Friday, October 18, 2013

Hasrat Terengganu Lahirkan 30,000 Kanak-Kanak Celik al-Quran Tercapai

Majlis khatam al-Quran yang diadakan tahun lalu.
Hasrat kerajaan negeri untuk melihat Yayasan Islam Terengganu (YIT) berterusan menyelaras 30,000 kanak-kanak khatam al-Quran setiap tahun mencapai sasaran tahun ini.

Pengarah YIT, Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, pada tahun ini, hampir seramai 35,000 kanak-kanak akan mengikuti majlis khatam al-Quran berbanding kira-kira 31,000 orang tahun lepas.

"Alhamdulillah kita telah dapat menunaikan hasrat kerajaan negeri itu dari setahun ke setahun,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Kamaru Al-Amin berkata, tujuan kerajaan negeri itu adalah yang utamanya untuk melihat kanak-kanak prasekolah celik al-Quran dan bidang agama Islam sebelum mereka melangkah ke darjah satu.

Beliau berkata, majlis pertama yang akan diadakan pada 26 Okt ini ialah program khatam al-Quran pelajar Kafa berumur tujuh hingga 11 tahun melibatkan seramai 23,000 orang.

Sementara program kedua pula ialah majlis khatam Program Pintar al-Quran untuk kanak-kanak Tadika YIT, Kemas, Perpaduan Negara dan prapendidikan negeri yang melibatkan seramai 10,805 kanak-kanak berumur antara lima dan enam tahun.

Katanya majlis tersebut akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak dan dijangka dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Mukhriz Saran Proses Pendaftaran Anggota Umno Dipermudah


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menyarankan agar proses pendaftaran anggota baharu parti itu dipermudah memandangkan ada yang mendakwa proses sedia ada agak sukar.

"Proses mendaftarkan anggota masih dibelenggu dengan macam-macam masalah. Saya terima rungutan golongan profesional muda yang sudahpun berminat untuk menyertai Umno, tetapi ada yang kata pada saya sudah tiga hingga empat kali hantar borang, tapi borang hilang.

"Saya faham masalah ini sebab saya juga dulu jadi mangsa kepada masalah seperti ini dan yang merugikan kita ialah mereka ini begitu terbuka diterima oleh parti-parti pembangkang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Sepetang Bersama Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, di Putrajaya, semalam.

SPRM Usul Udang-undang Baharu Terhadap Penjawat Awam Rugikan Negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu undang-undang baharu digubal bagi mengenakan tindakan terhadap penjawat awam yang membelakangkan kepentingan awam sehingga merugikan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkara itu dilihat perlu kerana skop Seksyen 23 Akta SPRM yang diguna pakai sekarang agak kecil.

"Seksyen ini hanya mengkhususkan kepada proses pembuatan keputusan kepada mana-mana pihak yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan individu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Khas Sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM ke-46, semalam.

Kalimah Allah: Fahami Penghakiman, Jangan Buat Kenyataan Sembarangan

Masyarakat perlu membaca dan memahami penghakiman Mahkamah Rayuah mengenai isu kalimah Allah mengikut konteksnya dan tidak membuat kenyataan sembarangan.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainur Rijal Abu Bakar berkata, kenyataan yang dibuat sewenang-wenangnya boleh menimbulkan kekeliruan atau menghina mahkamah. 

Keputusan Mahkamah Rayuan ini pada pandangan PPMM ialah setakat melarang Archibishop menggunakan kalimah Allah dalam The Herald, iaitu penerbitan mingguan Katolik dan tidak lebih daripada itu, katanya dalam kenyataan semalam.

KPDNKK Sasar Satu Parlimen Satu KR1M - Hasan Malek

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan untuk mewujudkan satu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi setiap Parlimen di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata kini sebanyak 102 KR1M beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan harga antara 30 dan 50 peratus lebih murah berbanding kedai biasa.

"Di Selangor sahaja, kita sudah bina 13 KR1M termasuk di Pandan Mewah ini, dan kita akan membina enam lagi kedai seumpama ini di negeri ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KR1M di Pandan Mewah, Ampang, semalam.

Isu Kalimah ALLAH: NGO Beri DAP Amaran

Keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang tidak membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh The Herald disambut baik oleh Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) Rahmad Ishak.

Tegas Rahmad, tidak ada mana-mana pihak boleh mempertikaikan keputusan berkenaan, terutamanya parti-parti pembangkang kerana dikhuatiri akan mengganggu-gugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Pihak kami juga memberi amaran supaya keputusan kes tersebut tidak dijadikan modal politik pembangkang terutamanya DAP dalam cubaan untuk menegakkan benang yang basah di mana akhirnya bakal mengundang episod ketegangan kaum di luar jangkaan.

Umno Seberang Takir Korban 11 Ekor Lembu

Umno Seberang Takir pada Rabu mengadakan ibadah korban 11 ekor lembu yang diuruskan komuniti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata ini merupakan tahun ke-enam Umno Seberang Takir mengadakan ibadah korban, sebahagian daripada daging korban itu untuk diagihkan kepada umat Islam fakir miskin setempat. 

"Bagi memudahkan pengagihan, pihak kita telah mengagihkan kupon kepada 1,100 fakir miskin dari 22 kampung di DUN ini, setiap kampung puratanya kita pilih 50 orang akan terima daging korban.

Rakyat Malaysia, Angelin Teh Terbunuh Nahas Pesawat Di Laos

Kedutaan Malaysia di Laos semalam mengesahkan rakyat Malaysia, Angelin Teh dari Pulau Pinang antara 49 terbunuh dalam nahas pesawat Lao Airlines, semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, hari ini berkata, Teh dan suaminya Joel Babcock, warganegara Amerika, dalam perjalanan dari ibu negara Laos, Vientiane, ke Pakse apabila pesawat berkenaan terhempas ke dalam Sungai Mekong dalam cuaca buruk.

"Pihak berkuasa Laos sedang meneruskan usaha mencari mayat mangsa nahas itu," katanya dalam kenyataan.

Dua Beranak Maut Nahas di Cheneh, Kemaman

Dua terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila sebuah pacuan empat roda bertembung dengan sebuah lori tangki, di Kilometer 150.8 Jalan Jerangau- Jabor, berdekatan bandar Cheneh di Kemaman di petang semalam.

Kejadian berlaku kira- kira jam 3.30 petang apabila pacuan empat roda itu dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di depannya tetapi bertembung dengan lori tangki berkenaan.

Mangsa yang terbunuh ialah Mohd Latip Abu Bakar, 37, dan anak lelakinya berusia 5 tahun.

Pas Terengganu Gerakkan 200 Petugas Ke Dun Sungai Limau

PAS Terengganu akan menghantar kira-kira 200 petugas bagi membantu kempen mempertahankan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah dalam pilihan raya kecil kawasan itu 4 Nov ini.

Timbalan Pesuruhjaya I PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata kontinjen PAS Terengganu akan mula berkampung di sana bermula 19 Okt ini.

"Kita akan menghantar petugas sebanyak empat peringkat dengan kekuatan 50 petugas dalam satu peringkat dan akan dipecahkan kepada dua kumpulan meliputi Pemuda, Muslimat, dan veteran PAS.

Korban Perdana Parlimen Setiu, Dun Permaisuri Meriah.

Mohd Jidin dan Zulkify (tengah) sedang melapah kulit lembu.

Lebih 100 penduduk dari beberapa kampung berhampiran hadir bergotong royong menjayakan Program Korban Perdana anjuran Parlimen Setiu, dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Dun Permaisuri di hadapan Masjid Kampung Banggol, Setiu, kelmarin.

Program yang turut di hadiri Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh dan Adun Permaisuri Datuk Mohd Jidin Shafee itu bertujuan untuk memenuhi sunnah Rasulullah dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk.

Mohd Jidin berkata, sebanyak sembilan ekor lembu dikorbankan pada program itu melalui peruntukan parlimen dan Dun itu.

Bank Islam Taja Ibadah Korban Di Terengganu

Sambutan hari ketiga Aidiladha di Terengganu semalam terus meriah dengan ibadah korban diadakan di merata tempat dan pagi tadi, satu program ibadah korban anjuran Bank Islam bagi wilayah timur diadakan di Kampung Gemuruh dekat Kuala Terengganu.

Bank Islam juga pada tahun ini menyumbangkan sebanyak 22 ekor lembu untuk melaksanakan ibadah korban di beberapa masjid dan surau di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak dan menyumbangkan RM45,000 dana zakat kepada orang miskin, ibu tunggal, anak yatim dan warga emas. 

Sebanyak empat ekor lembu disembelih di Kampung Gemuruh hasil sumbangan 28 kakitangan dan pelanggan bank tersebut yang diagihkan kepada penduduk kampung berkenaan sebagai tanda keprihatinan pihak bank dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Lebih 10,000 Tiket Dijual Untuk Perlawanan ATM-Kelantan

Sebanyak 10,400 tiket akan dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata daripada jumlah itu, 3,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong pasukan ATM manakala bakinya akan dijual kepada masyarakat umum termasuk penyokong Kelantan.

"Jualan tiket bermula 9 pagi ini di venue perlawanan manakala tiket bagi penyokong ATM akan dijual di markas-markas ATM sekitar Lembah Klang pada hari dan masa yang sama," katanya pada sidang media kelmarin.

Jurulatih T-Team Diumum Minggu Depan

Jurulatih baharu yang akan membimbing pasukan berstatus kelab T-Team pada saingan Liga Malaysia musim depan akan diketahui minggu depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Rashid Jusoh.

Beliau berkata perbincangan dengan jurulatih berkenaan kini dalam proses akhir dan dijangka dimuktamadkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) minggu depan.

"Kita tunggu pengumuman minggu depan. Antara jurulatih yang dalam pencarian kami ialah seorang jurulatih luar negara yang masih melatih sebuah pasukan negeri," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

DUN Langkap Korban 14 Ekor Lembu



Ahli Dewan Undangan Langkap, Datuk Sabri Mohd Nor (berbaju oren)bersama lebih 100 penduduk termasuk Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) kawasan itu hadir menjayakan Program Korban Perdana Parlimen Setiu dan Dun Langkap, yang diadakan di Pekan Sungai Tong, Setiu, kelmarin.

Sabri berkata, sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan pada program yang bertujuan untuk menyempurnakan ibadah korban dan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara sesama penduduk itu.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkify Jusoh dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Setiu yang baru dilantik, Wan Nasiah Wan Majid.

Idris Janji Terus Bantu Umno Bahagian Besut

Datuk Seri Idris Jusoh berjanji tidak akan meminggirkan UMNO Bahagian Besut malah akan terus membantu kepimpinan baru bahagian itu walaupun tidak lagi menjadi Ketua Bahagian selepas pemilihan parti 19 Oktober ini.

"Soal saya akan berada dalam jawatan nombor tiga selaku Naib Ketua Bahagian, tidak menjadi masalah bagi saya untuk terus bekerjasama dengan pimpinan baru bahagian itu nanti", katanya.

Menurutnya walaupun tidak memegang jawatan Ketua Bahagian beliau masih lagi menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan mampu memberikan sumbangan yang terbaik dalam memajukan parti mengikut kehendak ahli.

RTC Akan Diperluas Ke Terengganu, Kedah - Shafie

RTC Kelantan yang berjaya menarik 400,000 pegunjung.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkeyakinan pembukaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kulaijaya hujung tahun ini mampu meningkatkan pembangunan masyarakat sekali gus memacu pembangunan negeri Johor.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kawasan seluas 2.4 hektar dengan kos pembinaan RM7.2 juta itu mampu memenuhi tuntutan penduduk terutama golongan belia luar bandar yang memerlukan bimbingan dalam mencari pekerjaan dan latihan dalam bidang keusahawanan.

"Setelah meninjau sekian lama, kita yakin tapak ini amat bersesuaian walaupun keluasannya agak terbatas. Yang penting ia mampu mencapai matlamat untuk menjadi pangkalan kepada penduduk sekitar," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak RTC Kulaijaya, semalam.

Jenice Lee Buat Laporan Polis Terhadap MP Cheras Atas Dakwaan Fitnah

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Selangor, Jenice Lee Ying Ha kelmarin membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai kerana didakwa memfitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar terhadap dirinya di akhbar.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah di Kuala Lumpur, semalam. Lee mendakwa kenyataan Tan kononnya pembantunya Lee Hsuan Ba terlibat dalam penyalahgunaan kuasa berkaitan isu tembok keselamatan di Taman Seraya, di Kuala Lumpur merupakan satu fitnah.

Jualan Kenderaan Motor Sept Naik Kepada 54,945 Unit

Jualan kenderaan penumpang dan perdagangan pada September meningkat kepada 54,945 unit daripada 45,925 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Ia berkata segmen kenderaan penumpang mencatatkan jualan tinggi sebanyak 48,411 unit semasa bulan tersebut berbanding 40,235 unit yang dicatatkan dalam bulan yang sama tahun lepas.

Jualan kenderaan perdagangan naik kepada 6,534 unit pada September daripada 5,690 unit dalam tempoh yang sama pada 2012, kata MAA dalam satu kenyataan.

Tiga Beranak Maut Dalam Kemalangan Kereta-Lori Tangki Di Lebuhraya KL-Karak


Sepasang suami isteri yang bertugas sebagai anggota tentera dan anak perempuan mereka terbunuh selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori tangki di KM49.0 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bukit Tinggi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata ketika-tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu Perodua Alza, Jiman Raup, 32, yang berasal dari Labuan, isterinya Nik Zaieyahaliza Ya, 29, dari Terengganu dan anak perempuan mereka berusia dua tahun, Nurul Damia. 

Beliau memberitahu Bernama kemalangan berlaku kira-kira pukul 7 pagi apabila kenderaan yang dipandu Jiman dari Terengganu ke Kuala Lumpur bertembung sebuah lori tangki tanpa muatan yang menghala ke Pantai Timur.

12 Peratus Kematian Di Hospital Kerajaan Akibat Kanser, Kata Dr Subramaniam

Sebanyak 12 peratus kematian dilaporkan di hospital kerajaan setiap tahun akibat kanser yang merupakan satu daripada lima punca utama kematian di Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pada tahun lalu sahaja, kerajaan membelanjakan RM100 juta untuk membeli ubat-ubatan bagi merawat pesakit kanser di hospital kerajaan.

Katanya,  walaupun kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit bagi menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pusat rawatan terbaik untuk merawati penyakit itu, namun kesedaran orang ramai lebih penting bagi mencegah atau mengesan penyakit itu lebih awal.

Tuesday, October 15, 2013

Hormati Keputusan Mahkamah Dan Hak Rayuan Responden - Peguam

Zainul Rijal...responden ada masa 30 hari untuk merayu. 
Wakil peguam bagi tujuh Majlis Agama Negeri yang rayuannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam 'The Herald' diluluskan oleh Mahkamah Rayuan semalam, meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan hak responden membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu berkata responden mempunyai tempoh 30 hari bermula semalam untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali. 

"Pihak responden perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu, sebelum rayuan mereka boleh didengar," jelas Zainul kepada kira-kira 300 wakil badan bukan kerajaan, parti politik dan orang ramai yang berkumpul di hadapan Istana Kehakiman sejak awal pagi semalam.

Ketiga-tiga hakim, Mohamed Apandi, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim sebulat suara melarang The Herald, penerbitan mingguan Katolik, menggunakan kalimah Allah. Mereka juga membenarkan rayuan kerajaan serta sembilan perayu lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada 'Tuhan'.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia berkata pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu semua penghakiman berasingan yang dibuat ketiga-tiga hakim berkenaan.

"Kita perlu menghormati hak peguam yang mewakili responden untuk merayu dan sementara itu, pihak kami pula bersedia sekiranya rayuan seterusnya sampai di Mahkamah Persekutuan nanti," katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu harus dihormati semua pihak.

Ini kerana secara asasnya, perkataan Allah bukan menjadi fundamental dalam pengajaran Kristian, katanya. 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pula berkata isu kalimah Allah telah dipolitikkan hingga menampakkan seolah-olah umat Islam negara ini bermusuh dengan penganut Kristian.

"Kita tidak pernah bermusuh dengan agama lain...Perlembagaan dan undang-undang syariah jelas menyatakan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama selain Islam," katanya.

Sementara itu, dalam respons segera pengarang Herald Father Lawrence Andrew memberitahu pemberita peguamnya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam utama responden Porres Roran dan S. Selvarajah berkata mereka perlu meneliti ketiga-tiga penghakiman bertulis itu sama ada keputusan hari ini terpakai kepada semua penganut Kristian.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Hermen Shastri berkata: "Kita tidak perlu bertelagah berhubung penggunaan perkataan Allah".

Empat Bahagian Di Terengganu Dijangka Hadapi Persaingan Sengit Sabtu Depan

Yahya Khatib dicabar oleh anak saudaranya...
Din Adam
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno 2013 bagi jawatankuasa Bahagian di Terengganu yang akan berlangsung Sabtu ini dijangka lebih sengit berbanding pemilihan tiga sayap parti semalam.

Ahmad Razif
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu Datuk Muda Mamat berkata pihaknya menjangka empat bahagian akan menghadapi persaingan sengit iaitu di Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

"Ini kerana pertandingan di keempat-empat bahagian itu agak 'panas' kerana calon yang bertanding semuanya mempunyai penyokong kuat masing-masing dan peluang mereka juga agak seimbang kerana keistimewaan tersendiri.

"Justeru, pihak pengurusan jawatankuasa pemilihan Umno negeri akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk memastikan kelancaran pemilihan jawatankuasa Umno Bahagian minggu depan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kerajaan Menang Rayuan, Herald Dilarang Guna Kalimah Allah


The Herald, penerbitan mingguan Katolik Malaysia dilarang daripada menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara di sini Isnin untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia merupakan dapatan umum mahkamah bahawa kalimah "Allah" tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian.

UMNO Terengganu Cadang 4 Perkara Licinkan Urusan Pemilihan

Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu mencadangkan empat perkara bagi melicinkan urusan pemilihan jawatankuasa parti bahagian pada 19 Okt ini.

Pengerusinya, Datuk Muda Mamat berkata ini berikutan berlakunya beberapa insiden di lokasi pemilihan jawatankuasa sayap parti Sabtu sehingga menimbulkan syak wasangka kepada calon yang kemudian meminta proses pengiraan undi dilakukan semula.

"Mungkin terdapat beberapa masalah teknikal menyebabkan ada pengurusan jawatankuasa pemilihan terpaksa memanggil Setiausaha Umno Bahagian, menyebabkan suasana menjadi agak tegang," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Ekonomi Tumbuh 5 Peratus - Zeti

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.5 peratus dan lima peratus tahun ini berikutan pengukuhan berterusan permintaan domestik serta pemulihan dalam eksport.

Beliau turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang yang lebih tinggi pada 2014. “Kami melihat perangkaan terbaru bagi eksport pulih ke arah positif.

Jika arah aliran ini berterusan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2013 akan berada pada julat tertinggi (lima peratus) daripada yang diunjurkan pada Ogos lalu,” katanya dalam satu wawancara dengan Bloomberg di Washington, kelmarin.

Hujan Di Empat Negeri Pada Pagi Aidiladha

Hujan diramal berlaku di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor pada pagi Aidiladha esok. Menurut portal Jabatan Meteorologi Malaysia semalam, cuaca di Perak, Perlis, Putrajaya dan Kuala Lumpur pula diramal mendung manakala negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak tiada hujan pada sebelah pagi.

Pada sebelah petang, ribut petir dijangka berlaku di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Hujan pula diramal di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Putrajaya dan Sabah pada sebelah petang, manakala cuaca mendung di Labuan.

Pada sebelah malam, Johor, Labuan, Sabah, Sarawak, Terengganu dijangka mengalami hujan, sementara cuaca mendung di Kedah dan Pulau Pinang manakala cuaca di Kuala Lumpur, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Putrajaya dan Selangor diramal baik pada sebelah malam.

Masalah Teknikal Punca Kecoh Pada Pemilihan Sayap UMNO


Kelancaran proses Pemilihan UMNO 2013 bagi ketiga-tiga sayap parti di beberapa bahagian, semalam, terganggu berikutan beberapa kesilapan teknikal.

Antaranya, perwakilan bertindak kasar kerana tidak berpuas hati, memboikot pemilihan, kesilapan kertas undi, tersilap mengambil kertas undi, perwakilan terlewat tiba dan mempertikaikan proses pengundian. Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan proses pemilihan di 191 bahagian.

Di Gua Musang, seorang perwakilan Wanita membaling mikrofon kerana tidak berpuas hati selepas pencalonan Ketua Wanita UMNO Bahagian itu dan 20 Ahli Jawatankuasa Wanita (AJK) ditolak.

4.97% Individu Muflis Adalah Penjamin Sosial – Jabatan Insolvensi

Sebanyak 4.97 peratus daripada 113,133 kes kebankrapan merupakan penjamin sosial yang diisytiharkan muflis bagi tempoh 2007 hingga Julai 2013, kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Rohana Abd Malek. 

Beliau berkata, penjamin sosial merupakan individu yang memberi jaminan kepada pinjaman bukan bagi tujuan keuntungan.

Jelasnya, ia bagaimanapun hanya untuk jaminan bagi pinjaman pendidikan, pinjaman sewa beli kenderaan untuk kegunaan sendiri dan pinjaman perumahan persendirian.

Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rogol Anak Sulung


Seorang bapa kepada lima anak dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu, kelmarin, atas dua tuduhan merogol anak sulungnya yang baru berusia 16 tahun.

Bagaimanapun, dia yang berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap mangsa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa di sebuah bangsal kebun simpang Santong Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, kira-kira jam 3.30 pagi, 16 Ogos lalu.

BN Kedah Senarai Tidak Kurang Tiga Nama Untuk PRK Sungai Limau


Barisan Nasional (BN) Kedah telah menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga nama untuk menjadi calonnya dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 Nov.

Pengerusinya, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata senarai itu akan diserahkan kepada Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

"Nama sudah ada. Tak bolehlah bagi tau...tunggulah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian yang baharu dari seluruh Kedah semalam.

Zaiton Wakil Pertama Terengganu Dalam Exco Wanita Umno Pusat

Zaitun...Exco Wanita
Asfalinda 
Iskandar
Buat pertama kalinya Terengganu mempunyai wakil dalam exco Wanita Umno pusat apabila calon tunggal dari negeri ini Toh Puan Zaitun Mat Amin terpilih dalam senarai 20 barisan kepimpinan yang baharu bagi penggal 2013-2016.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Marang itu memperoleh 95 undi dari seluruh negara pada pemilihan Umno Sabtu lepas.

"Alhamdulillah kerana kemenangan saya sebagai seorang daripada exco Wanita Malaysia ini membuktikan penghargaan dan kepercayaan yang diberi oleh perwakilan wanita di seluruh negara.

Umno: Dua Calon Hantar Surat Bantahan, Tidak Puas Hati Keputusan Pemilihan

Dua calon yang bertanding masing-masing bagi jawatan Naib Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Bahagian menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) bagi menyuarakan tidak puas hati berhubung keputusan yang diumumkan kelmarin.

Surat bantahan itu dihantar oleh wakil calon Naib Ketua Pemuda Umno pusat Khairul Azwan Harun dan calon Ketua Wanita Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman.

Wakil calon yang juga pencadang Khairul Azwan, Mohamad Annuar Ariffin berkata beliau menyerahkan surat bantahan itu kepada Pengerusi JPU Tan Sri Tajol Rosli Ghazali kira-kira pukul 5 petang.

Sayap Pemuda dan Puteri Umno Terengganu Diterajui Muka Baru

Pemilihan 32 jawatankuasa sayap parti di Terengganu kelmarin menyaksikan kesemua calon yang memenangi jawatan Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan Naib Ketua Puteri di semua lapan bahagian Terengganu dibarisi 100 peratus muka baharu.

Bagi jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita pula, dari 16 calon terpilih, hanya lima daripadanya muka lama manakala 11 lagi yang menang ialah calon muka baharu.

Lima muka lama yang menang ialah Datuk Fatimah Hamat (Hulu Terengganu) (gambar kanan), Toh Puan Zaitun Mat Amin (Marang), Zainun Abu Bakar (Dungun), Senator Rohani Abdullah (Kemaman) dan Faridah Akmal A Latif (Naib Ketua Dungun).

JKKN Anjur Pertandingan Ekspresi Muzik Pada 29 Dan 30 Okt

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu mempelawa peminat muzik di negeri ini untuk menyertai pertandingan pencarian bakat Ekspresi Muzik 2013.

Pengarahnya Zaifri Husin berkata ekspresi muzik itu akan diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Terengganu Kuala Ibai di sini pada 29 dan 30 Okt bermula 9 malam.

"Ini pertama kali JKKN Terengganu menganjurkan program pencarian bakat di negeri ini," katanya hari ini.

Beliau berkata pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu secara berkumpulan maksimum 10 orang dan solo jumlah anggota maksimum dua orang.

Sasaran 100,000 Pengunjung Ke Pameran Haiwan Berbisa Di Muzium Terenganu

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) mensasarkan sejumlah 100,000 pengunjung ke Pameran Haiwan Berbisa 2013 di muzium berkenaan bermula 21 hingga 31 Disember depan.

Penolong Pengarah Bahagian Sumber Alam dan Ekonomi LMNT, Zakaria Abdul Hadi berkata program kali kedua dianjurkan ini dibuka dari 9 pagi hingga 4 petang setiap hari dalam tempoh dua bulan setengah bertempat di Dewan Mandalika, Blok C, Muzium Negeri Terengganu.

Menurutnya, sebanyak 10 spesies ular berbisa dari luar negara dan tempatan akan dipamerkan, antaranya ular Orok-Orok (Rattle Snake), Equatorial Spitting Cobra, Suphan Spitting Cobra, Ular Tedung selar serta Ular Senduk.

Turut dipamerkan ialah reptilia air berbisa, haiwan aquatik berbisa seperti landak laut, pari, obor-obor, serta serangga berbisa seperti labah-labah (tarantula), dan kala jengking.

Sunday, October 13, 2013

Asfalinda Gagal Pertahan Jawatan Ketua Puteri Kemaman

Shaheda...Puteri Setia, Puteri Perkasa
Penyandang kerusi Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar gagal mempertahankan kerusi tersebut selepas tewas kepada Shaheda Jusoh pada pemilihan sayap parti itu di Kemaman, semalam.

Asfalinda (kanan), bekas Ketua Puteri Terengganu yang merupakan satu-satunya Ketua Puteri bahagian di Terengganu yang mempertahankan jawatan tersebut manakala tujuh lagi penyandang melepaskannya kepada calon baharu setelah melepasi had umur.

Bagi jawatan Naib Ketua bahagian pula, Malissa Ab. Solah yang pernah menyandang jawatan tersebut pada 2000 hingga 2008, kembali menduduki kerusi tersebut selepas menewaskan Faradila Yusof.

Sementara itu, Puteri bahagian tersebut memilih Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia manakala Zahida Zarik Khan sebagai Naib Ketua Puteri.

Seramai 465 orang perwakilan puteri dari 93 cawangan semalam menjadi penentu nasib kepada Asfalinda dan Shaheda.

Shaheda, Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman mengatakan sebelum ini, beliau mencabar Asfalinda kerana ingin membantu Umno membawa perubahan dan memperkasa modal insan yang berintergriti, berilmu serta mendapat sokongan ahli akar umbi.

Dilahirkan di Sungai Petani Kedah, anak kepada bekas seorang tentera, Shaheda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kijal (1986 – 1991) Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal (1992 – 1996) dan Universiti Teknologi Malaysia (1997 – 2001).

Beliau memperolehi ijazah sarjana muda kejuruteraan kimia.

Beliau merupakan saorang ibu tunggal kepada empat orang anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarham Azihan Abdul Aziz yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kemaman yang juga Setiausaha Kerja Umno Bahagian Kemaman (1994 – 2001).

Apabila tamat belajar pada tahun 2001, Shaheda  dilantik sebagai penggerak masyarakat di bawah Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Pada tahun 2004 beliau dilantik sebagai penggerak masyarakat kanan di Unit Terengganu Bestari ( U-Best ) dan tahun 2009 beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelia Parlimen Kemaman, Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu ( APMT ).

Kegiatan awal beliau dalam politik apabila dipilih sebagai Ketua Puteri Umno Cawangan Telok Kalong dan juga Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2000.

Pada Tahun 2008 beliau dipilih sebagai Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Kemaman.

Pada tahun 2008 Shaheda yang lebih mesra dengan panggilan Kak Cik pernah ditawarkan menjawat jawatan Ketua Puteri Bahagian oleh mantan Ketua Puteri ,Hidayati Baharudin tetapi beliau terpaksa menolak tawaran itu disebabkan banyak komitmen lain yang perlu dilakukan dan belum bersedia memikul amanah yang begitu berat.

“Sekarang saya sudah bersedia memikul tanggung jawab ini,” katanya kepada FMT yang menganggap cabaran beliau terhadap penyandang jawatan sebagai memberi satu pilihan kepada para perwakilan.

Dengan slogan “Puteri Setia, Puteri Perkasa”, Shaheda mempunyai tiga misi iaitu melonjakkan keahlian ahli Umno, memperkasakan modal insan dan menjadikan Puteri Umno sebagai ejen yang taat kepada parti dan menentang isu.

Lapor Secara Bertulis Salah Laku Calon

Lembaga Disiplin Umno hanya akan bertindak terhadap mana-mana laporan tentang salah laku calon sepanjang pemilihan parti jika ia dibuat secara bertulis.

Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, sejak semalam beliau menerima banyak panggilan telefon daripada calon dan anggota perwakilan yang membuat aduan kononnya terdapat salah laku calon-calon yang bertanding. "Memang banyak yang diterima secara lisan sejak kelmarin.

"Apa yang boleh saya katakan, mereka (yang membuat aduan) perlu membuat laporan bertulis secara rasmi kerana kita (lembaga) hanya akan menyiasat sekiranya ada (laporan) hitam putih," katanya.

Kontroversi NFC Tidak Jejas Sokongan Akar Umbi Terhadap Shahrizat

Meskipun terpalit dengan kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) melibatkan keluarganya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilihat tetap akan mempertahankan jawatannya selaku Ketua Wanita Umno.

Keputusan rasmi pagi Ahad menunjukkan Shahrizat memperoleh lebih 80 undi daripada 191 Bahagian.

Shahrizat berkata, beliau tidak menduga sepanjang tempoh dua tahun berdepan kontroversi itu, masih ramai lagi perwakilan wanita di peringkat akar umbi memberikan sokongan kepadanya untuk menerajui pergerakan itu.

"Seperti yang anda ketahui, saya rasa sangat terseksa sepanjang tempoh dua tahun ini.

Tiong Lai - Muka Depan The Star 'Sudah Melampau'


"Ia sudah melampau, benar-benar sudah melampau. Ini benar-benar telah menyalahgunakan akhbar." 

Begitulah reaksi Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berang dengan laporan muka depan akhbar milik MCA, The Star, yang memetik Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek merujuk kepada Liow sebagai 'He is weak', 'He is indecisive' dan 'He is not a fighter'.

"Dia (Chua) menggunakan muka depan akhbar itu untuk menyerang saya kerana dendam peribadi.

Shahrizat, Khairy Kekal Jawatan, Mas Ermieyati Ketua Puteri Baru


Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar masing-masing mengekalkan jawatan Ketua Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno susulan pemilihan sayap-sayap Umno yang berlangsung semalam.

Kemenangan mereka diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, jam 3.30 pagi ini (13 Oktober 2013).

Beliau turut mengisytiharkan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri Umno yang baharu.

Ketika pengumuman itu dibuat, Shahrizat telah memperoleh 100 undi, Khairy 97 undi dan Mas Ermieyati 96 undi, daripada 191 bahagian sayap masing-masing.

Keterbukaan Proses Pemilihan Bukti Umno Tunjangi Demokrasi - Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasrat menjadikan Umno sebuah parti yang benar-benar menunjangi demokrasi tercapai melalui proses pemilihan lebih terbuka bagi sayap parti seperti yang berlangsung semalam

Perdana Menteri merangkap Presiden Umno berkata kejayaan dan kelancaran proses pemilihan yang dijalankan secara lebih terbuka melibatkan hampir suku juta perwakilan dan 33,012 calon itu membuktikan keputusan meminda perlembagaan Umno pada 2009 adalah tepat dan diterima.

"Sabtu malam merupakan malam bersejarah untuk Umno...perjalanan untuk lakukan transformasi pada parti bermula pada perhimpunan agung 2009, di mana kita meminda perlembagaan.

Hadi Akui Belum Boleh Laksana Hudud


Pas masih belum boleh melaksanakan hukuman hudud walaupun beberapa kali melakukan perbincangan dan memperjuangkannya untuk direalisasikan di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bidang kuasa yang terhad menyebabkan hasrat itu masih tertunda untuk ditunaikan.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud sekiranya PR menang di Putrajaya pada PRU13 Mei lalu walaupun ditentang parti komponennya, DAP.