Thursday, November 14, 2013

Tuhan Harun Turut Menipu Artis, Selain Dalam Bentuk Pelaburan

'Tuhan Harun'....waran tangkap terhadapnya.
'Tuhan Harun' bukan sahaja melakukan penipuan dalam bentuk pelaburan sebaliknmya berjaya memperdayakan beberapa artis ternama apabila tidak membayar upah mereka selepas mengadakan persembahan dalam sebuah konsert di Shah Aalam pada 2009.

Antara artis yang diperdayanya dalam konsert itu ialah Amy (Search), Mawi, Yantzen, Datuk Jamal Abdillah dan juga Datuk Ramli Sarip.

Rahmat...lesap RM6,000
“Saya percaya ramai lagi artis yang pernah ditipu oleh Tuhan Harun ini tetapi mereka tidak mahu bersuara. Saya harap tindakan tegas dapat dilakukan kepada dia dan pengikut-pengikutnya,” demikian ditegaskan oleh Rahmat Tohak, 44, yang popular dengan lagu Bayangan Gurauan.

Rahmat merujuk kepada Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani di Stadium Malawati, Shah Alam pada April 2009.

Vokalis kumpulan Mega itu  merupakan antara artis yang pernah diperdaya oleh individu yang dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’ melalui satu skim pelaburan beberapa tahun lalu.

Rahmat mendedahkan, individu berkenan iaitu Harun Mat Saad, 47, memintanya melabur sebanyak RM6,000 sebagai modal permulaan untuk satu skim pelaburan selain menjanjikan akan mendapat keuntungan sebanyak RM30,000 dalam masa yang singkat.

Suspek...
“Selepas menunggu sehingga waktu yang dijanjikan, wang RM30,000 itu tidak saya terima manakala individu berkenaan pula melarikan diri. Akhirnya saya tahu yang saya sudah diperdaya,” katanya kepada mStar Online. 

Semalam, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan  mengeluarkan waran tangkap terhadap Harun Mat Saat, atau dikenali sebagai 'Tuhan Harun' selepas ketua kumpulan ajaran sesat itu gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kesnya, Selasa.

Harun, 47, yang menghadapi 10 pertuduhan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, juga gagal hadir pada sebutan pertama kesnya, 20 Ogos lepas.

Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie mengeluarkan waran itu selepas permohonan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie negeri Salehuddin Ab Manaf. Pada 24 April lepas, Harun didakwa atas satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan.

Tertuduh yang tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Shariffuddin Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai waran tangkap itu dan berkata polis akan membantu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesan Harun dan para pengikutnya yang kini dipercayai sedang bersembunyi.

Kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun kini diburu bagi membantu pihak polis dalam siasatan kes bunuh Ketua Penguatkuasa Agama JAIP Ahmad Raffli Abdul Malik, 49, Ahad lepas.

Ahmad Raffli atau dikenali sebagai Ustaz Raffli, mati selepas terkena tembakan di dada kanan dan kerongkong yang dilepaskan seorang daripada tiga suspek yang tidak dikenali.

Shariffuddin berkata setakat ini hanya dua daripada 31 pengikut kumpulan Tuhan Harun yang telah menyerah diri dan kenyataan mereka telah direkodkan.

"Saya harap 29 lagi pengikut kumpulan ini akan turut serah diri seperti yang diminta oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua anggota kumpulan yang menyerah diri itu gagal mengecam suspek pertama kes tembak berkenaan.

Dikenali sebagai seorang penguatkuasa agama yang tegas, Raffli dipercayai mengendalikan dua kes jenayah syariah melibatkan kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun dan gerakan Syiah di Pahang.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa pengikut Tuhan Harun agar menyerah diri kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abd Malek, Ahad lalu.

Harun, yang menggelar dirinya sebagai Tuhan Harun ketika ini berada dalam tahanan polis selepas gagal dalam ikat jamin melibatkan pelbagai kes penipuan selain menubuhkan kumpulan ajaran sesat.

Dia dipercayai berjaya mengumpul aset melalui urus niaga palsu yang dianggarkan bernilai RM200 juta pada tahun 2008.


Norfarhan TInggalkan Kelantan ke T-Team, Tidak Jadi Ke JDT


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)menawarkan gaji paling tinggi yang pernah ditawarkan kepada mana-mana pemain tempatan dalam pasukan itu dalam usaha KAFA mengekalkan pemain tengah, Mohd Norfarhan Muhammad, daripada berhijrah ke pasukan lain.

"Namun beliau memilih untuk ke Terengganu (T-Team)...kita berpuas hati dengan segala usaha yang telah dilakukan dan menghormati pilihannya," demikian ditegaskan oleh Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa dalam satu entri Facebooknya.

Norfarhan sebelum ini dikhabarkan memilih untuk menyarung jersi bersama kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), namun memutuskan untuk beraksi bersama kelab dari negeri kelahirannya, T-Team pada saat-akhir.

Hak Kepada Suami Berpoligami Tidak Mampu Kekang Nikah Di Sempadan


Undang-undang syariah negara yang memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri masih tidak mampu mengekang trend pernikahan di sempadan negara.

Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Muhammad berkata, walaupun enakmen yang digubal itu bagi menjamin kepada kesejahteraan dan keamanan rumah tangga, namun masih ramai mengambil jalan mudah dan ingkar pada peraturan.

Menurutnya, kebanyakan mereka mengambil keputusan bernikah di negara lain kerana tidak mahu mematuhi undang-undang negara ini.

Pemilihan PAS - Kempen Burukkan Calon Tidak Berlaku di Terengganu

Tiada isu burukkan calon berlaku di negeri ini, kata Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Zakaria Dagang. 

Mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi berhubung aduan mengenai isu mempromosi calon dan menjatuhkan calon lain, Zakaria menyifatkannya sebagai ‘perkara yang tidak pernah berlaku dalam Pas’.

Katanya, sudah menjadi amalan dalam Pas sebelum ini yang memperlihatkan sikap merendah diri pemimpin parti itu untuk tidak berebut jawatan, apatah lagi menjatuhkan sesama sendiri.

Lagi Mangsa Lata Tembakah Selepas 3 Maut Bulan Lalu

Selepas tiga orang maut sekali gus bulan lalu di Hutan Lipur Lata Tembakah dekat Bukit Payong, di Hulu Besut akibat lemas, terbaru seorang lagi menjadi mangsa di kawasan air terjun sama petang kelmarin.

Kali ini membabitkan seorang anggota TUDM, Laskar Udara, Mohamad Farid Kamaruddin, 23, yang bertugas di Bahagian Trafik Udara Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) dekat Kuala Besut.

Sebelum kejadian Mohamad Farid yang masih bujang bersama empat rakan setugasnya ingin meluangkan masa cuti mereka dengan beriadah di kawasan air terjun tersebut.

Syarikat Kawalan Keselamatan Akan Diwajib Laksana Pengesahan MyKad Dengan JPN


Semua syarikat kawalan keselamatan akan diwajibkan melaksana pengesahan maklumat diri MyKad untuk setiap pengawal keselamatan yang mahu diambil bekerja bagi mengelak penipuan identiti oleh warga asing. 

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said berkata pelaksanaan itu sedang diusahakan dengan mengumpul maklumat lengkap senarai kesemua syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu.

"Kita juga sedang menyediakan jadual bagi penyemakan di JPN kerana dijangka ramai yang akan hadir untuk membuat pengesahan.

Polis Sedia Timbang Permohonan Senjata Api Untuk Penguat Kuasa Jabatan Agama

Polis sedia menimbang sebarang permohonan pembekalan senjata api kepada anggota penguat kuasa termasuk jabatan agama yang bertugas di bahagian kritikal atau berisiko.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Polis DiRaja Malaysia Datuk Ayub Yaakob berkata jika ada keperluan, polis tidak akan menolak permohonan mereka tetapi ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

Permohonan itu perlu dibuat kepada Ketua Polis Daerah sebelum dibawa kepada Ketua Polis Negeri dan dikemukakan untuk kelulusan oleh Ketua Polis Negara.

Songket Terengganu Punyai Kelas Tersendiri - Kraftangan Malaysia


Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berpendapat,songket Terengganu berada dalam kelasnya yang tersendiri

Berikutan itu usahawanindustri songket di negeri ini yang bimbang dengan lambakan songket tiruan dari luar seperti India, Indonesia dan Pakistan, tidak perlu bimbang.

"Songket Terengganu ada peminatnya tersendiri kerana keunikan dan kehalusan seninya yang menyebabkan orang sanggup membayar harga yang mahal untuk memilikinya.

"Bagi saya, industri ini tidak akan terjejas dengan songket tiruan kerana ia mempunyai segmen pasaran yang berbeza," kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Kamil Mohd Ali.

Misi Bantuan Kemanusiaan Taufan Haiyan KP1M Tiba Di Tacloban


Sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) termasuk doktor dan petugas media Malaysia selamat tiba di bandar Tacloban pada pukul 6.30 petang (waktu tempatan) dalam menyampai misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa taufan Haiyan.

Penerbangan menggunakan dua pesawat Charlie C-130 yang membawa 30 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan mendarat di Lapangan Terbang Tacloban yang teruk musnah dan terjejas akibat taufan itu.

Keadaan pada waktu ketibaan adalah gelap kerana difahamkan bekalan elektrik terputus sejak bandar ini dilanda bencana alam itu Jumaat lepas.


Azraai Khor Ikat Kontrak Dua Tahun Bersama T-Team

Fabian Flor...pernah bersama Terengganu sebelum ini.
Bekas jurulatih Perak, Azraai Khor Abdullah telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan T-Team bagi menghadapi kempen Liga Super musim depan.

Azraai Khor, 61, telah menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizam Mohd Zain berkata majlis menandatangani kontrak tersebut berlangsung di hadapan Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di pejabat persatuan itu di Kuala Terengganu, semalam.

3 Lelaki Bersenjatakan Pisau, Parang Samun Kedai Serbaneka Di Kemaman

Sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging dan parang menyamun sebuah kedai serbaneka di Geliga di Kemaman awal hari semalam.

Ketiga-tiga lelaki bertopeng itu memasuki kedai berkenaan pada pukul 3.45 pagi ketika dua pekerja, seorang lelaki dan seorang wanita, berada berhampiran kaunter kedai itu.

"Suspek mengacukan parang dan pisau pada leher mangsa dan meminta pekerja kedai itu memasukkan wang lebih RM2,000 dan rokok ke dalam beg sandang yang dibawa mereka,” kata Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam.

Sukan SEA 2013 - Anuar Yakin Basikal Mampu Sumbang Pingat Emas

Pakar pecut negara, Anuar Manan masih tetap optimis terhadap kemampuan skuad berbasikal lebuh raya negara untuk meraih pingat emas sekalipun dia tidak berada dalam pasukan kebangsaan pada temasya Sukan SEA 2013 Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, skuad kebangsaan yang akan beraksi pada temasya dwi tahunan itu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk merangkul emas memandangkan standard yang dimiliki pelumba Malaysia jauh lebih berkualiti berbanding pencabar di peringkat Asia Tenggara.

"Cabaran mungkin hadir daripada pasukan Indonesia dan Thailand, tetapi pelumba mereka tidak sebagus kita. Tahap pelumba mereka jauh lebih rendah berbanding atlet berbasikal Malaysia.

Sukan Ragbi: Terengganu Guna Tiga Pemain Import Untuk Kejohanan Piala Agong

Terengganu akan menggunakan khidmat tiga pemain import dalam memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Piala Agong, bermula Sabtu ini.

Setiausaha Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) Wan Mohd Termizi Wan Jusoh berkata dua daripada pemain itu berasal dari Fiji manakala seorang lagi dari Papua New Guinea.

"Tujuan kita menggunakan khidmat pemain import ini membuktikan bahawa kita benar-benar bersedia menghadapi kejohanan ini setelah tidak menyertai tahun lepas," katanya semalam.

Bomba Sukarela Juga Dilindungi Insurans - Ketua Pengarah

Perlindungan insurans berkelompok yang diperkenalkan untuk badan beruniform sejak 1 Jun lalu turut meliputi pasukan bomba sukarela, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Katanya skim itu memberi perlindungan sehingga RM18,000 kepada anggota bomba di negara ini termasuk anggota sukarela.

Pada masa ini terdapat 26,000 anggota bomba termasuk kira-kira 13,000 anggota sukarela, katanya dalam sidang media selepas penganugerahan pingat kebesaran jabatan dan penyampaian sijil perkhidmatan terpuji jabatan itu di Kuala Terengganu, kelmarin.

16 Pelumba T'ganu Sertai Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan

Pelumba sensasi, Mohd Azri Ahmad akan mengetuai 16 pelumba Terengganu ke kejohanan lumba basikal Grand Prix Kebangsaan siri keempat di Negeri Sembilan mulai 15 hingga 17 Nov ini.

Jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata sasaran Terengganu untuk mengekalkan kedudukan ranking terbaik dalam kategori lebuh raya lelaki dan ujian masa lelaki.

Katanya, Mohd Azri sekarang menduduki tempat kedua terbaik kategori lebuh raya dengan mengumpul 28 mata manakala Mohd Badrol Hakimi Hamid di tempat pertama kategori junior ujian masa (50 mata). 

Festival Teater Terengganu Selama Seminggu Mulai 17 Nov


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Terengganu akan menganjurkan Festival Teater peringkat negeri Terengganu selama seminggu mulai 17 Nov di Auditorium Kompleks JKKN Terengganu di Kuala Ibai.

Timbalan Pengarah JKKN negeri Zahari Mat berkata sebanyak 12 kumpulan akan mengadakan persembahan sepanjang festival yang diadakan dalam dua kategori iaitu drama moden dan monodrama. 

Tujuh kumpulan mengadakan persembahan monodrama manakala lima lagi akan mementaskan drama moden, katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Rawatan Lanjut Di Pusat Perubatan Sime Darby Untuk Bayi Mangsa Rampasan Kereta

Bayi lelaki yang menjadi mangsa seorang remaja yang melarikan sebuah kereta di Dungun Isnin lalu dipindahkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Ara Damansara (SDMC AD) untuk rawatan lanjut. 

Muhammad Ashraf Ikhwan diterbangkan dengan pesawat khas ke pusat perubatan berkenaan di Kuala Lumpur pada pukul 2 petang Selasa.

Sebelum ini, bayi berusia sembilan bulan itu dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, lebih seminggu.

Terengganu Siap Sedia Hadapi Cabaran Kelayakan Piala Monsoon

Terengganu bersiap sedia untuk memberi cabaran dalam kejohanan kelayakan Piala Monsoon 2013 yang akan diadakan di Pulau Duyong,  bermula esok.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu Zainal Abidin Hussin berkata tujuh pasukan tempatan termasuk Terengganu akan berentap dalam kejohanan selama empat hari itu.

"Matlamat kejohanan ialah untuk memilih sebuah pasukan terbaik bagi mewakili Malaysia pada kejohanan Piala Monsoon yang akan diadakan di tempat yang sama penghujung bulan ini," katanya.

PR1MA Mungkinkan Pembeli Bayar RM400 Sebulan - Shahidan


Pembeli Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mungkin hanya akan membayar antara RM400 dan RM500 sebulan untuk sebuah rumah berharga RM200,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pinjaman bank komersial yang biasanya sekitar RM1,800 sebulan bagi membiayai pinjaman sebesar itu.

"Kalau gaji RM3,000 mana mampu nak bayar RM1,800. Ini berita gembira bila dia masuk pinjaman bersama dengan PR1MA nanti.

Suspek Utama Bunuh Pegawai AmBank Akan Didakwa Dalam Masa Terdekat

Suspek utama kes bunuh pegawai AmBank Subang Jaya yang ditahan Ahad lepas di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, dijangka didakwa dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya ketika ini masih menggumpul bukti dan mengesan individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rompakan pada 23 Okt lepas itu.

"Dia akan didakwa tidak lama lagi...ketika ini kami masih menggumpul bukti dan menggesan siapa lagi yang terlibat dalam kejadian itu," katanya dalam SMS kelmarin.

Bekas Pegawai Jabatan Hutan Ditangkap Kes Dadah

Seorang bekas pegawai di Jabatan Perhutanan negeri ini yang pernah enam kali ditangkap dan keluar masuk penjara bersabit kes dadah, ditangkap sekali lagi atas kesalahan sama kelmarin.

Suspek yang berusia 35 tahun ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini dan anggota Balai Polis Kuala Berang kira-kira pukul 10.20 malam di tepi jalan Kampung Tanjung Aur, Telemong.

Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak kini ditahan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.

Konvokesyen UiTM Terengganu Bermula Sabtu Ini

Seramai 1,997 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada istiadat Konvokesyen UiTM ke-79 di kampus Dungun  mulai Sabtu ini.

Rektor UiTM Terengganu Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata konvokesyen selama tiga hari itu dibahagikan kepada enam sidang dengan sesi pagi bermula 9 pagi manakala sesi petang bermula 2.30 petang.

"Istiadat konvokesyen itu akan dirasmikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad pada 9 pagi, Sabtu ini," katanya kepada Bernama Rabu.

Tuesday, November 12, 2013

Polis Edar Fotofit Suspek Kes Tembak Pegawai JAIP

Datuk Sharifuddin Abdul Ghani menunjukkan fotofit suspek utama kes tembak pegawai Jaip pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.
 Polis Pahang hari ini mengedarkan fotofit suspek seorang lelaki dalam kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Ahmad Raffli Ab Malik, 49, di Kuantan,  kelmarin (Ahad).
Suspek pertama...

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, lelaki berkenaan merupakan suspek pertama yang masuk ke pekarangan rumah mangsa sebelum memberi salam.

"Suspek dipercayai berpakaian hitam dan berkopiah putih, berusia lingkungan 50-an, berkulit sawo matang, rambut dan misai beruban, berjanggut nipis, berbadan sasa, berkening halus, hidung sederhana dan berbibir nipis," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, fotofit yang dihasilkan itu diyakini 70 peratus tepat berdasarkan hasil siasatan dan maklumat awal yang diperoleh berhubung tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Sharifudin berkata, suspek kedua adalah seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai yang melepaskan tembakan ke arah mangsa manakala suspek ketiga pemandu kereta Proton Wira Aeroback putih belum dikenal pasti. Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan kesemua suspek merupakan pengikut kumpulan ajaran sesat,'Tuhan Harun'.

Polis juga masih menyiasat butiran kereta yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan beberapa kenderaan lain yang didakwa berlegar-legar di kawasan kediaman mangsa sebelum kejadian," katanya.

Katanya, keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami tiga luka tembakan, iaitu di dada kanan, rusuk kanan dan perut mangsa yang menembusi belakang badan.

"Polis turut menemui tiga kelongsong peluru dan tiga anak peluru jenis WCC7.80 caliber 9mm di tempat kejadian," katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, Ahmad Raffli mati selepas ditembak seorang suspek yang menaiki kereta Proton Wira Aeroback putih di rumahnya, di Indera Mahkota 2, dekat sini.

Blog ProPembangkang Siar Berita ADUN Paka Dalam Keadaan Tenat

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang tersiar dalam laman blog bahawa beliau dikatakan berada dalam keadaan tenat akibat penyakit kanser hati di tahap paling kronik.

Satiful Bahri yang juga Adun Paka ketika dihubungi hanya tergelak ketika dimaklumkan mengenai perkara itu dan memberitahu khabar angin tersebut sudah tersebar sejak kempen PRK Dun Sungai Limau.

“Kalau saya sakit tenat, sudah tentu hendak angkat telefon pun tidak boleh. Nampaknya ada pihak yang mahu supaya berlaku PRK lagi selepas PRK Dun Sungai Limau hingga sanggup menyebarkan berita sedemikian.

55 Penjawat Awam Dikenal Pasti Terlibat Rasuah


Seramai 55 pegawai telah dikenal pasti terlibat dalam rasuah oleh jawatankuasa khas yang dibentuk untuk menyiasat salah laku penjawat awam setakat 28 Oktober lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, bilangan itu adalah hasil siasatan ke atas 24 kes yang melibatkan 11 kementerian dan agensi.

"Bagi kes yang disyaki ada unsur rasuah dan penyelewengan, sebanyak 15 kertas siasatan melibatkan projek dan perolehan di tujuh agensi telah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

"Kesemua laporan siasatan itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan kerajaan negeri yang terlibat bagi membolehkan mereka meneliti, dan mengambil tindakan syor berkenaan, termasuk surat tunjuk sebab yang perlu dikemukakan (kembali) kepada jawatankuasa siasatan dalam masa 21 hari," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Kempen Pemilihan Pas Bermula Dengan Kotor?



Kurang 24 jam selepas senarai muktamad calon pemilihan Pas bagi sesi 2013-2015 diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Asmuni Awi, sudah pun muncul kempen memburuk-burukkan calon parti itu yang dimuat naik ke dalam laman media sosial Facebook semalam.

Menurut sumber Sinar Harian Online, kempen berbaur hasutan dan cuba menjejaskan undi calon Ketua Dewan Pemuda Pas itu menggunakan akaun ‘Fikrah Islamiah Pilihan Kami’ dengan mengubah wajah salah seorang calon yang bertanding iaitu Zulhazmi Shariff dengan gambar anjing.

Manakala dua lagi pencabar Zulhazmi seperti Suhaizan Kaian dan Kamaruzaman Mohamad pula menggunakan wajah sebenar.

Pemilik akaun tersebut turut memuat naik beberapa mesej yang merujuk kepada perjuangan kerajaan perpaduan yang sebelum ini lantang disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

Kerajaan Beri Jaminan Bertindak Terhadap Comango

Kerajaan memberi jaminan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana anasir yang cuba menjejaskan keharmonian dan mencabar Perlembagaan Persekutuan termasuk Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Sambil menyifatkan tuntutan Comango sebagai pencabulan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam masa sama, beliau turut mengesahkan pertubuhan Sisters In Islam (SIS) bersekongkol dengan Comango antaranya bagi menuntut kebebasan murtad; orientasi seks; lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta kesamarataan antara agama.

Terengganu bantu ECERDC usaha PPITK

Terengganu bersedia membantu Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pantai Timur (ECERDC) memajukan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Ternakan Kambing (PPITK), di Kuala Berang yang dijangka awal tahun depan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri serius membantu membangunkan projek itu kerana menyedari mampu memberi peluang kepada petani generasi baru menambah pendapatan melalui penggunaan teknologi terkini.

“ Satu lagi projek pertanian yang penting di Terengganu, Taman Bio Herba Pasir Raja yang diwujudkan semata-mata untuk penanamanan 10 jenis herba bernilai tinggi seperti mengkudu, hempudu bumi, tongkat ali, dukung anak, misai kusing halia bara, gaharu, roselle dan kacip Fatimah.

RM1 Juta Daripada Kerajaan Negeri, Pusat Hadapi Banjir



Peruntukan bernilai hampir RM1 juta telah disalurkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi membantu persediaan menghadapi gelombang banjir di Terengganu penghujung tahun ini.

Difahamkan, jumlah RM1 juta itu bagaimanapun tidak termasuk bekalan bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan memasak sepanjang bencana tersebut yang juga dijangka mencecah ratusan ribu ringgit. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd. Mahdi Musa berkata, peruntukan itu meningkat berbanding hanya RM630,000 digunakan untuk tujuan sama tahun lepas.


JBPM Sasar Wujud 10 Balai Bomba Baharu Dalam Tempoh Dua Tahun

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasar untuk membina 10 balai baharu di seluruh negara dalam tempoh dua tahun mulai tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kesemua balai itu akan dibina di lokasi strategik dan mampu menempatkan 30 kekuatan anggota yang dianggar menelan kos berjumlah RM50 juta. 

"Di Terengganu, kita membina sebuah balai baharu di Kijal dan pembinaan balai ini dalam proses penilaian tender dan kita jangka ia akan mula dibina pada tahun depan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

TH Terengganu Agih Zakat RM121,000

Sebanyak 242 pelajar dari daerah Marang, kelmarin menerima agihan zakat Tabung Haji (TH) Terengganu berjumlah RM121,000 menerusi Program Iqra'.

Timbalan Pengarah TH Terengganu Azillah Itam berkata setiap pelajar menerima sumbangan RM500 iaitu RM200 berbentuk peralatan persekolahan dan bakinya wang tunai.

"Ini kali kedua program diadakan dan pelajar dipilih oleh Jabatan Pendidikan negeri berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu kategori asnaf miskin dan fakir selain melihat pencapaian akademik pelajar," katanya dalam sidang media pada majlis penyampaian sumbangan itu di Marang.

Tahanan Reman Remaja Larikan Dua Kereta Di Kawasan R&r Dilanjutkan

Polis mendapat perintah bagi melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari ke atas suspek yang melarikan dua kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi-Ajil, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata tempoh tahanan reman ke atas suspek berusia 17 tahun itu yang diperoleh sebelum ini, tamat semalam.

Beliau berkata pihaknya memohon melanjutkan tempoh tahanan reman suspek bagi melengkapkan kertas siasatan secara terperinci berhubung insiden itu.

Jabatan Taman Laut Teliti Sistem 'Close Season' Di Pulau Payar


Kejadian kelunturan terumbu karang menyaksikan taman laut di Terengganu, Pahang dan Johor terpaksa ditutup pada 2010, sekali gus menegaskan kepentingan terumbu karang "berehat".

Berikutan itu, Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) bercadang melaksanakan sistem 'close season' di Pulau Payar di Langkawi bagi menjaga keseimbangan ekosistem di taman laut negara itu.

Ketua Pengarahnya Sukarno Wagiman berkata menerusi sistem itu, taman tersebut akan ditutup untuk tempoh tertentu bagi aktiviti rekreasi seperti bersnorkel dan selaman, sekali gus membolehkan terumbu karang "berehat".

Dendam Dipercayai Punca Pegawai JAIP Dibunuh?


Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang ditembak semalam bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, polis percaya tiga suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

"Bagaimanapun, polis sedang menyisasat dari pelbagai sudut sama ada ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi atau ada ancaman peribadi," katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bukit Ubi di Kuantan, semalam.

YPKT Laksana Skim Baharu Tahun Depan

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan memperkenalkan satu skim baharu tahun depan untuk pengesahan jawatan kontrak dan kenaikan gaji yang bakal memberi manfaat kepada lebih 500 kakitangannya.

Daripada jumlah itu, 368 guru Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) bagi kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun, yang berjawatan kontrak bakal diserapkan ke jawatan tetap, mulai Januari tahun depan. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata melalui pelaksanaan skim itu kesemua guru taska akan menikmati kemudahan sama seperti kakitangan awam tetap lain kecuali pencen.

Exxonmobil Malaysia Sumbang RM184,800 Kepada 264 Pelajar Cemerlang

Sebanyak 264 pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga miskin di negeri ini menerima bantuan pelajaran berjumlah RM184,800 menerusi pembiayaan Tabung Amanah Pelajaran dan Biasiswa ExxonMobil (EMESF) 2013.

Daripada jumlah itu, 120 murid Tahun Empat hingga Enam menerima RM600 seorang, diikuti 72 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga (RM700), manakala 48 pelajar Tingkatan Empat dan Lima (RM800) dan 24 pelajar Tingkatan Enam (RM1,000).

"Sejak program ini dimulakan pada tahun 1981, ExxonMobil telah memilih pelajar cemerlang di kalangan keluarga miskin di sekitar Kemaman yang dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.

Kembar Siam Berusia Dua Tahun Meninggal Dunia

Selepas lebih dua tahun berkongsi jantung dan hati, kembar Siam pertama Terengganu yang mendapat liputan meluas media sebelum ini, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kemaman kelmarin.

Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie yang bercantum pada bahagian dada, berusia dua tahun dua bulan meninggal dunia di pangkuan ibu mereka pada pukul 10.10 pagi selepas mengalami komplikasi jantung. 

Noraini Mohamad, 33, berkata kedua-dua anaknya itu dimasukkan ke wad empat hari lepas selepas diserang demam serta batuk dan sejak dimasukkan ke dalam wad mereka kelihatan lesu.

PPDNK Terengganu Kesan 91 Kes Salah Guna Alat Timbang

Bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu mengesan 91 kes penyalahgunaan alat timbang dan sukat.

Pengarahnya Syamsul Badrin Mohsin berkata kes membabitkan rampasan barangan bernilai RM7,625 dan kompaun RM13,500.

Kebanyakannya membabitkan peniaga yang tidak menentusahkan semula alat timbang mengikut tempoh masa yang ditetapkan, katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan alat timbang dan sukat kenderaan di pusat pengumpulan sawit di Marang, kelmarin.

PPNT anjur Persidangan Pengendalian Ekopelancongan

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan menganjurkan Persidangan Pengendalian Eko Pelancongan dan Marin Pelancongan Antarabangsa keempat (TEMCO ke-4) selama dua hari di Hotel Primula, di Kuala Terengganu bermula 18 November ini.

PPNT dalam kenyataan di Kuala Terengganu, kelmarin memberitahu, acara itu bertujuan memberi ruang kepada peserta berkongsi idea yang praktikal dan penyelesaian yang boleh memberi perubahan positif kepada sektor terbabit.

"Selain memperkasakan sektor pelancongan, program ini juga memberi peluang kepada komuniti mengenal pasti ruang bagi membolehkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan.

Peguam: Lantikan Ketuai Rayuan Kes Liwat Sah


Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa pelantikannya oleh Peguam Negara untuk mengetuai pihak pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sah dan betul.

Beliau menggesa mahkamah tertinggi itu mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan (COA) yang menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakannya daripada mewakili dalam kes itu.

Muhammad Shafee, dalam hujahannya di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata satu kenyataan direkodkan daripadanya mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah semasa penyiasatan kes itu, namun beliau tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan mahupun pihak pembelaan untuk menjadi saksi.

Wanita Keldai Dadah Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM600,000 Di LTSM

Polis menahan seorang wanita warga Vietnam dipercayai keldai dadah yang cuba menyeludup 3.134 kilogram syabu bernilai RM600,000 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu, Sabtu lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata suspek itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di hadapan balai ketibaan domestik LTSM selepas melihat wanita berumur 31 tahun itu yang membawa beg pakaian dalam keadaan mencurigakan.

"Wanita itu menaiki penerbangan dari India dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negeri ini bersama bagasi berisi dadah," katanya dalam satu sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Monday, November 11, 2013

Suspek Berjubah Tembak Mati Ketua Penguatkuasa JAIP

Isteri Mohd Raffli, Rosmahawani menitiskan air mata ketika memeluk Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Iskandariah (kiri) selepas suaminya mati ditembak dari jarak dekat di hadapan rumah mereka.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd Raffli Abdul Malek,  49,  mati selepas terkena  tembakan di rumahnya di Indera Mahkota 2 dekat Kuantan semalam.

Beliau dipercayai mati di tempat kejadian kira-kira 2 petang. Dalam kejadian 1.55 tengah semalam, penjenayah dilaporkan melepaskan dua das tembakan di dadanya yang dilepaskan oleh seorang daripada tiga suspek yang dipercayai menaiki kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih.

Mohd Raffli, dipercayai sedang mengendali tiga kes besar berkaitan jenayah syariah di Pahang iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, gerakan Syiah dan operasi kelab malam.

Beliau  meninggalkan seorang isteri dan empat anak iaitu Mohd Asyraff, 22, Mohd Abrar, 20, Mohd Amin, 15, dan Mohd Akashah, 12.

Menurut isteri Mohd Raffli, Rosmahawani Abd Wahab, 41, ketika kejadian mereka berdua sedang melakukan kerja-kerja rumah dan beliau menyuruh arwah menggantung langsir sebelum Mohd Amin memaklumkan ada orang ingin berjumpa bapanya di luar rumah.
"Anak saya ketika itu dekat luar, kemudian memberitahu, ada orang nak jumpa Abah, Ustaz (Mohd Raffli) yang sedang menggantung langsir kemudian keluar untuk menemui orang tersebut.

"Saya dengar orang beri salam dan sempat mendengar Ustaz berkata kepada orang yang ditemuinya itu, 'tak nak masuk rumah dulu ke,' sebelum terdengar bunyi dua das tembakan dan anak saya menjerit, 'Abah kena tembak, Allahuakbar!" katanya ketika mengimbas kembali kejadian itu kepada pemberita di rumahnya, semalam.

Ketika ditanya sama ada arwah pernah menerima ancaman atau ugutan daripada pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai penguatkuasa JAIP, Rosmahawani berkata setakat dalam pengetahuannya, Mohd Raffli tidak pernah mendapat sebarang ugutan atau ancaman daripada sesiapa. 

"Malah saya dah tanya anak buah beliau sama ada arwah pernah menerima ugutan tetapi merekapun berkata tidak ada," kata suri rumah itu.

Ditanya sama ada beliau atau arwah mengenali suspek, Rosmahawani menjawab tidak namun memaklumkan dia perasan kereta yang dinaiki suspek sering berlegar-legar di kawasan perumahan mereka dua tiga hari kebelakangan ini.

Dalam pada itu, kes berkenaan mendapat perhatian Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, yang sudi mencemar duli melawat keluarga mangsa di sini lewat petang semalam.

Rata-rata individu yang mengenali Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang yang maut akibat ditembak di rumahnya tengah hari semalam menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar.


Pengarah Jaip Datuk Mohamad Roslan Harun berkata sepanjang dua tahun mengenali arwah, beliau mendapati Mohd Raffli adalah seorang pekerja yang dedikasi dan tegas dalam melaksanakan tugas sebagai penguatkuasa JAIP.

"Walaupun tegas beliau (Ustaz Raffli) juga sangat mengambil berat terhadap anak-anak buahnya dalam melaksanakan tugasannya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarah jenazah mangsa di kediamannya semalam.

Ditanya kemungkinan akan mewujudkan jawatankuasa siasatan dalaman berhubung kes itu, Mohamad Roslan berkata jika ada keperluan Jaip mungkin menubuhkan satu jawatankuasa siasatan berpandukan maklumat dan siasatan polis.

Perkara itu katanya, bagi memastikan kes seperti itu tidak berlaku terhadap pegawai Jaip yang lain pada masa hadapan.

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman yang turut hadir meluahkan rasa dukacita dengan pemergian arwah yang disifatkan seorang pegawai Jaip yang amat bertangunggjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas yang dipikul.

"Kami mengharapkan semua pihak dapat membantu dan memberi maklumat yang jelas bagi membantu (pihak berkuasa) menangkap pihak yang zalim ini.

"Beliau kerja dengan ikhlas tapi telah dianiaya dan ditembak, satu perkara yang amat mendukacitakan, kami doakan supaya roh beliau bersama dengan para solihin dan termasuk (golongan) syahid akhirat," katanya dengan nada sebak.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad pula berkata kerajaan negeri membantu menguruskan urusan jenazah dengan sebaik mungkin selain akan membantu dalam hal berkaitan kebajikan keluarga arwah.