Saturday, August 18, 2012

1 Shawal Masa Sesuai Tamat Sengketa, Perpecahan - Sultan Terengganu


Setiap perpecahan yang berlaku walaupun atas alasan perjuangan, tidak menguntungkan sesiapa. Malah, sejarah menunjukkan perpecahan menjadi sebab kepada runtuhnya kekuatan umatnya sebagai mana berlaku terhadap beberapa kerajaan Islam sebelum ini....Sejarah ini seolah-olah kembali berulang dan dapat disaksikan di beberapa negara Islam seperti di Syria dan Mesir." - Sultan Mizan Zainal Abidin

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah seluruh umat Islam di negeri ini perlu menilai sejauh mana tahap perpaduan mereka.

Titah baginda, Islam meletakkan perpaduan sebagai asas terpenting yang perlu dipelihara dalam menjaga dan mempertahankan keselamatan serta kemakmuran negeri dan negara.

Justeru, baginda menyeru seluruh umat Islam menjauhkan diri dari persengketaan, perselisihan dan pandangan yang boleh membuka ruang dan peluang kepada musuh Islam mencampuri urusan pentadbiran negara dan memecahbelahkan umat Islam.

“Setiap perpecahan yang berlaku walaupun atas alasan perjuangan, tidak menguntungkan sesiapa. Malah, sejarah menunjukkan perpecahan menjadi sebab kepada runtuhnya kekuatan umatnya sebagai mana berlaku terhadap beberapa kerajaan Islam sebelum ini.

“Sejarah ini seolah-olah kembali berulang dan dapat disaksikan di beberapa negara Islam seperti di Syria dan Mesir,” katanya.

Baginda bertitah demikian dalam titah perutusan sempena Aidilfitri esok yang dikeluarkan Istana Badriah di Kuala Terengganu,  semalam.

Sultan Mizan juga mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya sentiasa mengamalkan sikap saling bermaaf, ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Menurut baginda amalan itu bukan hanya pada bulan Syawal, tetapi sepanjang masa kerana silaturahim sesama Islam adalah kunci kepada perpaduan ummah.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman, pada hari raya pertama.

Beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, akan melayan para tetamu yang berkunjung ke kediaman mereka bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

Rakyat jelata,dijemput datang ke Kediaman Seri Iman bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negeri ini

Sementara pada hari kedua Aidilfitri, Menteri Besar dan isteri akan melayan tetamu pada majlis  Menteri Besar Bersama Perantau di Permai Inn, antara jam 10 pagi hingga 3 petang.

Elak Kesesakan - Polis Terengganu Wujudkan Jalan Alternatif, Lencongan


Polis Terengganu membuat beberapa jalan alternatif dan lencongan di beberapa lokasi di negeri ini, bagi memastikan kelancaran aliran trafik sempena musim perayaan kali ini.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Ismail Man berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dijangka akan berlaku di lokasi tersebut sepanjang musim perayaan ini.

Menurutnya, di Kuala Terengganu, pengguna jalan raya dari arah Bukit Besar dan Padang Hiliran yang menggunakan laluan Jalan Sultan Mizan (Jambatan Sultan Mahmud, berhampiran pasar raya Mydin Mall) diingatkan agar menggunakan lencongan ke Pulau Duyong untuk ke pusat bandar.

Jualan Ikan Air Tawar Mencecah RM60,000 Di Pasar Tani Seluruh Terengganu


Jualan ikan air tawar di pasar-pasar tani di seluruh Terengganu yang diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mencecah RM760,000 sejak Januari hingga akhir Julai lepas.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata Pasar Tani Padang Hiliran Kuala Terengganu menyumbang jualan tertinggi sebanyak RM420,000 dalam tempoh tujuh bulan tersebut. "Jualan bulanan ikan air tawar di Pasar Tani Padang Hiliran dicatatkan lebih RM60,000 sebulan.

Angka ini dijangka terus meningkat pada bulan ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Prestasi T-Team Dilihat Meningkat - Yunus Alif

Prestasi pasukan T-Team dilihat semakin meningkat berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan sepanjang minggu lepas menjelang saingan Piala Malaysia pada bulan ini.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata anak buahnya kini dilihat mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi dengan mampu mengikat juara Liga Super Kelantan 1-1 pada perlawanan persahabatan di Kota Baharu, dua hari lepas.

"Ya, kita akui memang ada beberapa peningkatan dalam corak permainan berbanding persembahan mereka (pemain) pada saingan Liga Super dan Piala FA," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

750 Pesakit HSNZ Gembira DiLawati MB, Isteri

Ahmad Said menyampaikan sumbangan hari raya kepada Ab. Samat Abd. Rahman yang menderita menghidap penyakit kanser dan paru-paru dijangkiti kuman di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, semalam.
Kesakitan yang ditanggung oleh 750 pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu terubat apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta beberapa pemimpin negeri pagi semalam.

AhmadSaid  turut diiringi isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang sempat meluangkan masa kira-kira dua jam melawat sambil beramah mesra serta dan menyampaikan sumbangan hamper kepada setiap pesakit.

Turut hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Puteri UMNO Perhubungan Terengganu, Nordiana Shafie.

Maklum Polis Sebelum Pulang Kampung Sepanjang Aidilfitri

Jamshah (tiga kiri) bertemu orang ramai dan peniaga sempena Program Walkabout di bazar Ramadan Bandar Marang sambil diiringi Ahmad Mazlan (tengah), kelmarin.
Penduduk di daerah Marang khususnya dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya ingin meninggalkan rumah untuk balik ke kampung halaman masing-masing, bagi tempoh panjang sempena sambutan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini termasuklah kejadian pecah rumah.


Pasar Tani Khas Aidilfitri Peringkat Negeri

Daging lembu habis dalam masa tiga jam Hasan (kanan) semasa melawat gerai daging Fadli (tengah) di Pasar Tani Mega, Padang Hiliran, kelmarin.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melancarkan Pasar Tani Khas Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu 2012 di beberapa pasar tani terpilih.

Pengarah FAMA Negeri, Hasan Jusoh berkata, antara pasar tani yang terlibat ialah Padang Hiliran, Kuala Terengganu; Kerteh dan Chukai, Kemaman; Alor Lintang dan Kuala Besut, Besut dan Kuala Ping, Hulu Terengganu.

Menurutnya, pelancaran pasar tani khas yang mula beroperasi kelmarin  hingga hari ini dibuat untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat melalui jualan komoditi terpilih.

SRS Perlu Pertingkat Rondaan Memerangi Jenayah

Golongan miskin menerima sumbangan barangan keperluan dapur daripada Tukimin sempena Majlis Ikatan Padu Perpaduan yang diadakan di Kampung Fikri, Chukai.
Sebanyak 225 Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negeri ini diharap dapat meningkatkan rondaan di kawasan kampung dan taman perumahan masing-masing pada musim perayaan ini, seterusnya dapat bersama polis memerangi jenayah.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Terengganu (JPNIN), Tukimin Sarlan berkata, sejak kewujudan SRS pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada polis sehingga kini.

Judi buah Dadu Bulan Ramadan - Tiga Sekawan Kena Cekup

Tindakan berani tiga sekawan yang mencemari kesucian bulan Ramadan dengan bermain judi buah dadu di tempat awam menerima padah setelah mereka ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagaimanapun, hanya Wan Mohd Shah Wan Muda, 53, yang bekerja sendiri mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda RM2,500 atau gagal bayar dua bulan penjara manakala dua lagi rakannya, Mohd Rojek, 58, seorang pesara kerajaan dan Md Zulkaria Imah, 40, penjual ikan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka didakwa bermain judi buah dadu dengan bertaruh tunai di tempat awam di bawah pokok di tepi jalan besar Jalan Masjid Abidin, petang kelmarin iaitu kira-kira jam 1.30 petang.

Friday, August 17, 2012

Ikan Naga Laut - Nelayan di Pengkalan Maras Gempar

Kepala ikan naga laut ini seakan kuda laut.
Seorang nelayan di Kampung Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, dekat Kuala Terengganu, gempar dengan penemuan bangkai ikan naga laut atau Oarfish berukuran kira-kira 2. 4 meter yang ditemui terdampar di pantai berkenaan pagi 13 Ogos lalu.

Bagaimanapun, spesies ikan dalam bahasa saintifiknya 'Regalecus Russelii' bukan kali pertama ditemui terdampar di perairan berkenaan, sebaliknya ia merupakan penemuan kedua selepas penemuan pertama tiga tahun lalu.

Pelajar Inos dan pegawai memegang spesies ikan naga laut yang yang dikatakan hanya berada di perairan cetek sekiranya sesat ataupun menghidap penyakit.
Menurut Kurator Institut Oseanografi & Sekitaran (Inos) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azwarina Mohd Azmi Ramasamy, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan ikan berkenaan oleh seorang nelayan, Awang Alwi, 41.

“Kebiasaannya spesies ikan laut dalam berkenaan ditemui di perairan cetek jika berpenyakit atau tersesat, di mana ia makan secara menegak dengan memuncungkan mulutnya dan ia jarang ditemui.

“Justeru ikan yang memiliki badan pipih panjang menyerupai naga ini akan diawet untuk kajian lanjut dan menjadi sampel rujukan di Pusat Rujukan dan Repositori laut Chian Selatan, Inos,” katanya.

Menurutnya, penemuan ikan berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa kerana sebelum ini spesies ikan berkenaan telah dilaporkan beberapa kali ditemui di perairan Pantai Timur.

Sinar Harian

Polis Terengganu Tingkat Kawalan Di Kedai Emas Dan Institusi Kewangan

Polis Terengganu akan mempertingkat kawalan dan keselamatan di kedai-kedai emas, institusi kewangan dan kedai pajak gadai di negeri itu sepanjang perayaan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata pihaknya akan tingkatkan rondaan kawalan dan keselamatan bermula hari  ini.

Katanya selain kedai emas dan institusi kewangan, polis juga akan meronda di tempat terdapat mesin pengeluaran automatik (ATM) dan syarikat pengurup wang.

72,425 Pelajar Duduki Peperiksaan Awam Tahun Ini

Seramai 72,425 orang pelajar di seluruh negeri bakal menduduki empat peperiksaan awam tahun ini yang bermula bulan depan.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Zubir Embong berkata, jumlah itu merangkumi empat peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil TInggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Seramai 23,325 calon akan mula menduduki UPSR pada 11 hingga 13 September depan iaitu 25 hari dari sekarang,” katanya di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR,PMR, SPM, STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 201052 di Kompleks Sukan Gong Badak.


T-Team Mampu gegar Hingga Separuh Akhir Piala Malaysia

Biarpun aksi ala ‘yo-yo’ yang dipamerkan dalam Liga Super, pasukan berstatus kelab Pantai Timur, T-Team tetap menaruh keyakinan tinggi mampu melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia yang bakal membuka tirai Rabu ini.

Apa yang perlu dilakukan pasukan bimbingan Yunus Alif itu ialah kena bekerja keras bagi melepasi peringkat Kumpulan D yang diundi bersama Pahang, Selangor dan Sarawak.

Pengurus Pasukan T-Team, Rozi Mamat, berkata ujian pertama T-Team dalam kempen Piala Malaysia bertemu pasukan jiran, Pahang sebelum menanti kunjungan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

SATU Rancang Bina Loji Rawatan Air Di Kuala Nerus Babitkan Kos RM90 Juta

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) merancang untuk membina sebuah loji rawatan air baharu di kawasan Kuala Nerus dengan anggaran kos RM390 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu Husain Embong berkata loji yang dijangka beroperasi pada 2016 itu perlu dibina memandangkan loji yang ada di Kepong (loji satu), Kepong (loji dua) dan juga Kampung Losong, tidak mampu lagi memproses air untuk tempoh lima tahun akan datang berikutan kepesatan penduduk.


Pasar Tani Catat Jualan RM15 Juta Dalam Tempoh Tujuh Bulan

Pasar Tani kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mencatatkan jualan bernilai RM15 juta di negeri itu antara Januari dan Julai lepas.

 Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata daripada jumlah itu sebanyak RM5.5 juta dikumpul dari empat buah pasar tani di daerah Kuala Terengganu.

Empat pasar tani itu ialah pasar tani Padang Hiliran, yang mengumpul jualan sebanyak RM4 juta, Permin Jaya (RM1.1 juta), Jalan Budiman (RM198,527) dan Dataran Taman Purnama (RM50,750), katanya.

Satu Bekal Air Kepada Warga Miskin

"Saya tidak dapat gambarkan betapa bersyukurnya saya setelah rumah saya dibekalkan air percuma oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri".

Itulah kata-kata Nipis Hassan, 67, seorang warga emas yang tinggal sebatang kara di Kampung Kubang Panjang di Kuala Terengganu setelah sekian lama tidak mempunyai bekalan air kerana tidak mampu berbuat demikian.

Nipis yang cacat penglihatan, sebelum ini mendapatkan air bersih melalui sambungan wayar dari rumah sepupunya yang berdekatan.

Butler Letak Keyakinan Kepada 6 Pemain Muda, Marzuki Masih Cedera


Walaupun diundi berada ‘kumpulan maut’, pengendali Terengganu, Peter James Butler tetap optimis mengenai peluang skuad Peteh dalam kancah Piala Malay sia yang bakal membuka tirainya 22 Ogos ini.

Butler memberitahu, apa sahaja boleh berlaku dalam saingan Piala Malaysia biarpun finalis Piala Malaysia 2011 itu diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara Liga Super, Kelantan, juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kedah.

YPU Lancar Satu Lagi Produk Baru, T-Komunikasi

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu pada Rabu melancarkan produk ke-sembilannya yang dinamakan T-Komunikasi (T-Kom) khusus untuk usahawan yang berminat menjadi pengedar perkhidmatan telekomunikasi yang ditawarkannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata T-Kom akan dilaksnakan dengan kerjasama Celcom.

 "Usahawan yang menjadi ahli T-Kom akan dibekalkan dengan peralatan IT berserta dengan alat-alat yang berkaitan dengan pembayaran bil," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Zon Pejalan Kaki Bakal Dibina Di Pinggir Sungai Terengganu

Kerajaan negeri sedang merancang untuk membina zon bagi pejalan kaki di pinggir Sungai Terengganu apabila projek membina Pasar Payang yang baru di Kuala Terengganu siap dilaksanakan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata dengan pembinaan zon itu, maka kenderaan tidak  dibenarkan masuk jika ingin ke Pasar Payang melainkan pejalan kaki dan beca.

Dua Anak Disambar Petir - Ibu Reda Dengan Ketentuan Ilahi

Norhayati (kiri) menunjukkan baju raya yang sudah dibeli untuk Ahmad Salihin dan Rosmawati menunjukkan gambar dua kanak-kanak yang dipanah petir.

Sehidup semati. Demikianlah kisah persahabatan dua sepupu yang berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila kedua mereka meninggal dunia sejurus disambar petir secara serentak di Kampung Kubu di Marang kelmarin.

Sebahagian badan kedua-dua kanak-kanak terbabit, Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan sepupunya, Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9, hangus dengan kesan terbakar termasuk mata kedua-dua mangsa juga menjadi hitam.


Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan sepupunya, Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9

Kaunter Pos Malaysia Ditutup Mulai 18 Hingga 21 Ogos

Pos Malaysia akan ditutup mulai 18 hingga 21 Ogos ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Semua operasi surat menyurat, kaunter dan kurier di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan disambung semula pada 21 Ogos manakala bagi negeri-negeri lain, operasi akan disambung semula pada 22 Ogos, kata Pos Malaysia Berhad dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu memandangkan 18 Ogos adalah hari bekerja pada Sabtu, ia akan digantikan pada 6 Oktober.

Kerajaan Terengganu Mahu Usahawan Bumiputera Sertai Semua Sektor

Usahawan di negeri ini perlu meneroka peluang di setiap bidang dan bukan dalam sektor binaan semata-mata untuk mempersiap diri bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata sudah tiba masanya mereka merebut peluang yang ada kerana kerajaan negeri berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam pelbagai bidang.

Wednesday, August 15, 2012

Transformasi Pendidikan Hebat Rancak Berjalan Di Terengganu

 

Transformasi pendidikan hebat sedang berlaku di negeri ini apabila 6,000 pelajar berjaya menempatkan diri ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di dalam dan luar negara bagi program pengajian peringkat ijazah tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata jumlah ini menunjukkan peningkatan yang mendadak dan di luar jangkaan.

“Mereka ini akan memulakan pendaftaran masuk ke IPTA dalam negeri pada September ini,” katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Program Kecemerlangan UPSR, PMR, SPM dan STPM 2012, Gerakan Merealisasikan 201052 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam (14 Ogos).

Katanya, tahun lalu jumlah pelajar yang berjaya ke IPTA sekitar 4,000 orang sahaja tetapi tahun ini peningkatannya begitu mendadak.

“Memandangkan mereka akan mula mendaftar masuk pada bulan depan, kita akan mengadakan majlis pengagihan wang pendahuluan ke IPTA sebanyak RM1,000 seorang selepas hari raya nanti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri dijangka membelanjakan kira-kira RM6 juta bagi tujuan berkenaan dan termasuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara turut menerima pengagihan itu.

Menurutnya, kerajaan amat berbangga dengan kecemerlangan anak-anak tempatan dan berharap semua pelajar lepasan SPM di negeri ini dapat masuk ke universiti.

Sementara itu Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM663,000 untuk menyediakan bahan-bahan berbentuk digital iaitu cakera padat untuk disimpan ke dalam e-Book yang mengandungi semua soalan-soalan yang telah disemak oleh guru-guru Akram Kerja Rajin dan Mulia (Akram) di pejabat pelajaran negeri.

“Untuk merealisasikan program ini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta bagi membolehkan jabatan pelajaran melaksanakan pelbagai program intervensi menjelang peperiksaan,”

Menurut beliau, setiap peperiksaan membabitkan kos antara RM100,000 hingga RM200,000.

“Program gerakan merealisasikan 201052 merupakan antara usaha kerajaan ke arah mengekalkan kejuaraan tahun ke 12, pencapaian UPSR dimana peperiksaan penting itu hanya tinggal 28 hari lagi,” katanya.

Katanya, jabatan juga akan mengadakan Akademik 20 10 5 2 selama tiga hari dua malam untuk sasaran strait A dan pengedaran kain rentang untuk memberi motivasi dan kesedaran masyarakat agar mengambil bahagian untuk kecemerlangan pelajar yang akan mengambil peperiksaan.

Selain itu, program keterbilangan bersama pemimpin melibatkan semua Exco kerajaan negeri khusus untuk pelajar yang mendapat strait A dalam peperiksaan percubaan PMR, SPM dan STPM akan terbabit dalam program dua hari satu malam itu.

“Satu lagi program ‘gerakan kecemasan’ melibatkan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan mengadakan solat hajat serentak dan juga khutbah Jumaat sebagai usaha terakhir untuk anak-anak kita yang akan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Katanya, melihatkan komitmen padu yang ditunjukan jabatan, guru, ibu bapa, PIBG dan pelajar , yakin mampu mengekalkan kecemerlangan tahun ini

Teganukita

Kastam Rampas Mercun Bernilai RM25,000 Di Kerandang

Abdullah Zawawi menunjukkan sebahagian daripada mercun dan bunga api yang berjaya dirampas JKDM Terengganu dalam satu serbuan di di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jertih.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya merampas 220 kilogram mercun dan bunga api bernilai RM5,000 beserta sebuah Isuzu Trooper yang bernilai RM25,000 dalam satu serbuan di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jertih pada 8 Ogos lalu.

Pengarah JKDM Negeri, Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan yang diketuai Pegawai Kastam Kanan Ahsan Sulahadi Mat Husin.

Menurutnya, kejayaan itu dicapai setelah pihak kastam membuat intipan selama empat jam, sebelum dapat mengesan pergerakan Isuzu Trooper yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api, kira-kira jam lapan malam.

Payang Walk Dibuka Kepada Pengunjung 6 Oktober - Rahin


Pelbagai acara kebudayaan dari setiap daerah serta pameran pencapaian dan peristiwa menarik di Terengganu akan dipaparkan kepada pengunjung sepanjang laluan Payang Walk, Kuala Terengganu bermula 6 Oktober ini.

Insiatif kerajaan negeri dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan jabatan pelancongan negeri itu melibatkan laluan pejalan kaki sepanjang hampir satu kilometer bagi fasa I yang bermula dari Pejabat Besar Pos Kuala Terengganu sehingga ke Simpang Jalan Banggol.

Kebakaran - Bomba Lancar Program Komuniti Tingkat Kesedaran

 Sebanyak 15 kes kebakaran rumah dilaporkan berlaku di seluruh Terengganu dalam tempoh 24 hari umat Islam berpuasa.

Penguasa Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Mohd Redzuan Mohd Hasan berkata kebanyakan kes berpunca daripada kecuaian manusia, penggunaan barangan elektrik yang tidak selamat dan kelemahan sistem pendawaian elektrik.

Sehubungan itu katanya, jabatan tersebut sedang giat menjalankan program komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aspek keselamatan sama ada di pusat beli-belah, pejabat kerajaan serta premis perniagaan.

Terengganu Wujud Galeri Di Bazar Warisan


Kerajaan Terengganu akan mewujudkan Galeri Seni di Bazar Warisan di sini, sebagai daya tarikan baru pelancongan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata galeri itu akan menjadi pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti dan jualan berkaitan seni warisan.


25 Individu Ditahan Kerana Kesalahan Mercun

Seramai 25 individu ditahan sepanjang bulan Ramadan melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM40,000 di Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata daripada jumlah itu, seramai 19 individu telah didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman.


Tuesday, August 14, 2012

Tanah Nilai Tinggi - Kroni PAS Kaya, Rakyat Terus Ketagih


"Kerajaan BN tidak menyorok pembahagian tanah kepada wakil rakyat, tetapi PAS tidak berbuat demikian, sebaliknya berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi...Kerajaan BN membahagikan lot-lot tapak rumah dan pertanian kepada semua rakyat yang layak. Ada juga beberapa wakil rakyat dan Exco yang diberi tanah (semasa pemerintahan BN) kerana mereka layak mendapat tanah," - Datuk Seri Ahmad Said

Pemimpin PAS mengagihkan tanah bernilai tinggi terutama di beberapa kawasan di bandar raya Juaka Terengganu kepada syarikat kroni pemimpin PAS ketika parti itu memerintah negeri ini dari 1999 hingga 2004.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa, mereka berselindung di sebalik syarikat dan koperasi dalam mengagih-agihkan tanah yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian besar.

"Banyak kawasan tanah di bandar Kuala Terengganu yang mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh dibangunkan dengan pelbagai projek, kita simpan bagi kegunaan masa depan.

"Bagaimanapun, tanah-tanah tersebut telah diagih-agihkan kepada kroni-kroni pemimpin PAS yang berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi sewaktu mereka memerintah," katanya pada sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri, di Kuala Terengganu semalam.

Isu tanah menjadi topik hangat pada persidangan DUN kali ini apabila pihak pembangkang cuba memutar-belitkan isu berkenaan seolah-olah menampakkan kesalahan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, keadaan itu amat jauh berbeza pada zaman pemerintahan BN yang sangat telus dalam soal pembahagian tanah kepada rakyat.

“Kerajaan BN membahagikan lot-lot tapak rumah dan pertanian kepada semua rakyat yang layak. Ada juga beberapa wakil rakyat dan Exco yang diberi tanah (semasa pemerintahan BN) kerana mereka layak mendapat tanah,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan BN tidak menyorok pembahagian tanah kepada wakil rakyat, tetapi PAS tidak berbuat demikian, sebaliknya berselindung di sebalik nama syarikat dan koperasi.

Akhirnya syarikat kroni dan koperasi PAS yang mendapat tanah yang luas dan tanah yang mempunyai nilai komersil tinggi di kawasan bandar yang untung dan rakyat tetap dahagakan tanah.

Stadium Sultan Mizan Mula Dibaiki Selepas Raya - Za'abar


Kerja-kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini yang bumbungnya runtuh tiga tahun lalu bakal dimulakan selepas Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, anggaran awal sebanyak RM120 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih melibatkan keseluruhan struktur stadium itu.

Katanya, ia meliputi kerja-kerja membaik pulih lantai, tiang, tempat duduk penonton, struktur kalis air, pendawaian elektrik sementara serta kerja-kerja berkaitan mekanikal.

Terengganu Masih Berhutang Lebih RM700 Juta Dengan Kerajaan Pusat

Kerajaan Terengganu meminjam sejumlah RM708,385,103 daripada kerajaan pusat untuk projek bekalan air bersih negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata angka itu juga merupakan jumlah hutang keseluruhan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Ini kerana katanya, bagi tempoh empat tahun ini kerajaan negeri membina rumah kos rendah dan mampu milik tanpa meminjam daripada kerajaan pusat.


Manaf Tekad Tebus Kekecewaan Dalam Saingan Piala Malaysia

Penyerang berbisa Terengganu, Abdul Manaf Mamat bertekad menebus kekecewaan dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 22 Ogos ini.

Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, semangatnya memburu Piala Malaysia semakin membuak-buak setelah pasukan Penyu gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA dan menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam Liga Super.

134 Kemalangan Berlaku Di LPT2 Sejak Dibuka Ogos Tahun Lepas


Sejak dibuka pada 22 Ogos tahun lepas, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) laluan Ajil-Bukit Besi telah mencatatkan 134 kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Za'abar Mohd Adib berkata daripada jumlah itu, lima kemalangan maut, dua cedera parah, empat kes membabitkan cedera ringan.

"Kajian yang dibuat pihak LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) di laluan berkenaan mendapati sikap, kecuaian pemandu, memandu melebihi had laju dan keadaan cuaca adalah antara sebab kemalangan berlaku di LPT2," katanya.

Serikandi Agih 3,340 Pek Raya Kepada Anggota Pasukan Keselamatan Terengganu


Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) semalam menyampaikan 3,340 pek kuih raya kepada lima agensi keselamatan di negeri ini.

Yang Dipertuanya Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang juga isteri Menteri Besar Terengganu berkata aktiviti tahunan Serikandi itu bertujuan menghargai sumbangan anggota keselamatan yang sanggup berkorban demi memastikan keamanan negara.

"Pengorbanan mereka ini sebagai benteng hadapan pertahanan negara perlu kita hargai dan semestinya, kita berbangga dengan kekentalan jati diri mereka," katanya pada majlis penyerahan sumbangan hari raya kepada pasukan keselamatan di kediaman rasmi Menteri Besar, di Seri Iman, di Kuala Terengganu.

Kastam Terengganu Rampas Mercun Dan Bunga Api Sebanyak 220 Kilogram

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 220 kilogram dipercayai untuk dijual sempena Aidilfitri.

Kesemua barangan itu dirampas hasil penahanan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Besut, Rabu lalu.

Pengarah Kastam Terengganu, Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata pihaknya telah menjalankan intipan selama empat jam sebelum dapat mengesan kenderaan berkenaan yang sarat dengan muatan mercun dan bunga api kira-kira pukul 8.30 malam.

Peruntukan Tambahan RM155.2 juta Untuk SUK, RM19 Juta Untuk Pejabat Tanah

Sidang Dewan Undangan Negeri bagi Mesyuarat Yang Kedua Penggal Persidangan Yang Kelima semalam smeluluskan dua rang undang-undang iaitu Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 dan Enakmen Mineral (Terengganu) (Pindaan) 2012.

Sidang membuat ketetapan bersetuju meluluskan tambahan peruntukan yang pertama daripada Kumpulan Wang Pembangunan untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2012.

Usul berkenaan  dikemukakan oleh Ahmad Razif Abdul Rahman menurut Seksyen Kecil (3) kepada Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966.

JKKP Terengganu Periksa Kesalamatan Di Sekolah

Gambar Hiasan...pemeriksaan keselamatan dan kesihatan
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu kini giat menjalankan pemeriksaan di semua 481 sekolah di negeri ini bagi memastikan aspek keselamatan di sekolah mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia.

"Audit JKKP ini dijalankan bermula di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pelajaran Daerah dan seterusnya ke sekolah-sekolah mengikut jadual yang ditetapkan," kata Pengarah JKKP negeri Kornain Mohd Nor.

Program Kesedaran KKP di sekolah yang dimulakan sejak tahun 1991 oleh Kementerian Pelajaran, bertujuan memastikan persekitaran sekolah selamat dan ceria bagi melancarkan proses pembelajaran.

Kornain berharap pengurusan sekolah lebih prihatin terhadap aspek keselamatan di sekolah bagi mengelak sebarang kemalangan yang membahayakan guru dan pelajar.

Kes kemalangan amat merugikan kerana wang yang dikeluarkan bagi menanggung kos rawatan dan bayaran pampasan adalah lebih tinggi berbanding kos penyelenggaraan keselamatan di sekolah, katanya.

"Penaksiran risiko kemalangan yang boleh berlaku di sekolah juga perlu diambil perhatian oleh pengurusan sekolah supaya langkah pencegahan dapat diambil lebih awal," katanya.

Bulan lalu semua 481 pengetua dan Guru Besar di Terengganu menghadiri Program Kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di sekolah anjuran Kementerian Sumber Manusia, JPNT, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Atasi Segera Kelemahan Azizulhasni Hadapi Olimpik 2016


Azizulhasni Awang (depan) mendahului pencabarnya dari Jepun Seiichiro Nakagawa (belakang) dan pelumba Venezuela, Hersony Canelon ketika berentap dalam acara pecut pada Olimpik London.
Temasya London 2012 telah mendedahkan beberapa kelemahan pelumba berbasikal trek Mohd. Azizulhasni Awang yang perlu diatasi dalam tempoh empat tahun lagi sebelum Sukan Olimpik Rio 2016 membuka tirainya.

Tempoh empat tahun bukan lama dan antara jarak selepas berakhirnya London 2012, Azizulhasni mempunyai deretan perlumbaan termasuk Kejohanan Dunia yang menantinya selepas ini.

Dia memiliki segalanya seperti jaguh-jaguh dunia yang lain kecuali berat badannya yang mengehadkan keupayaan 'kuasa' pelumba ini untuk bersaing walaupun dia telah mengerah kudratnya pada saat-saat menghampiri garisan penamat.

Meskipun tidak berjaya meraih pingat, pencapaian anak jati Terengganu ini di kota London boleh dibanggakan kerana dia berjaya menempatkan dirinya selaku pelumba keenam terbaik dunia dalam keirin dan ke-8 dunia dalam acara pecut.

Dia mengatasi rekod yang dibuatkan semasa temasya Beijing 2008. Peningkatan dalam tempoh itu juga meningkatkan keyakinan jurulatihnya, John Beasley bahawa anak didiknya ini akan mencapai kematangan dalam tempoh menunggu cabaran pingat emas di Rio 2016.

Bagi satu-satunya pelumba berbasikal wanita yang layak ke Olimpik, Fatehah Mustapa, pengalaman pertama beraksi di pentas berprestij ini sewajarnya menjadi teladan berguna untuk mempersiapkan diri ke Brazil.

Semangat Fatehah tinggi, namun usahanya perlu lebih mengatasi segala-galanya jika dia mahu berjaya dalam perlumbaan peringkat dunia atau setidak-tidaknya menjadi seperti Azizulhasni. Fatehah beruntung tidak mempunyai pencabar terdekat untuk mengisi tempat kuota pelumba negara dan dia seharusnya menggunakan kesempatan itu untuk mencabar dirinya sendiri keluar dari kepompong 'selesa'.

Utusan Malaysia

Sambut Aidilfitri Di Tirai Besi Kerana Mercun

Mohd Firdaus dibawa keluar dari mahkamah selepas dikenakan hukuman penjara kelmarin.
Hanya kerana 48 butir mercun, seorang petani terpaksa menyambut hari raya dalam tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara selama 10 hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, kelmarin.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim selepas Mohd Firdaus Mat Daud, seorang petani berusia 23 dari Kampung Tok Ajam, Pasir Puteh, Kelantan, mengaku salah memiliki 48 butir mercun berbentuk bujur dalam sebuah kereta Proton Saga di Kampung Darat, Batu Rakit di Kuala Terengganu, kira-kira jam 11.30 malam, 2 Ogos lalu.

Monday, August 13, 2012

Tolak Pembangkang, Sokong Kerajaan BN Untuk Jamin 'Janji DiTepati'

Oleh Hambali Abdul Latiff 

 

Bagi rakyat Terengganu, khususnya mereka yang berada dalam Parlimen Kuala Nerus Khamis lalu mendengar sendiri apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai janji kerajaan Barisan Nasional (BN) berbanding janji pembangkang yang bercita-cita untuk mengambil alih pemerintahan negara.

Amat jelas bagi BN seperti ditegaskan Najib, sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan memerintah untuk membela dan mengutamakan rakyat, kerajaan BN tepati semua janji itu Malah, menurut Perdana Menteri, kerajaan BN yang ada hari ini bersedia ditolak rakyat kalau janji itu tidak ditunaikan.

Perdana Menteri pada ucapannya pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Nenas dekat Kuala Terengganu Khamis lalu yang dihadiri kira-kira 10,000 orang menegaskan dengan jelas bahawa dalam Islam jika setiap janji itu tidak dikotakan ia boleh dianggap sebagai munafik.


Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Sumbangan Ehsan Ramadan RM170,000 kepada 1,000 orang kurang berkemampuan termasuk anak yatim, orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Berikutan kesungguhan dan komitmen oleh kerajaan BN itu, semua rakyat di negeri ini, khususnya di Terengganu, tidak perlu takut kepada tema Hari Kebangsaan itu.

Ini kerana tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 'Janji Ditepati' sama sekali tidak merupakan retorik politik sebaliknya ia berlandaskan kepada tuntutan agama.

Apa lagi kerajaan BN yang memerintah berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat keseluruhannya.

Malah tema ‘Janji Ditekati’ berpaksikan kepada rukun agama. Tema ini menjelaskan dengan jelas bahawa BN berjuang untuk menunai dan menepati janji kepada seluruh rakyat di mana juga.

Tema itu jelas berpaksikan kepada Islam, bukannya berpaksikan kepada politik dan rakyat tidak perlu gusar kerana kerajaan BN berada pada landasan betul.

Apa yang dirancang dan dilakukan berlandaskan al-Quran dan sunnah untuk menjamin bukan sahaja rakyat makmur dan harmoni, malah Malaysia dinobatkan negara Islam pertama bergelar negara maju.


Amat jelas bahawa dalam melaksanakan tangggungjawabnya sebagai pemerintah, kerajaan BN tidak bermain politik atau membuat janji palsu seperti pembangkang yang pandai membuat janji tetapi tidak menunaikannya.

Bagi kerajaan BN Terengganu, dengan komitmen kerajaan Pusat untuk terus menunaikan janji, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang turut berucap pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri itu menegaskan kerajaan BN perlu dipertahankan kerana ia merupakan kerajaan yang mampu membela nasib rakyat.

Adalah menjadi harapan kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar bahawa dengan nikmat dan kemakmuran yang dikecapi sekarang, rakyat tidak berbelah-bahagi menyokong kerajaan.

Bukan kerana sudah terbukti dengan segala kemudahan yang disediakan kerajaan tetapi sokongan ini perlu untuk meneruskan kesinambungan tradisi mebela dan memenuhi janji kepada rakyat. Lantas persoalan ialah apakah yang dilakukan pembangkang di Terengganu ini?

Yang nyata, walaupun pernah memerintah, kerajaan pembangkang gagal membawa sebarang pembaharuan dan tidak pernah membuat apa-apa untuk membela nasib rakyat negeri ini.

Yang dilakukan pembangkang, termasuk di Terengganu ini kini, dulu dan selamanya ialah mereka pandai dan suka berjanji tetapi tidak pernah menepatinya.

Sedangkan kerajaan Pusat membuktikan ia berjaya dalam memperkenalkan pelbagai program seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia selain memberikanmemberi imbuhan kepada peneroka dan sebagainya.

Amat jelas kedatangan pemimpin nombor satu negara itu ke Terengganu menyuntik semangat pemimpin kerajaan dan BN di negeri ini untuk bekerja lebih kuat bagi menjadikan Terengganu bukan sahaja negeri maju tetapi sebagai tempat untuk kediaman yang harmoni dan makmur untuk didiami.

Rakyat wajar menilai janji dan sumbangan kerajaan BN selama selain bersyukur dengan nikmat berada dalam sebuah negara yang makmur seperti Malaysia.

Buktinya bulan puasa ini rakyat dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan tidak diganggu atau dihalang seperti di negara-negara lain.

Contohnya Perdana Menteri dapat menunaikan ibadah di dua masjid ketika di Terengganu, Khamis lalu iaitu menunaikan at Maghrib di Masjid Kampung Padang Nenas selain menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih di Masjid Wakaf Tembesu sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

Nota - sebahagian besar bahan ini sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita, TrgFM hari ini (13 Ogos 2012) jam 1.30 tengahari.

Peruntukan RM70.2 juta WPP Kepada Pelajar Sesi Kemasukan September

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntuk RM70.2 juta lagi sebagai bayaran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) kepada 46,824 pelajar bagi sesi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta September ini.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamad Said berkata wang pendahuluan sebanyak RM1,500 untuk setiap pelajar itu membolehkan mereka membuat pelbagai bayaran sekaligus meringankan bebanan mereka.

Katanya sehingga 31 Julai lepas, PTPTN mengeluarkan peruntukan RM856.9 juta bagi WPP kepada 583,634 pelajar.