Friday, November 29, 2013

Hanya 106 Hotel Di Terengganu Berdaftar - Kementerian Pelancongan


Hanya 106 buah hotel dengan kapasiti 5,576 buah bilik di Terengganu berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu, kata pengarahnya Mohd Zabri Zakaria. 

"Kebanyakan hotel tidak layak berdaftar dengan kementerian kerana mereka tidak mendapat lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarat untuk berdaftar adalah pengusaha mesti memiliki lesen terlebih dahulu.

"Yang menjadi masalahnya, ada hotel di Terengganu tidak mempunyai lesen kerana masalah seperti tidak mendapat sijil perakuan kelayakan menduduki (CF) dari pihak bomba kerana didapati tidak selamat dan mempunyai masalah tanah," katanya dalam sidang media semalam.

 Menurutnya, ada sesetengah hotel yang telah beroperasi antara tiga hingga empat tahun, namun masih tidak mempunyai CF.

 "Pihak kami turut menghantar notis kepada PBT pada pertengahan tahun ini, mengarahkan sebanyak empat hotel yang dikategorikan sebagai hotel bajet supaya ditutup kerana didapati tidak selamat dan tidak layak untuk beroperasi," katanya.

Beliau berkata kedegilan pengusaha hotel untuk mendapatkan lesen dan berdaftar dengan kementerian juga akan turut menjejaskan kualiti perkhidmatan pelancongan di negeri itu.

Justeru, beliau menggesa pemilik hotel mengambil tindakan segera memastikan hotel milik mereka didaftarkan dan PBT perlu mengambil tindakan tegas memastikan pemilik hotel mempunyai lesen.

"Ini bagi memudahkan pihak kami menjalankan operasi mengenai kebersihan serta keselamatan bagi menjaga reputasi pelancongan negeri ini.

"Di pusat peranginan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian, boleh dikatakan hampir 90 peratus hotel dan resort mempunyai lesen dan berdaftar dengan kementerian," katanya.

Menurutnya, kementerian amat serius dalam memastikan hotel di negeri ini berkualiti dan menyediakan servis terbaik kepada pelancong.

Tour de Langawi 2013 - KJ Harap Ahmad Said 'Tak Meerajuk'

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semalam  menasihati Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said agar tidak ‘terasa hati’ dengan keputusan awal kementerian itu dalam hak penganjuran sukan berbasikal.

Menurutnya, Ahmad Said tidak perlu khuatir mengenai keputusan awal tersebut memandangkan setakat ini pihaknya masih belum memutuskan keputusan muktamad berhubung hak penganjuran tersebut.

“Saya terkejut dengan pengumuman MB Terengganu untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 serta menarik diri daripada menjadi tuan rumah bagi sebarang peringkat pada perlumbaan itu.

 “...saya difahamkan pengumuman tersebut dibuat berdasarkan andaian beliau bahawa acara perlumbaan basikal jalan raya pada Sukan SEA 2017 akan diadakan di Johor dan kejohanan pelayaran Piala Monsoon juga akan dipindah dari Pulau Duyong bermula tahun depan

5,726 Anggota Perwakilan Sertai Perhimpunan Agung UMNO 2013

Sebanyak 5,726 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara dijadual menghadiri perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula Isnin depan.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata daripada jumlah itu, 2,759 hadir untuk perhimpunan agung, manakala perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing akan disertai 989 anggota perwakilan.

"Sebanyak 101 wakil 32 parti dari 28 negara juga telah mengesahkan kehadiran dan sebanyak 80 anggota perwakilan dari 73 Kelab Umno Luar Negara dan tujuh badan perhubungan negara juga akan hadir," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di semalam.

 Berhubung usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu, Tengku Adnan berkata ia akan merangkumi ucapan dasar Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak, ekonomi, agama dan pendidikan.

Kesedaran Alam Sekitar Menyerlah Melalui RAS - JAS

Bazlan Abd. Rahman (kanan) beramah mesra dengan peserta Rakan Alam Sekitar (RAS) dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara JAS Terengganu dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, swasta serta 3P di Kuala Terengganu, kelmarin.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyasarkan pertambahan 50,000 sukarelawan baharu sebagai Rakan Alam Sekitar (RAS) setahun bagi menggerakkan Program 3P (Pasukan Pemantau Pencemaran) secara konsisten dan berkesan di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Datuk Abu Hassan Mohd Isa percaya usaha itu mampu dicapai dengan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar semakin meningkat di samping langkah penjenamaan semula RAS.

Katanya, sehingga kini, seramai 186,000 RAS bertindak sebagai ejen kepada pihak berwajib bagi memantau dan melaporkan kes pencemaran dan kerosakan alam di kawasan masing-masing sejak diperkenalkan di setiap Parlimen lima tahun lalu.

Kes Keganasan Terhadap Wanita Catat Penurunan di Terengganu


Terengganu mencatatkan penurunan dalam jumlah kes keganasan terhadap wanita di mana hanya 13 kes dilaporkan berlaku tahun ini berbanding 26 kes tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mahdi Musa berkata, memandangkan setiap tahun terdapat kes sedemikian, kesedaran untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa khususnya oleh kaum wanita sendiri amat penting.

“Kesedaran ini bukan hanya terhad kepada wanita tetapi lelaki pula perlu menghormati dan menyayangi kerana tanpa mereka, tiadalah kita.

Pelajar Maut, Rakannya Kritikal Dilanggar Kereta Di Dungun

Seorang pelajar maut manakala rakannya parah setelah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 84.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun semalam.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku ketika dua pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk ke kampus mereka.

Akibat rempuhan itu, Muhammad Asraf Hamidin, 18, pelajar Diploma Teknologi Komputer yang berasal dari Batu 17, Rawang, Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Jabatan Kesihatan Terengganu Tubuh Pasukan Hadapi Banjir

Jabatan Kesihatan Terengganu telah menubuhkan sejumlah pasukan kesihatan dan pasukan perubatan sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan itu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata pasukan itu akan digerakan ke lokasi-lokasi yang memerlukan bantuan sebaik sahaja terdapat perpindahan mangsa banjir dilaporkan.

"Pasukan kesihatan akan menumpukan kepada aspek pencegahan dan kawalan penyakit sementara pasukan perubatan akan memberikan rawatan kepada mangsa banjir yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Keselamatan Makanan peringkat negeri semalam.

Mufti Terengganu Gesa Tolak Amalan Syiah

Masyarakat diminta menjauhi dan menolak amalan Syiah kerana ia difatwa sesat dan jauh menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan umat Islam di negara ini, kata Mufti Negeri Terengganu Dr Zulkifly Muda.

Beliau berkata amalan Syiah jelas melanggar hukum-hakam dari segi penyelewengan akidah, syariat dan akhlak yang bertentangan dengan empat mazhab yang dianuti umat Islam seluruh dunia.

"Antara fahaman Syiah termasuk tidak mewajibkan sembahyang Jumaat dan membenarkan nikah mutaah," katanya ketika menyampaikan ceramah kepada para imam dan bilal serta anggota jawatankuasa masjid Daerah Besut di Masjid Hadhari di Jertih semalam.

1,000 Peserta Berbasikal Sertai Terengganu Monsoon Ride 2013 Esok

Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu menyasarkan 1,000 peserta berbasikal yang akan menyertai program Terengganu Monsoon Ride 2013 esok.

Pengarahnya Mohd Sabri Zakaria berkata program anjuran kali kedua itu bertujuan mempromosikan tempat pelancongan di sekitar Terengganu dan antara program sampingan sempena Piala Monsun yang sedang berlangsung di Pulau Duyong.

Beliau berkata peserta akan mengayuh sejauh 100 kilometer melalui lima parlimen bermula dari Pulau Duyong, Parlimen Kuala Terengganu kemudian ke Hulu Terengganu, seterusnya ke Setiu dan berpatah balik melalui Parlimen Kuala Nerus sebelum sampai kembali ke Pulau Duyong.

Dua Cawangan Bank Rakyat Akan Dibuka Di Terengganu

Dua buah lagi cawangan Bank Rakyat akan dibuka di Terengganu bagi memenuhi permintaan dan mengembangkan perkhidmatan perbankan Islam di negeri itu pada akhir tahun ini dan awal tahun depan. 

Pengurus Bank Rakyat Wilayah Timur Azman Mustaffa berkata dua cawangan itu ialah di Bandar Marang, Marang, yang akan dibuka pada awal bulan depan dan diikuti cawangan Kuala Berang di Hulu Terengganu pada awal tahun depan.

Katanya dengan pembukaan dua cawangan baharu itu, Terengganu kini mempunyai lapan cawangan di semua daerah kecuali Setiu, yang masih dalam perundingan.

Semua Pejabat JPJ Negeri, Cawangan Beroperasi Esok

Semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan cawangan beroperasi hari ini dan esok bagi menyelesaikan permohonan urusan jabatan itu yang tertangguh berikutan peralihan sistem SIKAP ke sistem mySIKAP.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pejabat JPJ dan cawangan di Kedah, Terengganu dan Kelantan yang sepatutnya tutup kerana cuti mingguan hari ini akan buka seperti biasa manakala pejabat JPJ negeri dan cawangan lain akan beroperasi esok.

Waktu perkhidmatan kaunter JPJ negeri dan cawangan akan beroperasi seperti biasa bermula 7.45 pagi bagi semua perkhidmatan, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata pelaksanaan perkara itu diedarkan kepada semua pengarah JPJ negeri dan ketua cawangan di seluruh negara pada hari ini cawangan di seluruh negara.

Thursday, November 28, 2013

LTdL 2014 - Terengganu Tidak Akan Teruskan Tajaan RM2 Juta Pada Musim Depan

"Memang kita terasa... kadang-kadang mereka ini buat keputusan terburu-buru. Patutnya dia kajilah dulu secara keseluruhan, Terengganu merupakan negeri yang paling ramai melahirkan atlet di negara kita... apatah lagi dalam lumba basikal... seolah-olah kita tidak dihargai atas sumbangan dan pengorbanan kita selama ini."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Kerajaan negeri Terengganu tidak akan meneruskan tajaan sebanyak RM2 juta bagi kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Terengganu tidak mahu meneruskan tajaan LTdL pada musim depan kerana terkilan selepas mendakwa dilayan umpama 'melukut di tepi gantang' oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Ya. Memang kita terasa... kadang-kadang mereka ini buat keputusan terburu-buru. Patutnya dia kajilah dulu secara keseluruhan, Terengganu merupakan negeri yang paling ramai melahirkan atlet di negara kita... apatah lagi dalam lumba basikal... seolah-olah kita tidak dihargai atas sumbangan dan pengorbanan kita selama ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Meskipun Terengganu disenarai sebagai lokasi penamat LTdL musim depan, Ahmad meminta penganjur melakukan perubahan kerana tidak lagi berminat menaja kejohanan itu.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap KBS yang seolah-olah memandang sepi sumbangan, pengalaman dan kemudahan infrastruktur bagi dua acara sukan berprestij di Terengganu apabila hak penganjuran acara berkenaan dijangka diberi kepada negeri lain.

Terengganu gagal menjadi tuan rumah dalam venue acara berbasikal pada temasya Sukan SEA 2017 apabila hak penganjuran dijangka diberi kepada Johor (acara lebuh raya) dan Negeri Sembilan (acara trek). 

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bercadang melihat pembentangan kajian sama ada penganjuran Piala Monsun akan diteruskan di Terengganu atau di negeri lain pada musim depan.

Pelakon Zahida Rafik Disaman Pemandu Sendiri

Noor Azman (Tengah) dengan peguamnnya.
Bekas pemandu pelakon Zahida Mohamed Rafik memfailkan saman terhadap Zahida berhubung kenyataan yang dikatakan fitnah dan disiarkan dalam akhbar berikutan kehilangan wang tunai berjumlah RM200,000. 

Noor Azman Azemi, 39, yang pernah bekerja selama lima tahun dengan Zahida memfailkan saman itu melalui Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam penyataan tuntutan, Noor Azman mendakwa Zahida mengeluarkan kata-kata fitnah yang kemudian diterbitkan akhbar Harian Metro pada 3 Mac tahun lepas bertajuk Zahida Rafik Terkedu.

Beliau mendakwa pada 5 Mac tahun lepas, Zahida sekali lagi mengeluarkan kenyataan palsu dengan membuat pengumuman kepada orang awam dan menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang menjumpai Noor Azman atas alasan Noor Azman telah melarikan wang tunai miliknya.

Dua Profesional Muda Sertai Barisan Exco Pemuda Umno

 Khairy (dua, kiri) mengetuai majlis angkat sumpah perlantikan jawatan exco Pemuda Umno pada Mesyuarat Exco pergerakan itu, semalam.
Dua profesional muda adalah antara yang dibawa menyertai barisan kepimpinan Pemuda Umno pusat bagi penggal 2013-2016, yang turut menyaksikan kewujudan dua biro baharu.

Ketika mengumumkan senarai penuh barisan portfolio Exco Pemuda dan ketua serta naib Ketua Pemuda negeri di sini Rabu, ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata pelantikan profesional muda lingkungan 20-an iaitu Shahril Suffian Hamdan dan Ar Rahman Husin adalah bagi mewakili generasi muda.

"Mereka (dua exco muda) ini ialah daripada luar struktur Umno secara tradisi walaupun mereka ini ahli tetapi tidak datang daripada jawatankuasa bahagian, cawangan dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama sayap itu selepas pemilihan parti Oktober lepas di Menara Dato' Onn, semalam.

Kerajaan Selangor Naikkan Gaji Wakil Rakyat


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Timbalan Speaker DUN tersebut mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor, Speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Lokasi Piala Monsun: Tak Perlu Lobi KBS - Ahmad Said


Kerajaan negeri Terengganu tidak berhasrat melobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan hak untuk meneruskan penganjuran kejohanan Piala Monsun siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) pada musim depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau menyerahkan kepada pihak penganjur untuk menentukan lokasi seterusnya sama ada mengekalkannya di Terengganu atau ingin beralih ke tempat baharu. 

Bagaimanapun, beliau berharap KBS dan pihak penganjur dapat memberi pertimbangan sewajarnya dalam perkara itu kerana Terengganu memiliki kemudahan yang lengkap selain pengalaman yang luas dalam penganjuran kejohanann berkenaan.

Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari Sabtu Ini

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (ISLAC 2013) selama dua hari bermula Sabtu ini.

Setiausaha seminar, Syed Mohd Azmi Syed Abdul Rahman berkata seminar kali kedua ini merupakan kesinambungan Seminar Kebangsaan Perundangan Islam Dalam Kontemporari pada 2011 bertujuan mewujudkan perkongsian pintar dalam kalangan ahli akademik daripada pelbagai peringkat.

Katanya seminar bertemakan 'Perundangan Islam ke arah Keharmonian Sejagat' ini akan membincangkan 11 isu semasa berkaitan perundangan Islam, antaranya konflik perundangan, kekeluargaan Islam, kewangan dan perbankan Islam serta Islam dan hak asasi manusia.

Waran Tangkap Blogger Papagomo?

Pengendali blog ‘Papagomo’ atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam semalam apabila gagal hadir dalam kes perlanggaran perintah hak jagaan sementara dan penyerahan dua anak perempuannya.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain mengeluarkan perintah itu selepas mendengar permohonan peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili janda Wan Muhammad Azri, Bellina Omar Sharifuddin Cin, 28.

Menurut Mohd. Zaidi, notis tunjuk sebab bagi pelanggaran perintah itu telah diserahkan kepada responden (Wan Muhammad Azri) pada 7 November lalu, pukul 9.41 malam di rumahnya di Taman Danau Kota.

Aishah Diburu Sejak Tahun 70-an, Kakak Mahu Jumpa Sebelum Mati

Gambar lama Aishah sebelum wanita itu hilang pada tahun 1968. 
Mengesahkan identiti wanita itu yang diselamatkan pada 25 Oktober lalu di London sebagai Siti Aishah Abdul Wahab, Khalid berkata, wanita itu terlibat dalam aktiviti pelampau komunis berhaluan kiri.

"Aishah ketika itu ialah aktivis mahasiswa berhaluan kiri dan dipercayai ke London untuk melanjutkan pelajaran. Dia seorang daripada penuntut pelampau berhaluan kiri pada zaman 1970-an dahulu dan kegiatan mereka berpusat di London.

"Pada masa itu London bebas, bebas bersuara, bebas segala-galanya, jadi dia berpusat di sana. Jadi masa 70-an kita memang nak (tangkap) dia tapi dia dah pergi ke sana," kata beliau pada sidang akhbar semalam selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 156 anggota polis yang terlibat dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah, Februari lalu.
Kakak Aisha

Rakyat Malaysia yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London ialah individu yang dikehendaki pada tahun 1970-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar

Kastam Rampas Pelbagai Barangan Dengan Nilai RM421.3 Juta Sehingga 15 Nov

Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas pelbagai barangan bernilai RM421.3 juta melibatkan cukai sebanyak RM321.7 juta dalam tempoh Januari hingga 15 Nov lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa/Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata rampasan kenderaan menduduki tempat paling atas dengan 750 kes melibatkan 1,664 unit kenderaan dengan nilai rampasan RM114.8 juta melibatkan cukai sebanyak RM99 juta.

Beliau berkata ia diikuti rampasan pelbagai jenis dadah yang telah menyamai jumlah rampasan tahun lepas iaitu 117 kes dengan nilai RM105.5 juta.

YPIIM Beri Sumbangan RM200,000 Kepada 27 NGO Terengganu Semalam

Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) menyumbang RM200,000 kepada 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuang kebajikan masyarakat Islam, terutama saudara baharu dan golongan kurang bernasib baik, di negeri ini.

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata kerajaan negeri diamanah mengenal pasti NGO yang aktif bagi melayakkan pertubuhan itu menerima peruntukan, yang kebiasaannya disalur menjelang sambutan Aidilfitri setiap tahun.

"Walaupun tahun ini majlis penyampaian sumbangan agak lewat tetapi ia tetap diadakan, dan setiap NGO yang memenuhi syarat menerima sumbangan antara RM5,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada keperluan persatuan masing-masing.

Polis Bongkar Sindiket Pelacuran Warga Asing Di Terengganu

Penangkapan seorang wanita warga China yang menyediakan perkhidmatan seks di sebuah hotel pada Sabtu lepas membongkar taktik terkini sindiket pelacuran membabitkan warga asing di bandar raya ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata sindiket itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan memindahkan pelacur dari sebuah hotel ke hotel lain selepas seminggu mereka menginap di hotel berkenaan.

Wanita berusia 20-an itu diberkas dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, hasil maklumat awam dan risikan, katanya dalam sidang media, Isnin.

Hoki Bawah 21 Tahun: Terengganu Turun Tanpa Empat Tonggak

Laluan Terengganu dalam Kejohanan Kebangsaan Hoki bawah 21 tahun dilihat mencabar apabila empat pemain tonggaknya yang juga pemain kebangsaan tidak akan beraksi dalam kejohanan itu yang akan berlangsung di Kuala Lumpur selama 10 hari bermula 10 Dis nanti.

Ini berikutan keempat-empat pemain itu akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia di New Delhi, India dari 6 hingga 15 Dis di mana Malaysia ke Piala Dunia itu atas tiket selaku juara Piala Remaja Asia.

Setiausaha Persatuan Hoki Terengganu (PHT) Sobri Salleh berkata empat pemain berkenaan ialah Mohd Fitri Saari (tengah); Muhammad Firhan Ashaari (penyerang); Mohammad Hafizuddin Othman dan Mohd Hazrul Faiz Ahmad Sobri (penjaga gol).

Monday, November 25, 2013

Diabetes - Kes Baharu Melonjak Lebih 100 Peratus di Terengganu

 
Penularan penyakit kencing manis semakin ketara di negeri ini dengan jumlah kes baharu yang didaftarkan atau dikesan melonjak lebih 100 peratus sejak 2008.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr. Mohd Jusoh berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 3,603 kes baharu dicatatkan manakala 4,783 kes bagi tahun lalu. 

Beliau berkata, walaupun kes penyakit secara senyap itu meningkat setiap tahun, berdasarkan jumlah mereka yang merujuk kepada pihak hospital itu memperlihatkan kesedaran masyarakat juga meningkat.

"Lebih ramai yang sedia untuk menjalani pemeriksaan dan ujian saringan kesihatan secara berkala bagi mengawal penyakit berkenaan.

''Bagaimanapun Terengganu masih berada ditahap yang rendah iaitu negeri ketiga terendah selepas Putrajaya dan Sabah,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Sambutan Hari Diabetis Sedunia peringkat negeri 2013 di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zuber Embong, di Kuala Terengganu, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Diabetis Malaysia Cawangan Terengganu, Wan Md. Adnan Wan Ismail. 

Menurut Mohd, pelbagai usaha dilakukan oleh Jabatan Kesihatan negeri dan Persatuan Diabetis sendiri untuk mencegah dan mengawal penyakit diabetis melalui ceramah, forum dan aktiviti riadah

Katanya, jika diabetis dibiarkan berlarutan tanpa dikesan, penyakit tersebut akan lebih sukar dikawal dan risiko komplikasi diabetis seperti kebutaan, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk adalah tinggi.

'Selain itu faktor keturunan dan pemakanan, gaya hidup yang semakin selesa akibat kemajuan menyebabkan masyarakat masa kini kurang melakukan aktiviti fizikal seperti riadah dan berjalan kaki bagi mengelak diabetes serta masalah obesiti,'' ujarnya

 Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil makanan atau minuman yang didakwa mampu merawat diabetes kerana pengambilannya boleh mengancam nyawa pesakit.

Beliau berkata, mereka yang menghidap diabetis kini bukan hanya dalam kalangan yang telah berusia sebaliknya mereka yang di peringkat umur 20 hingga 30 tahun juga meningkat.

Mahkamah Syariah Nasihat Bapa, Anak Lelaki Selesai Isu Nafkah Secara Baik

Mustafa Ismail berbincang sesuatu dengan peguamnya, Fazru Anuar Yusof (kiri) di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, semalam.
Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu  meminta pertelingkahan antara bapa dan anak berkaitan tuntutan nafkah, yang berlarutan sejak tiga tahun lepas, diselesai secara baik mengikut adab timur dan syariat Islam.

Hakim Rosdi Harun menasihati Nasrun Mustafa, 40, dan Mustafa Ismail, 67, berbincang dan merungkai kemelut keluarga secara berhemah kerana kes itu tidak akan dibicara di mahkamah bagi tempoh yang panjang jika mereka saling bertolak ansur.

Beliau kemudian menetapkan 23 Dis untuk menyebut semula kes itu. Mustafa memfailkan permohonan untuk memenjarakan anaknya kerana ingkar perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah berjumlah RM18,866.50.

Hilang Nyawa Angkara Cinta Janda?

Angkara berebut cinta seorang janda, dua sahabat bermusuh dan kemuncaknya seorang daripada mereka mati ditikam bertubi-tubi di depan sebuah rumah di Kampung Nara di Pasir Puteh kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang, Mohd. Azizi Abdul Razak, 48, meninggal dunia di Hospital Tengku Anis (HTA) di sini selepas terkena beberapa tikaman dari rusuk kiri sehingga ke kaki.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa yang baru selesai mengutip bakul kuih dan makanan di warung-warung di sekitar kampung tersebut telah pergi ke rumah kenalannya, Mohd. Zaihan Mohd. Zaid, 25, di Kampung Nara untuk berbual-bual seperti biasa.

Mohd Kamal Zainal berkata, Mohd Azizi Abdul Razak meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh.

Liga M 2014 : Empat Kuota Pemain Import

Sultan Ahmad Shah (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-9 Musim 2010-2014 di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam. 
Bermula  musim depan, setiap pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan mendaftarkan sehingga empat pemain import berbanding tiga pemain pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, perkara berkenaan telah dipersetujui ahli majlis FAM pada mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah di Kelana Jaya semalam.

PAS Tolak Rayuan Karpal, Tetap Laksana Hudud


PAS tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada sekutunya dari DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, DAP tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan dan dasar parti itu walaupun wujudnya tahaluf siyasi antara mereka dalam pakatan pembangkang. 

Tegasnya, asas hubungan politik yang dijalinkan bersama DAP tidak membataskan parti itu untuk melaksanakan undang-undang Islam tersebut.

"Hak dia bersuara, hak kita meneruskan apa yang kita perjuangkan.

K'jaan Terengganu Sumbang Kepada Kanak-Kanak Jantung Berlubang

Seorang kanak-kanak perempuan, Nor Aini Aqilah Hairon Nizam, berusia tiga tahun yang mengidap penyakit jantung berlubang mendapat sumbangan RM30,000 daripada kerajaan negeri Terengganu.

Bapa kanak-kanak, Nizam Abdul Halil, 30, berkata anaknya yang dipercayai mengidap penyakit jantung berlubang sejak berusia satu tahun 8 bulan, akan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di ibu negara esok.

Hairon dan isteri Nurul Asyikin Ramlan, 27, yang tinggal di Kampung Bukit Choras, Kota Sarang Semut berkata kos pembedahan anak mereka ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri termasuk penginapan sepanjang tempoh rawatan.

PAS Ajak Umno Muzakarah


PAS secara terbuka mengajak Umno untuk duduk berbincang mengenai perlaksanaan pentadbiran Islam di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sedia menjalinkan tahaluf atau kerjasama dengan Umno demi kepentingan rakyat. "PAS bersedia untuk muzakarah dengan Umno dalam isu perlaksanaan Islam.

"Kita perlu letakkan hukum Islam di hadapan," katanya sambil disambut laungan takbir.

Pekerja MPPP Kecewa Digelar 'Kucing Kurap'

Lawatan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun di Pasar Jelutong di Georgetown bertukar 'kecoh' apabila seorang pekerja Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menggesanya menggugurkan label 'kucing kurap' yang ditujukan kepada kakitangan bawahan MPPP, Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi semalam, bekas Timbalan Presiden Kesatuan Buruh MPPP Mohd Rofi Osman mendekati Ooi, yang ketika itu sedang mengadakan sidang akhbar mengenai penjaja tidak berlesen, dan dengan suara yang kuat memintanya memohon maaf secara terbuka kepada semua kakitangan MPPP.

Keadaan itu mendorong orang ramai berkerumum di situ manakala beberapa petugas di situ menasihatkan Mohd Rofi agar beredar dari situ.

Kerajaan Digesa Putuskan Isu Tambang Bas Sekolah Sebelum Januari

Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) menggesa kerajaan membuat keputusan berhubung cadangan menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 30 peratus di seluruh negara sebelum sesi persekolahan bermula awal Januari depan.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata pihaknya menghantar cadangan itu kepada pihak kerajaan Jun lepas namun belum menerima sebarang maklum balas.

"Harga tambang bas yang sedia ada ini sudah tidak relevan bagi pengusaha bas kerana kadar yang dikenakan sekarang merupakan kadar yang ditetapkan lima tahun lalu iaitu sejak tahun 2009 dan sekarang sudah belaku kenaikan harga minyak serta harga kos penyelenggaraan bas," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia di Dungun, semalam.

PAS Perlukan Pakatan Rakyat Untuk Lebar Jajahan - Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengakui parti itu tidak mampu berjuang bersendirian sebaliknya memerlukan rakannya dalam Pakatan Rakyat untuk membantunya melebarkan jajahan khususnya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketika menggulung perbahasan pada Muktamar PAS Ke-59 di Shah Alam,  beliau berkata tanpa bantuan DAP dan PKR, PAS hanya mampu aktif di Kelantan dan Terengganu.

"Kekuatan PAS adalah bersama Pakatan Rakyat. Kalau PAS berjuang secara sendirian, sudah tentunya jajahan kita tidak lebih daripada Rantau Panjang (Kelantan) sehingga Kemaman (Terengganu).

UTeM, Kerajaan Terengganu Kerjasama Urus Sumber Hutan


Kerjasama antara kerajaaan Terengganu dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam pengurusan sumber hutan di negeri itu diharap mampu mengawal keseimbangan dan menjaga ekosistem tempatan.

Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata menerusi kerjasama itu pihaknya membangunkan sebuah sistem yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Perhutanan Bersepadu Negeri Terengganu (T-ifms), yang antara lain mampu mengawal sumber hutan dengan berkesan.

Menurutnya sistem T-ifms adalah sebuah sistem berpusat yang ditambah baik menggunakan sepenuhnya perisian sumber terbuka yang menggantikan sistem yang beroperasi secara bersendirian sebelum ini.

Janda, Tiga Rakan Main Judi Didenda RM500

Rahimah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan semalam bagi menghadapi tuduhan bermain judi.
Empat sekawan termasuk seorang warga emas janda berusia 62 tahun didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu semalam kerana berjudi di kaki lima sebuah bangunan di Jalan Doktor Kota Bharu, pada Jumaat lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas Rahimah Md. Riffin bersama tiga yang lain, Hazlan Ibrahim, 52; Yussaimi Yusoff, 47, dan Ibrahim Abdullah, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Keempat-empat tertuduh didakwa bermain judi tintong syiling iaitu membaling wang syiling dan menekup dengan menggunakan wang sebagai pertaruhan pada pukul 10.20 malam, Jumaat lalu.

Syarikat, Dua Pengarah Didenda Kerana Gagal Hantar Penyata Tahunan

Sebuah syarikat pembekal peralatan elektrik dan elektronik dan dua pengarahnya masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, semalam kerana gagal menghantar penyata tahunan syarikat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak tiga tahun lepas.

Avid Synergy Sdn Bhd dan pengarahnya Mohd Karimi Ariifin dan Badrol Hisham Zaki masing-masing dikenakan denda RM1,000 atau sebulan penjara bagi setiap tuduhan gagal mengemukakan penyata bagi 2010, 2011 dan 2012.

Kedua-duanya mengaku bersalah mengikut Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965 di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sunday, November 24, 2013

DAP Rayu PAS Tidak Laksanakan Hudud di Kelantan


DAP merayu rakan sekutunya PAS agar tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu

"Hudud mempunyai hukuman yang sangat serius. Hanya kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang sedemikian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena Deepavali anjuran pusat khidmat masyarakat, DAP Datuk Keramat di Taman Jajar semalam.

"Objektif politik tertakluk kepada undang-undang. Penasihat undang-undang kerajaan negeri Kelantan harus menasihatkan PAS agar tidak meneruskan cadangan melaksanakan hukum hudud," katanya.

Beliau berkata DAP tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Jumaat melaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong tindakan kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

"Sudah pasti, kita akan menyokong Kelantan melaksanakan undang-undang berlandaskan syariat Islam walaupun kerajaan negeri berhadapan dengan cabaran dan campur tangan daripada kerajaan Persekutuan. 

"Tindakan kerajaan Persekutuan menggangu Kelantan (berhubung cadangan pelaksanaan hudud) menunjukkan mereka tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-59 pada Jumaat

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Mahkamah Syariah Kelantan untuk melaksanakan enakmen yang dibentuk pada tahun 1993 bila-bila masa sekiranya kerajaan negeri itu mahu menguatkuasakannya.

Terengganu Tunai Janji Insentif Kahwin Bapa, Ibu Tunggal

Pasangan pengantin baharu terdiri daripada ibu dan bapa tunggal menunjukkan insentif yang diterima selepas Majlis Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal di Kuala Terengganu, semalam.

Kerajaan negeri hari ini mengotakan janjinya untuk memberi insentif kepada bapa dan ibu tunggal yang berkahwin lagi, sekali gus menjadi negeri pertama menyediakan bantuan seumpama itu dengan setiap seorang menerima RM2,000.

Lebih 600 bapa dan ibu tunggal melibatkan seramai 254 pasangan dari seluruh Terengganu menerima ganjaran masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Naib Presiden PAS - Mahfuz Kalah Tipis Kepada Husam


Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar gagal menempatkan diri dalam senarai tiga naib presiden dalam pemilihan parti itu yang berlangsung pada Jumaat apabila memperoleh 504 undi.

Ahli Parlimen Pokok Sena, itu tewas kepada Datuk Husam Musa dengan hanya 16 undi yang berada di tangga ke tiga. Husam yang juga penyandang jawatan itu sejak pemilihan 2011 mendapat 520 undi.

Seorang lagi penyandang, Salahuddin Ayub mendahului senarai naib presiden selepas mendapat undi tertinggi iaitu sebanyak 920 undi.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat undi kedua tertinggi dengan mendapat 849 undi.

MAIDAM Beri Bantuan Keperluan Asas Kepada Fakir Miskin Tahun Depan

Mulai tahun depan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan memberi bantuan berupa keperluan asas kepada golongan fakir miskin di negeri ini.

Pesuruhjaya MAIDAM, Mohd Rozali Salleh berkata ini kerana bantuan kewangan yang diberikan MAIDAM selama ini, tidak digunakan semata-mata untuk membeli keperluan asas sebaliknya mendapati rata-rata penerima menggunakan wang tersebut untuk perkara kurang bermanfaat.

"Rancangan ini kita namakan program kedai runcit asnah dan kita akan lancarkan secara besar-besaran mulai awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tahfiz cuti sekolah Masjid Kristal di Kuala Terengganu, semalam.