Saturday, August 27, 2011

Petronas Untung RM21.7b - Terengganu Turut Dapat Nikmat?

Petronas mengumumkan kenaikan 48.6 peratus dalam untung bersihnya kepada RM21.7 bilion bagi suku pertama yang berakhir pada 30 Jun, 2011 daripada RM14.6 bilion pada suku yang sama sebelumnya.

Apakah Terengganu akan turut dapat nikmat daripada keuntungan ini?

Apakah bayaran dana khas kepada Terengganu akan bertambah tahun hadapan untuk tujuan pembangunan lebih pesat?

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin (22 Ogos 2011) lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata Kerajaan Pusat bersetuju membayar balik Dana Khas dari Royalti Petroleum Terengganu sebanyak RM1.7 billion termasuk RM770.344 juta yang digunakan Syarikat Perumahan Negara Berhad untuk perlaksanaan projek itu di negeri lain dan Terengganu.

Katanya, jumlah itu sebahagian daripada RM2.1 billion yang dituntut kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan bagi wang royalti itu.

“Kerajaan negeri juga sedang berbincang untuk menyelesaikan beberapa isu bagi memuktamadkan baki RM400 juta lagi daripada jumlah sebenar RM2.1 billion seperti yang dituntut.

“Setakat ini, Kerajaan Pusat bersetuju membayar RM770.334 juta wang Dana Khas royalti Petroleum yang digunakan SPNB,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Haji Hadi Awang (PAS- Rhu Rendang).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas, kenaikan hampir 50 peratus ini disokong oleh harga minyak mentah yang kukuh serta usaha kumpulan ke arah kecekapan.

Katanya, keuntungan sebelum cukai meningkat 44.4 peratus kepada RM30.9 bilion daripada RM21.4 bilion pada suku yang sama sebelumnya.

"Ini disebabkan oleh pengukuhan harga minyak mentah, usaha kami ke arah kecekapan dan keuntungan sebanyak RM2.6 bilion daripada pelepasan hak kumpulan terhadap Cairn India Ltd meskipun keadaan kos yang meningkat," kata

Pada suku pertama, purata harga penanda aras minyak mentah pada US$122.26 setong berbanding dengan US$76.14 setong pada suku yang sama sebelumnya.

Shamsul berkata perolehan bagi tiga bulan pertama naik 24.6 peratus kepada RM73 bilion daripada RM58.6 bilion in the suku pertama tahun kewangannya yang lepas disebabkan oleh harga yang lebih tinggi dalam pelbagai produknya, sebahagiannya oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Pendapatan kumpulan sebelum faedah, pencukaian, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 3.7 peratus kepda 46.7 peratus daripada 43 peratus pada suku yang sama sebelumnya.

Shamsul berkata terdapat juga petunjuk yang kumpulan bergerak ke arah kelembapan.

"Berdasarkan kepada angka pada Julai, kami bergerak ke arah kelembapan bermula pada suku kedua hingga tahun depan," kata beliau pada taklimat media mengenai prestasi kewangan kumpulan di sini.

Beliau menjangka harga minyak akan berlegar antara US$80 dan US$85 setong pada 2012.

"Dijangka akan berlaku kelembapan ekonomi kerana apa yang berlaku pada ekonomi global di AS dan Eropah...sama ada akan berlaku QE (usaha menyelamat) ketiga di AS. Kebimbangan utama ialah penurunan permintaan," katanya.

"Mengenai masa depan, melihat kepada asas dan angka yang ditunjukkan kini, tahun depan tidak begitu baik. Kami merancang belanjawan kami mengikut senario," katanya.

Semasa ditanya mengenai tinjauan masa depan bagi prestasi kumpulan bagi tahun kewangan semasa, Shamsul berkata: "Bagi sembilan bulan tahun kewangan lepas, PBT (keuntungan sebelum cukai) adalah RM60 bilion.

Bagi suku pertama tahun kewangan semasa, PBT adalah RM30.9 bilion. Kami gembira jika kami boleh mencapai RM62-70 bilion," katanya.

Petronas menukar akhir tahun kewangannya daripada 31 Mac kepada 31 Dis.

Jangan Beli Tiket Bas Menerusi Ulat Tiket - SPAD

Gambar Hiasan....penumpang mula pulang kampung untuk Aidilfitri.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam menasihati orang ramai agar tidak menggunakan khidmat ‘ulat’ untuk mendapatkan tiket bas ekspres atau bas tambahan di mana-mana terminal atau luar kawasan terminal pengangkutan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Kamal berkata, orang ramai dinasihatkan untuk membeli tiket daripada pengusaha yang sah melalui kaunter penjualan tiket yang dibenarkan sahaja untuk mengelak berlakunya penipuan dan caj harga tiket yang berlebihan.

"Kami menyarankan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan bas ekspres untuk merujuk nama-nama syarikat pengendali yang mempunyai permit Lesen Perubahan Sementara (LPS) di laman web SPAD, www.spad.gov.my bagi memastikan tiket yang dibeli adalah daripada pengendali bas yang sah.

"Ini juga bagi mengelakkan penumpang dari ditipu oleh ulat-ulat kerana bas yang mereka sediakan tanpa lesen sah dari SPAD mungkin tidak selamat, nama syarikat pengendali ini juga sepatutnya ada tertera di tiket yang dibeli termasuk nombor pendaftaran bas tambahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Pemuda, Warga Emas Maut Kemalangan di Dungun

Hasrat seorang jurukimpal berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian setelah dia terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Teluk Lipat, Sura Hujung berhampiran Kelab Golf Desa, di Dungun semalam.

Mangsa Ahmad Sofri Badaruddin, 23, dari Kampung Jalan Bunga Raya, di sini maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala.

Kejadian yang berlaku kira-kira 7 petang apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebatang pokok.

Akibat rempuhan itu menyebabkan kereta yang dipandu Ahmad Sofri terputus dua dan mangsa tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian. Mayat di hantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Sementara itu seorang warga emas maut setelah dirempuh oleh sebuah motosikal di Kilometer 90 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran simpang Durian Mentangau, di pagi semalam.

Tanah Orang Asli - Dakwaan Presiden Majlis Peguam Tak Benar

Dakwaan kononnya kerajaan tidak mendapatkan pandangan masyarakat Orang Asli berhubung Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli adalah tidak benar sama sekali.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hassan Malek berkata, pihaknya telah bertemu beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta kerajaan negeri seperti Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Perak bagi mendapatkan maklumat untuk dasar berkenaan.

"Sejak tahun 2000 lagi kerajaan telah berusaha mengumpul data, mendapatkan pandangan daripada masyarakat Orang Asli sama ada melalui badan bukan kerajaan (NGO) atau Persatuan Orang Asli,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika menghadiri majlis Ihya Ramadan peringkat Negeri Sembilan dan Melaka, semalam.

Friday, August 26, 2011

Kemenangan BN Terengganu Jadi Azam Puteri UMNO

Contoh kemenangan semula Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada pilihan raya umum 2004 menjadi azam Pergerakan Puteri Umno untuk berusaha memenangi semula negeri-negeri yang kini dikawal pembangkang.

Puteri UMNO menegaskan azam itu menjadi keutamaan sayap Umno itu ketika ini.

Ia juga berazam mahu bersama-sama anggota UMNO dan BN yang lain mahu merampas negeri yang diperintah pembangkang terutama di Kedah.

Naib Ketuanya, Shahanim Mohd Yusof berkata semalam pergerakan itu melihat pengaruh golongan muda pada lanskap politik negara dan negeri amat penting.

Bagaimanapun pergerakan itu sama sekali tidak mengejar untuk disandarkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang sebaliknya mahu bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN.

Beliau berkata hak memutuskan siapa untuk menjadi calon adalah hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih mengetahui siapa yang berhak untuk dicalonkan demi memastikan kemenangan BN itu.

"Bagi Puteri soal mahu menjadi calon (pada pilihan raya umum) langsung tidak timbul sebaliknya keutamaan kami mahu memastikan BN menang terutama di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

"Puteri tidak minta apa-apa pun kerana yang penting adalah membuat kerja terutama mencari seberapa ramai golongan muda mendaftar sebagai pemilih baru," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemberian Zakat Kepada Saudara Baru dan Pelancaran Tabung Kemanusiaan Somalia di Kota Bharu, malam kelmarin.

Shahanim berkata bagaimanapun jika ada anggota pergerakan itu yang dicalonkan, mereka akan menerima dan akan bekerja keras demi memastikan kemenangan BN.

Shahanim berkata ketika ini pergerakan itu giat untuk mendaftar seberapa ramai pemilih baru dan juga anggota baru pergerakan tersebut.

Perayaan Aidilfitri - Cuti Polis Trafik Di Terengganu Dibekukan

Gambar Hiasan....polis trafik Terengganu sedang menjalankan tugas.

Cuti semua polis trafik di Terengganu dibekukan bermula semalam sehingga 6 Sept untuk mengawal lalulintas sepanjang perayaan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, cuti anggota polis trafik terpaksa dibekukan dan mereka akan ditugaskan dalam operasi Ops Sikap ke-24 dan Kempen Rumah Selamat yang bermula kelmarin.

"Kita terpaksa membekukan cuti anggota trafik untuk bertugas dalam operasi Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat sehingga seminggu selepas raya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat di Marang.

Operasi kali ini melibatkan 201 pegawai dan anggota polis termasuk 160 terdiri daripada anggota polis trafik.

Beliau turut menasihati pemandu agar berhemah ketika memandu sepanjang musim perayaan ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya.

"Melalui program ini kita harap dapat memberi kesedaran kepada pengguna khususnya mereka yang akan pulang ke kampung pada hari raya ini supaya lebih berhati-hati sewaktu berada di jalan raya.

Menurut beliau, polis akan mengawal jalan pantai dari Kuantan ke Kuala Terengganu sejauh 135 kilometer dan dari Besut ke Kuala Terengganu sejauh 180 kilometer.

"Kita mensasarkan penurunan kes kemalangan jalan raya pada tahun ini sebanyak 60 peratus manakala pada tahun lepas pihak polis berjaya mengurangkan kes kemalangan sebanyak 42 peratus," kata Hamzah.

"Gunakan Tanah Sebaik Mungkin, Jangan Cagar, Jual..." - Ahmad Said

"Gunakan tanah ini sebaik mungkin, jangan dicagarkan atau dijual pada orang lain," kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada 265 peneroka dari kawasan Felda Kertih II, Dungun kelmarin.

Pesanan itu disampaikan sempena majlis serahan hak milik tanah oleh Menteri Besar pada majlis di Dewan Sivik Felda Kertih II, petang kelmarin.

Penyampaian itu menamatkan penantian hampir 29 tahun peneroka berkenaan untuk mendapatkan hak milik tanah berkenaan.

Lebih menggembirakan, sebahagian besar penerima hak milik berkenaan merupakan peneroka asal yang mula memasuki ladang sawit seluas 1,499 hektar itu pada 15 Oktober 1982.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, hak milik tersebut merupakan satu ‘anugerah’ yang mempunyai nilai tinggi selepas peneroka berhempas pulas membangunkan tanah terbabit.

Menurut beliau, tanah yang diterima mereka itu merupakan jaminan masa hadapan, bukan hanya untuk generasi pertama, tetapi generasi kedua, ketiga dan seterusnya.

“Setiap peneroka dan anak peneroka perlu menilai perit serta kepayahan sewaktu mula-mula meneroka kawasan Felda agar dapat menanamkan sifat keinsafan di dalam diri,” katanya.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mustaffa Abdul Rahman; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Mohd. Ariffin Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Sebelum itu, ketibaan Menteri Besar dan isteri telah diarak oleh lebih 50 peserta konvoi bermotosikal sejauh kira-kira tiga kilometer.

Felda yang mula diterokai oleh 321 peserta itu kini mempunyai 3,076 orang penduduk termasuk 142 orang usahawan manakala 195 orang anak peneroka terlibat dalam kerjaya profesional dan 90 orang telah melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Tambah beliau, pemberian itu merupakan satu rahmat dan hadiah sempena kedatangan bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri beberapa hari lagi.

"Jagalah tanah ini elok-elok untuk anak-anak dan cucu-cicit kita. Nak dapat geran bukannya mudah kerana kita perlu menunggu lebih 20 tahun dan ada yang telah meninggal dunia.

Teganukita

KTMB Tawar Lebih 138,000 Tiket Ke Pantai Timur Sempena Sambutan Aidil Fitri

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 138,698 jualan tiket ke Pantai Timur pada musim perayaan kali ini kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTM Intercity.

Presidennya, Dr Aminuddin Adnan berkata data jualan tiket terbaru bagi penumpang pada 25 Ogos hingga 10 Sept, sudah menjangkau 66 peratus daripada jumlah tiket yang ditawarkan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 46,838 tiket masih ada untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.

"Penambahan jualan tiket adalah disebabkan desakan orang ramai kerana perjalanan menggunakan perkhidmatan kereta api dikatakan lebih selamat dan selesa," katanya selepas mengedarkan 3,000 pek cendera hati kepada penumpang KTMB di stesen Sentral KL.

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menyediakan 65,800 tiket bagi perjalanan dua hala Kuala Lumpur-Ipoh bermula 25 Ogos hingga 6 Sept ini.

MKRJ Agih 1,000 Risalah Keselamatan Jalan Raya

Setiap kali menjelang musim perayaan, kempen keselamatan jalan raya turut menjadi agenda penting Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kadar kemalangan agar tidak ramai yang terkorban.

Di atas kesedaran itu, pihak keselamatan termasuk polis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri saling bekerjasama menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

Sempena Program Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat peringkat negeri Terengganu kali ini, Kerajaan Negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengagihkan lebih 1000 risalah keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya berhampiran Dataran Budaya Pantai Kelulut, Marang, petang kelmarin.

Kempen tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan.

Selain bagi mengurangkan kadar kemalangan, pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya juga mendesak Kerajaan Negeri dan agensi penguat kuasa tersebut untuk melipatgandakan usaha bagi menguatkuasakan peraturan melalui kempen seumpama itu.

Kempen ini secara tidak langsung membuktikan masalah keselamatan jalan raya adalah antara agenda penting dalam pembangunan negeri apabila kerajaan mengutamakan kebajikan dan keselamatan penduduk dalam mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Teganukita

Kastam Terengganu Rampas 780 kg Mercun

Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu menahan tiga lelaki dan merampas 780 kilogram (kg) mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM21,868 melibatkan lima kes sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengarah Kastam negeri, Abdullah Zawawi Abd Latif berkata, nilai cukai rampasan mercun dan bunga api pelbagai jenis berkenaan ialah sebanyak RM10,961.

"Kejayaan terbaru Kastam semalam berjaya merampas sebanyak 774 kilogram mercun dan bunga api berjaya disita dari sebuah premis perniagaan kosong di Kampung Besut, Kemaman kira-kira 10.20 malam,” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya, rampasan itu dianggarkan bernilai RM21,672 bagaimanapun pemilik premis itu tidak dapat ditahan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyimpan bahan-bahan larangan.

Masjid Terengganu Sasaran Buku Ajaran Syiah

Laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini mengenai Markas Syiah di Melaka.

Bukan sahaja berlaku di Melaka.

Pengedaran buku mengenai 'kebenaran' ajaran Syiah yang dikaitkan dengan akidah Islam sebenar ke masjid-masjid seluruh negeri ini sejak beberapa hari lalu menimbulkan tanda-tanya umum.

Sehubungan itu juga, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) telah mengarahkan pihak masjid yang menerima buku tersebut agar menyerahkannya kepada pejabat agama terdekat.

Buku-buku itu diposkan kepada semua pengerusi masjid untuk diagihkan kepada imam yang bertugas di setiap masjid di mana setiap bungkusan mengandungi tiga set buku yang perlu dituntut di pejabat pos.

Salah sebuahnya berjudul Akhirnya Kutemui Kebenaran, buku terjemahan berbahasa Arab tulisan Dr. Muhammad al-Tijanji Al-Samawi setebal 245 halaman dan terdapat catatan ia terbitan kumpulan Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa, 1995.

Sebuah lagi buku setebal 548 halaman berjudul Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Sebenar dan Kewajipan Muslim Mentaati Kepimpinan Yang dilantik Allah dan Rasul Demi Perpaduan Dan Kejayaan Dunia Akhirat.

Setiap bungkusan itu disertakan dengan cap pengirim atas nama Majlis Syiah Malaysia, beralamat No. 148, Jalan Haji Mahmood, Ulu Tiram, Johor di samping terdapat cop beralamat Majlis Syiah Malaysia, 1012, Desa Melawati, Kuala Lumpur yang diragui.

Pengerusi Masjid Kampung Petai Bubus, Tuan Syarif Putera menyifatkan ia mungkin langkah halus untuk menyemai fahaman itu melalui para imam di peringkat akar umbi.

''Ia juga mungkin salah satu taktik, di mana apabila menjadi isu dan heboh diperkatakan, ia mungkin mendorong untuk membaca buku itu dan memudahkan mereka mempercayai dan menerima ajaran Syiah.

''Gejala seumpama itu dengan keberanian yang makin diperlihatkan dalam menyebarkan ajaran yang ditegah di negara ini, perlu dibanteras dengan tegas kerana ia boleh mencetuskan kecelaruan yang membahayakan akidah umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JHEAT, Mohd. Rozali Salleh ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, pihaknya telah meneliti buku-buku yang diserahkan kepada pihak berkuasa.

''Kita telah maklumkan kepada semua pegawai agama dan masjid tentang buku-buku fahaman Syiah sedang cuba diedarkan ke masjid seluruh negeri oleh pihak tertentu.

''Kita akan menjalankan pemantauan bersama pihak Kementerian Dalam Negeri berhubung mereka yang dikaitkan dengan penghantaran bahan-bahan ini," ujarnya.

Beliau berkata, pada masa yang sama pihaknya akan memanggil satu mesyuarat khas bersama para pegawai masjid mengenai langkah kawalan penyebaran bahan seumpama itu di masjid-masjid.

Skuad Olimpik - Pemain Terengganu Antara Dipanggil FAM Adakan Latihan Dan Pemilihan

Sesi latihan dan pemilihan pemain skuad bola sepak Olimpik Malaysia bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik akan diadakan di dalam negara dan luar negara mulai 1 Sept ini.

Antara pemain yang dipanggil ialah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Solahuddin dari pasukan Kelantan, Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur) dan Mohd Azrif Nasrulhaq (PKNS).

Selain itu, dua pemain dari skuad Harimau Muda B -- Muhammad Nazmi Faiz dan Muhammad Syazwan Tajuddin -- juga turut dipanggil.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan semalam, seramai 22 pemain telah diminta untuk melaporkan diri di Wisma FAM di Kelana Jaya, Petaling Jaya untuk menjalani latihan dan pemilihan di bawah pengendalian jurulatih pasukan bola sepak Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee, pada 1 Sept.

Pemain akan menjalani latihan di Wisma FAM dari 1 Sept hingga 15 Sept dan di Jepun dari 16 hingga 18 Sept.

Sementara pemain skuad Harimau Muda A yang dipanggil ialah Abdul Shukor Jusoh, K. Gurusamy Govandar, Izzaq Faris Ramlan, Mahalli Jasuli, Mohamad Amer Saidin, Mohammad Muslim Ahmad, Mohd Fandi Othman, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, Mohd Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, Syahrul Azwari Ibrahim, Thamil Arasu Ambumamee dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Pada undian untuk pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 yang diadakan pada 7 Julai lepas, Malaysia telah diundi bersama Jepun, Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C.

Sementara Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan Oman diundi dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu.

Pada perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik pada 21 Sept ini, skuad Olimpik Malaysia dijadual bertemu Jepun.

Nilai Jualan Pasar Tani Di Terengganu Meningkat

Nilai jualan 14 buah pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di seluruh Terengganu sehingga Julai lalu meningkat kepada RM13 juta berbanding RM11 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Razak Majid berkata nilai jualan itu menggambarkan bahawa pasar tani di negeri itu sedang berkembang dan meningkat maju.

"Nilai keseluruhan jualan pasar tani di Terengganu tahun ini dijangka meningkat kepada RM22 juta berbanding RM20 juta tahun lepas," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri di Kuala Terengganu semalam. Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh turut hadir pada majlis itu.

Dalam perkembangan lain Razak berkata Fama mengimport 712.84 metrik tan kelapa ke Terengganu dengan nilai lebih RM792,000 sehingga 15 Ogos lepas dan akan terus mengimport jika perlu.

Selain untuk menghadapi musim perayaan, langkah Fama itu juga bertujuan mengatasi masalah kekurangan kelapa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini, katanya.

Sementara itu, Hasan berkata nilai jualan Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri ini dijangka meningkat kepada RM150,000 sehari berbanding RM80,000 pada hari-hari biasa.

Sempena Aidilfitri ini, Fama mewujudkan tiga buah pasar tani khas di Terengganu iaitu di Padang Hiliran di sini, Kerteh, Kemaman dan Alor Lintang, Besut.

Hasan berkata Fama merancang melahirkan 1,200 usahawan pasar tani di Terengganu sehingga menjelang akhir tahun ini. Setakat ini, terdapat 950 usahawan pasar tani.

Bagi merealisasikan impian itu, Fama akan membuka lima buah lagi pasar tani di Terengganu tahun ini yang akan melibatkan 250 usahawan, katanya.

Pasar tani berkenaan ialah di Cukai, Kemaman, Kuala Telemong (Hulu Terengganu), Gong Badak (Kuala Terengganu), Pulau Serai dan Kuala Dungun, masing-masing di Dungun.

JPAM Terengganu Adakan Operasi Bantu Pengguna Jalan Raya Musim Perayaan

Seramai 48 pegawai dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan mengadakan operasi bantu pengguna jalan raya di seluruh Terengganu sempena musim perayaan kali ini.

Pengarah JPAM Terengganu Lt Kol Kamal Mokhtar berkata tugas pegawai dan anggota itu ialah mengawasi kenderaan seperti kereta, motosikal atau lain-lain kenderaan yang mengalami masalah teknikal untuk diberi bantuan.

"Mereka membuat operasi di jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negeri," katanya selepas melancarkan Ops Bantu di pejabat JPAM Gong Badak, semalam.

Kamal berkata langkah itu bertujuan melancarkan lalu lintas di jalan-jalan berkenaan serta memudahkan orang ramai ke destinasi masing-masing.

Beliau berkata anggota JPAM juga bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam seperti banjir di negeri ini semasa musim perayaan.

JPAM akan membuka bilik gerakan di setiap daerah untuk menerima aduan daripada orang ramai sekiranya berlaku bencana alam ketika musim perayaan nanti, katanya.

Orang ramai boleh menghubungi pejabat JPAM negeri di talian 09-667229.

Balu RELA Terima Pampasan RM20,000

Balu kepada seorang anggota Ikatan Relawaan Rakyat (Rela) yang mempunyai lapan orang anak menerima pampasan insurans berkelompok Rela berjumlah RM20,000 berikutan kematian suaminya ketika menjalankan tugas.

Che Zainun Che Nik, 41, dari Kampung Bukit Puteri Dalam Jerteh yang hidup dalam kesusahan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak kematian suaminya, Pauzi Yahya, 44, akibat kemalangan jalan raya dua bulan lepas tidak menyangka bantuan tersebut diterima menjelang Aidilfitri.

Beliau turut menerima RM2,000 sebagai bayaran khairat kematian suaminya yang juga seorang tukang rumah yang menganggotai Rela sejak 17 tahun lalu.

Penyerahan pampasan dan sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Rela Daerah Besut, Mohd Zawawi Eilias dalam bentuk cek di rumahnya.

Che Zainun yang masih dalam pantang setelah melahirkan anak kelapan dua minggu lalu berkata, dengan bayaran yang diterima itu dia sekeluarga merasa amat lega kerana sedikit sebanyak dapat digunakan sebagai persiapan menyambut hari raya.

1,000 Perantau Bakal DiRai di Kediaman Sri Iman

Kira-kira 1,000 anak jati Terengganu yang berada di perantauan akan diraikan di Majlis Aidilfitri Bersama Perantau 2011 di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu pada Hari Raya Kedua iaitu 31 Ogos.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dijangka turut memeriahkan majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri (Ukom).

Persembahan kebudayaan, nyanyian lagu Hari Raya, sesi interaksi dan fotografi pasti menjadi tarikan perantau yang hadir di majlis tahunan yang bermula jam 10 pagi itu.

Pengarah Ukom, Shamsudin Sulong, berkata program yang dianjurkan ini membolehkan setiap perantau dapat menghayati perubahan serta hala tuju pembangunan negeri dan seterusnya bersama-sama membantu ke arah menjayakan aspirasi negara.

Katanya, di samping itu, hubungan silaturahim antara pemimpin dan anak-anak Terengganu sama ada yang belajar di luar Terengganu dan bekerja di negara asing dapat diperkukuhkan lagi.

“Program yang dianjurkan sejak 2004 akan diteruskan kerana mampu memberi impak positif kepada semua pihak mengenai pelbagai perkara termasuk memperjelaskan isu-isu semasa mengenai kerajaan negeri,” katanya.

Konservasi Penyu Terengganu Kian Menampakkan Hasil

Usaha konservasi penyu yang dilaksanakan di negeri Terengganu kian menampakkan hasil apabila populasi haiwan itu kini didapati semakin bertambah.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zakaria Ismail berkata, Terengganu merupakan negeri kedua terbesar menerima pendaratan penyu selepas Sabah dengan mencatat pendaratan Penyu Agar, Penyu Karah, Penyu Lipas dan sejumlah kecil Penyu Belimbing.

Katanya, sepanjang tahun lepas 401,761 biji telur penyu diperoleh dengan pecahan 397,789 biji telur penyu agar, penyu karah (3,480 biji) dan penyu belimbing (492 biji).

"Daripada jumlah itu kira-kira 70 peratus anak penyu berjaya ditetaskan dan dilepaskan ke laut.

Usaha konservasi penyu juga dilakukan pihak swasta yang turut menunjukkan hasil memberangsangkan,” katanya kepada di Dungun.

Beliau berkata terdapat 12 kawasan yang dijadikan rizab pendaratan penyu di Terengganu, antaranya Pulau Perhentian, Pulau Redang; Setiu, Rantau Abang, Dungun; Paka dan Kertih di Kemaman.

FAMA Jamin Bekalan Mencukupi Menjelang Aidilfitri

Pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang kekurangan bahan keperluan menjelang Aidilfitri kerana pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah menyediakan stok bekalan yang mencukupi.

Pengarah Fama negeri, Haji Hasan Jusoh berkata, antara barangan keperluan termasuklah ayam, daging, ikan, sayuran dan buahan.

“Fama menyediakan stok bekalan ayam sebanyak 20 peratus untuk keperluan di musim perayaan serta mengedarkan 370 metrik tan (mt) sayur. ayam, ikan dan daging setiap minggu bernilai RM2.5 juta,” katanya sempena pelancaran Pasar Tani Khas Pra Aidilfitri ,program ‘Jimat Belanja Dapur’ di tapak Pasar Tani Mega (PTM) Padang Hiliran, Kuala Terengganu kelmarin.

Katanya, Pasar Tani Mega Padang Hiliran akan beroperasi mulai 27 hingga 29 Ogos untuk memberi peluang orang ramai mendapatkan bekalan keperluan persiapan menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, terdapat tiga PTM telah diwujudkan termasuklah di Kerteh, Kemaman dan Jertih, Besut dan PTM Padang Hiliran telah mencapai nilai jualan lebih RM3.1 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Pasar tani Permint Jaya berjaya mengutip nilai jualan RM1 juta dan pasar tani Jalan Budiman beroleh RM286,130 dalam tempoh yang sama,” katanya.

Katanya, Fama juga akan membuka lima buah lagi pasar tani baru tahun ini antaranya di Cukai, Kemaman yang dibuka 1 April lalu, Pulau Serai, Dungun (9 April), Kuala Telemong, Hulu Terengganu (3 Jun), Kuala Dungun, Dungun (24 Jun) dan Gong Badak, Kuala Terengganu dijangka pada September depan.

Berdasarkan pertambahan tapak pasar tani baru pihaknya mensasarkan dapat melahirkan 1,200 usahawan seluruh negeri sehingga akhir tahun ini.

Teganukita

Pelajar Maut, Rakan Parah Motosikal Terbabas Langgar Penghadang Jalan

Seorang pelajar Tingkatan Empat terbunuh manakala rakannya parah apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabas di kilometer 33 Jalan Jerteh-Keruak, dekat kampong Berangan, Hulu Besut petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Aiman Ismail, 16 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut akibat kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Nur Aiman yang membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar disahkan meninggal dunia sebaik sahaja sampai di Klinik Pasir Akar, Hulu Besut.

Rakannya, Mohd Khiri Awafi Nordin, 18 yang merupakan pelajar Tingkatan 6 Bawah di sekolah sama yang menunggang motosikal berkenaan cedera di tangan kanan dan bahagian muka dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Kamaruddin berkata Mohd Khiri Awafi menunggang motosikal kepunyaan Nur Aiman dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Keruak, Hulu Besut.

“Sebaik tiba di satu selekoh berdekatan Kampung Berangan, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal motosikalnya kerana jalan ketika itu licin ekoran hujan renyai sebelum itu,” katanya.

Katanya, motosikal yang ditunggangi Mohd Khiri Awafi terbabas sebelum melanggar penghadang jalan hingga menyebabkan Nur Aiman tercampak beberapa meter.

Kedua-dua pelajar itu dikejarkan ke Klinik Pasir Akar oleh orang ramai.

Thursday, August 25, 2011

Lembaga Tabung Amanah Warisan Tawar Ambil Alih EPIC?

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) mengemukakan tawaran bagi mengambil alih sepenuhnya syarikat penyedia perkhidmatan minyak, Eastern Pacific Industrial Corp Bhd (EPIC).

Tabung amanah kerajaan negeri Terengganu itu semalam mengemukakan notis tanpa syarat untuk membeli 32.76 peratus baki saham yang tidak dimilikinya dalam syarikat itu pada harga RM111.507 juta atau RM3.10 sesaham.

Harga ditawarkan itu adalah premium 12.6 peratus berbanding harga urus niaga terakhir saham EPIC sebelum urus niaganya digantung tengah hari semalam pada RM2.93 sesaham.

LTAW tidak bercadang mengekalkan status senaraian awam syarikat penyedia minyak itu jika tawaran itu berjaya.

EPIC dalam kenyataannya di Bursa Malaysia semalam berkata, pihaknya menerima notis tawaran pengambilalihan itu daripada LTAW dan unitnya iaitu Pembinaan PTB Sdn Bhd (PPTB) yang memiliki 22.55 peratus atau 37.60 juta saham.

Pihak lain yang memiliki kepentingan bersama dengan LTAW dan PPTB dalam EPIC ialah Terenggganu Incorporated Sdn Bhd dan tiga lagi pihak, sekali gus mempunyai percantuman kepentingan bersama sebanyak 67.24 peratus.

Dalam notis tawaran berkenaan, LTAW dan PPTB antara lain menawarkan pampasan tunai kepada pemegang saham EPIC yang menjual saham mereka di antara 10 Disember 2010 dan 23 Ogos 2011.

Ia berkata, pampasan tunai yang ditawarkan itu adalah bersamaan perbezaan antara harga tawaran pengambilalihan iaitu RM3.10 sesaham berbanding harga saham yang sudah dijual sebelum ini.

Pada 4 November 2010, LTAW dan Ahmad Zaki Resources Bhd memeterai perjanjian jualan saham untuk memperoleh 35.97 juta saham atau 21.26 peratus dalam EPIC bernilai RM111.51 juta yang membabitkan RM3.10 sesaham, sekali gus meningkatkan penguasaan LTAW dalam EPIC kepada 22.55 peratus daripada 0.98 peratus.

EPIC adalah syarikat pegangan pelaburan terbabit menguruskan pangkalan bekalan petroleum, menyedia dan mengekalkan khidmat serta kemudahan pelabuhan di Malaysia.

Berita Harian

Perlu Serah Borang Permohonan Dalam Tempoh 3 Bulan

Kerajaan negeri meminta Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini menyerahkan borang permohonan pertukaran syarat tanah kepada Majlis Mesyuarat Ahli-ahli Kerajaan negeri selewat-lewatnya tiga bulan dari tarikh permohonan.

Ia bagi mempercepatkan proses penyelesaian yang menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin dan mahu membuktikan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan benar-benar berfungsi.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata sepanjang tujuh bulan pertama bagi tahun ini , sebanyak 613 permohonan mendapat kelulusan .

Manakala jumlah yang ditolak di atas sebab-sebab tertentu pula mencatatkan 54 permohonan.

“Bagi permohonan tanah haram mencatatkan jumlah lulus sebanyak 344, ditolak (55); rancangan tanah berkelompok (8 lulus) dan tiada tanah jenis itu ditolak,” katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.

Unit Komunikasi Negeri

Ibu Jaga 6 Anak Masalah Genetik Kategori Akal

Yazid Aziz, 27 yang mengalami masalah genetik kategori akal merenung keluar tingkap rumahnya di kediamannya di Rumah Pangsa Seri Kolam, Kuala Terengganu.

Dia dan lima lagi adiknya turut menghidap penyakit yang sama dan dijaga ibu mereka, Fauziah Ngah,52 selepas kematian bapa mereka Aziz Jalil, 67 akibat penyakit asma sejak dua tahun lalu.

Kereta Ganggu Laluan Bas di Hentian MBKT

Pemandu bas melahirkan rasa tidak puas hati dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang meletakkan kenderaan di bahu jalan hingga menyukarkan pengangkutan awam itu mengambil dan menurunkan penumpang di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Kuala Terengganu.

Akibat sikap pengguna yang tidak bertanggungjawab meletakkan kereta di atas garisan kuning itu, ia bukan saja menyusahkan pemandu pengangkutan awam, malah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan berkenaan.

Tinjauan Berita Harian di Hentian Bas MBKT mendapati, pengguna seperti tidak peduli dengan tanda amaran kesalahan meletak kenderaan dan mengambil sikap mudah meletakkan kenderaan mereka di kawasan tidak dibenarkan.

Pemandu Bas Sani Ekspres, Hussin Ismail, 49, berkata pemandu yang meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak sepatutnya wajar dikenakan tindakan kerana menghalang laluan jalan keluar kenderaan awam berkenaan.

Katanya, sikap lepas tangan tidak mahu menggunakan tempat letak kenderaan berbayar mendorong pengguna menjadikan bahu jalan sebagai sasaran mereka.

"Saya mohon pihak berkuasa memantau di kawasan susur keluar terminal bas ini kerana pengangkutan awam ini memerlukan ruang luas untuk membelok keluar," katanya yang sudah 12 tahun memandu bas ekspres.

Bagi Pemandu Bas Ekspres SP Bumi, Mohd Azam Sulong, 50, sikap degil dan berani pemandu kereta mengambil kesempatan menjadikan kawasan kenderaan awam sebagai tempat letak kereta, sedangkan larangan meletak kenderaan seperti petak kuning sudah disediakan.
"Saya harap pihak berkuasa mencari alternatif menangani masalah ini supaya pengguna tidak lagi meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di tempat larangan," katanya.

Mereka ditemui selepas mengadakan perjumpaan pemandu bas ekspres bersama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abd Rahman Emang Anyie di Pejabat JPJ, di sini, kelmarin.

Dalam perjumpaan itu, kira-kira 30 pemandu serta pengusaha syarikat bas ekspres antaranya Transnasional, Sani Ekspres, SP Bumi, Mega Jaya, Nini Ekspres dan beberapa syarikat yang bertapak di negeri ini.

Pada pertemuan kira-kira dua jam itu, mereka diberikan taklimat peraturan dan kesalahan ketika memandu terutama ketika sambutan hari raya Aidilfitri nanti kerana majoriti perantau pulang ke kampung halaman menggunakan pengangkutan awam.

Berita Harian

Kontraktor Dituduh Cuba Bunuh Anak Sendiri

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam kerana dituduh cuba membunuh anak perempuannya sendiri dalam kejadian di lebuh raya baru Bukit Besi di Dungun, Isnin lepas.

Shahli Harun, 42, dituduh cuba membunuh Puteri Intan Syazwani, 4 tahun, dengan menggunakan sebilah parang hingga menyebabkan kecederaan di leher anaknya itu.

Shahli, berasal dari Guar Jumaat, Gurun, Kedah, dituduh melakukan perbuatan itu antara 1 tengah hari dan 2 petang berhampiran pondok tol yang masih dalam pembinaan.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin, Shahli yang tinggal di Kampung Bijangga, Dungun, pada mulanya kelihatan berdolak dalik dengan mengatakan dirinya tidak faham pertuduhan dan tidak waras.

Bagaimanapun setelah pertuduhan dibacakan sekali lagi, dia kemudian mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud kemudian memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan Shahli diikat jamin memandangkan dia dan anaknya tinggal bersama dan dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa dan keluarga.

Cubaan Ke Akhir Piala Malaysia Kali ke-11 Untuk Terengganu

Pasukan Terengganu berhasrat untuk memadamkan rekod 10 tahun gagal ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Bagi merealisasikan impian itu, Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, skuad Penyu perlu berusaha lebih keras apatah lagi pasukan itu berhadapan dengan pasukan Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Kuala Lumpur Sime Darby.

Pertembungan empat pasukan yang disenaraikan dalam kumpulan B itu memerlukan skuad kendalian Irfan Bakti membaca rentak permainan serta tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan.

"Saya sering kali mengingatkan pemain untuk tidak memandang mudah dengan kebolehan lawan jika ingin memadamkan rekod 10 tahun tidak layak ke final Piala Malaysia,” katanya semalam.

Ditambah dengan pengalaman tujuh pemain yang terpilih dalam pasukan kebangsaan, Irfan Bakti yakin tahun ini ialah tahun terbaik untuk Terengganu menjuarai Piala Malaysia.

Setakat ini, pencapaian terbaik pasukan Terengganu adalah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam Piala Malaysia.

22 Kekosongan Penghulu Belum Diisi?

Terdapat 22 kekosongan bagi jawatan penghulu mukim di negeri ini yang belum diisi sehingga kini.

Menurut sumber, pentadbiran negeri telah mengemukakan maklumat mengenai kekosongan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri untuk dibuat pengisian.

Bagaimanapun mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Sektor Awam pada 6 Mei lalu telah memutuskan bahawa pengambilan baru dibekukan sehingga akhir bulan ini.

Pada masa ini terdapat 66 penghulu dengan Kuala Terengganu mencatat bilangan (17 orang), diikuti Besut (12), Kemaman (9) Dungun (8), Marang (8), Hulu Terengganu (6) dan Setiu (6).

Utusan Malaysia

Ikan tongkol nasi dagang mencukupi - LKIM


Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bahawa bekalan ikan tongkol atau ikan aya untuk dijadikan lauk nasi dagang adalah mencukupi pada hari raya nanti.

Pengarah LKIM Terengganu, Mohd. Saffe Mohd. berkata kebanyakan peniaga atau persatuan nelayan sedang menyimpan stok ikan tongkol untuk dijual pada musim perayaan nanti.
"Kita mengharapkan tidak ada masalah, sebab kita boleh mendapatkan bekalan ikan aya daripada negeri-negeri lain sekiranya perlu,” katanya.

Mohd. Saffe berkata, daging ayam atau daging lembu boleh juga dijadikan lauk nasi dagang sekiranya ikan tongkol tidak ada.

200 Bilik Hotel Tiga Bintang di Tasik Kenyir

Pembinaan hotel 200 bilik bertaraf tiga bintang di Pulau Bayas, Tasik Kenyir yang bermula bulan depan bakal memberi impak besar kepada industri pelancongan di tasik itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, usaha yang dirintis telah mula menyakinkan sektor swasta untuk bersama-sama membangunkan dengan kos pelaburan keseluruhan dijangka mampu mencecah RM1 billion.

Katanya, Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selaku agensi peneraju pembangunan tasik itu telah menggerakkan usaha awal bagi memastikan ia dapat disiapkan menjelang Ogos 2012 sebagai zon bebas cukai.

“Kerajaan Negeri , Ketengah serta agensi-agensi lain optimis bagi memastikan Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan unggul," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan UMNO negeri di Primula Beach Hotel, petang semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan kepimpinan UMNO negeri.

Pada majlis itu, Seri Ahmad turut menyampaikan duit raya kepada 60 orang anak-anak yatim termasuk 40 pelajar dari Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang.

Tambah Menteri Besar, kawasan bebas cukai di Pulau Bayas sedang dibangunkan dengan peruntukan awal RM100 juta bagi penyediaan prasarana termasuk pembinaan jeti, kompleks persinggahan dan premis perniagaan.

Katanya, Pulau Bayas merupakan pulau terbesar di antara 340 pulau di dalam tasik yang berkeluasan kira-kira 700 hektar dan daripada keluasan itu, sebanyak 400 hektar akan dimajukan pada peringkat awal projek.

11 Pegawai Kanan Bertukar Berkuatkuasa 1 September

Seramai 11 orang pegawai kanan kerajaan negeri pelbagai jawatan akan bertukar yang berkuatkuasa mulai 1 September depan.

Pejabat Setiausaha Kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, menyenaraikan Pengarah Trevicosta Terengganu, Datuk Wan Zahari Wan Ngah ditukar ke jawatan baru sebagai Pengarah Bekalan Air Terengganu bagi mengisi kekosongan.

Manakala Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Marang, Encik Ibrahim Mohamad bertukar ke daerah Besut dan menjawat jawatan yang sama serta tempatnya di Marang diisi oleh Encik Zulkifli Ali yang sebelumnya adalah Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Majlis & Protokol).

Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Encik Ab. Rasid Jusoh berpindah ke jawatan baru sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Majlis & Protokol) mengantikan tempat Encik Zulkifli Ali.

Penolong Kanan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) (Hasil), Encik Wan Saifullizam Wan Jusoh akan bertukar ke Dungun selaku Penolong Kanan Pegawai Daerah(Pembangunan Fizikal) dan Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu, Encik Hamidi Othman bertukar ke Hulu Terengganu sebagai Penolong Kanan Pentadbir Tanah (Pembangunan Tanah dan Pelupusan).

Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu), Encik Nik Mohd Syahrom Nik Md. Hashim pula menjadi Pengurus Unit Promosi dan Pengurusan Acara Pejabat Setiausaha Kerajaan dan tempat beliau di diisi oleh Encik Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil yang sebelumnya adalah Penolong Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Dungun, Tuan Syarifah Khairunzita Tuan Kechil bertukar ke jawatan yang sama di Hulu Terengganu untuk mengisi kekosongan dan berkuatkuasa 4 September.

Penolong Pengarah (Promosi) Unit Pengurusan Maklumat Terengganu (UPEN), Encik Hilman Hajijan bertukar ke Kemaman selaku Penolong Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) manakala Penolong Pentadbir Tanah (Penguatkuasaan dan Hasil) Besut, Encik Mohd Kamal Abdul Rahman ke jawatan Penolong Pengarah (Promosi) UPEN.

Ahli Perniagaan Dungun Maut Dalam Kemalangan Di Kemaman

Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk maut setelah kenderaan pacuan empot roda yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Km 134 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kemaman pagi Rabu.

Datuk Abu Bakar Kamar @ Kamar, 61, yang merupakan ahli perniagaan dalam bidang pengangkutan dan berasal dari Dungun maut di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Abdullah Sani Salat berkata kejadian berlaku apabila kenderaan mangsa yang datang dari arah Kuala Terengganu-Kuantan dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira.

Ekoran pergeseran itu, kenderaan mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dan merempuh sebuah kereta Porsche yang berada di belakang kereta Proton Wira tersebut.

"Akibat dari pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Lelaki yang memandu kereta Porsche turut tercedera berikutan keretanya terhumban ke dalam semak di tepi jalan.

"Empat lelaki yang berada di dalam kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan," kata Abdullah Sani ketika dihubungi.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kemaman.

Tarikh Hari Raya Tidak Sama Kerana Perbezaan Matlak: JAKIM

Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal atau anak bulan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Othman Mustapha, berkata perkara itu juga bergantung kepada pihak berkuasa agama di negara terbabit sama ada menggunakan kaedah rukyah (cerapan) atau hisab sahaja, atau kedua-duanya.

"Brunei misalnya menentukan awal Syawal berpandukan rukyah semata-mata, katanya dalam satu kenyataan, di Putrajaya semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata tidak timbul isu Sabah dan Sarawak tidak akan menyambut Syawal bersama dengan negeri di Semenanjung.

"Penetapan bermulanya Syawal juga tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia," katanya.

Othman yang juga pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam berkata, di negara ini penentuan Syawal adalah melalui cawangan Falak dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukya (kebolehnampakan).

Katanya, dua stesen rujukan yang digunakan ialah di Tanjung Atiam, Sabah serta Tanjung Chincin di Langkawi dan pemilihan kedua-dua stesen itu berdasarkan kesesuaian kedudukan geografi.

"Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat sementara Tanjung Atiam berada pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, JAKIM meminta rakyat di negara ini yang beragama Islam agar mematuhi keputusan pengumuman Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia bagi rujukan dalam menentukan awal Syawal.

Satu Kes Demam Denggi di Terengganu Minggu Lalu

Sejumlah 365 kes demam denggi dilaporkan dalam tempoh 14 Ogos hingga Sabtu lepas, meningkat tiga kes berbanding 362 kes pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata terdapat lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding pada minggu lepas iaitu Selangor meningkat sebanyak 21 kes, Kelantan (7), Johor (4), Pahang (2) dan Terengganu (1).

"Dari Januari hingga 20 Ogos lalu, sebanyak 13,100 kes dilaporkan, menurun sebanyak 59 peratus atau 18,429 kes berbanding 31,529 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi tempoh yang sama, sebanyak 21 kematian akibat demam denggi dilaporkan, menurun sebanyak 79 peratus berbanding 101 kematian pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sejumlah 58 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara, meningkat 13 berbanding 45 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Dr Hasan berkata daripada jumlah tersebut, terdapat dua lokaliti kawaan panas dikenal pasti dengan melibatkan 53 kes demam denggi, masing-masing di Pangsapuri ATM dan Taman Melati Utama, di zon Setapak, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada masyarakat sempena cuti persekolahan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini untuk memastikan tiada bekas atau tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes ditinggalkan di kawasan kediaman semasa balik bercuti ke kampung.

Katanya pergerakan manusia yang tidak terhad semasa cuti perayaan ini boleh menyebabkan jangkitan demam denggi lebih cepat merebak jika terdapat nyamuk dan pembiakan Aedes di persekitaran mereka.

"Oleh itu, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak jangkitan denggi ketika pulang bercuti pada hari perayaan," katanya.

Gantung Diri Gara-Gara Sakit Gigi?

Akibat tidak tahan sakit gigi yang dialami sejak seminggu lalu, seorang buruh ditemui tergantung pada tali yang diikat pada kayu alang rumah.

Dalam kejadian yang berlaku di rumah sewanya di Kampung Pauh di Hulu Terengganu pagi kelmarin, lelaki berusia 24 tahun berasal dari Kampar, Perak itu bertindak menggantungkan diri menggunakan tali nilon berukuran tiga sentimeter lebar.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan, Tengku Hamzah Tengku Abdullah (gambar kiri) berkata, dalam kejadian antara jam 6.30 pagi hingga 7 pagi itu, mangsa yang juga orang sekatan kerana terbabit dalam kes bunuh meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Mangsa dikatakan berdiri di atas sebuah kerusi lalu menjerut lehernya sendiri sebelum ditemui tergantung dalam bilik jahitan oleh isterinya lebih kurang jam 7 pagi pada hari kejadian.

“Isteri mangsa kemudiannya meminta bantuan adik lelaki dan adik iparnya untuk memotong tali serta menurunkan mangsa,” katanya.

Tengku Hamzah berkata, apabila mendapati mangsa masih lagi bernyawa, mereka membawanya ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan, namun apabila tiba di bilik kecemasan doktor bertugas memberitahu mangsa telah meninggal dunia.

“Mangsa adalah orang sekatan di bawah EO/OD KAMJ 18845, Perintah Sekatan 31 Oktober 2009 hingga 30 Oktober 2011 iaitu selama dua tahun kerana terbabit dalam kes pembunuhan di Kampar, Perak.

“Isteri mangsa mendapati suaminya mengambil tindakan membunuh diri akibat terlalu kecewa selepas seminggu mengalami sakit gigi,” katanya kelmarin.

Kata Tengku Hamzah, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes disifatkan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

Kuota Haji Malaysia Ditambah Kepada 28,000

Kuota jemaah haji dari negara ini dinaikkan kepada 28,000 pada tahun ini, berbanding 26,000 sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Malaysia mengemukakan permohonan untuk menambah kuota itu kepada Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi dalam mesyuarat yang lalu dan ia diluluskan berdasarkan pertambahan rakyat di negara ini.

"Pada masa yang sama kita juga sedang memohon kuota tambahan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan haji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran projek Kompleks Pentadbiran Islam Putrajaya, di Presint 3, di Putrajaya, semalam.

Dari segi kos, Jamil Khir berkata tiada sebarang pertambahan dan ia kekal RM9,980.

Pada masa ini, lebih 400,000 daripada 5.7 juta pendeposit Tabung Haji layak untuk menunaikan ibadah itu berdasarkan jumlah simpanan yang mencukupi.

Mengenai kompleks bernilai RM400 juta dan bakal siap Ogos 2014 itu, Jamil Khir berkata ia akan menjadi pusat perkhidmatan setempat bagi perkara berkaitan hal ehwal Islam, di mana lapan agensi yang sebelum ini berada di beberapa tempat berlainan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur akan ditempatkan di situ termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Beliau berkata, agensi lain adalah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) cawangan Putrajaya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Selain menjadi mercu tanda kebanggaan umat Islam di negara ini, bangunan ini juga dibina bagi menambahbaik sistem penyampaian agensi berkaitan hal ehwal Islam.

Malah ia turut memberi kemudahan kepada orang ramai di mana mereka tidak perlu lagi pergi ke tempat-tempat yang berlainan untuk urusan-urusan dan aktiviti keagamaan.

Dibina di atas tanah seluas 5.49 ekar bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, kompleks yang merangkumi empat blok itu akan membawa elemen seni bina Islam klasik seperti gerbang, kasa, taman dan air serta menepati 'green building index' serta mempunyai pelbagai ciri mesra alam dan penjimatan tenaga.

Dengan pendekatan perkongsian pintar, kompleks itu adalah satu pelaburan oleh Lembaga Tabung Haji untuk disewakan kepada jabatan-jabatan dan agensi Islam berkenaan.

Pegawai Pantau Harga Peniaga Diletakkan Di Beberapa Lokasi

Kesemua peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati sempena musim perayaan ini kerana ramai pegawai pemantau harga akan ditempatkan di beberapa lokasi perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi penetapan harga siling yang diputuskan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar memberitahu, jumlah itu dipecahkan kepada daerah-daerah bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan secara menyeluruh.

"Adalah penting membuat pemantauan kerana kita bimbang ada peniaga akan sesuka hati menaikkan harga barangan dan menindas pengguna disebabkan peningkatan permintaan pada setiap musim perayaan.

"Peniaga yang didapati menaikkan harga sesuka hati akan dikenakan tindakan serta-merta termasuk menarik balik lesen perniagaan mereka dan kita tidak akan berkompromi dalam hal ini," katanya.

Beliau ditemui sempena lawatan dan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di pasar raya Giant di Kuala Terengganu, semalam.

Jelasnya, terdapat 19 jenis barangan keperluan yang harganya dikawal dan pihaknya berharap bekalan yang disediakan akan mencukupi sehingga raya nanti.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Terengganu, Ghazali Muhammad memberitahu, bekalan cukup untuk musim perayaan.

"Setakat ini kita belum menerima apa-apa aduan lagi tetapi jika ada masalah kita akan cuba selesaikan dan pastikan semua barang keperluan mencukupi," katanya.

Kosmo!

Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu Gempar Panggilan Bom

Kakitangan dan pelawat di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini gempar apabila diarah mengosongkan bangunan itu dengan segera gara-gara panggilan bom palsu yang diterima pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi setelah polis menerima panggilan daripada seorang individu yang memaklumkan terdapat sebutir bom di tingkat sembilan bangunan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Halim Ishak berkata, sejurus menerima maklumat itu, satu pasukan Unit Pemusnah Bom diarahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan hampir setengah jam di seluruh bangunan mendapati tiada bom ditemui.

"Kita tidak pasti apa motif individu berkenaan membuat panggilan palsu dan tidak berasas ini namun kita telah mengesan nombor talian yang telah digunakan iaitu melalui talian telefon bimbit.

"Siasatan akan diteruskan bagi mengesan perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah itu semalam.

Sementara itu, Pengarah Kompleks Mahkamah, Hakim Zainal Abidin Kamarudin memberitahu, ketika menerima maklumat tentang ancaman bom berkenaan, mahkamah baru mula bersidang.

Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan tersebut kesemua pelawat dan kakitangan diarah keluar dari bangunan itu dengan segera.

Pusat Minda Besut Lakar Sejarah Kerjasama Dengan USM

Pusat Minda Besut semalam mencatat sejarah apabila menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha memantapkan lagi pusat berkenaan.

Pengerusi Pusat Minda Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jalinan kerjasama itu bukan sahaja membuka jalan kepada masyarakat khususnya pelajar untuk mengikuti program berkaitan pembangunan minda bagi merealisasikan generasi ulul albab.

Menurutnya, perjanjian yang termeterai membolehkan usahasama dilakukan termasuk dalam bidang penyelidikan ke arah mencetuskan perubahan minda.

“Diharapkan Pusat Minda Besut bukan sahaja memberi faedah kepada Besut tetapi kepada rakyat negeri dan negara ini,” katanya dalam majlis yang diadakan di Bukit Keluang Beach Resort di sini kelmarin.

USM diwakili Pengarah Kampus Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Profesor Datuk Dr Mafauzy Mohamed manakala Pusat Minda Besut, Idris sendiri.

Pusat Minda Besut adalah cetusan ilham Idris yang juga Adun Jertih merangkap Ketua UMNO Bahagian Besut.

Pusat yang beroperasi di Bangunan UMNO Jertih ini bertujuan mencetus perubahan minda dalam kalangan masyarakat ke arah generasi ulul albab, pintar, kreatif dan inovatif.

Sebelum ini pelbagai program sudah dilaksanakan oleh Pusat Minda bersama USM melibatkan pelajar dan ibu bapa.

Wednesday, August 24, 2011

Sambal Belacan, Agar-agar Telur Campur Jagung Punca Keracunan Isteri Wakil Rakyat BN

Imbas kembali...Dr Rahman melawat salah seorang mangsa keracunan makanan di HSNZ, Kuala Terengganu selepas kejadian itu baru-baru ini.

Sidang DUN 22-23 Ogos 2011


Agar-agar telur campur jagung dan sambal belacan antara punca 70 isteri wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menyertai program tahunan di sini 8 Julai lepas, mengalami keracunan makanan (untuk lebih lanjut baca di sini).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar berkata rumusan itu hasil ujian ke atas 43 sampel makanan yang dihidangkan pada jamuan tengah hari di Stadium Negeri.

"Kelemahan mengenai cara penyediaan makanan yang betul juga menjadi punca isteri-isteri wakil rakyat BN berkenaan mengalami keracunan makanan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau menjawab soalan Dr Alias Razak (PAS-Bukit Tunggal) yang mahukan penjelasan berhubung punca keracunan makanan yang dialami isteri wakil rakyat BN berkenaan.

Pada 8 Julai lepas 70 isteri wakil rakyat dari seluruh negara yang menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 mengalami keracunan selepas menikmati makan tengah hari.

Kesemua mangsa mula mengalami simptom keracunan makanan kira-kira pukul 1 pagi apabila sebilangan daripada mereka muntah dan cirit-birit sehingga ada yang terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan.

Dr A Rahman berkata antara kelemahan penyediaan makanan yang dikesan ialah penyedia makanan tidak menjaga kebersihan diri, peralatan yang diguna tidak bersih serta makanan disediakan terlalu awal menyebabkan berlaku pencemaran.