Friday, October 26, 2012

Polis Buru 3 Samseng Adik Beradik Pukul, Ugut Potong Telinga Guru

Wanted...tiga adikberadik yang sedang diburu polis Terengganu.
Polis terus memburu tiga beradik layak digelar samseng selepas mencederakan seorang guru akibat tidak berpuas hati mangsa menampar anak seorang daripada mereka di Masjid Kayu Ulul Albab, Seberang Jertih, Besut.

Mereka juga mengugut memotong telinganya jika mangsa enggan menarik semula laporan polis yang dibuat.

Mereka mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222 atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, 09-6246222.

Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, guru berusia 42 tahun itu dipukul tiga beradik terbabit dikenali sebagai Azizan Awang, 34, Afizol, 39, dan Anuar, 47, selepas berang mangsa menampar kanak-kanak berkenaan yang dikatakan membuat bising ketika di masjid.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kanak-kanak itu tidak mengendahkan teguran guru terbabit beberapa kali.

Sebelum kejadian guru itu menegur anak suspek kerana bising dalam masjid namun tidak diendahkan kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, mangsa kemudian menampar kanak-kanak itu yang memaklumkan bapanya menyebabkan guru berkenaan dipukul tiga beradik itu.

“Akibatnya, mangsa cedera dan dirawat di Hospital Besut sebelum membuat laporan polis. Bagaimanapun perasaan tidak puas hati suspek tidak berakhir di situ apabila mereka melawat mangsa di hospital dan mengugut memotong telinganya jika mangsa enggan menarik semula laporan polis yang dibuat.

 “Bimbang kejadian tidak diingini, mangsa yang ketakutan menarik semula laporan itu, tetapi mengubah fikiran dan membuat semula laporan di Balai Polis Jertih, Besut pada 4 Oktober lalu.

“Usaha memburu tiga beradik itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan cedera parah dan Seksyen 506 KK sama kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, katanya, polis memburu tiga lelaki lain dipercayai terbabit beberapa kes jenayah kekerasan hingga menyebabkan kecederaan di daerah Besut sejak Julai lalu.

Katanya, Che Wan Sharmizie Che Mat, 31, dipercayai menetak seorang guru sekolah rendah dengan parang panjang hingga cedera parah di badan, kaki dan tangan, Selasa lalu.

“Dua suspek lain ialah Mohd Amir Che Ya, 24, yang disiasat mengikut Seksyen 148 KK kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan hingga mencederakan seorang lelaki pada 1 Oktober lalu dan Zamri Husin, 30, atau dikenali sebagai Awie bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 KK.

 “Kami memandang serius beberapa siri jenayah kekerasan di Terengganu terutama Besut dan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memburu suspek. bagi memastikan mereka yang bersalah dikenakan tindakan sewajarnya.

“Keluarga atau rakan diingatkan tidak cuba melindungi suspek dan memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan mereka,” katanya.

Aidiladha Disambut Meriah Di Seluruh Negeri



Hari Raya Aidil Adha disambut dengan penuh meriah di seluruh negeri ini dengan orang ramai mengadakan ibadat korban mengikut kemampuan masing-masing.

Pembesar negeri bersalam dengan Tuanku Sultan Mizan ketika menyambut ketibaan Tuanku Sultan di Masjid al-Muktafibillah Shah, Kuala Terangganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang, pagi ini.


Jabatan Pelajaran Negeri Hargai Jalinan Strategik Dengan Kerajaan Negeri


Jalinan rangkaian strategik pendidikan antara Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dengan Kerajaan Terengganu melalui Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) membuahkan hasil yang amat membanggakan. Hubungan baik itu membolehkan Terengganu meraih kejayaan demi kejayaan dalam peperiksaan awam, aktiviti kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin, berkata pihaknya ingin berkongsi kejayaan berkenaan melalui penganjuran Karnival Pendidikan Terengganu yang merupakan acara tahunan JPNT dengan kerjasama kerajaan negeri yang sebelum ini dikenali dengan nama Ekspo Pendidikan Negeri Terengganu.

Beliau seterusnya mengambil peluang mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Ahmad Said dan Datuk Ahmad Razif kerana memberi kerjasama yang erat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

YPU Tekad Mahu Lahir Ushawan Jutawan - Azmi Razik

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berazam untuk mewujudkan komuniti usahawan Terengganu yang mantap dan akan menjadikan negeri sebagai hub usahawan pelbagai produk.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik (gambar) berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberi suntikan semangat kepada usahawan di negeri ini untuk mengembangkan perniagaan dengan membawa beberapa tokoh usahawan berjaya di negara ini untuk memberi motivasi bagaimana cara merintis jalan ke puncak.

“Kita yakin sebagai satu-satunya yayasan di negara ini yang diwujudkan oleh kerajaan negeri khusus untuk melahirkan usahawan jutawan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di program Luncheon Talk bersama Datuk Maznah Hamid di Hotel Permai Kuala Terengganu.

Isteri Menteri Besar Lawat Rumah Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi

 

Menteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud bersama beberapa ahli Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) meluangkan masa melawat Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Teluk Ketapang, 24 Oktober lalu.

Ketibaan beliau dan ahli jawatankuasa Srikandi disambut meriah oleh hadirin yang hadir termasuk 20 penghuni Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi.


Kejohanan Antara Regu Piala Menteri Besar Mendapat Sambutan

Kejohanan Sepak Takraw antara regu merebut Piala Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mendapat sambutan apabila 46 regu akan berentap pada 2-3 Nov ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) Mohd Shapian Ali berkata setelah permohonan ditutup semalam, daripada keseluruhan pasukan, 26 regu adalah dari luar Terengganu.

"Ini julung kali kejohanan ini diperkenalkan dan kita tidak jangka sambutan pasukan dari luar Terengganu begitu hebat," katanya hari ini.

Mohram Dekati Terengganu Melalui Latar Alam, Kehidupan Masyarakat


Latar alam Terengganu dan kehidupan masyarakat di negeri ini memberi inspirasi kepada Mohram, kumpulan muzik fusion etnik yang dianggotai oleh Mohar dan Ramli untuk muncul dengan album terbaru berjudul Alam.

Kunjungan ke Terengganu sekitar dua tahun lalu, membawa kepada penghasilan album ketiga Mohram selepas Sakti (2001) dan Antarssukha (2004) yang ternyata memberi nafas baru kepada perjalanan muzik yang mereka perjuangkan.

Mohram mengekspresikan alunan seruling tiupan Mohar dan paluan rebana Ramli bersandarkan muzik nusantara yang menjadi jiwa kumpulan itu untuk berkisah tentang evolusi kehidupan dan kemanusiaan.

JHEAT Anjur Kursus Pelapis Imam Di Kuala Terengganu

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) terus menganjurkan kursus Pelapis Imam Bilal Masjid Mukim sebagai langkah memperkukuhkan institusi masjid di Kuala Terengganu.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Encik Mohd Ariffin Jusoh, berkata setakat ini pihaknya menerima 120 penyertaan membabitkan jemaah masjid di daerah itu.

Polis Terengganu Buru 6 Samseng Terbabit Kes Serangan Di Besut

Laporan di Teganuku Mengenai Samseng Tetak Guru di Besut semalam.
Polis Terengganu menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu enam samseng yang dipercayai terlibat dalam empat kes serangan di Besut sejak Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, semua suspek dipercayai menyerang dan memukul sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

"Kita memandang serius perkara ini walaupun serangan yang mereka lakukan hanya disebabkan cemburu, menunjukkan isyarat lucah dan gagal membayar hutang," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, polis tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan suspek yang tidak menghormati undang-undang. Mereka yang diburu itu termasuk seorang kontraktor, Che Wan Sharmizie Che Wan Mat, 29, dari Kampung Baru Bukit Tumbuh, Besut bagi membantu siasatan serangan ke atas seorang guru lelaki berusia 35 tahun kelmarin.

"Kita telah membuat serbuan di rumah suspek, namun gagal mengesan suspek dan dipercayai suspek telah melarikan diri dan masih bersembunyi di sekitar Besut," katanya.

Dalam kes serangan pada hari Selasa di hadapan Maktab Perguruan Sultan Mizan, Besut itu, guru tersebut cedera di belakang badan, tangan kanan dan kaki kiri akibat ditetak dengan parang oleh dua lelaki bertopeng dipercayai kerana cemburu.

Selain itu, polis juga menjejaki tiga beradik bagi membantu siasatan seorang lelaki diserang selepas mangsa menegur dan menampar kanak-kanak yang membuat bising di dalam masjid. Anuar, Azizan dan Afizol Awang yang berusia antara 39 dan 45 tahun itu dipercayai bersembunyi selepas menyedari mereka dikehendaki polis, kata Manoharan.

Dua lagi yang diburu polis ialah Mohd Amir Che Ya, 24 (kes memberi isyarat lucah) dan Zamri Husin, 30 (kes tidak bayar hutang). Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai semua suspek agar menghubungi balai polis berdekatan.

Pejabat Daerah Kuala Nerus Buka 70 Peratus Peluang Kerja Baru

Pembukaan daerah kelapan, Kuala Nerus dijangka akan membuka 70 peratus peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan bagi mengisi pelbagai jawatan di bawah perkhidmatan awam di pusat pentadbiran daerah baru itu.

Sementara 30 peratus lagi jawatan akan diisi menerusi penempatan di kalangan kakitangan Pejabat Daerah Kuala Terengganu .

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail berkata kewujudan daerah baru itu pastinya memerlukan sekurang-kurangnya 70 peratus kakitangan baru bagi melancarkan operasi dan pengurusan pusat pentadbiran itu nanti.

Terowong Pulau Kambing Siap Disember


Pembinaan terowong bernilai RM2.6 juta yang menghubungkan Pulau Kambing ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Bukit Kecil di Kuala Terengganu, dijangka siap menjelang pertengahan Disember ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu Shafii Mohamad berkata pembinaan projek yang bermula sejak 12 Mac lepas kini sudah siap kira-kira 70 peratus.

 "Pembinaan terowong ini bertujuan untuk memudahkan dan menjimatkan masa orang ramai serta menjamin keselamatan pelajar sekolah yang sebelum ini terpaksa melalui jalan sesak serta jauh untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah.

Nenek Kejar 2 Lelaki, Geram Ditipu Sindiket Gores Dan Menang

“Sejurus menyedari ditipu, mak cik nekad mencari dua lelaki itu untuk mendapatkan semula RM8,000 yang merupakan wang simpanan hasil titik peluh mak cik berniaga selama ini.

 “Sebab itulah tadi (semalam), bila makcik nampak saja kelibat dia, terus makcik mengejarnya sebelum mendapatkan bantuan orang ramai bagi menangkapnya," demikian luahan nenek kepada 30 cucu ini,

Aminah Yusof, 69, yang merupakan salah seorang mangsa tipu oleh satu sindiket peraduan gores dan menang.

JPJ Terengganu Lancar Ops Statik Sempena Aidiladha

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengadakan Ops Statik di lima kawasan 'panas' bermula hari ini sehingga Ahad, sempena sambutan Aidiladha.

Penolong Pengarah Penguat kuasa JPJ Terengganu Hashim Borhan berkata, kawasan terbabit ialah Km 48 Jalan Kuala Terengganu-Bandar Pemaisuri, Km 75 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, Km 69 Jalan Kuala Terengganu-Tanjung Jara, KM 126 Jalan Kuala Terengganu-Kijal dan Km 26 Jalan Kuala Terengganu-Wakaf Tapai.

600 Nelayan Kuala Terengganu Selatan Terima Elaun

Sebahagian daripada 600 nelayan yang menerima bayaran elaun sara hidup di Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.
Seramai 600 nelayan dari kawasan Kuala Terengganu Selatan (KTS) menerima elaun sara hidup bernilai RM200 seorang bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Mohd. Saffe Mohd. berkata, sumbangan elaun itu melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM120,000 yang disumbangkan kerajaan melalui program Pemberian Elaun Sara Hidup Nelayan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

Tasik Kenyir Terima Hampir 269,700 Pelancong 8 Bulan Pertama 2012

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Santuari Kelah di Tasik Kenyir...
Tasik Kenyir menerima kunjungan 269,863 pelancong dalam lapan bulan pertama tahun ini berbanding 165,905 dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata angka tersebut diperolehi melalui laporan beberapa hotel di sekitar tasik tersebut.

Hujan Diramal Di Beberapa Negeri Semasa Aidiladha Hari Ini

Hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa buah negeri semasa sambutan Aidiladha Jumaat ini, menurut Jabatan Meteorologi.

 Jabatan itu dalam portal rasmi menyebut, Sarawak akan mengalami ribut petir di satu dua buah kawasan di sebelah pagi dan petang sementara malam dijangka hujan.

Pelumba TSG Dua Kali Naik Podium Pada Jelajah Hainan 2012


Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) memulakan musim baru Jelajah UCI Asia 2012/2013 dengan cemerlang apabila menaiki podium pada dua peringkat Jelajah Hainan di Wengchang, China.


Mohd Saufi Mat Senan muncul juara pada peringkat kedua perlumbaan sejauh 145.6km dari Wanning-Wenchang Ahad lepas manakala Harrif Salleh muncul naib juara peringkat ketiga sejauh 194km dari Wengchang-Haikou pada Isnin lepas.

Peringkat pertama sejauh 112.7km dari Sanya-Lingshui-Xinglong dimenangi oleh pelumba Russia Leonid Krasnov.

Jabatan Penerangan Jelajah Terengganu Beri Maklumat Belanjawan 2013

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menjelajah semua daerah di negeri ini untuk bertemu dengan kumpulan sasar sempena Program Penerangan Bajet 2013 bermula Oktober hingga Disember ini.

Penolong Pengarah JPNT, Mohd Iskandar Jaafar pada Khamis berkata pihaknya bertindak sebagai penyelaras kepada program penerangan belanjawan yang memfokuskan kepada kumpulan sasar belia, petani, nelayan dan golongan usahawan.

Ekspedisi Berakit Ketengah 2 Hingga 4 Nov Ini

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan menganjurkan Ekspedisi Berakit 1Malaysia 1Ketengah di Sungai Dungun pada 2 hingga 4 Nov.

Pengurus Besar Ketengah Wan Amin Wan Daud berkata ekpedisi sejauh 35 kilometer itu akan bermula di Kampung Pasir Raja hingga ke Kampung Jerangau, Dungun.

Thursday, October 25, 2012

Pemain Hoki Kelahiran Terengganu Diajak Sertai Pasukan Negeri


Pemain yang berasal dari Terengganu yang kini bermain bersama pasukan lain dalam Liga Hoki Kebangsaan serta pasukan kebangsaan diajak menyertai pasukan negeri ini pada kejohanan Liga Hoki Kebangsaan musim depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata terdapat ramai anak tempatan yang kini mewakili pasukan ternama dalam Liga Hoki Kebangsaan dan mereka boleh membantu pasukan Terengganu yang buat pertama kali akan menyertai kejohanan itu.

Ahmad Said berkata, mulai tahun depan Terengganu akan mewujudkan pasukan sendiri yang diurus secara profesional dan akan menyertai Liga Hoki Kebangsaan yang sebelum ini hanya disertai oleh Kelab-kelab dari agensi kerajaan dan swasta.

“Usaha ini adalah untuk memastikan bakat-bakat pemain tidak terpendam begitu sahaja, kerana rugi jika mereka tidak menyertai apa-apa pertandingan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Sehubungan itu, pemain akan didedahkan dengan menyertai pelbagai kejohanan dan perlawanan persahabatan untuk menambah stamina mereka.

“Setakat ini, terdapat lima orang atlet dari negeri ini yang mewakili negara dan berharap setelah kita mempunyai pasukan nanti lebih ramai muncul pemain yang boleh bermain dengan pasukan negara,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya meminta Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid supaya berurusan secara terperinci dengan pihak hoki kebangsaan untuk mengetahui syarat-syarat penyertaan Liga Hoki Kebangsaan bagi memastikan Terengganu dapat menyertai liga itu kelak.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada semua pemain dan pengurusan kerana telah mengharumkan nama negeri dalam acara hoki di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif kepada pemain dan pengurus pasukan hoki Terengganu yang julung-julung kali memenangi Kejohanan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 malam Isnin lalu.

Pemain dan pegawai Persatuan Hoki Negeri Terengganu menerima RM3,000 seorang di atas kejayaan itu yang menurut Ahmad jumlah insentif akan ditambah sekiranya menang lagi di musim depan.

Cemburu Buta - Dua Lelaki Tetak Guru Lebih 10 Kali


Seorang guru pendidikan khas sebuah sekolah rendah di Besut menjadi mangsa cemburu buta pihak tertentu apabila dia cedera parah selepas ditetak lebih 10 kali dengan parang panjang oleh dua lelaki yang menyangka mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang kelmarin.

Difahamkan, kejadian pukul 6.30 petang di depan bangunan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Mizan, Kampung Raja, Besut, itu berlaku apabila guru lelaki yang menjalankan perniagaan sampingan menjual barangan kosmetik datang ke situ selepas dihubungi oleh seorang wanita.

Fowler Antara Calon Dikatakan Berminat Melatih T-Team


Andai tiada sebarang masalah, bekas bintang Liverpool, Robbie Fowler bakal mengendali pasukan berstatus kelab, T-Team.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, Fowler harus menjalani beberapa ujian sebelum dilantik sebagai pengurus merangkap ketua jurulatih T-Team musim depan. Menurut Ahmad, Fowler, 37, telah menyatakan kesanggupan untuk menggalas tanggungjawab tersebut, namun pihaknya masih belum mahu membuat sebarang keputusan.

Hoki - Skuad Terengganu Terima Ganjaran RM72,000


Atlet hoki Terengganu, pengurus dan pegawai menerima ‘durian runtuh’ apabila Kerajaan Negeri memberikan ganjaran berupa wang tunai berjumlah RM72,000 selepas kejayaan melakar kejuaraan di pentas final pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan Isnin lalu.

 Insentif itu disampaikan sendiri, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada 24 penerima, termasuk pegawai, jurulatih dan atlet, yang mana setiap mereka menerima sebanyak RM3,000. Ahmad berkata, insentif diberikan itu sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan hoki, sekali gus mengharumkan nama Terengganu.

Beri Tempoh Dua Minggu Selesai Isu Butler

Che Mat Jusoh tamatkan kontrak Butler...mahu lihat surat rasmi FAM.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat menyelesaikan kemelut yang melanda antara badan induk bola sepak negeri itu dengan jurulatih, Peter Butler dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menasihatkan supaya PBSNT dapat mengambil jalan penyelesaian terbaik dalam usaha menangani masalah yang berlaku antara mereka.

Tiga Lot Kedai Pakaian Terbakar

Tiga lot kedai menjual pakaian yang terletak di tingkat satu Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku tengah malam semalam.

Kebakaran kira-kira pukul 12.35 tengah malam itu disedari seorang pengawal keselamatan yang terhidu bau asap ketika berada di tingkat bawah dan bergegas naik untuk membuat pemeriksaan.


Wednesday, October 24, 2012

Usaha Lahirkan Ulul Albab Perlu Diteruskan - Sultan Mizan

Sultan Mizan berkenan menyampaikan sijil kepada seorang peserta pada majlis khatan program pintar Al-Quran 2012 kanak-kanak tadika Negeri Terengganu di Stadium tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru semua pihak terutama ibu bapa dan guru untuk terus mengasuh kanak-kanak menghayati kehidupan berlandaskan Al-Quran seterusnya melahirkan generasi Ulul Albab.

Baginda turut menasihatkan ibu bapa supaya jangan mengabaikan pendidikan Al-Quran terhadap anak-anak dengan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.


"Beta percaya dan yakin, penekanan budaya cakna dan celik Al-Quran ini akan dapat melahirkan ummah berketrampilan dan mempunyai jati diri yang tinggi, namun usaha ini memerlukan komitmen banyak pihak," titah baginda ketika merasmikan Majlis Khatam Al-Quran di Stadium Tertutup Gong Badak, di Kuala Terengganu, semalam. Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Sultan Mizan berharap usaha mendidik golongan itu dengan Al-Quran akan berterusan dengan mengadakan perubahan dan penambahbaikan dari masa ke semasa demi memartabatkan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

"Kita semua berbangga dan kagum apabila seramai 225 murid tadika YIT berjaya menghafaz surah Yaasin beserta terjemahan dengan begitu baik sekali," titah Baginda.

Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Seramai, 9,639 kanak-kanak tadika berusia 5 dan 6 tahun menyertai program yang diperkenalkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) sejak 2006.

Seramai 9,639 murid pra-sekolah dan tadika dari empat agensi kerajaan menyertai majlis itu, dan daripada jumlah itu 4,365 adalah murid pra-sekolah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, 2,862 murid tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), 2,127 murid tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan 285 dari tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Berdasarkan rekod, jumlah penyertaan kanak-kanak terhadap program itu semakin meningkat pada setiap tahun berikutan mendapat sokongan dan komiten padu daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin setempat.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu, hanya 937 kanak-kanak dari tadika YIT yang menyertainya.

“Setahun kemudian iaitu 2007, tadika JPNT dan Kemas bersetuju bersama-sama tadika YIT menyertai program itu dengan jumlah penyertaan seramai 2,010 kanak-kanak

“Pada 2008 pula, tadika JPIN menyatakan persetujuan ingin bersama-sama tiga tadika lain dengan menjadikan jumlah 2,660 kanak-kanak kesemuanya,” katanya.

Menurutnya, apa yang membanggakan jumlah itu terus meningkatkan dengan penglibatan keempat –empat tadika iatu seramai 4,622 kanak-kanak pada 2009; manakala 6,246 kanak-kanak (2010) dan pada tahun lalu pula, seramai 7,930 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran.

“Bermula awal persekolahan lagi, mereka mula mengaji dengan bantuan guru tadika masing-masing bagi menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas sebagai seorang Islam,” katanya.

“Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu mahir membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah dan menengah,” katanya.



Nik Aziz Mungkir Janji Jika Bertanding Lagi PRU 13


Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang sebagai mungkir janji.

Beliau berkata rakyat seharusnya tidak memilih pemimpin yang mempunyai sifat tersebut dalam pemerintahan negara.

"Saya fikir rakyat Malaysia patut ambil perhatian kepada orang yang pernah berjanji selepas itu mungkir janji.

Pemain Hoki Terengganu Akan Diberi Imbuhan Hari Ini


Kerajaan Terengganu akan memberi imbuhan ke atas kejayaan pasukan hoki negeri itu yang muncul juara Piala Tun Razak setelah mengalahkan Pahang 3-0 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan akan memberi imbuhan kepada pasukan itu yang mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama dan berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.

"Kita akan memberi penghargaan sebagai pengiktirafan di atas kejayaan manis pasukan itu.

Suami Tangkap Isteri Berkhalwat Di Rumah Sendiri

Isteri  Salman (kiri) ditahan bersama kekasihnya dan seorang wanita lain (kanan) di sebuah pangsapuri di Melaka pada Ahad lalu.
Suami keluar mencari rezeki, isteri pula bermain cinta dengan lelaki lain.

Itulah nasib seorang kontraktor yang terkedu apabila mendapati isterinya menjalin hubungan sulit ketika dia bekerja.

Lebih mengecewakan, suami tersebut berjaya menghidu kecurangan isterinya apabila terdengar wanita itu bergurau senda dengan 'kekasih gelapnya' di pangsapuri mereka di Ayer Keroh , Melaka Ahad lalu.

Taman Bencah Setiu Sesuai Dijadikan Destinasi Eko-pelancongan

Tanah Bencah Setiu di Terengganu dilihat berpotensi dijadikan destinasi eko-pelancongan yang mampu menjana ekonomi penduduk setempat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia Datuk Dr Dionysius S.K.Sharma.

Beliau berkata pihaknya berpendapat satu strategi eko-pelancongan harus dirancang untuk kawasan itu yang mempunyai pelbagai jenis flora dan fauna termasuk tuntung laut.

Sharma menggesa kerajaan negeri mewartakan kawasan Tanah Bencah Setiu sebagai 'taman negeri'.

Biasiswa Untuk Pemenang Emas SUKIPT 2012

Kontijen UiTM kini mendahului kutipan pingat dengan 17 emas, tiga perak dan 10 gangsa.
Pemenang pingat emas Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 bakal ditawarkan biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Shaharudin Ismail berkata, bagi pelajar tahun akhir yang meraih emas pada temasya berkenaan pula, mereka tidak akan ditawarkan biasiswa, sebaliknya diberikan insentif lain. "Bagi pelajar separuh masa, kita merancang memberikan skim khas kepada mereka.

Kita harap tidak akan ada keciciran terutama pelajar Kolej Komuniti. "Mereka juga berhak mendapat biasiswa menyambung pengajian di politeknik," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat SUKIPT 2012 di Hotel Olimpik, Kuala Lumpur semalam.

UMT Cari Formula Perbaiki , Sasar 80 Peratus Graduannya Dapat Kerja

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyasarkan 80 peratus daripada graduannya akan mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian di UMT menjelang tahun 2020, berbanding hanya 65 peratus ketika ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Profesor Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata pihaknya masih belum berpuas hati dengan jumlah itu dan mahu melakukan beberapa penambahbaikan supaya lebih ramai graduan UMT laris di pasaran kerja.

"Adakah ia

Najib Sumbang Kuih, Kad Raya Aidiladha Kepada Jemaah Haji Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan 31,000 bungkusan sumbangan kuih raya dan kad raya Aidiladha kepada Lembaga Tabung Haji untuk diagihkan kepada jemaah haji Malaysia yang sedang menunaikan haji di Makkah.

Najib menyampaikan sumbangan untuk jemaah haji kepada Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji Datuk Kamarudin Mat Ali di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam.

MB Terengganu Mahu Pegawai Kerajaan Penuhi Aspirasi Rakyat


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu penjawat awam peringkat negeri memastikan tanggungjawab yang dilaksana mereka memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, sebagai barisan hadapan kerajaan negeri, mereka harus memastikan segala pentadbiran kerajaan terutama pelaksanaan dasar berjalan lancar.

17 Peserta ETA DiTempatkan Di Terengganu

Tun Ahmad Faisal dan Pengarah Pelajaran Negeri, Zakaria Husin beramah mesra dengan guru-guru English Teaching Asistant di majlis perpisahan guru-guru ETA di Pulau Duyong
Seramai 17 orang daripada 50 peserta program Fulbright English Teaching Assistants (ETAs) dari Amerika Syarikat, ditempatkan di Terengganu sejak awal Januari lalu.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata, sepanjang sepuluh bulan berada di negeri ini, seramai 14 orang pembantu guru Bahasa Inggeris (ETA) ditempatkan di sekolah menengah manakala tiga orang lagi ditempatkan di sekolah rendah.

Tuesday, October 23, 2012

Juara Piala Tun Razak 2012 - Terengganu Ke Arah Kuasa Baru Hoki Negara

Pasukan Terengganu meraikan kejayaan mereka dengan menjuarai Divesyen 1 kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Kuantan, Pahang, malam Isnin.
Selepas penantian setengah abad, Terengganu akhirnya muncul juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 apabila menang bergaya dengan menumpaskan tuan rumah Pahang 3-0 sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Kemenangan ini dikecapi selepas menjadi juara hoki lelaki pada Sukan Sukma ke 15 juga di Pahang.

Penyokong dan pemain hoki Terengganu menjulang Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Zawawi Wan Ismail selepas menguasai emas kategori Lelaki dan Wanita Sukma ke-15.

Apakah selepas ini Terengganu akan melangkah panjang untuk menjadi kuasa baru hoki lelaki negara?
di Pahang?


Pada 26 September lalu,  Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Terengganu akan membentuk pasukan negeri yang kuat  dibarisi pemain muda bagi persiapan menyertai Liga Hoki Kebangsaan, mulai tahun depan.

Skuad hoki tersebut akan dikendalikan Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) dengan memperoleh dana daripada kerajaan negeri. PHNT bertanggungjawab mengatur segala persiapan skuad hoki tersebut termasuk aspek mengumpulkan pemain berbakat dan mencari jurulatih berkaliber.

"Kita akan kumpul pemain-pemain hoki Terengganu mulai sekarang untuk menyertai Liga Hoki Kebangsaan tahun depan. Bagi mencapai hasrat ini, kita akan mula daftarkan pasukan tahun ini juga," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.


Ahmad Said berkata, sudah tiba masanya Terengganu mempunyai pasukan hoki sendiri memandangkan ia mempunyai ramai pemain berbakat yang berjaya mencipta nama dalam kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

Namun, pencapaian semalam membuktikan sebelum pun pasukan hoki negeri ditubuhkan secara rasmi,  Terengganu sudah melakar kejayaan yang sangat membanggakan.

Malam semalam, Terengganu bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit pertama hasil jaringan padang Mohd Firhan Asha'ri.

Pahang yang mendapat tiga pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama pula gagal memanfaatkan peluang itu selepas penjaga gol lawan Muhammad Hafizuddin Othman berjaya menepis kesemua pukulan itu.

Separuh masa kedua menyaksikan asakan bertubi-tubi oleh kedua-dua pasukan sebelum Terengganu berjaya menyumbat gol kedua menerusi jaringan cantik Faizal Saari pada minit ke-41 hasil hantaran silang Mohd Fitri Shaari di sudut kanan pintu gol.

Pasukan Terengganu terus meninggalkan Pahang apabila jaringan Mohd Fitri Saari pada minit ke-50 gagal ditepis penjaga gol Khairul Nizam Ibrahim.

Juara tahun lalu, Kuala Lumpur hanya mampu menduduki tempat ketiga apabila membenam Negeri Sembilan 8-4. Gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Chua Boon Huat (minit ke-3, 8 dan 20), Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-34, 40, 44 dan 56) dan Mohd Shamim Mohd Yusoff minit ke-57.

Negeri Sembilan pula mendapat gol hasil jaringan Dangerous Lee (minit ke-35, 49 dan 52) dan Muhd Ikhwan Ishak pada minit ke-70.

Sementara itu, pada perlawanan akhir Divisyen 2 menyaksikan Melaka muncul juara selepas menang tipis ke atas Selangor dengan jaringan 5-4. Gol Melaka dijaringkan Mohd Hafizuddin Md Desa (minit ke-13 dan 43), Amirullah Zainol (minit ke-23, 54 dan 63), manakala gol Selangor pula dijaringkan Muhammad Noor Faeez Ibrahim (minit ke-2), Muhammad Amirrullah Abdul Aziz (minit ke-10) dan Mohd Redza Maadun (minit ke-30).

Sabtu lalu, pada perlawanan separuh akhir, dua negeri Pantai Timur itu layak ke perlawanan akhir Divisyen 1, selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing apabila tuan rumah, Pahang berjaya menewaskan Negeri Sembilan 3-2 manakala Terengganu menewaskan juara bertahan, Kuala Lumpur 2-1.

Perlawanan Pahang dengan Negeri Sembilan menyaksikan, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pembukaan oleh Negeri Sembilan hasil pukulan penalti yang disempurnakan oleh S. Kuhan pada minit ke-11.

Namun, Pahang berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-25 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Hairul Nizam Abdul Rani.

Asakan bertali arus barisan pemain Pahang terus berjaya membuahkan hasil dengan jaringan padang oleh Mohd Sybrie Shamsuddin minit ke-52 sebelum Hairul Nizam sekali lagi membantu melengkapkan jaringan ketiga Pahang pada minit ke-65 hasil jaringan padang.

Kemudian Negeri Sembilan cuba mengejar dengan menambah jaringan hasil daripada pukulan sudut penalti oleh S. Kuhan pada minit ke-70 namun tiupan wisel penamat menghentikan saingan yang berkesudahan Pahang 3 Negeri Sembilan 2.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Terengganu pula mengejutkan juara bertahan Kuala Lumpur dengan jaringan pembukaan pada minit ke-30 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Faizal Saari.

Tersentak dengan jaringan berkenaan pemain Kuala Lumpur kembali bersemangat setelah berjaya menghasilkan gol penyamaan melalui pukulan sudut penalti oleh Mohd Yazid Yusof minit ke-50.

Bagaimanapun kelincahan pemain Terengganu membantutkan hasrat Kuala Lumpur untuk mempertahankan kejuaraan selepas gawang Kuala Lumpur berjaya dibolosi dengan jaringan penyudah oleh Mohd Fitri Saari pada minit ke-60.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan kelayakan tempat kelima hingga lapan Divisyen 1 pula menyaksikan Perak berjaya menewaskan Pulau Pinang 5-2 manakala Johor menewaskan ATM 8-1.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut berangkat untuk menyaksikan pertandingan itu berkenan menyampaikan piala dan medal kepada pemenang-pemenang tersebut.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Rozi Mamat turut hadir bagi memberi semangat dan sokongan moral kepada pemain.

Kerajaan Negeri Aktifkan Semula Tanaman Padi Di Marang

Gambar Hiasan...Menteri Besar menggunakan jentera ketika menyertai penduduk menuai padi di Setiu tahun lalu.
Kerajaan negeri Terengganu akan mengaktifkan semula tanaman padi di daerah ini dalam usaha membantu ekonomi petani setempat dengan memperkenal penanaman padi wangi varieti ketiga menjelang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris berkata mulai tahun ini, kerajaan negeri memulakan program menanam padi wangi varieti ketiga (MRQ 76) seluas 20 hektar melibatkan 12 penduduk kampung buat masa ini.

PLUS Wujud Bengkel Bergerak Elak Pengguna Ditipu Trak Penunda Haram

Konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mewujudkan perkhidmatan Bengkel Bergerak (WOW) bagi memberi perkhidmatan lebih efisien dalam membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi kerosakan kenderaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, inisiatif itu yang merupakan khidmat sokongan kepada perkhidmatan PLUSRonda sedia ada, juga bertujuan mengelak pengguna lebuh raya daripada menjadi mangsa penipuan trak penunda haram dan bengkel tidak bertanggungjawab yang mengenakan caj melampau.

Penjawat Awam Diminta Beri Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, meminta penjawat awam supaya peka dengan tuntutan semasa kerajaan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
 
Katanya, mereka perlu faham bahawa segala perancangan yang dilakukan kerajaan adalah selaras dengan kehendak pucuk pimpinan.

“Komitmen semua penjawat awam amatlah diperlukan oleh kerajaan di dalam melaksanakan dasar yang dibuat kerajaan.

“Pelaksanaan dasar yang berkesan hendaklah diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Makan dan Penyampaian Hadiah sempena Program Peningkatan Kerjaya & Sukan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam semalam.