"Kita haraplah bahawa dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dan tempoh yang diberikan untuk mereka (pemilik tanah) dan untuk mengelakkan tanah mereka tidak dirampas walaupun itu merupakan jalan terakhir kita...melalui pembayaran itu kerajaan boleh menjana pendapatan negeri dan
memberikan duit pulangan kepada rakyat, menjalankan pembangunan dan
sebagainya."
- Datuk Seri Ahmad Said.
Terengganu merupakan negeri yang mengenakan kadar cukai terendah berbanding negeri lain di negara ini.
Ada kadar hanya berjumlah RM2 sehingga RM3 sahaja setahun dan kerana itu kerajaan negeri berharap rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sewajarnya.
Selain itu, walaupun ada peruntukan yang membolehkan kerajaan merampas tanah mereka yang gagal membayar cukai, kerajaan tidak pernah menggunakan kuasa itu sebaliknya memberikan kelonggaran.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan, melalui pembayaran itu kerajaan boleh menjana pendapatan negeri dan memberikan duit pulangan kepada rakyat, menjalankan pembangunan dan sebagainya.
Bagaimanapun Ahmad Said gembira kerana kesedaran membayar cukai tanah di kalangan rakyat Terengganu semakin meningkat.
Ini dibuktikan apabila kerajaan negeri berjaya mengumpul hasil cukai berjumlah RM22,737,16.97 berbanding RM22,119,745.94 bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
Menteri Besar memberitahu, prestasi pungutan hasil kutipan cukai tanah yang meningkat itu mungkin didorong oleh dasar kerajaan negeri yang memanjangkan tempoh masa pembayaran daripada Mei kepada Julai sejak beberapa tahun lalu.
“Setiap tahun sejak beberapa tahun yang lalu Exco membuat keputusan keputusan melanjutkan pembayarannya sehingga akhir Julai 2012 tanpa mengenakan denda.
“Sebab itu (sebelum ini) selepas Mei sahaja kita dendalah, tapi kita lanjutkan sehingga Julai setiap tahun sejak beberapa tahun yang lalu dan akhirnya kita dapati pada tahun ini iaitu setelah berakhir 31 Julai, pungutan yang kita buat ialah sebanyak RM 22, 737, 16.97 berbanding pada tempoh yang sama pada tahun lepas RM 22, 119, 745.94 pertambahan lhampir RM 600, 000 lebih pada tahun sebelumnya," katanya.
Beliau menyatakannya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Menteri Besar berkata, prestasi itu menggambarkan bahawa kesedaran di kalangan rakyat untuk membayar cukai tanah di negeri ini semakin meningkat.
“Jadi, kita haraplah bahawa dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dan tempoh yang diberikan untuk mereka dan untuk mengelakkan tanah mereka tidak dirampas walaupun itu merupakan jalan terakhir kita, bagaimanapun, kita jarang melakukannya (rampas tanah) walaupun kita boleh lakukan demikian.
Tapi kita haraplah kesedaran di kalangan rakyat untuk terus membayar cukai.
“Terengganu merupakan negeri yang mengenakan kadar cukai terendah berbanding negeri lain di negara ini. Ada kadar hanya berjumlah RM2 sehingga RM3 sahaja setahun,” katanya.
Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah itu juga, kutipan tunggakan cukai sehingga 31 Julai pada tahun ini berjumlah RM2,126,831.35 (18.37 peratus) berbanding kutipan sehingga tempoh yang sama tahun lalu berjumlah 1,960,240.95 (17.9 peratus).
Manakala kutipan denda lewat sehingga 31 Julai, berjumlah RM660 846.55 pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu (RM650, 591.96).
Sementara jumlah kutipan berdasarkan bilangan hak milik sehingga 31 Julai tahun ini RM272,690 tahun ini, berbanding tahun lalu berjumlah RM253 077.
“Tapi, sikap masyarakat kita kadang-kadang dia lupa atau buat-buat lupa, cuai dan sebagainyalah (membayar cukai).
Bagi memudahkan mereka membayar cukai berkenaan, kadang-kadang kita buka kaunter, kadang-kadang kita buat apa-apa majlis, kita buka kaunter di mana-mana untuk membayar cukai pintu, cukai tanah dan semakan dan sebagainya.
Sumber Teganukita