Rahmah daripada suaminya Zarkasyi Abdullah, 45.

Rahmah, 52, membuat permohonan fasakh terhadap suaminya yang berketurunan Acheh dari Indonesia pada Ogos lepas dan mendakwa suaminya itu tidak bertanggungjawab, tidak memberi nafkah serta menuduhnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Malaysia Langkah Ke Separuh Akhir Hoki Piala Dunia Remaja 2013


Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan melakar sejarah selepas mara ke peringkat separuh akhir Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2013.

Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah itu menewaskan Korea Selatan 2-1 pada perlawanan peringkat suku akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi, India, semalam.

Kedua-dua jaringan gol Malaysia dihasilkan Shahril Saabah melalui jaringan padang pada minit ke-18 dan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-62.

Mada Hantar Bantuan Makanan, Minuman Kepada Mangsa Banjir Di Kemaman

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menghantar bantuan makanan dan minuman kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen Kemaman, Terengganu.

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata bantuan Tabung Kebajikan Mada itu berupa 5,000 botol air minuman, bubur nasi segera, beras dan biskut.

"Saya dan seluruh kakitangan Mada berharap bantuan tidak seberapa ini dapat membantu keperluan mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi misi penghantaran bantuan itu di Ibu Pejabat Mada di Ampang Jajar, di Alor Setar, semalam.

Thursday, December 12, 2013

Mangsa Banjir Kehilangan Rumah Boleh Pohon Bantuan Miliki Rumah PPRT - MB

Salah sebuah kawasan perumahan di Kemaman ditenggelami air ketika banjir minggu lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata mangsa banjir yang kehilangan rumah boleh membuat permohonan untuk memiliki rumah secara percuma di bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM40,000.

"Ini khusus untuk sesiapa yang rumah mereka dihanyutkan air, roboh sama sekali atau mengalami kerosakan yang terlalu besar hingga tidak boleh dibaiki. "Pihak bertanggungjawab akan mengumpul data mereka yang terlibat sebelum perkara itu dilaksanakan," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan, Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) (kanan) mencadangkan kerajaan negeri Terengganu mengecualikan bayaran bil utiliti dan sewaan bangunan kedai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada mana-mana penduduk yang terjejas teruk akibat banjir.

"Perkara ini wajar dipandang serius kerana banyak kerugian terpaksa ditanggung mangsa banjir. "Jika bil utiliti seperti bayaran kadar air, elektrik dan sewaan bangunan kedai dapat dikecualikan selama sebulan, sudah tentu mampu melegakan mereka," katanya

 Iskandar juga mencadangkan supaya kerajaan negeri menangguhkan cadangan menaikkan kadar yuran taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sebanyak RM50 daripada jumlah asal. 

Selain itu, beliau berharap kerajaan negeri juga menekankan kepada praktikal sesuatu ilmu yang diajar tanpa terlalu bergantung kepada kefahaman teoritikal semata-mata, khususnya dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

Kerja pembersihan banjir di Kemaman ambil masa dua minggu: MPK



 Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menjangka tempoh dua minggu diperlukan untuk mengembalikan tahap kebersihan beberapa kawasan yang dilanda banjir di daerah itu, minggu lalu.

Yang Dipertua MPK, Mustafar Khalid, berkata sebanyak 20 lori berkapasiti 10 tan, 12 jengkaut dan lima lori kecil digerakkan bagi kerja pembersihan, termasuk mengangkut sampah sarap pukal dan domestik, di 30 taman perumahan dan beberapa kawasan lain yang dilanda musibah itu.

Beliau berkata, kerja pembersihan yang bermula hari ini dibahagi kepada tujuh zon berdasarkan kapasiti sampah terkumpul iaitu Paya Berenjut, Bukit Mentok, Bukit Mentok Baru, Fikri, Mak Cili, Air Putih dan Mak Lagam.

"Kerja-Kerja pembersihan membabitkan dua kontraktor yang dilantik dengan diselia oleh 13 pegawai kesihatan MPK, dan dengan anggaran 3,000 buah rumah yang terbabit, kita menganggarkan setiap rumah mengumpul kira-kira 1.5 tan sampah pukal," katanya  di pejabatnya, di Chukai, semalam.
\

Najib Lancar Proton Perdana Berwajah Baharu Sebagai Kenderaan Rasmi Kerajaan


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan. Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N. Turut hadir Muhyiddin, Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet.

Bajet 2014 Perkukuh Ekonomi Negara, Jamin Kemandirian Domestik - Najib

Najib bersama Muhyiddin bergambar selepas Mesyuarat Pelaksanaan Langkah Bajet 2014 bersama Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha di Bangunan Perbendaharaan Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Bajet 2014 yang memberi fokus kepada kekuatan domestik akan memperkukuhkan ekonomi negara dan menjamin kemandirian domestik.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kekuatan itu akan menjadi penahan bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan luar yang berlaku di luar kawalan.

"Kita berharap bajet ini akan dilaksanakan berdasarkan objektif untuk membangunkan ekonomi, menentukan pertumbuhan yang memuaskan dan memperkukuhkan domestic resilient (kemandirian domestik)," kata beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Langkah Bajet 2014 bersama Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.

Proton Jangka Keluar Kereta Hibrid Pada Akhir 2014

Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM, dijangka mengeluarkan kereta hibrid pada akhir tahun depan.

Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata Proton, pengeluar kereta nasional, kini dalam usaha mencari jalan dan cara inovatif untuk mengeluarkan dan memasarkan kereta hibrid berkenaan. 

"Kami masih lagi berusaha dengan projek itu. Kami akan menyiapkan teknologi baharu itu menjelang akhir 2014," katanya.

Banjir: Skuad Bola Sepak Terengganu, T-Team Turut Bantu

Sejumlah RM17,880 berjaya dikumpulkan melalui perlawanan perlawanan bola sepak amal antara Terengganu dan T-Team, di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu malam kelmarin bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Sumbangan orang ramai itu dibuat melalui pembelian tiket bagi menyaksikan perlawanan anjuran Persatuan Bola Negeri Terengganu (PBSNT) yang turut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. 

Menteri Besar berterima kasih kepada PBSNT yang mengambil inisiatif itu melalui kutipan tiket RM5 seorang bagi mengisi tabung bantuan mangsa bencana banjir sealin menguji keupayaan pemain baru yang membarisi dua pasukan negeri itu.

AIM Tangguh Kutipan Bayaran Balik Pembiayaan Kepada Mangsa Banjir

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menangguhkan kutipan pembayaran balik pembiayaan kepada mangsa-mangsa banjir di empat negeri yang sedang menghadapi bencana alam itu.

Pengerusi Lembaganya, Dr. Zubir Harun berkata, sebagai tanda prihatin, AIM menangguhkan kutipan bayaran balik pembiayaan bagi negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor sehingga keadaan pulih dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM247 juta.

Katanya, bagi negeri Terengganu, lima cawangan yang dijadualkan untuk penangguhan bayaran balik pembiayaan ialah Dungun, Kemaman, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

Nelayan Laut Dalam Di Dungun Mula Turun Ke Laut

Keadaan laut yang kembali tenang dan cuaca baik menyaksikan nelayan laut dalam di daerah ini kembali ke laut bagi menangkap ikan.

Tinjauan Bernama bagaimanapun mendapati nelayan terbabit tidak bermalam di laut seperti kebiasaan. 

"Biasanya nelayan laut dalam akan berada di laut untuk beberapa hari tetapi dalam musim tengkujuh ini mereka akan keluar pagi dan balik ke pangkalan pada sebelah petang untuk mengelak terperangkap dalam ribut," kata Anggota Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Daerah Dungun Mat Yassin Mohamad.

Wednesday, December 11, 2013

ISU SABASUN - Perjuangan Din Turtle Sudah Di Penghujung Jalan



Daripada hambali1

Sebagai blogger yang sudah berusia dan berpengalaman, Blogger Din Turtle sepatutnya menyiasat dan jangan membuta tuli menimbulkan isu SABASUN di blognya.

Beliau sepatutnya dapatkan pandangan mereka lebih mengetahui mengenai isu ini bukan tulis memetik satu sumber yang berkepentingan.


Namun,  beliau jelas berpihak kepada satu sumber, sedangkan beberapa sumber (SINI, SINI, SINI)dan pihak lain turut memperkatakan isu ini.

Kini SABASUN MOHON MAAF.

1. SABASUN memohon maaf kepada MBKT dan Kerajaan Negeri di atas segala kekeliruan dan tohmahan yang timbul secara sedar atau tidak sedar.

2. SABASUN berjanji akan patuh kepada beberapa peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MBKT bagi membolehkan SABASUN mendapat CF untuk bangunan perniagaannya.

3. SABASUN berterima kasih kepada MBKT kerana meluluskan permit sementara supaya SABASUN dapat berniaga seperti biasa.

4. Pemilik SABASUN, Che Salmi Che Ibrahim mengakui MBKT prihatin terhadap usahawan Melayu di Kuala Terengganu dan tuduhan kepada MBKT sebelum ini.

5. Mengenai SABASUN 2 di Wakaf Tembesu, pengurusan SABASUN dimaklumkan urusan pengambilan tanah di luar bidang kuasa MBKT dan perkara itu dibawah Kerajaan Negeri iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

6. SABASUN akan membuat rayuan dan perbincangan bersama UPEN berkaitan perkara berbangkit di SABASUN 2.

7. SABASUN mengakui pihak UPEN telah menyatakan tanah milik SABASUN di Wakaf Tembesu akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan membina Bandar Baru Perkasa Alam, bukan diberi atau dijual kepada pihak asing seperti didakwa sebelum ini.

8. Bandar Baru Perkasa Alam antara lain turut memfokuskan aktiviti peruncitan bumiputera selaras dengan perancangan mewujudkan Daerah Baru Kuala Nerus.

Sekarang siapa tersepit?

(Sebelum ini Din Turtle ‘berkonfrantasi’ dengan beberapa blogger ketika pilihan raya Kuala Besut apabila mengatakan blogger berkenaan mendapat layanan lebih istimewa).

SABASUN sudah minta maaf dan Din Turtle jika kena saman malu OLEH PIHAK YANG KENA TUDUH oleh beliau melalui penulisannya itu, siapa mahu bantunya?

Apakah cukup dengan Din Turtle mengatakan ‘Alhamdulillah .... akhirnya selesai juga masalah antara pihak Sabasun dan MBKT. Sememangnya niat saya membangkitkan isu ini bulan lepas adalah untuk menarik perhatian pihak MBKT supaya dapat diselesaikan perkara ini. BUKAN untuk menyalahkan sesiapa.

Namun Din Turtle menambah: “ PS - Hmmm .... mungkinkah selepas ini kita buka Bahagian Kedua pula - Sabasun VS UPEN ? Hmmmmmmm ..... menarik juga nih.


 Apa makna selesai yang Din Turtle maksudkan?

Apakah dengan SABASUN minta maaf dianggap selesai?

Yang selesai untuk setakat ini SABASUN minta maaf buat kenyataan menyalahkah MBKT.

Mereka bersetuju BERSEMUKA. Itu sahaja.

Maknanya ada pintu perundingan. Selama ini pun MBKT ajak SABASUN berunding.

Bagaimana kalau perbincangan menjadi buntu dan masing-masing BERKERAS?

Banyak perkara tidak benar yang ditulis oleh Din Turtle.

Apakah beliau juga akan melakukan perkara sama dan MEMINTA MAAF secara terbuka kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, khususnya kepada Datuk Azlan Dagang?

Banyak kenyataan Din Turtle dalam blognya tetapi saya petik yang awal sahaja kerana hipotesisnya sudah tidak betul:


“Persoalan yang ingin ditimbulkan -Kenapa payah sangat pihak MBKT untuk bekerjasama dan membantu usaha peniaga Melayu ini yang telah terbukti mampu bersaing dengan nama2 besar seperti Giant dan Mydin ?

” Kenapa usahawan Melayu tempatan dianaktirikan berbanding orang luar seperti Mydin dan Giant yang pada mata kasar saya, begitu dimanjakan dan dipermudahkan urusan mereka ?

Saya harap isu ini mendapat perhatian mana2 pemimpin MELAYU yang mempunya kuasa atau pengaruh untuk bertindak. Jangan hanya pandai BERCAKAP tentang menolong orang Melayu tapi bila ada usahawan Melayu yang sanggup kedepan menerima cabaran, dia di cantas !”



1. Din Turtle sudah medakwa MBKT tidak bantu peniaga Melayu;

2. Din Turtle sudah mengaitkan Giant dan Mydin dengan dikatakan dimaja dan dipermudahkan urusan mereka. Mana Din Turtle tahu ‘mereka dapat jalan mudah’?

3. Siapa yang dituduh Din Turtle sebagai yang menganaktirikan usahawan Melayu berbanding orang luar? 4. Pemimpin Melayu – hanya pandai bercakap dan mencantas usahawan Melayu. Ini sebahagian sahaja perkara yang saya timbulkan dan pastinya blog Din Turtle akan dijengok namun penulisan beliau yang berpihak kepada PIHAK YANG KINI MEMINTA MAAF bagi saya tidak bertanggungjawab dan memusnahkan reputasinya sendiri.

Apakah Din Turtle ditaja seperti SABASUN yang sekali lagi menjadi penaja pasukan T-Team untuk 2014 sebanyak RM100,000? Saya tanya bukan TUDUH!

Dan kalau tidak ada penajaan khusus…Jangan-jangan Din Turtle ada AGENDA SENDIRI dengan MBKT atau pihak-pihak lain yang menyebabkan kenapa beliau beria benar memperjuangkan SABASUN ini. ( Ini juga pertanyaan bukan TUDUHAN).


Sidang DUN: Wujud Sistem Vendor, Buka Peluang Pekerjaan Baru

Kerajaan negeri disaran mewujudkan sistem vendor menerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau anak-anak syarikat kerajaan negeri bagi membuka peluang pekerjaan baru kepada anak Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar mencadangkan, EPIC yang kepakarannya dalam bidang minyak dan gas boleh melantik vendor-vendor tertentu untuk melatih dan memberi peluang kepada usahawan-usahawan supaya dapat bergiat dengan baik di bawah industri minyak dan gas serta logistik.

“Manalaka TDM, kepakarannya dalam bidang ladang dan perkhidmatan perubatan pula boleh melantik vendor-vendor berdaya maju untuk memberikan bisnes sokongan ataupun di sektor perladangan. Selain barang-barang perubatan di bawah anak syarikat TDM,” katanya ketika membahaskan ucapan Bajet 2014, pada persidangan DUN, semalam.

Jumlah Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat, Pahang Menurun

ADUN Langkap, Datuk Sabri Mohd Nor singgah melawat mangsa di pusat perpindahan Merbau Menyusut semalam.

(Kemaskini) Jumlah mangsa banjir di Terengganu Rabu pagi terus meningkat manakala di Pahang berkurangan berbanding Selasa malam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 15,677 orang daripada 3,733 keluarga berbanding 14,643 orang daripada 3,480 keluarga sebelumnya.

Di Dungun, angka mangsa banjir meningkat hampir 600 orang iaitu 3,288 orang (807 keluarga) berbanding 2,789 orang (701 keluarga) malam tadi manakala jumlah di Kemaman turut meningkat kepada 1,351 orang (384 keluarga) daripada 790 orang (245 keluarga) pada tempoh yang sama.

Di Marang pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 42 orang (10 keluarga) berbanding 21 orang (empat keluarga) manakala di Setiu jumlah mangsa banjir menurun kepada 134 (46 keluarga) berbanding 149 orang (43 keluarga) Selasa malam.

Banjir: PTPTN Sedia Tangguh Pembayaran Balik

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam yang terjejas dengan bencana banjir di Pantai Timur dan Johor sejak seminggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan PTPTN ini juga selaras dengan arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta semua agensi terlibat menangguhkan pembayaran balik melibatkan mangsa banjir di Pantai Timur dan Johor sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

Struktur Bumbung Bangunan Baharu Di Terengganu Tidak Dibenar Guna Struktur Aluminium


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam diberitahu, semua bangunan yang sedang dan akan dibina kerajaan tidak lagi dibenarkan menggunakan struktur bumbung ’cold formed light weight steel’ atau aluminium bagi mengelak kejadian bumbung runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Rosli Othman berkata, langkah itu diputuskan kerajaan negeri susulan beberapa insiden bumbung masjid yang menggunakan struktur aluminium runtuh termasuk Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal, dan Masjid Binjai Kertas, Hulu Terengganu beberapa bulan lalu.

Banjir: Mangsa Dinasihat Ikut Nasihat Pegawai Kesihatan, Elak Penyakit

Meryam @ Zainun Kasim, 64, dari Kemaman  menglamai kulit betis kiri terkoyak dikatakan akibat terkena jangkitan kuman semasa mengharungi banjir.
Mangsa banjir diminta mengikut arahan dan nasihat pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat pemindahan bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit berbahaya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramanian yang memberikan nasihat itu berkata berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) kementerian, semua pegawai kesihatan yang bertugas di pusat pemindahan akan memberi khidmat nasihat dari segi makanan, minuman dan memastikan persekitaran terjamin.

Beliau berkata kementerian menugaskan seorang pegawai kesihatan di setiap pusat pemindahan yang menempatkan 1,000 mangsa.

Taib Ramal Sarawak Muncul Negeri Termaju Di Malaysia


Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud Selasa meramalkan Sarawak akan melonjak menjadi negeri termaju di negara ini daripada tempat ketiga ketika ini apabila program Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan sepenuhnya.

Keyakinan beliau Sarawak akan mencapai status itu menjelang 2030 adalah berasaskan semangat setiakawan yang terjalin di antara kepimpinan tertinggi negeri dengan penjawat awam serta dedikasi perkhidmatan awam peringkat negeri dan persekutuan dalam memberi fokus terhadap program pembangunan negara.

"Bukan kerana kita bernasib baik, tetapi kerana kita telah belajar melalui khidmat dan pendedahan yang begitu lama tentang cara menyesuaikan program pembangunan dengan kepakaran kita dan hal-ehwal setempat dalam mengajak rakyat mengambil bahagian mempercepatkan langkah pembangunan di negara kita,"katanya.

Peserta Malaysia Juarai Terengganu International Rainforest Challenge 2013


Terengganu International Rainforest Challenge (RFC) 2013 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan kehebatan anak Malaysia menguasai aksi lasak itu yang disertai 300 peserta dari 25 negara.

Pasangan Tan Eng Joo dan anak saudaranya Tan Choon Hong yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda Suzuki Jimmy muncul juara, disusuli dua pasangan dari Rusia, Kulbak Roman/Kovalenko Evgenii (naib juara) dan Alexander Nikolaev/Dmitry Kalinin (ketiga).

Tan, 50, dari Batu Pahat, Johor, berkata beliau dan anak saudaranya Choon Hong, 28, tidak menyangka dapat menewaskan peserta luar negara memandangkan RFC kali ini lebih mencabar kerana berlangsung dalam musim tengkujuh.


Pemohon Pasport Tidak Perlu Bawa Foto Mulai 1 Mac - Zahid


Mulai 1 Mac depan, warga Malaysia yang memohon pasport baharu, penggantian pasport atau penyambungan pasport gantian tidak perlu membawa foto untuk dilekatkan di borang permohonan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemohon hanya perlu datang ke pejabat imigresen untuk mengambil gambar mereka.

"Tiada caj dikenakan untuk pengambilan foto itu dan tiada bayaran tambahan dikenakan untuk perkhidmatan pengambilan gambar berkenaan kerana ia adalah arahan diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus kepada beliau dan Jabatan Imigresen baru-baru ini," katanya.

Mara Akan Perluas Program Ulul Albab MRSM

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mewujudkan Program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor tahun depan menjadikannya MRSM keempat menawarkan program itu. 

Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata penambahan program berkenaan diluluskan kira-kira dua minggu lepas bertujuan meningkatkan kecemerlangan pendidikan khususnya berkaitan agama Islam.

Pada masa ini program Ulul Albab yang mengintegrasi pendidikan sains tulen dan aliran agama termasuk tahfiz al-Quran itu ditawar oleh MRSM Kota Putra, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan dan MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang, katanya.

Langit Malaysia diterangi juraian hujan meteor mulai 3 hingga 17 Disember


Langit Malaysia akan diterangi juraian hujan meteor Geminids mulai 3 hingga 17 Disember ini, menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa) semalam.

Dianggarkan, kira-kira 120 juraian meteor sejam dapat dilihat pada masa kemuncaknya yang bermula dari awal pagi 13 Disember hingga 14 Disember ini.

"Titik meteor Geminids adalah daripada buruj Gemini yang berada di langit Malaysia sejak September lepas hingga April tahun depan.

Bekalan Elektrik Pulih Sepenuhnya Di Terengganu

Bekalan elektrik di Terengganu dan beberapa kawasan di Pahang kembali pulih sepenuhnya, sehingga jam 11 pagi Selasa.

Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini, sejumlah 30 pencawang elektrik di kedua-dua negeri itu dihenti tugas melibatkan 2,270 akaun pengguna.

Di Terengganu, katanya bekalan elektrik di Cukai, Al-Muktafi Billah Shah, Cheneh, Kuala Berang dan Dungun telah pulih sedia kala, hanya dua pencawang elektrik di Geliga yang masih dihenti tugas melibatkan dua akaun pengguna.

Sekolah Rosak Akibat Banjir Akan Dibaik Pulih Segera - Idris

Semua sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir akan dibaik pulih secepat mungkin supaya dapat digunakan pada sesi baharu persekolahan Januari depan.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, terdapat peruntukan khas disediakan kerajaan untuk menangani permasalahan itu dan jenis kerosakan dan keperluan sekolah terbabit akan dikenal pasti.

"Ada peruntukan khas untuk kita baiki sekolah-sekolah yang rosak, saya dan pegawai pembangunan akan berjumpa dengan pengetua dan guru besar sekolah terlibat untuk tengok jenis kerosakan.

Jambatan Taktikal Di Kemaman Siap Untuk Kegunaan Orang Ramai



Jambatan Taktikal di Sungai Limbung yang menghubungkan jalan utama Bandar Chukai di Kemaman, Terengganu siap sepenuhnya awal pagi semalam.

Jambatan itu boleh dilalui semua kenderaan mulai 12 tengah malam Isnin.

Menurut Kementerian Pertahanan, pembinaan jambatan itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Sungai Limbung dan memudahkan orang ramai ke Bandar Chukai dengan selamat.

Tuesday, December 10, 2013

Terengganu Peruntukan Sebahagian Besar Bajet 2014 Untuk Modal Insan


Kerajaan Negeri Terengganu semalam membentangkan Bajet 2014 yang terus meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara keutamaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM59.19 juta bagi pembangunan pendidikan dalam memastikan akses dan kualiti yang menjadi kecemerlangan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu diteruskan.

"Bagi memperkasakan program pintar al-Quran dan kelas Fardu Ain, sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan agar kanak-kanak seawal usia tujuh hingga 12 tahun dapat mendalami al-Quran kerana kita mahu mereka khatam al-Quran sebelum masuk ke sekolah menengah.

"RM3.2 juta pula diperuntukkan bagi menambah kelas-kelas maya kerana sekolah yang dilengkapi kemudahan canggih ini terbukti mencatat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sangat memberangsangkan," katanya.

Program e-Book juga akan diteruskan pada tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta kerana ia terbukti berjaya di mana seramai 3,039 murid berjaya memperolehi 5A pada tahun ini iaitu peningkatan 14 peratus berbanding 13.22 peratus pada tahun 2012.

Selain itu Yayasan Terengganu terus mendapat peruntukan besar dengan jumlah RM91.5 juta bagi perbelanjaan pengurusan, penajaan pelajar ke IPTA dan IPTS, selain institusi pendidikan luar negara.

Sementara bagi memperkasakan sekolah Imtiaz , kerajaan negeri memperuntukkan RM60 juta bagi tujuan berkenaan.

Peruntukan untuk pembangunan modal insan itu sebahagian daripada keseluruhan Banjet Terengganu 2014 berjumlah RM2.20 bilion dengan RM1.208 bilion daripada jumlah itu untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya sebagai perbelanjaan mengurus.

Selain itu, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil meningkat 9.73 peratus kepada RM2.20 bilion pada tahun 2014 berbanding RM2.005 bilion pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM195 juta.

"Daripada anggaran hasil itu, 89.95 peratus diunjur diperoleh daripada sumber kerajaan pusat khususnya Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan pemberian tahunan dan baki 10.05 peratus daripada sumber negeri sendiri," katanya semasa membentangkan Bajet Terengganu 2014 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Ahmad, di bawah bajet kali ini, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada empat strategi teras iaitu mengurangkan defisit, pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

 Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM41.5 juta untuk meneruskan Program Bantuan Rumah khusus kepada golongan miskin untuk membina rumah baharu dan membaik pulih rumah yang sudah terlalu uzur pada tahun depan.

"Bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat miskin, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan mangsa bencana alam, sebanyak RM49.72 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu.

"Aspek kesihatan, terutama untuk golongan miskin yang menghidap penyakit kronik juga tidak diabaikan supaya mereka juga menerima rawatan dengan teknologi perubatan canggih melalui Tabung Pesakit Kronik dengan dana sebanyak RM10 juta disediakan," katanya.

Bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam, sebanyak RM331.14 juta diperuntukkan bagi pembinaan jalan-jalan baharu dan projek-projek sambungan.

Ahmad Said berkata sebanyak RM12.4 juta pula diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dan menyelenggara sistem pengairan dan saliran termasuk projek memulih dan membenteng Sungai Terengganu, sistem saliran di Gong Pasir, Dungun; Sungai Buaya dan Padang Lebam di Marang.

"Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM37 juta bagi menjayakan program kebersihan dan keindahan dalam bandar dan RM6 juta untuk landskap pada tahun 2014," katanya.

Golongan belia juga tidak diabaikan, dengan RM28.95 juta diperuntukkan bagi memperkasakan pembangunan mereka dan sebanyak RM25.94 juta untuk pembangunan sukan, katanya.

Seramai 22,608 Murid Darjah Lima Peroleh 8A Dalam Peperiksaan UPPK


Seramai 22,608 dari 185,082 murid darjah lima yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPPK) di seluruh negara pada 30 Sept hingga 3 Okt lepas memperolehi agregat 8A.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata jumlah ini menurun berbanding pada tahun lepas iaitu seramai 24,962 murid.

"Faktor penurunan ini kerana pertambahan bilangan murid hampir 4,000 yang menduduki peperiksaan tersebut dan perkara ini tidak membimbangkan," katanya dalam sidang media semasa mengumumkan keputusan itu di pejabatnya di Putrjaya, semalam.

Othman berkata secara keseluruhannya seramai 185,080 murid atau 99.999 peratus lulus manakala dua murid mendapat keputusan 8D.

Lima Syarikat Dari Dalam Dan Luar Negara Setuju Labur RM1.814 Bilion Di Tasik Kenyir



Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang kini dalam proses pembangunan Pulau Bebas Cukai menerima pelaburan besar bernilai RM1.814 bilion melibatkan lima syarikat dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata sehingga kini, tiga syarikat dalam negara komited untuk melabur di Tasik Kenyir iaitu Bayas Resources Sdn Bhd (BRSB); Emperor Travel Sdn Bhd (ETSB) dan Talukan Emas Sdn Bhd (TESB) membabitkan pelaburan keseluruhan bernilai lebih RM714 juta.

"BRSB berminat membangunkan hotel dan resort tiga bintang di Pulau Bayas seluas lapan hektar bernilai RM140 juta dan proses menandatangani perjanjian akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Kelewatan Penyaluran Makanan Hanya Berlaku Di Peringkat Awal Banjir - MB


Kelewatan penyaluran bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kemaman hanya berlaku di peringkat awal musibah itu berlaku ekoran masalah pengangkutan dan faktor keselamatan petugas banjir.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata masalah paras air naik terlalu tinggi menyebabkan kenderaan yang membawa bekalan ke pusat pemindahan banjir tidak boleh melaluinya.

"Ada beberapa tempat yang saya difahamkan kurang bekalan makanan seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Mak Lagam di Kemaman.

Pemuda UMNO Puji Ahmad Shbary, Ahmad Said Bantu Mangsa Banjir

Ahmad Shabery membantu mangsa banjir.
Pergerakan Pemuda Umno memuji keprihatinan Menteri Komunikasi dan Mutimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang berkorban dan menumpukan sepenuh masa membantu mangsa banjir di Terengganu.

Naib ketua pergerakan itu Khairul Azwan Harun berkata kedua-dua pemimpin sanggup tidak hadir ke Persidangan Agung Umno 2013 semata-mata untuk menumpukan masa dan tenaga membantu mangsa banjir di negeri ini.

"Mereka sanggup turun membantu mangsa banjir, dan sifat itu seharusnya dijadikan contoh buat pemuda untuk turut membantu mangsa banjir.

Keadaan Cuaca di Kelantan, Terengganu dan Pahang Dijangka Bertambah Baik

Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka bertambah baik hari ini berikutan hujan diramal berlaku hanya di beberapa kawasan sahaja di negeri berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Amirzudi Hashim berkata di Kelantan dan Terengganu, hujan dijangka berlaku di satu dua tempat pada sebelah pagi hingga malam.

"Biarpun hujan, ia adalah hujan yang normal, bukan hujan berlarutan atau berterusan seperti yang dilaporkan media sebelum ini," katanya semalam.

Nasib Anggota PDRM Mangsa Banjir Dapat Perhatian Badan Korporat

Prihatin dengan nasib anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi mangsa banjir di Terengganu, sebuah syarikat insurans tampil menghulur bantuan bagi meringankan beban mereka.

Sumbangan berbentuk barangan makanan itu diserahkan Pengurus NTB Agencies (NTBA) Norihan Talib kepada Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Hamzah Mohd Jamil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Norihan berkata sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk membantu anggota PDRM yang kebanyakannya merupakan pemegang polisi insurans syarikat berkenaan.

Polis: Penembak Pegawai Jaip Antara 15 Ditahan

Khalid berucap ketika majlis Pelancaran Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia (APAC) ke 25, di Shah Alam,  semalam.
Polis mengesahkan seorang suspek yang menembak mati Ketua Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mohd Raffli Abdul Malik pada 10 November lalu adalah antara 15 individu yang ditahan sebelum ini.

Terdahulu, polis menahan 15 pengikut Ajaran Harun termasuk ketua kumpulan tersebut Harun Mat Saat, 47. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan identiti suspek tersebut.

"Dia (suspek) dah dikenal pasti dan ditahan sebelum penahanan terbaru dibuat ke atas dua pengikut Ajaran Harun di Kampung Tagasan, Semporna, Sabah pada 2 Disember lalu.

"Tunggulah..bila tiba masanya kita akan beritahu siapa dia," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia (APAC) ke 25, di Shah Alam, semalam.