Friday, May 11, 2012

Kajian Universiti Malaya - BN Terima Sokongan Majoriti Rakyat Pada PRU-13


"Kajian menunjukkan pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang dan pelbagai dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menarik sokongan yang cukup luas dengan dua pertiga daripada responden menyatakan sokongan terhadap pemerintah."

Sejumlah 49 peratus rakyat Malaysia dijangka memilih untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berbanding 21 peratus yang memilih Pakatan Rakyat, menurut kajian sebuah universiti tempatan.

Menurut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) 30 peratus lagi rakyat Malaysia masih belum menetapkan sokongan dan merupakan pengundi atas pagar yang selalunya akan membuat keputusan pada saat akhir.


Kajian bertajuk 'Kecenderungan Politik Menjelang PRU ke 13' itu melibatkan 2,282 responden, dan dilakukan secara bersemuka dengan etnik Melayu, Cina, India dan lain-lain, yang dipilih secara rawak menurut kadar perpecahan kaum di negara ini.

Ianya telah diadakan antara 31 Mac hingga 15 April lepas, dengan satu margin ralat kira-kira 2.1 peratus, menurut laman web http://umcedel.um.edu.my.

Menurut laporan kajian itu, yang menemuramah sebanyak 55 peratus responden lelaki dan selebihnya wanita, hasil kajian itu menunjukkan Pakatan Rakyat masih perlu menempuh perjalanan yang 'sangat jauh' sebelum mereka dapat menawan Putrajaya seperti mana yang diidamkan.

Selain itu, kajian itu juga turut menunjukkan pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang dan pelbagai dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menarik sokongan yang cukup luas dengan dua pertiga daripada responden menyatakan sokongan terhadap pemerintah.

Dalam kajian itu, responden turut ditanya sama ada pelbagai program yang diperkenalkan oleh Najib akan menambahkan sokongan mereka terhadap BN atau sebaliknya, dan 68 peratus daripada responden menyatakan sokongan terhadap program Kedai Rakyat 1Malaysia, manakala 74 peratus lagi bersetuju dengan program Klinik 1Malaysia.

Keputusan kajian tersebut turut menunjukan agak sukar bagi Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang memandangkan penerimaan baik pengundi terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu. 

Kajian itu turut mendapati majoriti masyarakat Cina dan India dijangka mengundi Pakatan Rakyat di Selangor, manakala sokongan orang Melayu di negeri itu terbahagi sama rata di antara Pakatan dan BN.

Seramai 60 peratus responden di kalangan orang India dan 49 peratus responden Cina berkata mereka akan menyokong Pakatan Rakyat di negeri berkenaan, berbanding hanya 20 peratus (India) dan 16 peratus (Cina) yang memihak BN.

Bagaimanapun, kedua-dua parti mempunyai sokongan yang sama banyak di kalangan orang Melayu, dengan BN mempunyai kelebihan sebanyak 34 peratus berbanding dengan Pakatan iaitu 33 peratus.

Di Perak, Pakatan Rakyat bakal berhadapan dengan 'pertempuran besar' untuk menawan semula negeri yang dimenangi mereka pada tahun 2008, yang mana BN kemudiannya berjaya mendapatkan semula pentabiran negeri itu pada tahun 2009.

Kajian itu mendapati seramai 67 peratus kaum India menyokong BN, sementara Melayu sebanyak 36 peratus dan kaum Cina sebanyak 35 peratus. Manakala Pakatan Rakyat pula hanya mendapat 30 peratus sokongan daripada kaum Melayu dan Cina, dan kaum India hanya lima peratus.

Kaji selidik itu juga mendapati Pakatan Rakyat akan mengekalkan sokongan di Kelantan, dengan 44 peratus daripada responden memihak kepada mereka berbanding dengan 27 peratus yang memilih BN.

Di Kedah, Pakatan Rakyat memperolehi sokongan majoriti daripada responden Cina dan Melayu, manakala BN jauh lebih popular di kalangan orang India.

Kerajaan Terengganu Sumbang 20 Unit Komputer Untuk Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi Terengganu pada Khamis menerima 20 unit komputer sumbangan kerajaan negeri untuk ditempatkan di makmal komputer mahkamah berkenaan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kemudahan itu bagi membolehkan rakyat yang mempunyai kes di mahkamah membuat semakan dan sebagainya melalui sistem online yang disediakan di makmal berkenaan.


Giliran Mohd Shahrul Dari TSG Naik Podium, Adiq Husainie Kekalkan J

Saingan hari ketiga Kejohanan Berbasikal Jelajah 1Malaysia (J1M) 2012 akhirnya menyerlahkan kemampuan sebenar pelumba negara apabila Mohd. Shahrul Mat Amin daripada pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya menjuarai perlumbaan dari Kulim ke Felda Chuping itu dengan catatan masa 4 jam 23 minit dan 36 saat petang semalam.

Selepas tiada pelumba Malaysia yang menaiki podium dalam dua peringkat perlumbaan sebelum ini, Mohd. Shahrul, 23, akhirnya tampil menamatkan badi tersebut dengan mengungguli saingan sejauh 168.8 kilometer itu dengan diikuti pelumba Polygon Sweet Nice dari Indonesia, Dani Lesmana (kedua) dan Muhd. Adiq Husainie Othman daripada pasukan Bawah 23 Malaysia (ketiga).

Peringkat ketiga semalam turut menyaksikan dominasi beberapa lagi pelumba negara, termasuk gandingan dua beradik daripada TSG, Mohd. Harrif dan Mohd. Zamri Salleh yang masing-masing menduduki tempat keempat dan keenam.


Syafiqah Sedia Galas Cabaran Memanah Sukan Olimpik London


Status sebagai atlet termuda untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik London ternyata sedikit mendebarkan Nur Shafiqah Hashim, 18, untuk menggalas cabaran itu.

Bagaimanapun beliau tetap bertekad untuk memberi sepenuh tumpuan selain menempatkan diri dalam kedudukan terbaik dalam kalangan pemanah seluruh dunia di temasya sukan dunia Julai nanti.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir itu berkata dia akan melakukan yang terbaik bagi menggalas misi negara serta tidak akan mensia-siakan peluang yang ada.

Seorang Maut, Sembilan Cedera Dalam Kebakaran Loji Pemprosesan Gas Di Dungun


Seorang pekerja kontrak maut dan sembilan lagi cedera dalam kebakaran di pusat pemprosesan gas di Loji Pemprosesan Gas (GPP) dalam kawasan Kompleks A milik Petronas di Dungun, semalam.

Pekerja itu, Rosli Mansor, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kebakaran kira-kira 3 petang itu, menurut kenyataan Petronas Gas Berhad (PGB).


Jurutera Mohd Zamri Fitri Mat Noor, 25, yang cedera parah dalam letupan di Loji Memproses Gas Kompleks A GPP3 petang semalam dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Menurut kenyataan itu, jenazah Rosli yang berasal dari Kuala Terengganu dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Kerajaan Terengganu Galak Rakyat Ceburi Bidang Akuakultur

Kerajaan Terengganu menggesa rakyat di negeri itu merebut peluang menceburi bidang industri akuakultur terutama di Tasik Kenyir bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran ikan air tawar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata sehingga ini ternakan ikan air tawar di Sungai Como dalam kawasan Tasik Kenyir, Terengganu melibatkan keluasan 2,800 hektar yang bermula sejak 2006 melibatkan 11 pengusaha.

Mapen Sasar 100 Syarikat Bumiputera Dalam Program Teras

Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapen) manyasarkan sekurang-kurangnya 100 syarikat daripada kalangan anggota gabungannya dapat disenaraikan dalam Program Teras menjelang akhir tahun ini.

Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, untuk mencapai matlamat itu, Mapem sedang mengenal pasti calon syarikat PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi dapat dilakukan secara sistematik dan segara.


Kompleks Materniti HSNZ Siap Oktober Depan

Kesesakan di wad bersalin sedia ada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dijangka diatasi apabila siapnya Kompleks Materniti dengan kapasiti 308 katil pada Oktober ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Anwa Sulaiman berkat, ketika ini wad bersalin di HSNZ mempunyai hanya 100 katil sedangkan bilangan pesakit semakin ramai yang menyebabkan kesesakan.

Batu Bersurat Antara154 Butiran Diisytihar Sebagai Warisan Kebangsaan



Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini mengisytiharkan 154 butiran terdiri daripada 24 tapak, 10 objek ketara, 111 objek tidak ketara dan sembilan tokoh orang hidup sebagai Warisan Kebangsaan Negara.

Beliau berkata penganugerahan status warisan kebangsaan itu merupakan langkah positif dalam era pembangunan yang mengimbangi transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Kementerian menganggap anugerah ini dapat sama-sama memupuk (semangat) kenegaraan dan kebangsaan kita, ia juga perlu diberi semangat pemeliharaan serta pemuliharaan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.


Thursday, May 10, 2012

Pusingan Kedua Piala AFC - Terengganu Bertemu Kelantan 23 Mei


Baginilah Nasib Bolasepak!

Akan berlaku pertempuran sesama pasukan Pantai Timur – Kelantan dan Terengganu – pada pusingan kedua Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas Terengganu berada pada kedudukan tangga kedua Kumpulan F selepas perlawanan semalam.

Terengganu mengikuti Kelantan untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC selepas Terengganu dan Kitchee FC Hong Kong terikat 2-2 pada perlawanan terakhir kumpulan semalam.

Terengganu perlu menang untuk mengelak bertemu Kelantan tetapi itulah nasib bolasepak.

Kitchee menjaringkan gol pertama melalui Jorge Tarres Paramo pada minit ke 9 sebelum dibalas oleh Ashaari Shamsuddin (gambar atas) pada minit ke 15.

Paramo sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke 45 untuk mendahului masa pertama 2-1.

Namun, Abdul Hadi Yahya (kiri) yang dijatuhkan dalam kotak penalti kemudian mengambil sepakan penalti pada minit ke 71 untuk menyamakan kedudukan. Kitchee mengungguli kumpulan dengan 11 mata sementara Terengganu dengan sembilan mata dan akan bertandan ke Sultan Mohd IV di Kota Bharu pada 23 Mei.

Sebelum itu dalam kumpulan sama, Song Lam Nghe An Vietnam mengalahkan Tampines Rovers 3-0 . Kelantan pula mara ke pusingan kedua Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady United 1-0 di Kota Bharu malam kelmarin.

Kelantan terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk memecah kebuntuan gol menerusi jaringan Nwoha Onyekachi pada minit ke-47.

Jaringan tunggal perlawanan tersebut berpunca daripada rembatan Mohamad Ghaddar yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Ayeyawady, Thia Si Thu, sebelum berjaya disudahkan Nwoha dalam keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan pelawat.

Kemenangan itu membolehkan Kelantan mengekalkan kedudukan tangga teratas Kumpulan H dengan 13 mata, sekali gus layak ke pusingan kedua.

Ayeyawady pula di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan sepatutnya mampu mencatat kemenangan lebih besar, namun deretan peluang yang terhidang gagal disempurnakan oleh barisan depan skuad Red Warriors.

Isu Mat Zan - PBSNT Perlu Telus, Bijak Kendalikannya...

"Saya tidak akan mengeluarkan surat melepaskan jawatan...Jika PBSNT merasakan saya perlu melepaskan jawatan, mereka perlu mengeluarkan surat untuk ditandatangani, tetapi perlu saya jelaskan beberapa syarat harus dipatuhi persatuan.” - 
Mat Zan Mat Aris

Isu Mat Zan Mat Aris memeningkan dan  Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNT) perlu uruskannya dengan bijak dan telus.

Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena mengenai 'persetujuan' Mat Zan meletakkan jawatan.

PBSNT wajar menggantung tugasnya buat sementara tetapi pada ketika yang sama perbincangan yang diketahui umum untuk mengambil jurulatih lain dilihat memberikan tekanan kepada Mat Zan.

Crawford Jejak Podium Utama, Adiq Husainee Pertahan Jersi Hijau

Crawford mengangkat kedua-dua belah tangannya sebaik melintasi garisan penamat pada pusingan kedua JM 2012 di Kulim, Kedah semalam.
Pusingan ketiga Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia (JM) 2012 diteruskan hari ini dengan peringkat ketiga bermula dari Kulim, Kedah ke Felda Chuping, Perlis sejauh 168.8km.

Semalam pada pusingan kedua JM) 2012 dari Bandar Baru Kampar, Perak ke Kulim, Kedah menyaksikan pelumba RTS Racing, Jai Crawford muncul juara. Pada perlumbaan sejauh 201.8 kilometer (km) itu,

Crawford, 29, terlebih dahulu berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 5 jam 07 minit dan 42 saat.

Peserta Bersih 3.0 DiBeri Tempoh Seminggu Serah Diri


Peserta perhimpunan yang didakwa terbabit dalam insiden kekacauan pada perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang 28 April lepas diberi tempoh seminggu untuk menyerah diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, polis akan membuat tangkapan dari rumah ke rumah terhadap mereka yang enggan menyerah diri, mulai Rabu depan.

500,000 Dijangka Hadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-66 Umno

Kira-kira 500,000 orang dijangka menghadiri sambutan ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil mulai esok hingga Ahad ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata acara kemuncak ialah perhimpunan raksasa anggota parti selain pelbagai aktiviti, termasuk sambutan Hari Ibu dan kejohanan futsal.

Hudud Hanya Dilaksanakan Jika Cukup Syarat - Abdul Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata hukum hudud bukan sesuatu yang menjadi keutamaan walaupun ia akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, hudud akan dilaksanakan terlebih dahulu kepada umat Islam sementara bukan Islam diberi pilihan (untuk menerimanya atau tidak).


Potensi Terengganu Pertama Kali Menang Pingat Sukma

Terengganu berpotensi besar julung kali memenangi pingat pada kejohanan golf Sukma yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang, Julai depan.

Presiden Persatuan Golf Negeri Terengganu (PGT), Ahmad Zubir Azhari berkata keyakinan tersebut bersandarkan pada ranking pemain yang disenaraikan membuat cabaran pada Sukma kali ini.

75 Peratus Lepasan RANACO Dapat Kerja

Perarakan masuk ke Majlis Graduasi RETI dan RANACO Marine di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.
  Seramai 809 graduan Institut Pendidikan dan Latihan RANACO (RETI) dan RANACO Marin menerima diploma dan juga sijil masing-masing pada Majlis Graduasi Kali Keempat di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 610 merupakan pelatih dalam program diploma (RETI) dan 199 graduan Program Latihan Vokasional (VTP) yang terarah kepada industri marin.


Wednesday, May 9, 2012

Durian Runtuh FELDA - Peneroka Bersyukur Dan Menitiskan Air Mata Gembira


"Perdana Menteri cukup prihatin dan bersikap adil apabila turut memberikan agihan kepada para isteri dan-anak peneroka...Kami sebelum ini telah meminta Pengerusi Felda supaya turut mengambil kira peranan dan pengorbanan para isteri dan anak-anak yang turut mencurah tenaga memajukan tanah ladang masing-masing," Wan Saedah Wan Musa, Pengerusi GPW (Felda) Wilayah Terengganu.

Peneroka yang hadir pada majlis pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian durian runtuh sempena penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH), melahirkan rasa penuh syukur, malah ada yang menitiskan air mata kegembiraan.


Kalangan peneroka, isteri, generasi kedua dan warga kerja Felda yang ditemui di majlis pengumuman tersebut di Felda Jengka 8, di penuhi keceriaania dan kegembiraan  berikutan pengumuman Perdana Menteri itu.

Bagi Pengerusi Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) Wilayah Terengganu, Wan Saedah Wan Musa, 56, pengumuman Perdana Menteri itu telah melenyapkan sama sekali tohmahan pembangkang yang selama ini membuat pelbagai kenyataan bertujuan menggagalkan penyenaraian FGVH.

"Perdana Menteri cukup prihatin dan bersikap adil apabila turut memberikan agihan kepada para isteri dan-anak peneroka.

"Kami sebelum ini telah meminta Pengerusi Felda supaya turut mengambil kira peranan dan pengorbanan para isteri dan anak-anak yang turut mencurah tenaga memajukan tanah ladang masing-masing," kata Wan Saedah.

Semalam di Jerantut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka malah untuk isteri dan anak peneroka serta warga kerja Felda.



Durian runtuh untuk peneroka adalah berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Ketika mengumumkan berita baik itu di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, dekat Jerantut,


Najib berkata Felda kini telah memasuki satu transformasi baru setelah penyenaraian FGVH.

Beliau berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.

Turut hadir semalam, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, Najib berkata pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu dari Selasa.

 "Pembayaran akan dibuat secara tunai dan fasa kedua akan dibuat sebaik sahaja selesai pembayaran fasa pertama manakala pemberian bonus kepada kakitangan Felda juga akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan tiga lagi insentif yang disifatkan beliau sebagai 'durian gugur' iaitu tabung amanah, 'blue form' untuk saham FGVH kepada peneroka dan tambahan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Berkenaan dengan tabung amanah itu, Najib berkata sebanyak 20 peratus dalam tabung amanah adalah untuk penyenaraian FGVH dan sekiranya FGVH dapat keuntungan maka dividen akan diberi kepada setiap peneroka.

"Pada tahun depan kita jangkakan keuntungan sebanyak RM1.5 bilion dan sekiranya jumlah itu kekal seperti tahun lepas, setiap peneroka akan menerima lebih RM1,300, kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi".

Najib berkata setiap peneroka akan menerima `blue form' untuk dapatkan saham FGVH dan beliau amat berharap peneroka tidak akan menjual saham berkenaan. Perdana Menteri pada program itu turut menempelak mereka yang menentang penyenaraian FGVH termasuk segelintir peneroka serta pihak pembangkang yang cuba mencelarukan pemikiran rakyat.

"Saya tak rela dan redha mereka ini menerima (durian runtuh) ini kerana mereka ini mengkhianati apa yang kita buat, hanya peneroka yang jujur dan setia sahaja yang layak menerima durian runtuh ini," katanya.

Najib berkata durian runtuh itu dilihat amat bermakna untuk para peneroka yang telah banyak berkorban membangunkan tanah rancangan yang pada asalnya hanya hutan rimba.

"Bantuan ini bukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hanya RM500, ini bukan BR1M, tapi BROOM," katanya sambil berseloroh.

Najib berkata Felda yang bermula di Lurah Bilut pada 1956 kini telah memasuki fasa terakhir abad 21 yang bukan lagi bertatih tetapi mampu berdiri dan gagah perkasa di pentas ekonomi dunia.

JHEAT Belanja RM480,000 Kursus Imarah Masjid 2010-2011

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan kira-kira RM480,000 bagi melaksanakan kursus pengimarahan masjid seluruh Terengganu sepanjang 2010 hingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh siri kusus dijalankan pada 2010 dengan melibatkan perbelanjaan hampir RM277,000, manakala lima siri kursus diadakan pada tahun lalu dengan peruntukan RM203,000.

Pesuruhjaya JHEAT,Mohd Rozali Saleh, berkata seramai 1,830 peserta di kalangan imam dan bilal menyertai kursus mengimarahkan masjid menerusi tujuh siri dengan setiap siri merangkumi tiga sesi sepanjang 2010.


Lion XII Perkukuh Kedudukan Di Persada Liga Super

Pasukan tunggal dari luar negara, Lions XII (Singapura) terus memperkukuhkan kedudukan di persada Liga Super apabila berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka semalam.

Dengan kejayaan itu, Lions XII kini mengumpul 39 mata, lima mata di depan pencabar utama iaitu Kelantan.

Kedah pula terikat dengan seri 1-1 kepada T-Team di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Fukushima Dari TSG Dinobat Tiga Gelaran Pada Peringkat Pertama

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shinichi Fukushima menjuarai peringkat pertama perlumbaan berbasikal Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2012, sejauh 161.5km dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar, semalam.

Selain dinobatkan pemenang pada perlumbaan peringkat berkenaan, pelumba berasal dari Jepun itu juga merangkul jersi kuning dan biru selaku pelumba terbaik keseluruhan dan pelumba terbaik Asia.

Menamatkan perlumbaan mengatasi empat pelumba lain, Fukushima mencatatkan masa tiga jam, 50 minit dan 28 saat.

Pamerkan Kehebatan Terengganu Pada 9 Mei Hingga 30 Jun

Muzium Negeri Terengganu akan mengadakan "Pameran Kehebatan Terengganu," pada 9 Mei hingga 30 Jun.

Penolong Kurator Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata pameran itu memberi fokus kepada kehebatan setiap bidang yang menjadikan Terengganu terkenal di Malaysia seperti bidang agama, seni, pelancongan, pendidikan dan sukan.

Abdul Manaf Mamat Direhat Sementara Setelah Jalani Pembedahan

Penyerang Terengganu Abdul Manaf Mamat terpaksa direhatkan sementara setelah menjalani pembedahan di bahagian buku lali.

Pemain yang berusia 25 tahun itu menjalani pembedahan di Hospital Pantai, Ampang, Selangor Sabtu lalu akibat kecederaan yang dialami selepas mengharungi beberapa perlawanan sebelum ini.

PPAT Wujud 107 Perpustakaan Supaya Celik Ilmu

Sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di Terengganu sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah.


YPU Akan Eksport Produk Makanan Terengganu Ke Brunei

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan mengeksport pelbagai produk keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) negeri itu ke Brunei, yang sekaligus akan meningkatkan pendapatan usahawan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, jika tiada apa-apa halangan dan rintangan, langkah itu akan dilaksanakan mulai tahun ini.


Penyokong Sifatkan Wajar Sekiranya Mat Zan Letak Jawatan

Penyokong-penyokong setia sang penyu menyifatkan sebagai wajar keputusan ketua jurulatih Skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris yang didakwa akan melepaskan jawatannya.

Bagi kebanyakan penyokong pasukan Terengganu, walaupun drastik, ia dianggap keputusan yang tepat diambil oleh jurulatih berusia 54 tahun itu.


GMB Malaysia Adakan Program Jelajah Untuk Bantu Usahawan Muda

Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB Malaysia) akan mengadakan program jelajah "Young Meet Young" ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas dari usahawan muda tentang masalah yang mereka hadapi dalam membangunkan keupayaan dari segi modal, pasaran serta produk.

Siri jelajah "Young meet Young" itu akan bermula di Kuantan Pahang pada minggu ini sebelum ke Selangor, Terengganu, Kelantan, Perlis serta ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.


Persatuan Mahu Mengembalikan Kegemilangan Sukan Kriket Di Terengganu

Persatuan Kriket Negeri Terengganu (PKNT) komited untuk mengembalikan kegemilangan sukan itu di negeri ini yang dianggap 'sudah berkubur' oleh sesetengah pihak.

Bagi merealisasikan impian itu, Pengerusinya Apli Yusof berkata PKNT yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi menerusi program pencarian bakat yang bermula bulan depan.


Pemandu, Kelindan Selamat Selepas Dua Jam Tersepit

Seorang pemandu lori treler dan kelindannya yang membawa muatan sarat buah kelapa dan baja terpaksa menahan azab tersepit di bawah kenderaan mereka kira-kira dua jam sebelum diselamatkan dalam nahas, pagi semalam.

Kemalangan berlaku di Kilometer 76 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Air Sejuk, ketika pemandu berkenaan Nurame Abdul Rahman, 35, dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju ke Rantau Panjang, Kelantan untuk menghantar bekalan kelapa dan baja.


Tuesday, May 8, 2012

Ahmad Said Lawat, Berusaha Bantu Mangsa Ribut di Marang


 “Bantuan membaiki rumah, ganti atap baru akan disalurkan dan diselesaikan dalam tempoh sehari dua ini. ...Walaupun bantuan yang diberikan itu tidak dapat menggantikan kerugian yang ditanggung mangsa, namun sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban mangsa terlibat." Datuk Seri Ahmad Said

Keprihatinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengatasi komitmen pemimpin pembangkang sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila bukan sahaja melawat mangsa ribut di Bukit Payong Marang tetapi berusaha membantu mereka.

Beliau yang memang cakna rakyat selalunya antara orang pertama yang akan meninjau masalah rakyat atau apa juga mala petaka yang menimpa rakyat negeri ini.


Ahmad Said berbekalkan sikap keprihatinan, cakna dan pemurah tidak sahaja meninjau, mendalami masalah rakyat tetapi seboleh-bolehnya membantu mereka yang memerlukan dan tidak bernasib baik.

Buktinya, nasib mangsa ribut yang melanda sekitar DUN Bukit Payong, Marang mendapat perhatian Ahmad Said yang berjanji bantuan segera akan dihulurkan kepada golongan berkenaan.

Menteri Besar berkata, bantuan daripada pihak kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pihak lain yang prihatin dapat meringankan beban mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian.

“Bantuan membaiki rumah, ganti atap baru akan disalurkan dan diselesaikan dalam tempoh sehari dua ini. Kita telah membuat tinjauan, banyak atap rumah tercabut. Malah ada rosak teruk dihempap pokok besar.

 “Walaupun bantuan yang diberikan itu tidak dapat menggantikan kerugian yang ditanggung mangsa, namun sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban mangsa terlibat," katanya yang ditemui ketika melawat sebahagian mangsa yang terlibat pagi Ahad lalu.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda.

Petang Sabtu lalu, lebih 500 rumah di tiga daerah di Terengganu mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dan hujan lebat.

Kejadian pukul 4 petang selama bagaimanapun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa mahupun kecederaan.

Ribut dan hujan lebat kira-kira dua jam itu melanda beberapa daerah termasuk Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar, berkata sekurang-kurangnya lima rumah dilaporkan dihempap pokok dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu di Bukit Payong sahaja.

Beliau berkata, di Kampung Undang, sebanyak 104 buah rumah mengalami kerosakan seperti atap dan dinding. Zuhami berkata, JKM sedang menilai kerosakan rumah berkenaan sebelum menyalurkan bantuan.

“Kita sedang mendapatkan maklumat terperinci tentang kerosakan rumah daripada pihak berkenaan di kampung terbabit," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar melawat rumah mangsa kejadian di Kampung Undang, di Marang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Sabtu itu, 208 buah rumah mengalami kerosakan yang membabitkan 105 buah rumah di Kampung Undang, Kampung Laut (17 buah), Kampung Belukar Jambu (4 buah) dan Kampung Surau Panjang (10 buah). Turut terjejas, Kampung Tok Dir (6 buah) Kampung Mak Kemas (25 buah), Kampung Padang Pak Su Man (23 buah) dan Kampung Batu 9 (18 buah).

Peter Butler Ganti Mat Zan Sebagai Penggendali Skuad Penyu?

Butler yang disebut-sebut akan menjadi penggendali Sang Penyu.
Nasib Mat Zan Mat Aris!

Hanya kerana gagal mengulangi kejayaan ke Final Piala FA dan prestasi kurang memberangsangkan bagi Piala Liga Super, beliau menjadi mangsa.

Ketika terdesak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menawarkan jawatan secara tergesa-gesa untuk menggantikan Irfan Bakti yang mengambil keputusan berhijrah ke Selangor.

Tetapi kini?

Mat Zan mengambil keputusan melepaskan jawatan.


Ahmad Said Bertemu 15,000 Warga Felda Jelaskan Tuduhan, Fitnah

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka memberi penjelasan kepada peneroka berhubung isu-isu semasa, termasuk pelbagai tuduhan dan fitnah yang ditimbulkan pihak pembangkang bagi memburuk-burukkan kerajaan  pada program bertemu warga Felda antara 13 Mei dan 4 Jun depan.

Beliau dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud, akan hadir pada Majlis Perjumpaan dengan kira-kira 15,000 warga Felda di seluruh negeri, bagi beramah mesra dan menyampaikan amanat kepada peneroka berkenaan.

Status Permohonan ke IPTA Bagi Lepasan SPM Boleh Disemak Mulai Hari Ini

Status keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya boleh diketahui mulai hari ini.

Keputusan permohonan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pula boleh diketahui mulai 12 tengah hari esok, demikian menurut kenyataan akhbar ketiga-tiga universiti itu yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Jelajah Malaysia 2012 - Hariff Mahu Beri Aksi Terbaik

Kurang menyerlah pada Jelajah Borneo 2012 minggu lepas tidak bermakna semangat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh terus merudum, sebaliknya dia berjanji akan memberi aksi terbaik di Jelajah Malaysia 2012 yang bermula hari ini.

Menurut pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu, dia mensasarkan untuk memberi aksi terbaik pada perlumbaan kali ini kerana Jelajah Malaysia dan Jelajah Borneo adalah perlumbaan yang sangat berbeza.


TMC 2012 Tawar Hadiah Lebih RM30,000

Kejohanan Cabaran Gunung Tebu (TMC) 2012 yang akan diadakan di Taman Rekreasi Lata Belatan, Besut pada 18 dan 19 Mei ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM30,000.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Terengganu (Tenaga) dengan kerjasama kerajaan negeri.


Anak Tempatan Menang Karnival Pusingan Pertama GP Joran 2012

Za'abar(tengah) dan Mior Kamarul (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang pada Karnival Pusingan Pertama GP Joran 2012 di Dungun, Terengganu, kelmarin.
Anak tempatan, Mohd Sukri Sidek dan Mohd Nasrull Tahir dari Kuantan masing-masing dinobatkan sebagai pemenang kategori Laut dan Pantai, GP Joran Pusingan Pertama 2012 anjuran Berita Harian, di Dungun, kelmarin.

Mohd Sukri, 30, berjaya menaikkan kerapu seberat 18.24 kilogram (kg) manakala Mohd Nasrull, 34, pula ebek seberat 1.7 kg sekali gus masing-masing membawa pulang hadiah tunai RM20,000 serta pelbagai hadiah iringan.



Terkejut Warga Nepal Mabuk Tidur Sekatil

Sepasang suami isteri dari Flet Awam Jalan Hiliran di Kuala Terengganu, terkejut apabila terjaga daripada tidur awal pagi kelmarin dan mendapati seorang warga Nepal yang dipercayai mabuk tidur sekatil dengan mereka.

Kehadiran suspek disedari mangsa yang juga anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 4.15 pagi selepas anak mereka yang berusia dua tahun menangis kerana dihimpit suspek yang tidur sekatil bersama keluarga berkenaan.

Had Umur Golongan Belia Pada Usia 15 - 30 Tahun?

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk menetapkan had umur baharu bagi golongan belia di negara ini iaitu bermula dari 15 hingga 30 tahun berbanding 15 hingga 40 tahun sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, had umur baharu tersebut dicadangkan supaya selaras dengan had umur belia di negara-negara Komanwel dan negara-negara jiran Malaysia.

Di Belasah Dalam Masjid Kerana Cuba Curi Wang


Seorang lelaki menyangka dia bijak apabila menukar mangga tabung wang di Masjid Hadhari di Jerteh dekat sini untuk memudahkannya mencuri duit daripada tabung itu yang berakhir dia dibelash teruk.


Lelaki itu bertindak demikian selepas cubaan pertamanya untuk mencuri duit tabung itu tidak berhasil.

Siaran TV Al-Hijrah Diperluas Ke Seluruh Negara

Siaran TV Al-Hijrah akan diperluaskan ke seluruh negara selewat-lewatnya akhir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan sedang menyusun spektrum yang lebih menyeluruh kepada negeri yang belum mendapat siaran itu seperti Kelantan dan utara tanah air.