Saturday, June 2, 2012

Isteri Peneroka Terima RM5,000 Pada 7 Julai


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan pemberian 'durian runtuh' pusingan kedua sebanyak RM5,000 kepada isteri peneroka Felda yang akan diagihkan pada 7 Julai ini.

Tarikh pengagihan itu dipilih sempena sambutan Hari Peneroka dan majlis perasmian Menara Felda di Jalan Stonor di Kuala Lumpur.

JHEAT Belanja RM36.26 Juta Bayar Elaun Imam, Bilal

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan kira-kira RM36.26 juta sepanjang tempoh 2008 hingga tahun lalu, bagi membayar elaun kepada 2,100 imam dan bilal seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, pembayaran elaun sebanyak RM12.95 tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding RM6.70 juta pada 2010 berikutan imam dan bilal menerima penyelarasan elaun baru.


28 Peratus Daripada 42 Ribu Rakyat Terengganu Berjaya Keluar Dari Garis Kemiskinan

 

Seramai 12,000 rakyat negeri Terengganu berjaya keluar dari garis kemiskinan hasil bantuan pelbagai program kerajaan, khasnya program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata pada sekitar tahun 2008, lebih 42,000 rakyat negeri itu dikategori sebagai miskin.

"Namun, kini hanya ada 30,000 rakyat Terengganu yang dikategorikan miskin dengan pendapatan bulanan isi rumah bawah RM1,500 bagi kawasan bandar dan RM1,000 bagi kawasan luar bandar.

"Penurunan statistik sebanyak 28 peratus itu adalah hasil pelbagai program KAR1SMA terutama Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran KAR1SMA di Pasar Binjai Rendah kelmarin.

Kontrak Kebersihan - Kerajaan Negeri Peruntukkan RM40 Juta Setahun

Menteri Besar bersama penduduk Kampung Tekukur
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di negeri ini walaupun pelbagai usaha dan cara telah dilakukan.

Menurutnya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan hampir RM40 juta bagi kontrak kebersihan bermula dari sempadan Pahang hingga ke sempadan Kelantan bagi memastikan keadaan kebersihan terkawal.

Ahmad Said dan Mazlan  bersama penduduk Kampung Gong Lingai


Tidak Serik - Dulu Gigit Telinga, Kini Ceroboh Rumah Pula...

 
Tidak pernah serik, baru sebulan dibebaskan dari penjara kerana kesalahan menggigit telinga seorang anggota polis berpangkat konstabel, seorang duda masih lagi mengulangi perbuatan jenayah.

Kali ini, dia didakwa kerana menceroboh sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, 24 Mei lalu.

Kelmarin, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan terhadap duda kepada tiga anak itu, Mohd Shukri Muda, 34, dari Kampung Alur Damat Wakaf Tengah, di Kuala Terengganu.

 Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas dia mengaku salah menceroboh masuk dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng. Mohd Shukri mengaku menceroboh rumah yang didiami Mohd Naaim Rusli, 25, pada 24 Mei lalu antara jam 5 petang hingga 7 petang.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga boleh sampai tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratna manakala Mohd Shukri tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Shukri ditangkap oleh penduduk kampung kira-kira jam 6.40 petang ketika cuba menceroboh masuk rumah mangsa yang didiami bersama ibu dan seorang adiknya.

Mohd Shukri diserahkan keluarga mangsa yang sememangnya sebelum itu langsung tidak mengetahui kediaman mereka nyaris dicerobohi dan seterusnya dia diserahkan kepada polis rondaan untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Mohd Shukri yang bertindak menggigit telinga kiri seorang anggota polis hingga hampir putus Februari lalu dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, dia yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan di kaki yang dilepaskan anggota polis berkenaan terpaksa memilih dipenjarakan selama dua bulan kerana tidak mempunyai wang.

Sinar Harian

Teregganu Azam Lahir Jaguh Sukan Permotoran - MB


"Kita harap melalui program yang akan kita rancang nanti akan lahirlah jaguh dalam perlumbaan motosikal untuk negara pada masa depan...kerajaan negeri berusaha membawa beberapa bekas pelumba motosikal negara ke Terengganu dalam program sehari itu, untuk didekati remaja yang yang berminat dalam bidang sukan tersebut..." - Ahmad Said

Selepas kejayaan melahirkan atlet berbasikal bertaraf dunia, kerajaan Terengganu kini berhasrat menggilap bintang dalam sukan permotoran melalui beberapa program yang akan dijalankan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan ramai remaja Terengganu dilihat cenderung ke arah bidang tersebut.


Polis Tahan Lelaki Warga Pakistan Terlibat 51 Kes Tipu Termasuk di Terengganu

Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 36 tahun, dipercayai dalang sindiket yang terlibat dalam 51 kes penipuan melibatkan kerugian hampir RM500,000 di beberapa negeri di Semenanjung, termasuk Terengganu, sejak pertengahan tahun lepas.

Sebanyak 12 kes dilaporkan di negeri ini manakala 11 kes di Perak, Kuala Lumpur (14 kes) dan selebihnya di Selangor, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Hoki Wanita - Terengganu Tidak Letak Harapan Tinggi

Pasukan hoki wanita Terengganu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada kejohanan hoki kebangsaan bagi merebut Piala Raja Noora Asyikin (Piala RNA) edisi ke-enam yang akan berlangsung di Seremban mulai 5 hingga 13 Jun ini.

Pengurus pasukan, Raznah Azizan berkata kebanyakan pemain yang akan diturunkan dalam kejohanan itu terdiri daripada muka baru dan mentah pengalaman dalam kejohanan seumpama itu.

Rumah PPRT - Kabinet Setuju Jual Kepada Orang Ramai

Gambar Hiasan - Bentuk Rumah PPRT di Wilayah Persekutuan, Selangor
Kabinet telah bersetuju dengan cadangan untuk menjual rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada golongan berpendapatan rendah khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan beban yang ditanggung pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menguruskan kediaman berkenaan.

Friday, June 1, 2012

Pencegah Maksiat Dibekal Pistol Untuk Jamin Keselamatan

 Anggota penguat kuasa syariah wanita turut menjalani latihan menembak di Tembila, Besut.

Anggota Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Agama Daerah Besut atau lebih dikenal dengan pencegah maksiat turut dilengkapi senjata api bagi tujuan mempertahankan diri.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, beberapa pucuk pistol semi automatik dibekalkan kepada unit berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka sekiranya mendapat ancaman ketika melaksanakan tugas.

JKKK Dminta Pantau Hal Ehwal Kampung


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said meminta Jawatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sentiasa memantau perkembangan yang berlaku sekitar kampung serta mengambil tahu mengenai kesihatan penduduk.

“Jangan sampai mereka masuk surat khabar, kerana ini membabitkan nama baik wakil rakyat kawasan berkenaan,” katanya di majlis Perjumpaan Menteri Besar bersama JKKK Daerah Kuala Terengganu bertempat di Stadium Negeri Kuala Terengganu semalam (31 Mei).

102 Peniaga Kecil Wanita Terima Geran Teman 1 Azam


Seramai 102 wanita yang berkecimpung dalam perniagaan kecil di negeri ini dibantu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi pemberian geran berbentuk peralatan perniagaan di bawah program Teman 1Azam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata, peralatan keperluan perniagaan itu termasuk kelengkapan berniaga burger, andaman, dobi, menjahit dan gunting rambut.


Haji - Malaysia Harap Saudi Tidak Kurang Kuota 930,000 Dalam Senarai Menunggu

Malaysia berharap kerajaan Arab Saudi tidak akan mengurangkan kuota jemaah haji negara ini tahun ini, berikutan terdapat 930,000 rakyat sedang menunggu untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Johari berkata, bagi tujuan itu, Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji akan menyampaikan surat kepada Arab Saudi dalam masa terdekat memohon agar amalan sedia ada diteruskan.


Thursday, May 31, 2012

Pemimpin PAS Tolak Muzakarah, Cabar MB Berdebat…



Kita tidak akan layan cabaran tersebut kerana ia tiada faedah. Saya tidak takut untuk adakan debat dengan pemimpin PAS kerana dahulupun saya merupakan seorang pemidato. Sebaliknya, kita melihat tiada sebarang keperluan untuk berbuat begitu...Cukuplah sekadar debat sewaktu DUN bersidang kerana walaupun selama ini kita memberitahu perkara yang betulpun, mereka tetap akan kata kita menipu serta memutar belit cerita sebenar kepada rakyat,
 - Ahmad Said

Daripada teganukini
(Tajuk asal -Penyelesaian Isu - Pemimpin PAS Minat Cara Politik Berbanding Muzakarah)  

Sikap pemimpin PAS yang mementingkan politik semakin terserlah.

Bagi mereka debat atau cara politik lebih penting daripada muzakarah walaupun muzakarah itu dilihat lebih berfaedah dalam mencari persefahaman dan penyelesaikan mengikut Islam.

Namun bagi PAS yang mendakwa ia Parti Islam debat lebih diutamakan daripada bermuzakarah!

Bagi PAS tiada perkara lain daripada Debat dan Debat.

PKR sebut Debat, PAS pun sebut Debat. Kononnya melalui Debat rakyat akan tahu siapa ‘benar’.

Benar apa?

Yang benar ialah apa yang dikatakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bahawa cabaran debat tidak akan disahut oleh beliau bukan kerana takut sebaliknya beliau melihat tiada sebarang kepentingan atau faedah untuk berbuat demikian.


Walau berdebat siang dan malam pun, PAS akan tetap mengatakan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai penipu.

Kerana itu Ahmad Said tidak akan melayan hasrat Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut untuk berdebat dengannya bagi membincangkan isu setempat berkaitan negeri Terengganu.

“Kita tidak akan layan cabaran tersebut kerana ia tiada faedah. Saya tidak takut untuk adakan debat dengan pemimpin PAS kerana dahulupun saya merupakan seorang pemidato. Sebaliknya, kita melihat tiada sebarang keperluan untuk berbuat begitu.

“Cukuplah sekadar debat sewaktu Dun bersidang kerana walaupun selama ini kita memberitahu perkara yang betulpun, mereka tetap akan kata kita menipu serta memutar belit cerita sebenar kepada rakyat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyempurnakan Majlis Perjumpaan Menteri Besar Terengganu dengan Warga Felda Bukit Bading, di Hulu Terengganu dan turut diadakan penyerahan cek wang durian runtuh berjumlah RM8,775,000 kepada peneroka yang diwakili Ketua Peneroka Felda Bukit Bading, Abdul Rahman Hassan.

Benar sekali kata-kata Ahmad Said bahawa PAS dan sekutunya bila mengajak pemimpin UMNO dan BN berdebat mereka bersungguh- sungguh tetapi bila diajak muzakarah, macam-macam alasan dan cerita yang timbul.

Daripada ajak debat, lebih baik muzakarah tetapi ternyata pemimpin PAS tidak minat untuk bermuzakarah.

Sinar Harian pada 27 Mei lalu melaporkan Wahid mencabar Ahmad agar berdebat mengenai isu setempat yang berlaku di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, debat di peringkat negeri membabitkan beliau dan Ahmad perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah terutama membabitkan pembangunan dan sebagainya yang menjadi persoalan sehingga kini.

Wahid berkata, pihaknya bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa sahaja sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.

“Kalau di Terengganu debat boleh dilakukan antara saya dan Ahmad Said. Bila-bila masa sahaja. Kalau berbahas dalam Sidang Dun tidak sempat cakap sudah dipotong,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah politik di pekarangan Pejabat Perhubungan Pas Terengganu.

Wahid turut mencadangkan bahawa debat perlu berkisar pada isu yang membabitkan hak rakyat.

Beliau turut mencadangkan isu runtuhan bumbung bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang tidak diketahui status sebenar sehingga kini dan juga penarikan balik saman royalti minyak terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat.

Katanya, debat akan membantu kedua-dua pihak mengupas persoalan yang berlaku secara lebih menyeluruh.

 Bagi Ahmad Said, kalau benar PAS ikhlas, mereka hendaklah utamakan muzakarah tetapi ternyata PAS menolak cara Islam mencari penyelesaian sebaliknya memilih cara politik iaitu debat.

Sebenarnya PAS bukan mencari penyelesaian cara Islam tetapi sokongan untuknya bersama-sama dengan parti DAP dan PKR yang jauh menyimpang memperjuangkan Islam di negeri dan negara ini.

Kerajaan Negeri Sediakan Dana Raya RM55 Juta, Dana Remaja RM24 Juta

Menteri Besar mengumumkan Dana Raya dan Dana Remaja semalam.
Kerajaan Terengganu menjangkakan jumlah penerima bantuan dana raya tahun ini akan meningkat 10 peratus berbanding tahun lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said semalam.

Berikutan itu kerajaan negeri dijangka akan membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk dana hari raya bagi menambahkan keriangan rakyat berpendapatan rendah pada Aidilfitri ini.

Beliau berkata pada tahun lepas, lebih RM50 juta diperuntukkan bagi dana raya yang melibatkan 176,838 penerima dan jumlah itu dijangka meningkat tahun ini.

Jodoh Mat Zan Dengan Penyu Diketahui Hari Ini


Masa depan bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris bakal terjawab hari ini.

Mat Zan dijangka akan menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung statusnya selaku jurulatih skuad Penyu.


SPR Larang Guna Karikatur Pada Poster, Sepanduk

Parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diingat agar tidak memasang poster atau sepanduk yang memaparkan karikatur mana-mana individu atau personaliti.

Timbalan Pengerusi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar(gambar) berkata, bahan kempen seperti itu tidak sesuai digunakan dan dilihat sebagai tidak serius untuk bertanding pada pilihan raya.


Cuepacs Minta Naikkan Gred 50,000 Pekerja

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbang cadangan supaya menaikkan gred jawatan kira-kira 50,000 pekerja sektor perhutanan, pertanian dan teknikal.

Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng berkata, kesemua pekerja terbabit yang kini dalam gred G17, G22 dan G26 dicadang dinaikkan kepada gred G27, G32 dan G36 kerana mereka mempunyai kelayakan akademik dan sijil kemahiran.


Harrif Bersedia Untuk Beraksi Pada Olimpik London

Harrif Salleh yakin dia sudah mencatat keputusan terbaik untuk membolehkannya tersenarai ke Sukan Olimpik.
Pilihan kedua pelumba lebuh raya negara yang berada dalam senarai pendek ke Olimpik, Mohd. Harrif Salleh sudah bersedia jika dipilih Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) beraksi di London.

Menurutnya, beraksi di Olimpik memang menjadi impiannya.

Katanya, dia semakin berdebar menunggu pengumuman PKBM walaupun diletakan calon terbaik ke London selepas Muhammad Adiq Hussainie Othman.

"Saya rasa sudah mencatat keputusan yang baik dalam perlumbaan sebelum ini dan berharap PKBM menilai dari segi keputusan," katanya kepada Utusan Malaysia melalui laman sosial Facebook semalam.

Harrif menduduki tangga kesembilan dalam kedudukan keseluruhan perlumbaan Jelajah Asia UCI dengan 97 mata manakala Adiq tempat ketujuh (114 mata).

Jelas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), jurulatih Sebastien Duclos sudah merangka latihan untuknya dan dia juga sentiasa melihat perlumbaan antarabangsa lain untuk menambah ilmu.

"Saya sempat menyaksikan Giro d' Italia baru sebelum ini di mana Andrea Guardini yang beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) mampu menewaskan pelumba sensasi Britain, Mark Cavendish.

Jadi tidak mustahil saya melakukan perkara yang sama di London nanti.

"Jurulatih juga memberitahu keadaan laluan di Olimpik tidak terlalu sukar walaupun perlu melalui kawasan berbukit di Box Hill.

"Dia yakin saya mampu melakukannya dan menjangkakan saingan akan berakhir dalam kelompok besar," katanya.

Ditanya mengenai gandingannya dengan Adiq sekiranya kedua-dua mereka terpilih, Harrif menegaskan dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan rakan senegerinya itu kerana mereka pernah beraksi bersama baik dalam acara lebuh raya mahupun trek.

"Saya dan Adiq perlu bekerjasama pada Olimpik nanti kerana ia perlumbaan yang besar. "Esok saya akan ke Tour Singkarak. Di sana banyak laluan berbukit.

Saya ke sana untuk mempertingkatkan kayuhan pendakian. Untuk pecutan saya rasa tidak masalah," katanya.

Harrif berharap dapat beraksi di Olimpik kerana dia sudah melakukan yang terbaik seperti mana yang diharapkan oleh PKBM yang menilai pelumba melalui perlumbaan LTdL, Jelajah Malaysia, Sirkit Grand Prix dan prestasi semasa.

 Tambahnya, Duclos juga sering berhubungan dengan Ketua Jurulatih, John Beasley untuk bertanyakan tentang perkembangannya dan bertukar pendapat.

Utusan Malaysia

Gong Lingai, Tekukur Juara Bersih, Ceria

Ahmad Said (tengah) bersama Pengerusi JKKK Kampung Gong Lingai, yang menjadi johan keceriaan kampung di SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu, semalam.
Dua buah kampung dalam daerah Kuala Terengganu memenangi hadiah utama Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat negeri 2011/2012.

Kampung Gong Lingai menjuarai kategori luar kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PTB) manakala Kampung Tekukur bagi kategori dalam kawasan operasi.

Kedua-dua kampung itu memperoleh hadiah wang tunai RM25,000 dan geran projek pembangunan bernilai RM250,000.

Razif Bina Bangunan Penyelaras Hasil Sumbangan Orang Ramai


 Penduduk setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir kagum dengan keprihatinan pemimpin kawasan itu, Ahmad Razif Abd Rahman yang berusaha mendapatkan lokasi strategik dan mencari modal bagi membina bangunan penyelaras DUN.

Bangunan penyelaras yang dibina di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir itu bernilai hampir RM700,000, bakal digunakan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, mesyuarat, jamuan dan sebagainya apabila siap sepenuhnya kelak.


Larian PMINT Tawar Hadiah Lebih RM43,000

Hadiah bernilai lebih RM43,000 menjadi rebutan dalam Larian PMINT anjuran Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pada 23 Jun ini.

Sekretariat kejohanan, Wan Adnan Wan Derahman berkata, program bersifat 'larian santai' itu yang akan bermula dan berakhir di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu dijangka menarik kira-kira 3,000 penyertaan.


Tiga Warga Indonesia Dipenjara, Disebat Kerana Rompakan Bersenjata

Tiga warganegara Indonesia dihukum penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata awal bulan ini.

Mawardi Dimak, 29, didakwa melakukan rompakan itu bersama Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Tanah, Kampung Raja, Besut sekitar pukul 2 pagi, 8 Mei lepas.


Rumah Hangus - 6 Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang

Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Bukit Besi musnah dalam kebakaran malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, ibu tunggal Syarifah Ismail, 48, tiga anaknya Mohd Hafiz Hitam, 28, Mohd Faizal, 20, dan Khatira, 11, serta dua cucu lelaki yang berusia lima dan enam tahun tiada di rumah.


Wednesday, May 30, 2012

Amy Search Pilih UMNO Demi Melayu & Kemajuan Negara

Walaupun digembar-gembur akan menyertai PAS, Amy Search pusing 360 darjah demi perpaduan Melayu...
“Sudah lama saya fikirkan untuk menyertai UMNO...Jelas sekali, hanya parti ini yang dapat menyatukan dan mengekalkan bangsa Melayu serta memajukan negara. Saya berharap teman-teman dan peminat di luar sana akan menyokong UMNO demi perpaduan bangsa kita,” - Amy Search

Baru-baru ini Abby Abadi tampil memberi penjelasan di laman Twitter beliau dan menafikan dia hadir dalam majlis PAS kerana minat pada PAS.

Kehadiran Abby Abadi pada satu majlis PAS di Terengganu menyebabkan kebanyakan blogger propakatan menyalak dengan riang mengatakan bahawa seorang lagi golongan artis bernama Abby Abadi dapat mereka tawan untuk menyertai PAS.

Ini gara-gara Abby Abadi sama- sama sepentas di Marang, Terengganu dengan pemimpin PAS.

Lebih memalukan, Abby Abadi turut mendedahkan taktik busuk mereka untuk mengajaknya beraksi sepentas bersama Nasrudin Tantawi.

Rupanya dengan alasan jemputan sebegitu, mereka menjaja gambar dan mengatakan bahawa artis sememangnya sudah menjadi hakmilik kekal mereka.


Semalam, artis yang disebut-sebut sebagai rapat dengan PAS dan Musyridul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman, 54, tidak menyertai PAS sebaliknya memilih UMNO.

Malu lagilah juak-juak propakatan yang selama ini menjaja kononnya Amy seperti Bob Lokman menyertai PAS.

Vokalis kumpulan rock legenda Search itu mengatakan beliau tidak peduli dengan kritikan mana-mana pihak termasuklah parti pembangkang berhubung keputusannya menyertai UMNO semalam.

 Amy berkata, sebagai idola masyarakat dia menganggap tindakan menyertai parti itu adalah keputusan terbaik dan tepat pada waktunya di saat kecelaruan dan perselisihan faham di kalangan rakyat semakin merebak.

“Pelbagai perkara dan kecelaruan di kalangan masyarakat yang berlaku hari ini memberikan kesedaran untuk saya melakukan sesuatu.

Saya tergerak untuk menyertai UMNO atas kesedaran sendiri dan bukan kerana kepentingan tertentu.

Tiada siapa boleh menentukan parti mana yang mahu saya sokong. Jadi, saya tidak peduli dengan kritikan mana-mana pihak dengan keputusan ini,” katanya kepada mStar Online.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan borang keahlian parti itu kepada Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh di ibu pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Artis lain yang turut menyertai parti tersebut dan menyerahkan borang keahlian adalah vokalis kumpulan May iaitu Mustaffa Din (Mus) dan Ibnor Riza Ibrahim.

Tambah Amy, dia sudah lama mempertimbangkan untuk menyertai UMNO kerana Allahyarham bapanya sering mengingatkan mengenai perjuangan parti itu dalam memartabatkan bangsa dan memajukan tanah air sejak 66 tahun yang lalu.

“Sudah lama saya fikirkan untuk menyertai UMNO. Malah, di kampung saya sendiri di Johor Bahru saya dikelilingi ramai kenalan dalam parti ini. Saya sentiasa ingat pada pesanan arwah bapa mengenai kemerdekaan negara dan perpaduan bangsa.

“Jelas sekali, hanya parti ini yang dapat menyatukan dan mengekalkan bangsa Melayu serta memajukan negara. Saya berharap teman-teman dan peminat di luar sana akan menyokong UMNO demi perpaduan bangsa kita,” kongsinya.

Bajet 2013 Dibentang 28 September Fokus Kesejahteraan Rakyat


Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pembentangan Bajet 2013 di Parlimen pada 28 September ini berkata, perbelanjaan akan tertumpu kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang selain menjamin kesejahteraan rakyat.

Dalam pembentangan Bajet yang selalunya dibuat pada bulan Oktober, kata Perdana Menteri, kerajaan komited untuk mengukuhkan kedudukan kewangan awam serta mengekalkan momentum pertumbuhan negara.

''Saya memberi jaminan bahawa pengukuhan fiskal berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana sekitar tiga peratus menjelang 2015.

Bersih 3.0 - PM Hubungi Raja Saudi Mengenai Kuota Haji



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghubungi Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dalam masa terdekat berhubung kedudukan dan permohonan kuota jemaah haji dari negara ini yang dibimbangi terjejas ekoran isu perhimpunan Berhih 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, isu tersebut perlu diselesaikan segera kerana kerajaan tidak mahu di saat akhir nanti berlaku kejadian yang tidak diingini.



Agrobanl Serah Zakat Lebih RM96,000 Kepada Maidam


Zakat perniagaan berjumlah RM96,253.90 telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Terengganu (MAIDAM) oleh Agrobank untuk zakat perniagaan mereka pada tahun ini bertempat di Kampus ITC, TATIUC Telok Kalong, kelmarin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, bagi membantu golongan pengusaha kecil dan petani di negeri Terengganu sehingga Disember 2011, Agrobank telah meluluskan pinjaman mikro kredit sebanyak RM45.0 juta kepada 3,513 orang peminjam.


MSNT Tumpu Beberapa Sukan Baru Di Terengganu

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sedang mengambil langkah mempopularkan beberapa jenis sukan baru yang diharap dapat menjadikan negeri itu cemerlang di bidang sukan pada masa akan datang.

Pengarah MSNT, Zainal Abidin Hussin berkata tindakan yang diambil itu sesuai dengan hasrat kerajaan negeri ingin menjadi kuasa baru sukan di negara ini dan cuba mengenalpasti beberapa kegiatan sukan.


46 Lesen Mencetak, Menerbit Teks Al-Quran Diluluskan - Harussani


Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri memberi kelulusan sebanyak 46 lesen mencetak dan menerbit teks al-Quran dan 399 perakuan betul pruf akhir teks al-Quran sehingga Mac tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Harussani Zakaria berkata LPPPQ bertanggungjawab dalam menjaga dan mengawal teks serta bahan yang berkaitan dengan ayat suci al-Quran khususnya di negara ini.


Biotechcorp Sasar Dapatkan Fdi Bernilai RM4 Bln Pada 2012, 2013

Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk kerajaan Terengganu menyasar untuk mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM4 billon dalam sektor bioteknologi perindustrian pada 2012 hingga 2013.

Ketua pegawai eksekutif BiotechCorp Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata BiotechCorp akan berkerja rapat dengan agensi-agensi itu untuk mencapai FDI.


PKBM TUnggu Laporan Beasley Sebelum Senarai Pelumba ke Olimpik London

Hariff antara tersenarai dipertimbang untuk ke Olimpik London
Adiq Husainie
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu menunggu laporan daripada jurulatih mengenai prestasi setiap pelumba lebuh raya sebelum boleh menyenaraikan mereka secara rasmi ke Olimpik London.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab berkata, ia merupakan sebab badan induk berbasikal negara itu terpaksa melanjutkan tempoh mengumumkan dua nama pelumba ke Olimpik.

Menurutnya, ketika ini terdapat beberapa pelumba yang berada dalam senarai pendek berada di luar negara bersama kelab yang mereka sertai dan PKBM akan menilai laporan setiap jurulatih pasukan terlibat pada mesyuarat pemilihan yang bakal diadakan pada 15 Jun ini.

Destinasi Pantai Jadi Tumpuan Semasa Cuti Sekolah : Firefly

Syarikat penerbangan komuniti, Firefly dan portal perjalanan dalam taliannya, Firefly Holiday, melaporkan jualan memberangsangkan ke destinasi pantai bagi musim cuti sekolah selama dua minggu yang sedang berlangsung sekarang.

Pakej percutian ke Koh Samui menduduki senarai teratas destinasi percutian, diikuti resort pantai di Phuket, Langkawi dan Terengganu, kata Ketua Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Angelina C Fernandez dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, kelmarin.

Muzium Terengganu Dijangka Tarik 200,000 Pengunjung Tahun Ini

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menyediakan 14 program sepanjang tahun ini, yang dijangka menarik lebih 200,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Penolong Kurator Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Sabri Muda berkata aktiviti bertaraf negeri dan kebangsaan yang akan diadakan termasuk pertandingan 'Pelita Raya' pada bulan Ramadan di kawasan Dewan Undangan Negeri Tepoh, dekat Kuala Terengganu.

MB Kecewa Sikap Kontraktor Amal 'Alibaba'

Ahmad Fahrin menyerahkan Kad Hijau kepada Ahmad sebagai tanda penghargaan merasmikan Majlis Penutup Hari Pembinaan Masuk Kampung kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa dengan sesetengah kontraktor Melayu yang meng`alibaba’kan lesen yang diterima mereka dengan menyerahkannya kepada sub kontraktor atau orang ketiga.

Katanya, situasi terjadi kerana kontraktor yang ada tidak memiliki pengetahuan dalam bidang berkenaan dan memohon lesen semata-mata untuk mendapatkan projek.




IKB Latih Anak Yatim Tercicir Dalam Akademik

Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) mengambil 300 pelajar untuk mengikuti kursus menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Yang Dipertua Perkaya, Datuk Dr. Haji Tengku Mahmud Mansor berkata. semua pelajar terpilih ditempatkan di Asrama Perkaya Pulau Kerengga, Marang selama lima hari untuk mempelajari teknik menjawab soalan SPM.

“Kita menyediakan beberapa guru pakar dalam beberapa mata pelajaran penting untuk membimbing pelajar-pelajar ini agar mampu capai keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti,” katanya kepada Teganukita.

Monday, May 28, 2012

Rekod Jenayah Di Terengganu - Polis Terengganu Berbohong?

 
"Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,472 direkodkan pelbagai kesalahan jenayah dilaporkan berbanding 1,494 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. ...Ini membuktikan, pasukan polis telah menjalankan tugasan dengan baik bagi membanteras kegiatan jenayah ..." - Datuk Jamshah Mustapa

Apakah Polis Terengganu dan Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa bohong mengenai kedudukan jenayah di Terengganu?

Terengganu dilaporkan berjaya mencatatkan penurunan kadar jenayah kepada 1.47 peratus pada tahun ini dan menjadikan negeri kedua terendah di seluruh negara selepas Perlis.

Namun, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata beliau dimaklumkan oleh pihak polis pelbagai kes jenayah semakin meningkat dan membimbangkan, khususnya di negeri Terengganu.

Semua pihak termasuk polis dan masyarakat umum mesti memberikan perhatian dan mengambil tindakan bersama (mencegah jenayah)...Saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kes-kes jenayah di Terengganu ini secara khususnya meningkat dan sangat membimbangkan,”ujarnya.

Khalil berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejadian jenayah ragut yang berlaku kepada beliau serta isterinya pada 21 Mei itu.


Pada kejadian yang menimpa beliau itu, seorang pemuda yang berpura-pura memesan makanan di sebuah restoran telah secara tiba-tiba merampas beg tangan isterinya, Dr Farhana Hasbullah, 32, ketika mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam.

Dalam pergelutan dengan ‘suspek’ peragut itu, Ustaz Khalil mengalami kecederaan di betis kanan dan jari tangan kanannya.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa pula, menurut satu laporan memetik beliau sebagai berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,472 direkodkan pelbagai kesalahan jenayah dilaporkan berbanding 1,494 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. 

Beliau berkata, kebanyakan kes jenayah yang dilaporkan dalam tempoh itu adalah kes kecurian motosikal dan pecah rumah.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan bilangan kes.

“Walaupun kes kadar jenayah menurun, tetapi kes yang membabitkan kecurian kenderaan dan pecah rumah masih tinggi,’’ katanya selepas Majlis Penyerahan Basikal Tourism Malaysia Terengganu kepada Polis Diraja Malaysia Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Ini membuktikan, pasukan polis telah menjalankan tugasan dengan baik bagi membanteras kegiatan jenayah di samping kerjasama masyarakat dalam memberikan maklumat sehingga tertangkap mereka yang terlibat.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai agar tampil memberi maklumat kepada pihak polis yang bertindak membanteras jenayah di negeri ini,” katanya.

Mohd Khalili yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Marang pula menegaskan, situasi peningkatan jenayah masakini itu perlu di muhasabah dengan melihat kepada keperluan perlaksanaan hukum jenayah Islam.

“Masyarakat Islam mesti kembali kepada hukum jenayah Islam (hudud dan qisas) untuk menyelesaikan masaalah ini...penjenayah pada hari ini tidak takut dan (tidak) menghormati dengan undang-undang yang ada pada hari ini,’tegasnya.

Oleh kerana itulah, katanya, kejadian jenayah semakin hari semakin ketara dan meningkat secara mendadak.

Sedangkan di pihak polis, apa yang penting ialah selain undang-undang yang ada, orang ramai perlu sama-sama mengatasi masalah jenayah dengan memberikan maklumat.

Selain itu orang ramai juga perlu mengelakkan mereka menjadi sasaran penjenayah dengan mengamalkan nasihat polis sama ada ketika bersendirian mahupun ketika berada di luar rumah dan sebagainya.

Wahid Endut Cabar Ahmad Said Berdebat Isu Stadium Runtuh, Tarik Balik Saman Royalti

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berdebat mengenai isu-isu setempat sebagai reaksi positif beliau terhadap penganjuran Debat Sinar, Selasa lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, debat di peringkat negeri membabitkan beliau dan Ahmad perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah terutama membabitkan pembangunan dan sebagainya yang menjadi persoalan sehingga kini.

Bercakap kepada pemberita, Wahid berkata, pihaknya bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa sahaja sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.

Selangor Mahu Dapatkan Bekalan Air Dari tasik Kenyir

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam  bertegas mempertahankan pendirian kerajaan negeri bahawa bekalan air mentah adalah lebih penting daripada bekalan air terawat sebagai persiapan Selangor menghadapi masalah kekurangan air pada masa hadapan.

Abdul Khalid turut mencadangkan agar air mentah yang disalurkan di Selangor diambil dari Tasik Kenyir di Terengganu yang mempunyai kedalaman melebihi 100 meter dan mempunyai kapasiti menyimpan air terbanyak di seluruh Semenanjung.

Jangan Politikkan Kes Kemalangan Himpunan Jutaan Belia


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap tidak ada pihak mempolitikkan kes kemalangan yang berlaku ketika acara perlumbaan drag sempena Himpunan Jutaan Belia di sini, tengah malam tadi.

"Kes kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Kalau tak berlaku di sini, tiada jaminan ia tak berlaku di tempat lain.

"Program ini melibatkan lebih 500 acara dan membabitkan berjuta pengunjung, dan kes sebegini tidak seharusnya menenggelamkan semangat para belia bersukan, bergiat dan melibatkan dalam aktiviti yang sihat," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kemalangan di Hospital Putrajaya.

Dalam kejadian di Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19 itu, seramai 17 orang cedera dan empat daripadanya parah, apabila sebuah kereta dalam perlumbaan tersebut terbabas sebelum melanggar penonton yang berada di luar kawasan dibenarkan.

Mangsa yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah Muhammad Iskandar Rasiq Shaari, 20, kerana mengalami sedikit pendarahan di kepala, hati serta limpa, dan Ami Nakim, 27, yang retak kedua kaki dan tangan kiri akibat kemalangan itu.

Mangsa lain, Muhamad Fairuz Jalaludin, 27, sedang menjalani pembedahan ketika lawatan itu manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Kuala Pilah.

Ahmad Shabery berkata beliau akan berunding dengan semua pihak yang berkaitan untuk kebajikan mangsa kemalangan tersebut.

"Setakat ini, dari segi perubatan akan dikendalikan oleh pihak hospital dan pihak kami sedia untuk memberi apa jua bantuan kerana yang penting sekali adalah untuk mereka sembuh, jadi kalau ada kos tambahan dan sebagainya, kita akan berunding dengan pihak hospital," katanya.

Sementara itu, keluarga mangsa tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian tersebut dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai takdir.

"Nak kata kecewa tu (memang) kecewa, tapi benda dah berlaku, nak buat macam mana, kuasa Allah. Cuma kita berdoa supaya dia cepat sembuh," kata Nakim Bahari, 57, yang merupakan bapa Ami. Nakim, seorang peneroka dari Gemencheh, Negeri Sembilan berkata beliau juga tidak akan menghalang anaknya meneruskan minat dalam bidang itu selepas ini, dan semuanya bergantung kepada yang empunya diri.

"Nanti kalau kita larang, mereka memberontak, lain jadinya, jadi bergantung pada diri sendirilah," katanya.

Shaari Bujang, 59, bapa Muhammad Iskandar Rasiq pula berkata acara itu merupakan sukan kegemaran anaknya yang sanggup ke mana sahaja semata-mata untuk menjadi penonton.

"Saya menerima panggilan sekitar jam 1.30 pagi tadi (yang memaklumkan kejadian ini). Dia datang ke sini pun saya tak tahu. Memang tak dapat tidur dan resah memikirkan apa yang menimpa anak saya.

"Nak kata marah, tak bolehlah, sebab benda ini dah kesukaan dia.

Benda ni pun berlaku bukan kehendak kita, dah takdir. Bukanlah nak mengatakan penganjur tu salah, yang menonton pun lebih kurang sama," katanya.

Maidam Mahu Kenal Pasti GLC Enggan Keluar Zakat

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah diarah untuk mengenal pasti anak syarikat milik kerajaan yang dikatakan enggan mengeluarkan zakat walaupun mencatat keuntungan dalam perniagaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, adalah menjadi keutamaan kepada anak syarikat kerajaan negeri yang mencatatkan keuntungan untuk mengeluarkan zakat.

"Saya minta Maidam senaraikan jika ada syarikat-syarikat yang tidak mengeluarkan zakat dan melaporkan kepada kerajaan negeri agar tindakan susulan dapat diambil," katanya kepada pemberita selepas majlis pembayaran zakat Agro Bank kepada Maidam di Kemaman, semalam.

Teregganu Sasar 4 Juta Pelancong Sempena Tahun Melawat Terengganu 2013

Kerajaan negeri akan memperkasakan usaha melonjak sektor pelancongan negeri bagi memastikan sasaran kira-kira empat juta pelancong mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) tercapai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata antara langkah bagi memastikan hasrat itu mampu direalisasikan adalah menerusi penganjuran pelbagai karnival dan pesta bertaraf antarabangsa yang mampu menarik tumpuan pelawat tempatan serta luar negara.

MBKT Sasar RM14 Juta Hasil Cukai Pintu

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) yakin sasaran RM14 juta kutipan cukai taksiran (cukai pintu) berjaya dicapai berdasarkan pencapaian memberangsangkan pada tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bahagian Penilaian Pengurusan Harta MBKT, Zanila Ibrahim berkata, pihaknya berjaya memperolehi RM4 juta kutipan hasil cukai pintu dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Sunday, May 27, 2012

PSTNT Aanjur Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Ogos ini

Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Ogos depan, dalam usaha memantapkan lagi sukan itu di negara ini.

Pengerusi PSTNT Mohd Shapian Ali (kanan) berkata kejohanan itu akan menawarkan hadiah wang tunai lebih RM10,000 yang merupakan hadiah terbesar dalam kejohanan yang dianjurkan di Terengganu.

"Kejohanan ini terbuka kepada pasukan negeri, kelab dan sebagainya," katanya.


Sekolah Sukan Bukit Nenas Terima Prasarana Sukan Bernilai RM7.4 Juta

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas Terengganu, di Kuala Terengganu menerima prasarana sukan bernilai RM7.4 juta dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata antara kemudahan sukan yang diterima sekolah itu termasuk sebuah astaka, trek olahraga, menaik taraf padang bola sepak dan dewan sukan serbaguna berbumbung.

Katanya,  kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 setahun kepada sekolah melalui kemudahan biasiswa pelajar.

Pembangkang Guna Isu Remeh Kerana Kehabisan Modal - Ahmad Said


Pihak pembangkang yang kini kehabisan modal sengaja mencari isu remeh dan tidak munasabah semata-mata mahu memburukkan kebenaran serta kebajikan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata semakin hebat orang BN mentabdir Terengganu makin kuat hasad dengki puak Pas.

"Apabila tengok orang BN maju, mereka akan mencipta pelbagai helah dan fitnah supaya timbul kebencian di kalangan rakyat.